Bikesrepublic

Berita Terkini

Pengeluar ECU TuneBoss, FSR Technology dengan rasminya memperkenalkan kit ‘quickshifter’ serba baharu dikenali sebagai ShiftBoss. 

ShiftBoss membolehkan penunggang motosikal dengan transmisi manual menukar gear tanpa perlu menarik klac sekaligus mempercepatkan proses pertukaran gear agar lebih efisien.

Pembangunan ShiftBoss sahaja telah mengambil masa tiga tahun namun menurut FSR Technology, evolusi teknologi ‘quickshifter’ syarikat itu telah pun bermula sejak 10 tahun lalu.

FSR Technology telah pun memperkenalkan sensor quickshifter pada tahun 2021 namun sistem itu hanya boleh berfungsi dengan ECU TuneBoss sekaligus berlainan dengan ShiftBoss yang boleh beroperasi secara sendirian. 

Menariknya, Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali menjelaskan bahawa kit ShiftBoss boleh dipadankan lebih daripada 20 jenis motosikal.

Antara model tersebut yang boleh dipadankan termasuk; Yamaha FZ150i, Y15ZR, Y16, MT15, R15, R25, Honda RS150, CBR150 dan SYM VF3i. Lain-lain termasuk, Yamaha MT-07, Suzuki Raider R150, GSX-S150 dan R150, SV650, V-Strom 650, KTM RC690, Duke 390, Modenas Pulsar 200 serta Kawasaki Versys.

Menariknya, barisan model yang akan dipadankan juga akan bertambah dalam masa terdekat termasuk GPX Demon GR200R dan Aprilia Shiver 750. 

Kit quickshifter tersebut merangkumi sensor shift, modul kawalan (bergantung kepada model motosikal) dan braket.

Kami juga diberitahu bahawa sekiranya kabel quickshifter tersebut dipotong, motosikal terbabit boleh beroperasi seperti biasa dan tidak akan menjejaskan sistem transmisi asal. 

ShiftBoss dijual pada harga (bermula) RM399 bagi motosikal dengan satu modul nyalaan dan RM599 bagi dua modul nyalaan. 

Ketika pasaran motosikal elektrik masih bergerak perlahan di Malaysia lain pula kisahnya di negara jiran Indonesia. 

Indonesia ketika ini cukup rancak dalam mempromosikan program motosikal elektrik dalam usaha mencapai status neutral karbon 2060. 

Kami diberitahu terdapat lebih daripada 30 model motosikal elektrik yang dipasarkan di negara itu setakat tahun 2022 dan angka itu dijangka bertambah lagi tahun ini. 

Itu sahaja sudah cukup membuktikan komitmen Indonesia dalam merealisasikan misi karbon neutral mereka. 

Dalam perkembangan terbaru, syarikat konglomerat Indonesia, Indika Energy, telah membuat pelaburan besar dalam pengeluar motosikal elektrik berprestasi tinggi, Damon Motorcycles. 

Meskipun angka pelaburan tidak diberitahu namun kami jangkakan jumlahnya agak besar kerana kerjasama termeterai itu juga bakal menyaksikan Damon memasarkan model elektriknya di Indonesia. 

Bagi yang tidak mengenali Indika Energy, syarikat itu merupakan gergasi perlombongan arang batu dan peneraju tenaga hijau di Indonesia. 

Setakat ini, Indika Energy telah pun memperkenalkan jenama mobiliti elektrik menerusi Ilectra Motor Group (IMG). 

Untuk rekod, Indonesia mensasarkan 2 juta motosikal elektrik berada di jalan raya menjelang 2050 termasuk mengurangkan emisi karbon tahunan sebanyak 29 peratus pada 2030. 

Kerjasama dengan Damon Motorcycles pastinya akan menyumbang kepada usah besar negara itu dalam mencapai karbon neutral 2060.

Ketika ini, Damon menawarkan dua model berprestasi tinggi menerusi Damon HyperSport (sportsbike) dan Damon HyperFighter (naked).

Kedua-dua model ini menawarkan lebih 200hp dan 200Nm di samping mampu pergi sejauh 320 kilometer bagi setiap cas penuh. 

Hong Leong Yamaha Motor menambah lagi barisan motosikal segmen kapcai di Malaysia dengan memperkenalkan Yamaha EZ115 baharu. 

Yamaha EZ115 ini dikuasakan enjin 144cc 4-stroke, 2-valve SOCH dengan suntikan bahan api (FI) yang berupaya menghasilkan 8.5hp pada 7,000rpm dan 9.5NM pada 5,500rpm. 

Menariknya, enjin pada EZ115 ini juga berjaya mencapai penarafan Euro4 dan boleh dihidupakn dengan penggunaan ‘kick start’ ataupun secara elektrik. ,

Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 4-kelajuan.

Meskipun hanya datang dengan tangki 3.9L namun Yamaha mendakwa EZ115 ini menawarkan kecekapan bahan api yang efisien sekaligus praktikal untuk kegunaan harian. 

Pada masa sama, dengan berat (kering) hanya 95kg, motosikal ini juga sesuai bagi setiap lapisan umur. 

Antara kelengkapan lain termasuk cakera brek tunggal depan dengan kaliper brek axial, fork depan jenis teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang. 

Untuk rekod, Yamaha EZ115 baharu ini menggantikan model Yamaha Lagenda 115Z. 

Dalam pada itu, HLYM juga memaklumkan bahawa Yamaha EZ115 akan turut beraksi di Cub Prix tahun ini dalam acara ‘one-make race’. 

GALERI: YAMAHA EZ115

Hujung tahun lalu, MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah pun memperkenalkan skuter ‘urban adventure’ terbaru untuk pasaran Malaysia menerusi WMOTO XDV250i.

Skuter tersebut merupakan penjenamaan semula daripada Longjia XDV250i yang dipasarkan di China. 

Dipasang sepenuhnya di Malaysia oleh pihak MForce, WMOTO XDV250i ditawarkan pada harga RM18,888.

Namun, beberapa persoalan timbul mengenai skuter tersebut sebaik berada di pasaran terutamnya babitkan lencana Keeway yang terdapat pada motosikal tersebut.

Paling menonjol adalah lencana Keeway di bahagian ‘handlebar’ yang sekaligus membangkitkan tanda tanya apakah kaitan antara Keeway, WMOTO dan MForce. 

Kami sebenarnya telah memberi penjelasan dalam video reviu penuh XDV250i yang boleh ditonton di bawah namun bagi yang lebih gemar membaca ini apa yang kami boleh kongsikan.

Kami diberitahu oleh pihak MForce bahawa skuter tersebut sepatutnya mengguna pakai nama Keeway untuk pasaran luar daripada China. 

Ini bermakna, XDV250i sepatutnya dijual di Malaysia di bawah jenama Keeway dan bukannya WMOTO. 

Namun, disebabkan imej tercalar Keeway sebelum ini, MForce membuat keputusan untuk menjual motosikal terbabit dengan nama WMOTO (Wawasan Moto) yang merupakan jenama tempatan baharu di bawah MForce. 

Sebagai bekas pengguna motosikal jenama Keeway sendiri, diakui pelbagai isu bangkit sebelum ini antaranya masalah servis selepas jualan dan alat ganti. 

Namun, kami diberi jaminan bahawa isu sama tidak akan dibangkitkan lagi terutamanya bagi WMOTO XDV250i. 

Untuk rekod, XDV250i dikuasakan enjin satu silinder 244.3cc SOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 24.13hp pada 9,750rpm dan 22.5Nm pada 6,750rpm. 

Sistem suspensi pula hadir dengan fork depan Kayaba 37mm dan monoshock berkembar belakang juga dari Kayaba. Sistem brek pula dikawal fungsi ABS dwi-saluran dengan kaliper brek jenis radial J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek 240mm depan dan 220mm belakang.

Ruang letak barang – dibawah tempat duduk – juga boleh memuatkan sebuah helmet ‘fullface’.

Selain itu, XDV 250i itu juga dilengkapi tangki 13.5L dengan berat sekitar 168kg, fungsi ‘smartkey’, slot pengecas USB dan port 12V, paparan skrin digital LCD serta penghadang angin boleh laras.

BMW Motorrad sebelum ini telah pun dikenal pasti menguji generasi terbaru Gelande Strasse (GS) untuk pasaran global.

Beberapa imej ‘spyshot’ dan dokumen kelulusan yang difailkan di beberapa negara juga mengesahkan ketibaan R 1300 GS baharu. 

Dalam perkembangan terbaru, BMW Motorrad telah berkongsi ‘teaser’ terkini di akaun media sosial Instagram.

Meskipun tidak diberitahu model apakah yang bakal diperkenalkan itu namun rata-rata laporan merujuk kepada BMW R 1300 GS.

Berdasarkan gambar ‘spy shot’ yang disiarkan sebelum ini, apa yang kami boleh gambarkan adalah model ADV akan datang itu itu akan tampil dengan rekaan serba baharu dan berbeza dengan generas R 1250 GS sedia ada.

Apa pun, nantikan pendedahan penuh model terbaru dari BMW di MotoMalaya.net

Jenama motosikal tempatan baharu, Aveta dengan rasminya melancarkan Aveta VZR250 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan asas RM14, 998. 

Seperti dimaklumkan sebelum ini, Aveta VZR250 merupakan motosikal berkapasiti 250cc ‘entry-level’ untuk pasarn tempatan. 

Hadir dengan reka bentuk moden dan agresif, VZR250 bakal menandingi Kawasaki Ninja 250 dan Yamaha YZF-R25. 

Untuk rekod, VZR250 dikuasakan enjin satu silinder 250cc 4-stroke DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 25.4hp pada 9,000rpm dan 21Nm pada 7,000rpm. 

Kuasa enjin pula disalurkan kepada transmisi manual 6-kelajuan dengan bantuan ‘slipper clutch’. 

Kelengkapan lain termasuk:

  • fork teleskopik depan
  • berat 186kg (kering)
  • tayar 110/70-17 (depan)
  • tayar 150/70-17 (belakang)
  • panel meter analog dan digital
  • tangki 14L

Sistem brek pula dikendalikan cakera brek berkembar depan dengan kaliper brek 4-piston depan dan kaliper dua piston di belakang. Meskipun ketiadaan sistem ABS namun model ini masih didatangkan dengan fungsi CBS (combine braking system). 

Menurut Aveta, VZR250 ini datang dengan tiga pilihan warna; Jet Black , Fire Bird Red dan Air Force Blue. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube