Bikesrepublic

Berita Terkini

Seramai 30 pemilik kenderaan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Majlis Perbandaran Klang (MPK) gara-gara tindakan kompaun RM1,000 kerana meletakkan kereta di padang Dewan Eng Ann, Taman Eng Ann, semalam. 

Memetik laporan Berita Harian,, kesemua pemilik tersebut meletakkan kenderaan dikawasan terbabit kerana menghadiri pertandingan taekwondo yang dijalankan di dewan berkenaan. 

“Saya pelik kerana program yang dihadiri hari ini adalah pada hari cuti iaitu hari Ahad. Jumlah kompaun itu sangat tidak masuk akal.

“Kebanyakan yang hadir pada hari ini adalah ibu bapa dari pelbagai sekolah di seluruh daerah ini, memandangkan kawasan ini adalah taman perumahan dan pada itu tidak mempunya papan tanda larangan memakir kenderaan ianya amat tidak adil kepada kami,” jelas salah seorang pemilik kereta yang dikenali sebagai Nantharajan, 43. 

Sementara itu, seorang lagi akur kecewa dengan tindakan MPK yang dianggap sebagai tidak bertimbang rasa.

“Saya sangat kesal. Mereka sepatutnya bertimbang rasa kerana padang itu adalah hak milik awam, memang mempunyai akses jalan untuk letak di kawasan pinggir padang.

“Sepatutnya penguatkuasa boleh memberi amaran dengan membuat pengumuman terlebih dahulu kerana kami hanya berada di dalam dewan berkenaan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, pihak MPK telah pun dimaklumkan mengenai senario tersebut dan sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian terbabit. 

Desas-desus mengenai ketibaan Kawasaki Ninja ZX-4R telah pun bermula sejak Kawasaki memperkenalkan Ninja ZX-25R lagi.

Kawasaki sendiri mengesahkan dakwaan apabila mempatenkan nama ZX-4R, awal tahun lalu.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru bakal merancakkan lagi pasaran motosikal global apabila Kawasaki telah memfailkan dokumen kelulusan kenderaan di Amerika Syarikat yang memaparkan kod nama ZX400SP dan ZX400PP. 

Kod nama tersebut secara tidak langsung bukan sahaja mengesahkan ketibaan model itu tidak lama lagi.

Dua kod nama berbeza itu juga mengesahkan Ninja ZX-4R bakal datang dengan dua varian, ZX-4R dan ZX-4RR dengan varian RR merujuk kepada spesifikasi yang lebih tinggi.

Apa yang mengejutkan kami, penerbitan Jepun, Young-Machine melaporkan bahawa Ninja ZX-4R akan datang itu bakal menghasilkan lebih 70hp.

Meskipun belum ada pengesahan namu jarang sekali Young-Machine berkongsi maklumat yang tidak tepat setakat ini. 

Apa pun, sama-sama kita nantikan pelancaran global Kawasaki Ninja ZX-4R. 

BMW R 1200 GS merupakan motosikal paling laris di Itali dari tahun 2017 hingga 2019. 

Dalam tempoh tiga tahun itu, BMW berjaya menjual 11,439 unit R 1200 GS dengan tahun 2019 mencatatkan jualan tertinggi dengan 4,069.

Bagaimanapun, memasuki tahun 2020, populariti motosikal adventure dari Jerman itu yang telah dinaik taraf kepada R 1250 GS mula jatuh dengan kemunculan Benelli TRK 502. 

Motosikal adventure buatan China itu muncul terlaris bermula tahun 2020 dengan 3,569 unit terjual sebelum jualan meningkat hampir dua kali ganda tahun berikutnya dengan 6,543 unit jualan direkodkan. 

Angka jualan itu terus meningkat pada tahun 2022, apabila 6,645 unit TRK502 dijual dan terus mengesahkan kedudukan sebagai model popular bagi tiga tahun berturut-turut. 

Persoalannya, apakah rahsia utama Benelli TRK502 dalam mengatasi populariti BMW R 1200/1250 GS sebelum itu?

Jika dibandingkan antara kedua-dua model tersebut, pastinya BMW R 1200/1250 GS berada dalam kelas tersendiri apatah lagi datang dengan kapasiti enjin yang lebih besar lantas jauh lebih berkuasa. 

Namun begitu, faktor harga mampu milik yang ditawarkan TRK502 menjadi daya tarikan utama apatah lagi model buatan China itu bukan sahaja menarik perhatian penunggang berpengalaman malah penunggang baharu dan muda. 

Untuk rekod, Benelli TRK502 dikuasakan enjin parallel-twin yang menawarkan 47hp dan 45Nm. Angka kuasa itu juga sudah cukup untuk menghadirkan pengalaman menunggang yang baik terutamanya untuk menempuh perjalanan jauh. 

Sementara itu, Yamaha Tenere 700 muncul model ketiga popular dengan 2,762 berjaya dijual diikuti Keeway RKF 125 (2,589) dan Moto Guzzi V7 (2,536). 

Berikut senarai 10 motosikal paling laris di Itali tahun 2022 (bagi kategori motosikal bersaiz penuh) :

  1. Benelli TRK502/TRK502X – 6,645 unit
  2. BMW R 1250 GS – 4,062 unit
  3. Yamaha Tenere 700 – 2,762 unit
  4. Keeway RKF 125 – 2,589 unit
  5. Moto Guzzi V7 – 2,536 unit
  6. BMW R 1250 GS Adventure – 2,531 unit
  7. Ducati Multistrada V4/V4 S – 2,469 unit
  8. Royal Enfield Meteor 350 – 2,380 unit
  9. Moto Morini X-Cape 650 – 2,298 unit
  10. Honda CRF1100L Africa Twin – 2,203 unit

Meskipun Honda memperkenalkan pelbagai model baharu di EICMA tahun lalu namun yang tetap ditunggu-tunggu adalah Honda ADV 350 yang diperkenalkan pada 2021. 

Manakan tidak, meskipun sudah memasuki tahun 2023, model itu masih belum kelihatan sehingga kini.

Apatah lagi, Honda Motorcycles Malaysia hanya menawarkan Forza 250 dan X-ADV 750 untuk pasaran skuter maxi di Malaysia ketika ini. 

Kekurangan pilihan bagi segmen skuter maxi itu ternyata mengecewakan meskipun Honda pernah menawarkan Forza 300 pada 2019. 

Namun begitu, kami difahamkan bahawa Honda ADV 350 bakal memasuki pasaran Malaysia tahun ini.

Meskipun tarikh sebenar tidak diberitahu namun makluman itu sudah cukup untuk merancakkan pasaran skuter maxi di Malaysia. 

ADV 350 merupakan skuter bercirikan ‘urban adventure’ yang diilhamkan daripada X-ADV 750. 

Selain daripada rekaan lampu depan yang diinspirasikan daripada X ADV 750 2021, versi 350cc ini juga mengekalkan ciri yang praktikal untuk kegunaan harian antaranya ruang letak barang bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua helmet ‘full-face’.

Menariknya, ADV 350 datang dengan pakej elektronik moden termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Emergency Stop Singal sebagai standard.

Sementara itu, ADV 350 ini digerakan enjin 330cc dengan eSP (enhanced Smart Power) yang menjana 29.2hp pada 7,500rpm dan 31.5Nm pada 5,250rpm.

Dilengkapi tangki 11.7L, ADV 350 ini pastinya sesuai untuk kegunaan harian dan tunggangan jarak jauh di hujung minggu. 

Dalam pada itu, ramai yang membangkitkan nama ADV 350 sewaktu pihak Fast Bikes Sdn Bhd mengumumkan bakal menjadi pengedar baharu Honda Big Wing di Malaysia. 

Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa ramai yang menantikan ketibaan model itu. 

Untuk rekod, Honda ADV 350 telah pun dipasarkan di Thailand dan dijual pada harga THB183,900 (RM23.7k). 

Nama Transalp kembali semula dalam portfolio Honda bagi tahun 2023 dengan pelancaran Honda XL750 Transalp ketika di EICMA 2022, tahun lalu.

Motosikal segmen adventure itu bakal memberi saingan kepada Yamaha Tenere 700, KTM 890 Adventure dan beberapa model lain dalam segmennya.

Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan, jentera ADV segmen pertengahan itu akan tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Perkembangan itu tentunya menarik apatah lagi segmen ADV kini menerima permintaan yang tinggi.

Honda XL750 Transalp ini dikuasakan enjin parallel-twin 750cc serba baharu yang dibangunkan Honda dan menawarkan 90hp dan 75Nm. 

Angka kuasa itu secara tidak langsung meletakkan Transalp di antara Tenere 700 (74hp) dan 890 Adventure (105hp). 

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, XL750 Transalp mengguna pakai konfigurasi ‘270-degree crank’ sekaligus menawarkan aliran kuasa yang mantap pada rev rendah dan bunyi deruman yang baik pada rev tinggi. 

Sistem ride-by-wire telah dikemas kini bagi model ADV ini bagi memastikan prestasi yang lebih baik sewaktu tunggangan jarak jauh (touring). 

Kuasa disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac ‘slipper’ dengan cakera F.C.C Leaning Segment. 

Honda mendakwa rekaan baharu bagi klac membantu menurunkan ‘drag torque’ sehingga 30 peratus sekaligus memastikan klac boleh ditarik dengan mudah di samping pertukaran gear lebih lancar.

Antara ciri elektronik lain ditawarkan termasuk:

  • Engine Power – empat tahap
  • ABS – dua tahap
  • Honda Selectable Torque Control (HSTC) – lima tahap
  • wheelie control

HSTC dan ABS juga boleh dinyahaktifkan sekaligus memastikan XL750 Transalp ini sesuai untuk tunggangan lasak (off-road). 

Lebih menarik, meskipun memegang enjin yang lebih besar, namun kerangka pada Transalp ini 10 peratus lebih ringan berbanding Honda CB500X. 

Secara keseluruhan, XL750 Transalp ini hanyalah seberat 208kg.

Kelengkapan suspensi pula hadir dengan fork depan ‘separate function’ 43mm dari Showa dengan jarak pergerakkan diletakkan pada 200mm depan dan 190mm belakang. 

Maklumat selanjutnya termasuk harga akan kami bawakan sebaik terdapat pengumuman rasmi mengenai pelancaran model ini. 

Syarifuddin Azman @ Damok bakal menjadi wakil tunggal negara di Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2023 yang akan membuka tirai Februari ini bermula dengan sesi ujian rasmi. 

Pelumba berusia 21 tahun itu akan membuat penampilan penuh di kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets-MSI bergandingan dengan Diogo Moreira. 

Ketika pelumba MotoGP bertandang ke Litar Antarabangsa Sepang untuk sesi Sepang Shakedown dan ujian rasmi, Damok mungkin ke Sepanyol bersama pasukan barunya. 

“Buat masa sekarang ini, saya mempersiapkan diri di Malaysia dan mungkin akan menyertai ujian (bersama pasukan) pada Februari ini di Sepanyol. Sebelum ini, saya sudah menjalani ujian bersama pasukan,” jelasnya. 

Meskipun perlu menyesuaikan diri dengan jentera dan pasukan baharu, Damok meletak harapan tinggi untuk meraih gelaran ‘Rookie of the Year’. 

“Kalau boleh saya ingin dapatkan gelaran ‘Rookie of the Year’ dan cuba dapatkan mata sebanyak mungkin,” tambahnya. 

Bakal beraksi dengan jentera KTM, Damok  akan memulakan kempen pertamanya di Litar Portimao, Portugal dari 24 hingga 26 Mac. 

Lebih mencabar, Damok akan beraksi pada bulan Ramadan sekaligus bakal berdepan ujian berbeza. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube