Bikesrepublic

Berita Terkini

Gara-gara seronok berlumba sesama sendiri, seramai 240 remaja telah ditahan pihak berkuasa dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah.

Operasi yang berjalan pada 3.30 pagi itu berkesudahan dengan 240 remaja lelaki dan perempuan membabitkan 189 motosikal dan 36 kereta telah ditahan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir yang menjalankan operasi dibantu 30 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Sebelum penahanan dibuat, Ahmad Shukri mendedahkan pihaknya telah membuat pemantaun dua jam lebih awal bagi mengesan aktiviti kumpulan remaja tersebut.

Jelas Ahmad Shukri, dua persimpangan lampu isyarat di kawasan berkenaan telah dijadikan garisan perlumbaan dan disaksikan ramai remaja lain di bahu jalan.

Meskipun ada cuba melarikan diri selepas terkejut dengan kehadiran polis namun percubaan sekumpulan remaja terbabit gagal ekoran setiap laluan keluar telah pun dikepung. – KOSMO 

Pelumba Suzuki, Joan Mir, akan kembali beraksi di litar MotoGP selepas disahkan sudah kembali cergas sepenuhnya. 

Juara dunia musim 2020 itu telah pun terlepas empat pusingan setakat ini ekoran mengalami kecederaan kaki. 

Bagaimanapun, Suzuki mengesahkan pelumba itu akan turun beraksi bersama jentera GSX-RR di Australia. 

Sementara itu, Mir teruja dengan tahap kecergasannya ketika ini dan tidak sabar untuk turun membuat penampilan semula pada 14 Oktober ini.

“Segalanya nampak baik dan saya gembira selepas diberitahu doktor akan perkabaran ini selepas melakukan pemeriksaan.

“Kecederaan saya alami sudah pulih dengan baik dan proses pemulihan telah berjalan dengan lancar.

“Saya masih belum mencapai keadaan 100 peratus tetapi situasi ketika ini jauh lebih baik daripada beberapa minggu sebelum ini.

“Saya mahu menghabiskan baki tiga pusingan terakhir ini bersama pasukan saya jadi saya berharap dapat kembali berlumba dengan baik,” jelas Mir. 

Ini merupakan musim terakhir pelumba Sepanyol itu bersama Suzuki sebelum berhijrah ke Repsol Honda bagi musim 2023.

Suzuki juga akan meninggalkan kejuaraan dunia MotoGP sebaik musim 2022 melabuhkan tirai di Valencia, November nanti. 

Tidak dinafikan, Indonesia merupakan antara pasaran motosikal terbesar di dunia dengan lebih 130 juta pemilik motosikal berdaftar direkodkan setakat ini.

Ekoran lambakan pengguna dua roda di negara itu, kerajaan Indonesia mahu memulakan projek emisi sifar bermula dengan pasaran motosikal.

Untuk itu, kerajaan Indonesia mensasarkan untuk merendahkan jejak karbon (carbon footprint) sebanyak 29 peratus menjelang 2030 agar misi emisi sifar boleh dicapai menjelang 2060. 

Bagaimanapun, sebelum objektif tersebut tercapai, Indonesia mahu menempatkan dua juta motosikal elektrik di jalan raya negara itu menjelang 2025. 

Menurut Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi, inisiatif tersebut diutarakan kerajaan sewaktu Federal Group Discussion yang berlangsung di Jakar, 4 Oktober lalu.

“Ketika ini terdapat 133 juta pengguna motosikal di Indonesia dengan 5 juta permintaan setiap tahun. 

“Ini bermakna permintaan cukup tinggi dan boleh menjadi pemangkin kepada mencapai peralihan ini,” jelasnya. 

Sementara itu, usaha mempromosikan motosikal elektrik di Indonesia lebih mudah berbanding kereta elektrik ekoran terdapat 35 syarikat motosikal elektrik berbanding hanya tiga syarikat kereta elektrik di negara itu. 

Malaysia akan beralih kepada penggunaan sistem kutipan tol tanpa henti menjelang 2025 sebagai usaha mengatasi kesesakan jalan raya di plaza tol.

Perkara itu disampaikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mejelaskan bahawa cadangan tersebut telah pun dipersetujui Jemaah Menteri, seperti yang dilaporkan BERNAMA.

Sistem yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) itu akan membolehkan kenderaan tidak perlu berhenti bagi membayar tol kerana tiada palang.

Namun, Fadillah Yusof menjelaskan langkah seterusnya adalah mengadakan rundingan dengan pihak konsesi tol mengenai pelaksanaan sistem terbabit di samping mewujudkan ‘command centre’ yang akan diuruskan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). 

Difahamkan, sistem MLFF itu merupakan antara inisiatif di bawah Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2019-2023 yang diusahakan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Di samping itu, Fadillah mendedahkan pihak kementerian juga seang membangunkan penimbang berat kenderaan bagi mengesan lori muatan yang juga boleh menjadi penyumbang kepada kesesakan jalan raya dan lalu lintas. – BERNAMA

Pengeluar skuter Itali, Vespa memperkenalkan empat barisan model GTS bagi tahun 2023.

Empat model GTS tersebut babitkan Vespa GTS, GTS Super, GTS SuperSport dan Vespa GTS SuperTech.

Seperti generasi sebelum ini, GTS SuperTech merupakan varian ‘flagship’ dan dilengkapi dengan segala pakej elektronik moden.

Dua enjin ditawarkan bagi model GTS, yang merangkumi enjin satu silinder i-GET 125cc dan 300 HPE yang menawarkan 23hp. 

Meskipun tidak dinyatakan standard emisi bagi kedua-dua enjin ini namun memandangkan enjin terdahulu hanyalah berstatus Euro 4, besar kemungkinan Vespa telah pun menaik taraf kedua-dua enjin dengan standard Euro 5. 

Seperti sebelum ini, model 2023 ini mengekalkan rekaan ikonik seperti model terdahulu namun bagi memastikan model ini kekal segar, Vespa menawarkan 14 pilihan warna menarik. 

Namun, Vespa telah menaik taraf bahagian ‘swingarm’ agar lebih kukuh dan menawarkan kestabilan lebih baik. 

Bukan itu sahaja, tahap keselesaan juga telah dipertingkat dengan tempat duduk yang lebih selesa. 

Antara naik taraf lain dilaksanakan termasuk penggunaan sistem tanpa kunci, dan fungsi ‘push start button’. 

Antara ciri yang dikekalkan termasuk paparan skrin TFT-LCD dengan fungsi MIA Bluetooth.

Honda memperkenalkan Forza 350 2023 di Thailand yang tampil dengan pelbagai naik taraf terbaru. 

Bagi pasaran negara itu, Honda Forza 350 ini tampil dengan dua varian, Standard dan Roadsync. 

Untuk rekod, Honda telah pun menaik taraf Forza 350 dua tahun lalu dengan peningkatan tersebut memfokuskan bahagian enjin.

Namun, model 2023 itu menyaksikan pelbagai aspek telah diperbaharui termasuk bahagian panel badan.

Menurut Honda, Forza 350 ini tampil dengan panel badan berbeza secara keseluruhan berbanding model sebelumnya.

Perbezaan ketara dapat dilihat di bahagian lampu hadapan dan lampu belakang.

Selain itu, panel meter juga berbeza namun masih lagi menawarkan kombinasi digital dan analog berbanding TFT. Panel istrumen tersebut juga menawarkan fungsi Honda Smartphone Voice Control bagi varian Roadsync. 

Forza 350 ini dikuasakan enjin satu silinder 329cc 4-valve yang menawarkan 28.8hp pada 7,500rpm dan 31.5Nm pada 5,250rpm. Kuasa enjin disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi jenis CVT. 

Antara ciri menarik lain ditawarkan termasuk:

  • penghadang angin boleh laras (elektrik)
  • ruang letak barang boleh muat dua helmet ‘full-face’pengecas USB
  • tangki 11.7L
  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • ABS dwi-saluran

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk:

  • fork teleskopik
  • rim 15-inci depan dan 14-inci belakang
  • cakera brek tunggal 256mm (depan)
  • cakera brek tunggal 240mm (belakang)
  • sistem tanpa kunci (keyless)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube