Bikesrepublic

Berita Terkini

Apabila Harley-Davidson mengumumkan kedatangan semula banjaran model-model 2024, dua daripadanya telah menerima peningkatan yang ketara, iaitu 2024 Harley-Davidson Street Glide dan 2024 Harley-Davidson Road Glide. Kedua-dua model ini mendapat peningkatan daripada segi gaya, suspensi serta elektronik yang sama, yang sebelum ini hanya tersedia pada edisi terhad CVO Street Glide dan CVO Road Glide.

Tetapi mari kita kenali model Street Glide dahulu.

Ciri-ciri utama Harley-Davidson Street Glide (2024):
  • Nadi Street Glide baharu ini ialah enjin Milwaukee-Eight 117 yang lebih besar (iaitu 117 inci padu, atau 1917cc kepada kami dalam dunia metrik).
  • Silinder baharu menggunakan head yang disejukkan cecair, bersama-sama dengan sistem penyejukan yang baharu.
  • Ia adalah peningkatan besar daripada Milwaukee-Eight 107 (1753cc) sebelumnya.
  • Enjin 117ci ini menghasilkan 105 hp dan tork 176.3 Nm, yang jauh lebih tinggi daripada 86 hp untuk enjin 107ci.

  • Sudah tentu, 105 hp dari 1.9 liter tidak banyak, tetapi pertimbangkan enjin ini berputar di bawah 1,500 RPM apabila bergerak pada 110 km/j, dan anda akan faham.
  • Walau bagaimanapun, enjin 117ci tidak mempunyai VVT daripada enjin 121ci (1982cc) CVO.
  • Penambahan sistem infotainmen baharu, dengan penguat berkuasa 200 watt, yang menghantar kuasanya ke sepasang pembesar suara yang dipasang pada fairing.

  • Skrin sentuh warna TFT 12.3 inci yang besar (istilah raksasa lebih tepat. Sebagai perbandingan, skrin Apple iPad 2 ialah 12.9 inci).
  • Penunggang boleh memilih mod tunggangan (Rain, Road, Sport, Custom), atau berinteraksi dengan sistem infotainmen, dsb. melalui skrin TFT kerana butang analog pada bar hendal telah tiada lagi.
  • Sudah tentu, H-D menaik taraf penggayaan motosikal juga, untuk menjadikannya lebih kontemporari, walaupun fairing mengekalkan profil batwing dan hidung jerung yang legenda.
  • Tangki bahan api juga mempunyai bentuk baru.
  • Span tempat duduk sekeping ditambah baik untuk jalanan jarak jauh.

Berapakah harganya?

Harley-Davidson Street Glide 2024 dijual pada harga USD 25,999 (RM 123,053.27), walaupun bilangan cukai yang membingungkan sudah tentunya akan menaikkan harga ke lebih tinggi.

Dan kawan-kawan saya tertanya-tanya mengapa saya hendak menjadi kaya…

Jentera Ducati Desmo450 MX telah meraih kemenangan di dalam perlumbaan sulungnya di dalam Kejohanan Motocross Prestige Itali yang diadakan di Mantua, hujung minggu lepas.

Penunggang pasukan pengilang Ducati, Alessandro Lupino telah berjaya mencatat masa saringan yang terbaik, justeru mendapt petak pertama kelas MX1 pada hari Sabtu. Lupino yang merupakan bekas Juara MXGP (Motocross World Championship) memanfaatkan kedudukan petak pertama itu di dalam moto pertama (perlumbaan pertama) bagi memenangi perlumbaan pada hari Ahad. Malangnya, dia tidak bermula dengan baik dalam moto kedua (perlumbaan kedua) dan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-7. Keputusan itu bermakna dia mendapat tempat ke-2 secara keseluruhannya.

Terdapat banyak publisiti yang menyelubungi Ducati Desmo450 MX. Kilang Itali itu dapat “memukat” bekas legenda MXGP Antonio “Toni” Cairoli dari “rumah” lamanya, KTM untuk bertindak sebagai pelumba pembangunan dan ujian.

Selain itu, motosikal ini adalah usaha untuk mempelbagaikan jenama Ducati ke dalam segmen lain yang berbeza daripada motosikal-motosikal mahal yang yang berorientasikan prestasi di atas jalan. Kami jangkakan motosikal Ducati MX, dan pastinya, sebuah enduro akan mula dijual kepada khayalak umum tidak lama lagi.

Selain itu, enjin satu silinder 450cc-nya merupakan perkembangan yang menarik, sekali lagi, ia menunjukkan peralihan daripada model-model berbilang silinder mereka.

Perlu dikatakan bahawa Ducati sedang bersaing dengan sebuah lagi pengilang Eropah – Triumph – dalam membina motosikal MX. Walaubagaimanapun, Triumph TF 250-X merupakan jentera 250cc dan kini berlumba dalam siri Supercross di Amerika. Ia juga telah mencapai keputusan hebat dalam perlumbaan pembukaannya. Selain itu, Triumph sudah pun sedang dijual kepada umum.

Seperti yang telah dijangkakan, jualan kenderaan baharu pada Februari 2024 menyusut berbanding pada Januari 2024.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (AAM), Bulan Februari merekodkan 62,833 unit jualan, berbanding dengan 65,499 pada bulan Januari 2024. Ia merupakan penyusutan 4%, disebabkan tempoh bulan yang lebih pendek serta tempoh bekerja yang lebih singkat berikutan cuti Tahun Baharu Cina.

Daripada jumlah itu, 57,979 merupakan kenderaan penumpang, manakala 4,584 lagi merupakan kenderaan komersil. Jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun lepas, sebanyak 56,443 kenderaan penumpang, dan 7,128 kenderaan komersil dijual.

Jumlah jualan setakat Februari 2024 adalah 128,332 unit, iaitu 13 peratus lebih tinggi daripada 113,729 unit pada tempoh yang sama pada 2023.

Daripada segi pembuatan, pengeluaran kenderaan meningkat 3% kepada 65,611 pada Februari 2024 berbanding dengan 63,798 pada Februari 2023.

Daripada jumlah itu, sebanyak 61,935 unit adalah kenderaan penumpang (meningkat 3 peratus daripada 59,843 unit pada bulan yang sama tahun lepas), manakala baki 3,676 unit adalah kenderaan komersial (turun 7 peratus daripada 3,955 unit sebelumnya).

Jualan kenderaan baharu dijangkakan meningkat pada Mac 2024, berikutan penghantaran yang cepat oleh syarikat kerana tahun kewangan akan berakhir pada 31 Mac 2024, serta berbagai kempen promosi Hari Raya Aidilfitri.

Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team dan Hafizh Syahrin meraih podium Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2024 yang sulung, dan seterusnya mencapai harapan mereka, semalam. Pusingan ARRC yang pertama ini telah berlangsung di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.

Hafizh yang menunggang jentera Ducati V4 R di dalam kelas Asia Superbike 1000cc (ASB1000) dapat menebus kekecewaan kerana gagal menamatkan Perlumbaan Pertama pada Sabtu. Beliau terpaksa menarik diri kerana masalah teknikal pada motosikalnya.

Apapun, beliau dapat menunggang dengan konsisten dalam perlumbaan kedua. Dia juga dapat mendahului perlumbaan pada satu peringkat, namun dipintas oleh pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) untuk menamatkan perlumbaan sebagai pemenang.

Rakan sepasukan Andi dari Thailand, Nakarin Atiratphuvapa melepasi garisan penamat di tempat ketiga. Yuki Kunii (SDG Team HARC-PRO Honda Philippines), dan seorang lagi pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman (TKKR BMW Racing Team) melengkapkan penghabisan lima teratas.

Perlumbaan pertama pula menyaksikan prestasi Azlah Shah yang menakjubkan. Beliau yang bermula di petak ke-7 dapat mengejar dan memintas seorang demi seorang pelumba lain, sehinggalah dapat menjejakki pendahulu perlumbaan, Nakarin yang telah berada agak jauh di hadapan. Azlan kemudiannya memintas Nakarin pada lap ke-9 dan mendahalui sehingga tamat perlumbaan.

Di belakang Azlan, Andi dapat memintas Nakarin untuk tempat kedua, manakala pelumba Malaysia, Md. Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) melonjakkan diri ke tempat ketiga.

Kedudukan Keseleruhan ASB1000, Kejuaraan Perlumbaan Motosikal FIM 2024

(5 teratas)

Pelumba Pasukan Mata
1. Andi Farid Izdihar (INA) Honda Asia-Dream Racing with Astemo 45
2. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) TKKR BMW Racing Team 36
3. Nakarin Atiratphuvapa (THA) Honda Asia-Dream Racing with Astemo 27
4. Md. Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia-Dream Racing with Astemo 26
5. Yuki Kunii (JPN) (SDG Team HARC-PRO Honda Philippines) 26

 

Lapan kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai sekitar RM6 juta disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kesemua kenderaan dimilikki oleh individu-individu yang dipercayai terbabit sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok.

Kenderaan-kenderaan itu terdiri daripada dua buah Lamborghini, dua Toyota, dan masing-masing sebuah Lexus, Mercedes, BMW, Volvo.

Kenderaan itu disita dalam operasi khas sekitar Lembah Klang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, sejak Isnin lalu dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kenderaan terbabit disita daripada beberapa individu yang berjawatan sebagai pemilik syarikat serta orang tengah yang membuat bayaran wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguat kuasa,” menurut sumber SPRM.

Sindiket itu disyakki terbabit di dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan syarikat pinjaman wang berlesen, pengurup wang, dan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’.

Kegiatan penyeludupan sindiket ini dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan lebih daripada RM400 juta.

Mereka juga disyakki memberi wang suapan lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan kegiatan penyeludupan.

Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan sitaan kenderaan-kenderaan tersebut dan individu-individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

CFMoto Ibex 450 telah dilancarkan bulan lepas di AS pada harga yang sangat menarik. Jadi, persoalannya adakah ia akan datang ke sini?

CFMoto pertama kali mempamerkan  450MT di EICMA pada November 2023, dan diikuti dengan penukaran namanya kepada Ibex 450 tidak lama kemudian. Pasaran AS akan menerimanya sebagai model 2025.

Apapun, “ibex” merupakan kambing gunung liar dengan tanduk panjang tebal yang terdapat di Asia Tengah dan Ethiopia. Jadi seperti namanya, CFMoto Ibex 450 ialah motosikal adventure ringan.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin berkembar selari 449cc, yang dikongsi dengan 450SS (sport), 450NK (naked) dan cruiser 450CL-C yang akan datang.
  • Enjinnya menghasilkan 44 hp pada 8,500 RPM dan 44 Nm tork pada 6,250 RPM.
  • Julat kuasa enjin ini ditala untuk tugas adventure dan perjalanan jauh. Oleh itu, kuasa maksimumnya adalah 6 hp lebih rendah dan memuncak pada 1,000 RPM lebih rendah berbanding 450SS dan 450NK.
  • Enjin ini turut menggunakan konfigurasi engkol 270 darjah yang amat popular masa sekarang, dengan dua shaf pengimbang.
  • Kuasa dihantar melalui klac slipper dan kotak gear enam kelajuan.
  • Enjin dibawa oleh rangka tiub keluli chromoly.
  • Suspensi KYB dengan jarak gerakan 203mm perjalanan yang besar.
  • Sebaliknya, ketinggian tempat duduk hanya 820mm.
  • Suspensi hadapan boleh laras sepenuhnya dan monoshok belakang boleh laras untuk prabeban dan lantunan.
  • Kaliper brek J.Juan empat omboh, dipasang secara jejari mencengkam satu cakera 320mm di hadapan.
  • Motosikal ini menggunakan roda depan bersaiz 21 inci dan roda belakang 18 inci.
  • Sistem ABS Bosch adalah standard untuk kedua-dua bahagian hadapan, tetapi fungsi ABS di roda belakang boleh dimatikan.
  • Sistem kawalan cengkaman juga ditadbir oleh ECU Bosch, dan ia boleh dihidupkan atau dimatikan dari dash.
  • Paparan TFT melengkung 5 inci dengan sambungan telefon pintar, dan dikemas kini secara tanpa wayar.
  • Ciri lain termasuk cermin depan boleh laras, lampu LED, plat tergelincir aluminium, cermin lipat dan titik pengecasan USB-C.

CFMoto Ibex 450 ini turut direkabentuk oleh Kiska, yang merupakan pihak yang sama merekabentuk motosikal KTM, Husqvarna, GasGas, memandangkan CFMoto masih bekerjasama dengan KTM.

Sebagai penutup, kami berharap motosikal ini sampai ke sini memandangkan pasaran adventure dan touring masih berkembang.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube