Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok, tidak akan beraksi di Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2022 seperti yang disangkakan sebelum ini.
Perkara tersebut disahkan pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin.
Menurut Zulfahmi ketidaktentuan ekonomi susulan pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap usaha mendapatkan tajaan bagi pelumba berusia 20 tahun itu.
Damok sebelum ini dilaporkan akan membuat pengumuman rasmi mengenai peluangnya untuk ke Moto3 pada 15 Oktober lalu namun senario itu tidak berlaku.
Ini bermakna, musim 2022 bakal menyaksikan ketiadaan wakil pelumba negara di pentas sukan permotoran terbesar dunia itu buat kali pertama sejak 2009.
Damok sebelum ini juga sempat diberikan peluang beraksi bersama Petronas Sprinta Racing Moto3 di Aragon dan berjaya mengutip tiga mata selepas menamatkan aksi di kedudukan ke-13. – Paultan