Bikesrepublic

Berita Terkini

MV Agusta mendedahkan dua model ‘adventure’ serba baharu sewaktu di pameran motosikal EICMA pada November tahun lalu.

Lucky Explorer 9.5 dan Lucky Explorer 5.5 merupakan model yang akan diperkenalkan jenama Itali itu bagi tahun 2023.

Bagaimanapun, 5.5 paling mencuri tumpuan kerana motosikal bersesaran 500cc itu dibangunkan hasil kerjasama dengan gergasi motosikal China, Zhejiang Qianjiang Motorcycle Co. Ltd.

Qianjiang juga merupakan pemilik kepada jenama Benelli yang dipasarkan di pasaran global termasuk Malaysia.

Dalam perkembangan terbaru, MV Agusta Lucky Explorer 5.5 kini sah masuk peringkat pembangunan setelah Qianjiang memfailkan paten motosikal tersebut di China.

Qianjiang dipertanggungjawabkan untuk memasang motosikal dengan lencana MV Agusta itu yang akan berkongsi enjin sama dengan Benelli TRK 502.

Walaupun baru memasuki peringkat pembangunan namun menurut CEO MV Agusta sebelum ini, syarikat Itali itu telah pun menerima lebih 15,000 tempahan bagi model 9.5 dan 5.5.

Meskipun MotoGP baru memasuki pusingan keenam namun kejuaraan dunia motosikal itu telah pun terpalit dengan berita menggemparkan apabila Suzuki dikatakan bakal meninggalkan perlumbaan itu hujung musim ini.

Beberapa laporan media antarabangsa melaporkan Suzuki telah pun memaklumkan ahli pasukan mengenai perkara itu sewaktu sesi ujian di Jerez, Isnin lalu.

Walaupun senario itu belum disahkan namun keengganan Suzuki untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan isu tersebut memberi bayangan bahawa dakwaan itu adalah benar.

Pihak Dorna dalam satu kenyataan juga mengingatkan Suzuki bahawa pasukan itu telah menandatangani kontrak sehingga 2026 sekaligus sebarang keputusan perlulah dibincangkan bersama.

Dalam perkembangan terbaru, pengurus pelumba Joan Mir, Paco Sanchez memberitahu media bahawa dia dan Mir langsung tidak tahu mengenia perancangan Suzuki itu.

Menurut Sanchez, Mir juga hampir menandatangani kontrak baharu untuk kekal di pasukan itu melebihi 2023 sebelum berita tergempar itu dilaporkan.

Bagaimanapun, keputusan Suzuki untuk berdiam diri telah memaksa Sanchez untuk mengadakan perbincangan dengan kesemua pasukan di MotoGP dalam usaha mencari pasukan baharu.

“Saya harap saya dapat cari jentera yang bagus untuk Joan (Mir).

“Kami juga risau akan keseluruhan kakitangan pasukan. Mereka individu yang profesional.

“Jika Suzuki sah tinggalkan MotoGP, saya harap mereka dapat mencari pekerjaan. Ramai ahli keluarga akan berdepan mimpi negeri,” jelasnya.

Selain Mir, status Alex Rins juga tergantung apatah lagi kontraknya akan tamat hujung musim ini.

Terdapat dua berita mengejutkan hadir dari kem MotoGP baru-baru ini bermula dengan Suzuki yang dikatakan akan meninggalkan Kejuaraan Dunia MotoGP pada penghujung musim 2022 ini.

Sementara itu, pasukan kendalian Razlan Razali, RNF Racing – yang dijenamakan semula daripada Petronas Sepang Racing Team (PSRT) – dikatakan akan menjadi pasukan satelit bagi Aprilia, meninggalkan Yamaha.

Suzuki Tinggalkan MotoGP

Berbalik kepada Suzuki, pelbagai media antarabangsa telah mendakwa bahawa Suzuki akan meninggalkan MotoGP pada penghujung musim 2022.

Perkara itu tercetus setelah ahli pasukan Suzuki telah diberitahu berita mengejutkan itu sewaktu ujian pasca perlumbaan di Jerez, Isnin lalu.

Berita itu ternyata mengejutkan apatah lagi Suzuki telah pun menandatangani kontrak untuk kekal di MotoGP sehingga 2026.

Sekiranya benar – masih menanti jawapan rasmi dari Suzuki – ini merupakan kali kedua pasukan dari Hamamatsu, Jepun itu undur diri setelah melakukannya pada 2012-2014 atas faktor kewangan.

Pada masa sama, ini juga bermakna, pelumba sedia ada, Alex Rins dan Joan Mir akan ketiadaan pasukan memasuki musim 2023.

Bagaimanapun, ketikat ini Mir dikaitkan dengan perpindahan ke Repsol Honda bagi digandingkan dengan Marc Marquez dengan kontrak Pol Espargaro dijangka tidak akan disambung hujung musim ini.

RNF Racing Jadi Pasukan Satelit Aprilia

Aprilia dijangka akan memiliki pasukan satelit seawal musim 2023 apabila didakwa akan berkerjasama dengan RNF Racing MotoGP.

Kontrak RNF Racing bersama Yamaha dikatakan tidak akan disambung sebaik kerjasama kedua belah pihak tamat pada penghujung musim ini.

Menurut laporan media Sepanyol (MARCA), perbincangan antara RNF Racing dan Aprilia telah pun berjalan dengan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama.

Sekiranya benar, maka Razlan Razali bakal menempah cabaran baharu bersama Aprilia setelah beberapa tahun berkerjasama dengan Yamaha.

Bagaimanapun, setakat ini, masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada pihak Razlan Razali.

Apa yang pasti perkembangan kedua-dua pasukan ini pastinya akan membawa perubahan besar terhadap saingan MotoGP musim depan apatah lagi Dorna dalam satu kenyataan mendakwa terdapat banyak pihak yang berminat untuk mendapat slot di MotoGP musim depan.

Apa pun, kita nantikan kemas kini terbaru daripada kedua-dua pihak.

Beberapa minggu lalu, kami melaporkan bahawa MForce Bike Holdings Sdn Bhd bakal memperkenalkan model pertama di bawah payung QJMotor, SRK600.

Tidak lama kemudian, motosikal tersebut akhirnya membuat penampilan sulung di Malaysia, sewaktu pelancaran Benelli Best Shop Johor Bahru oleh TR Motorworld Sdn Bhd.

Menurut info, tempahan juga dibuka bagi QJMotor SRK600 itu yang ditawarkan pada harga RM35,888.

QJMotor merupakan jenama motosikal dibawah naungan syarikat Qianjiang yang juga merupakan pemilik kepada beberapa jenama motosikal lain antaranya Benelli yang dipasarkan di Eropah dan beberapa negara di rantau Asia termasuk Malaysia.

Berkongsi platform dengan Benelli TNT600, SRK600 ini juga diperkuat dengan kerangka jenis steel trellis yang ringan serta swingarm jenis aluminium.

Dikuasakan enjin 4-silinder 600cc dengan penyejukan cecair, SRK600 menawarkan 81.5hp dan 55Nm dengan segala kuasa disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac slip

Selain didatangkan dengan enjin berkuasa, SRK600 juga dilengkapi komponen premium antaranya fork USD Kayaba (KYB) dengan penyerap hentakan tunggal Marzocchi.

Aspek membrek pula dikendalikan kaliper jenama Brembo yang dibantu dengan kehadiran ABS. Penunggang juga boleh mengakses maklumat jentera menerusi paparan TFT 5-inci.

Menurut info yang diperolehi sebelum ini, SRK600 merupakan antara model yang akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia yang kemudiannya akan dituruti dengan beberapa model lain.

Fabio Quartararo bakal memulakan perlumbaan GP Sepanyol pada baris pertama setelah merekodkan masa kedua terpantas di belakang Francesco Bagnaia di Jerez pada Sabtu.

Kedudukan itu meletakkan Quartararo berpeluang cerah untuk merekodkan kemenangan kedua musim ini setelah mendominasi GP Portugal di litar Algarve, minggu lalu.

Meskipun kembali ke tahap terbaiknya setakat ini, status pelumba Monster Energy Yamaha itu masih lagi menjadi tanda tanya selepas dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan lain baru-baru ini.

Bagaimanapun, sebaik selesai sesi kelayakan Quartararo menegaskan dia hanya akan membincang masa depannya selepas selesai perlumbaan.

“Pengurus saya sedang bercakap dengan Yamaha tetapi ketika minggu perlumbaan saya lebih gemar memberi fokus kepada perlumbaan terlebih dahulu.

“Tetapi pada Isnin saya mungkin akan mendapat informasi lanjut. Apa yang saya boleh katakan setakat ini, saya belum menurunkan sebarang tandatangan,” jelasnya.

Buat masa ini, hanya empat pelumba yang telah mengesahkan kedudukan bagi musim 2023, iaitu Bagnaia, Marc Marquez (Repsol Honda), Brad Binder (Red Bull KTM) dan rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli.

Kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) – yang sebelum ini dikenali sebagai AES – telah merakam lebih 5,000 kenderaan yang melanggar had laju di hari pertama Ops HRA pada Sabtu.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sebanyak 750,903 kenderaan telah melintasi kamera AWAS di lebuh raya pada Sabtu dan 5,021 telah dirakam melanggar had laju dibenarkan.

Sementara itu, daripada 236,671 yang melewati kamera AWAS di lampu isyarat, seramai 996 didapati melanggar lampu merah.

Ini sekaligus menjadikan kesalahan memandu melebihi had laju dan langgar lampu isyarat merah adalah kesalahan trafik tertinggi direkodkan setakat ini.

Berdasarkan pengumuman sebelum ini, pelaku yang melakukan kedua-dua kesalahan tersebut akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000. Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan seterusnya menurunkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya,” jelas pihak JPJ dalam satu kenyataan. – HM

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube