Bikesrepublic

Berita Terkini

Ducati telah mencuri tumpuan minggu ini apabila melancarkan Multistrada V4 2021 namun tiada sebarang info mengenai harga didedahkan.

Sehinggalah, Ducati Amerika Utara telah mendedahkan harga bagi tiga varian ditawarkan; V4, V4 S dan V4 S Sport untuk pasaran Amerika Syarikat dan Kanada.

Menurut info, bagi varian V4, model ini ditawarkan pada harga USD19,995 (RM82,787) namun varian V4 S yang lengkap dengan teknologi radar boleh didapati dengan harga USD24,095 (RM99,762).

Namun, opsyen tayar spoke yang terdapat pada V4 S ditawarkan dengan harga yang lebih tinggi, USD24,695 (RM102,247).

Bagaimanapun, diingatkan harga dalam Ringgit Malaysia hanyalah tukaran langsung.

Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, enjin V4 Granturismo 1,158cc dengan penyejukan cecair ini menerapkan penggunaan injap spring (valve spring) berbanding sistem injap Desmodromic dengan ‘major service interval’ adalah pada 60,000km dan tidak perlukan servis Desmo.

Enjin serba baharu ini juga menawarkan 170hp pada 10,500rpm dan 125Nm pada 8,750rpm.

Untuk maklumat lebih terperinci sila tekan pautan di bawah:

Sementara itu, Ducati Multistrada V4 ini dijangka akan tiba di Malaysia tahun depan.

Nur Athirah, seorang penghantar makanan bersama Food Panda telah menjadi mangsa kecurian motosikal dalam kejadian yang berlaku di Batu Caves, baru-baru ini.

*Nur Athirah sewaktu ditimpa kejadian di Batu Caves

Kejadian itu turut mendapat perhatian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan menyampaikan sumbangan peribadi berupa sebuah Yamaha 135LC baharu kepada mangsa.

Baginda menzahirkan rasa sedih terhadap nasib malang yang menimpa Nur Athirah apatah lagi mangsa merupakan anak kedua dari tiga beradik tinggal di Batu Caves yang menjadi penyara keluarga.

“Di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.

“Diharap dengan sumbangan ini Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga,” titah baginda.

Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.

Sebelum ini, Nur Athirah turut memohon bantuan orang ramai untuk mengesan motosikal Yamaha 135LC miliknya dengan nombor plat BQF2182 yang hilang.

Selepas melancarkan Triumph Trident 2021 baru-baru ini, jenama motosikal UK itu dilaporkan akan memperkenalkan dua lagi model dengan enjin 660cc.

Triumph Trident merupakan jentera berkonsepkan moden retro yang bakal memberi saingan dalam segmen pertengahan menggunakan enjin 660cc.

Kini timbul laporan bahawa Triumph bakal memperkenalkan dua lagi model bernadikan sesaran enjin yang sama berdasarkan gambar sewaktu pembentangan syarikat itu ketika persidangan bersama pengedar.

Gambar tersebut memaparkan tiga model yang merangkumi motosikal adventure , roadster dan adventure sport dengan segmen roadster itu merujuk kepada Triumph Trident.

Berdasarkan imej dikongsikan, motosikal adventure tersebut seakan menyamai elemen rekaan Triumph Tiger 900 2020 manakala adventure sport itu diinspirasikan daripada Tiger Sport.

Senario itu jelas memaparkan perancangan Triumph untuk memperkenalkan sebuah jentera adventure dan adventure sport bernadikan enjin 660cc tiga silinder sekaligus terus mengorak langkah dalam segmen pertengahan.

Jika Triumph mengetengahkan Trident 2021 sebagai motosikal paling mampu milik daripada jenama popular UK itu, adakah motosikal adventure dan adventure sport ini akan memberi penekanan kepada skop sama? – BikeWale

Pasukan Monster Energy Yamaha dan Petronas Yamaha SRT telah dikenakan tindakan atas kegagalan mendapatkan kelulusan daripada MSMA susulan melakukan perubahan teknikal.

Bagaimanapun, pelumba kedua-dua pasukan terselamat daripada sebarang tindakan.

FIM MotoGP dalam satu kenyataan berkata, “Yamaha Motor Company gagal menghormati protokal di mana mereka tidak mendapatkan kelulusan sebulat suara daripada MSMA bagi perubahan teknikal.

“Atas sebab ini, 50 mata daripada carta Kejuaraan Dunia Konstruktor MotoGP milik Yamaha Motor Company telah ditolak.”

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP telah ditolak 20 mata daripada carta Kejuaraan Dunia Pasukan sementara 37 mata ditolak daripada Petronas Yamaha SRT.

Angka tersebut ditentukan berdasarkan mata yang dikutip sewaktu melanggar protokol terbabit.

Walaupun kenyataan terbabit tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai kesalahan pasukan masing-masing namun timbul dakwaan mengatakan Yamaha telah melanggar peraturan homologation enjin sewaktu di Jerez dengan menggunakan injap (valves) yang berlainan daripada sampel yang telah dihantar sebelum permulaan musim 2020.

Sementara itu, Marc Marquez mempersoalkan tiada tindakan tolak mata dikenakan terhadap pelumba Monster Energy Yamaha dan Petronas Yamaha SRT menerusi akaun Twitter.

Pelumba Repsol Honda itu meluahkan rasa tidak puas kerana tiada tindakan dikenakan terhadap mereka meskipun mendapat manfaat daripada perubahan teknikal tersebut.

Yamaha dedah sedang giat membangunkan enjin turbo tiga silinder berdasarkan paten yang difailkan ke Pejabat Paten Jepun.

Difahamkan, pembangunan enjin turbo silinder ini mengguna pakai enjin 847cc yang terdapat pada MT-09 namun dengan sedikit perbezaan antaranya stroke yang lebih panjang (73mm) dan bore yang lebih kecil (67.5mm).

*enjin 847cc 3 silinder turbo dibangunkan dari enjin MT-09

Fokus utama pembangunan enjin ini adalah bagi menghasilkan rev yang rendah namun dengan tork tinggi dan hasilnya, jentera ini mampu merekodkan 180hp pada 8,500rpm dengan tork sekitar 176Nm.

Difahamkan, sekitar 90 peratus tork maksimum dihasilkan di antara 3,000rpm hingga 7,000rpm mengatasi angka yang dihasilkan Yamaha V-Max.

Apa yang lebih mengagumkan, meskipun menjana kuasa tinggi, enjin ini menghasilkan tahap emisi karbon dioksida 30 peratus lebih rendah berbanding enjin NA (naturally aspirated) sekaligus mematuhi piawaian Euro5 yang berkuatkuasa di Eropah tahun depan.

*Enjin ini menghasilkan 30 peratus emisi lebih rendah berbanding enjin NA

Sementara itu, enjin tersebut turut disertakan dengan VVT (variable valve timing) di bahagian intake dan camshaft ezkos, sistem yang sebelum ini hanya didapati pada kereta moden.

Bukan itu sahaja, Yamaha juga berjaya menyisihkan masalah ‘turbo lag’ dengan menggunakan kawalan boost elektronik dan hasilnya hanya 1 saat diperlukan untuk mencapai tork puncak ketika 3,000rpm semasa gear 3.

*Sistem VVT menjaminkan pembakaran lebih efisien

Meskipun paten yang dikongsikan memaparkan jentera menyamai MT-10 namun difahamkan imej tersebut hanyalah digunakan bagi menunjukkan enjin turbo terbabit bagaimanapun berdasarkan model yang ditawarkan Yamaha ketika ini, kemungkinan chasis dan rekaan MT-10 merupakan model paling sesuai untuk enjin tersebut.

Persoalannya, adakah enjin ini akan diperkenalkan dalam masa terdekat?

Jika Kawasaki mengambil masa lima tahun untuk membangunkan enjin supercharged H2, tidak terkejut jika Yamaha juga memerlukan tempoh masa yang sama.

Sepanjang minggu ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kerap membuat kenyataan berkaitan penunggang motosikal di Malaysia.

Dalam kenyataan terbaru oleh pengerusi MIROS, Datuk Suret Singh memaklumkan bahawa motosikal 250cc ke bawah tidak wajar menunggang di laluan laju (kanan).

“Berdasarkan kajian yang dilaksanakan MIROS pada 2012 hingga 2017, kami mendapat 50 peratus kemalangan berlaku di jalan persekutuan, diikuti jalan bandaran (19 peratus), jalan negeri (16 peratus), jalan kawasan perumahan (12 peratus) dan lebuh raya (tiga peratus),” Suret memberitahu Bernama.

Statistik kemalangan di lebuh raya adalah rendah susulan rata-rata penunggang motosikal menggunakan laluan kiri berbanding lorong kanan.

Bagaimanapun, Suret memaklumkan bahawa berdasarkan pemerhatian, motosikal berkapasiti 250cc ke bawah gemar menggunakan laluan kanan terutamanya apabila lorong tersebut boleh mencecah kelajuan sehingga 120km/j.

“Tiba masanya penunggang motosikal (250cc ke bawah) menunggang di laluan kiri bagi mengurangkan risiko kemalangan maut,” tambahnya.

Pada masa sama, Suret menjelaskan bahawa motosikal 250cc ke bawah tidak sesuai untuk menunggang di laluan laju (kanan) kerana sistem membrek yang ada tidak efisien seperti kenderaan berprestasi tinggi.

Sebelum ini, pengerusi MIROS itu turut mengusulkan agar kerajaan membina laluan berasingan bagi motosikal dan menghadkan kelajuan dalam usaha mengurangkan kemalangan maut membabitkan motosikal. – Bernama

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube