Bikesrepublic

Berita Terkini

Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2020 menyaksikan Jonathan Rea merangkul kejuaraan buat kali keenam berturut-turut.

Meskipun tidak memenangi aksi di Litar Estoril dengan Toprak Razgatlioglu (PATA Yamaha WorldSBK) muncul pemenang di hadapan Chad Davies (Ducati) dan Garrett Gerloff (Yamaha), tempat keempat sudah cukup buat Rea untuk menyapu musim 2020.

Sementara itu, pencabar terdekat, Scott Redding (Ducati) yang terpaksa bersara awal dari perlumbaan memudahkan Rea untuk memastikan takhta WSBK kekal miliknya.

Redding memberi tentangan hebat sejurus musim 2020 berjalan dengan jentera Ducati V4 R namun status juara dunia memberi Rea kelebihan tatkala pelumba itu berjaya memastikan aksi yang konsisten dengan Kawasaki ZX-10R.

Rea turut meluahkan rasa keterujaan ke atas kejayaannya.

“Perasaan saya ketika ini tidak dapat digambarkan. Perjalanan kami musim ini sangat mengagumkan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada WSBK, Dorna dan semua pihak yang terlibat dengan penganjuran perlumbaan ini. Walaupun dengan segala yang berlaku tahun ini, kami masih mampu berlumba.

“Saya rindukan kehadiran penyokong dan ahli keluarga yang tidak dapat hadir hari ini.

“Tetapi ini semua untuk Kawasaki Racing Team kerana terus memacu untuk mencapai kejayaan ini. Kami bermula dari belakang tetapi kami tidak putus asa,” jelasnya.

Menariknya, Rea telah pun merekodkan 99 kemenangan di pentas WSBK ketika ini dengan 84 daripadanya bersama Kawasaki.

Dia turut merekodkan 185 podium dan 27 petak pertama dalam kariernya setakat ini.

Tahun lalu, kami berpeluang menghadiri Ducati World Premier 2020 (DWP2020) di Rimini, Itali bagi menyaksikan pelancaran sulung, Ducati Streetfighter V4 dan V4S serta Panigale V2.

*Ducati Streetfighter V4

Selang 10 bulan kemudian, Panigale V2 dilancarkan di Malaysia dan kini Ducati Streetfighter V4 turut mendarat dengan Ducati Malaysia turut membuka tempahan bagi jentera hyper naked tersebut.

Ducati Streetfigher V4 didatangkan dengan enjin 1,103cc Desmosedici Stradale V4 yang menghasilkan 208 hp – kurang 6 hp daripada Panigale V4 – pada 12,750rpm dan 123Nm pada 11,500rpm.

*enjin 1,103cc Desmosedici Stradale V4

Pada masa samsa, Streetfighter V4 didatangkan dengan beberapa pakej elektronik:

  • ABS Cornering EVO
  • Ducati Traction Control (DTC) EVO 2
  • Ducati Slide Control (DSC)
  • Ducati Wheelie Control (DWC) EVO
  • Ducati Power Launch (DPL)
  • Ducati Quick Shift up/down (DQS) EVO 2
  • Engine Brake Control (EBC) EVO

Seperti barisan Ducati lain, Streetfighter V4 juga didatangkan dengan tiga mod tunggangan – Street, Sport dan Race.

*Ducati Streetfighter V4 dan V4S

Bagi yang inginkan keterujaan yang lebih tinggi, Ducati turut menawarkan Streetfighter V4 S yang menawarkan beberapa ciri premium antaranya:

  • Ducati Electronic Suspension (DES) EVO
  • Fork Öhlins NIX-30 dengan sistem kawalan Öhlins Smart EC 2.0
  • Penyerap hentakan Öhlins TTX 36 dengan sistem kawalan Öhlins Smart EC 2.0
  • Öhlins steering damper dengan sistem kawalan Öhlins Smart EC 2.0
  • Forged aluminium Marchesini wheels

Orang ramai kini boleh membuat tempahan bagi Streetfighter V4 dan V4S di Ducati Malaysia dengan masing-masing ditawarkan di antara RM120 ribu hingga RM150 ribu.

Pendahulu kejuaraan Moto3 ketika ini, Albert Arenas akan beraksi di Moto2 musim depan bersama pasukan semasa, Aspar Team.

Dia akan digandingkan dengan Aron Canet yang ketika ini bersama Hafizh Syahrin di Moto2.

Keputusan Aspar itu sekaligus menyaksikan Hafizh Syahrin diketepikan dari pasukan itu musim depan.

*Hafizh Syahrin

Peluang untuk Hafizh kekal di Moto2 musim 2021 juga tampak tipis tatkala rata-rata slot pasukan lain telah pun penuh.

Jika Hafizh tidak berjaya kekal di Moto2, kelas kedua di MotoGP itu akan menyaksikan Kasma Danial Kasmayuddin dari pasukan ONEXOX TKKR SAG Team sebagai wakil tunggal negara.

Kasma akan bersama ONEXOX sehingga 2022 selepas mengikat kontrak tiga tahun sebelum ini.

*Albert Arenas

Sementara itu, keputusan Aspar untuk menganugerahkan Arenas slot di Moto2 sebagai tindakan relevan tatkala pelumba itu mempamerkan aksi mantap di Moto3 musim ini.

Menang dua pusingan berturut-turut di GP Qatar dan Jerez kemudian kembali merekodkan kemenangan di Red Bull Ring, Arenas kini mendahului kejuaraan dengan 135 mata, 6 mata dihadapan pencabar, Ai Ogura.

Dalam perkembangan lain, Joe Roberts bakal menggantikan Enea Bastianini di Italtrans tahun depan.

Kerjasama CFMoto bersama KTM mula membuahkan hasil apabila memperkenalkan 1250RT-G di China International Motorcycle Exhibition (CIMA) 2020 baru-baru ini.

*CFMoto 1250RT-G

Lebih menarik, kurang sebulan model itu diperkenalkan di China, September lalu, kami dimaklumkan bahawa jentera terbabit akan turut dipasarkan di Malaysia!

Senario itu lantas menyaksikan segmen motosikal grand tourer menjadi lebih menarik dengan 1250RT-G yang dijangka akan ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding jenama lain dalam segmennya antaranya BMW R 1250 RT, BMW K 1600 GT dan Kawasaki 1400 GTR.

*CFMoto 1250RT-G dilengkapi enjin KTM LC-8 1,279cc

CFMoto 1250RT-G pada awalnya dicipta khas untuk kegunaan pihak berkuasa di China.

Motosikal segmen ‘grand tourer’ ini merupakan jentera paling berkuasa ditawarkan CFMoto hasil bantuan enjin KTM LC-8 1,279cc yang menawarkan 140hp dan 121Nm.

Selain daripada enjin, kerjasama CFMoto-KTM turut menyaksikan penggunaan teknologi dan sistem yang premium antaranya penggunaan kaliper brek radial Brembo, fork depan dan penyerap hentakan belakang WP.

*paparan TFT berwarna 12.3′

Bukan itu sahaja, 1250RT-G juga menawarkan sistem audio JBL terbina dan paparan TFT berukuran 12.3 inci yang memaparkan info tekanan tayar dan tetapan sistem ‘suspension’, empat mod tunggangan, sistem navigasi dan multimedia.

*sistem audio JBL

Menariknya, sistem Bluetooth turut didatangkan secara standard selain daripada penghadang angin boleh laras.

Menurut sumber yang diperolehi, CFMoto 1250RT-G akan dipasarkan di Malaysia sekitar 2021.

Sembilan kali juara dunia, Valentino Rossi disahkan dijangkiti pandemik Covid-19 dan bakal terlepas aksi di Aragon (minggu ini) dan Teruel.

Perkara itu disahkan sendiri pelumba Monster Energy Yamaha itu dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Menurut Rossi, dia berasa kurang sihat sebaik bangun dari tidur.

“Tulang dan badan saya berasa sakit dan tubuh saya demam jadi saya bingkas menghubungi doktor yang telah menguji saya (dua kali) sebelum ini.

“Ujian PCR saya negatif seperti yang saya jalani pada Selasa tetapi ujian kedua, saya didapati positif.

“Saya kecewa akan terlepas aksi di Aragon minggu ini. Saya mahu kekal optimistik tetapi saya berasakan saya turut akan terlepas perlumbaan seterusnya di litar sama (GP Teruel).

“Saya sedih dan marah kerana saya telah melakukan yang terbaik untuk mengikuti setiap protokol yang ditetapkan antaranya kuarantin kendiri sejak tiba dari Le Mans.

“Apa pun, segalanya telah berlaku dan saya akan terus mengikut nasihat pasukan perubatan dan diharapkan akan kembali lebih sihat,” jelasnya.

Persoalannya ketika ini adalah siapa yang akan mengisi slot Rossi bagi aksi di Aragon di samping Maverick Vinales?

Ikut perkembangan seterusnya.

Bagi yang mengikuti perkembangan di MotoGP, terutamanya di Misano pada 20 September lalu, Jack Miller terpaksa bersara awal selepas hanya dua lap.

Pelumba Pramac Racing itu gagal mengutip sebarang mata gara-gara visor ‘tear-off’ milik Fabio Quartararo telah disedut jenteranya lalu menyekat kemasukan udara di air filter.

Insiden itu menyebabkan jentera Ducati yang ditunggang mengalami masalah.

Miller bagaimanapun menyimpan visor ‘tear-off’ itu dan memuat naik gambar di akaun media sosial sebelum menyerahkannya ke Two Wheels for Life yang bertindak meletakkannya untuk bidaan.

Menariknya, visor ‘tear-off’ penuh kontroversi itu telah berjaya dijual dengan harga GBP4,000 (RM22,803) dan dibeli oleh seorang peminat MotoGP di Australia dengan jumlah bidaan itu kini akan disumbangkan ke badan kebajikan.

Perkara itu turut disambut baik Miller.

“Saya berbesar hati kerana dapat membantu Two Wheels for Life dalam meraih dana. Siapa sangka kita mampu mengubah sekeping plastik kepada sumbangan besar untuk sebuah badan amal,” jelasnya. – TwoWheelsforLife

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube