Bikesrepublic

Berita Terkini

Suzuki secara rasminya telah pun menghentikan segala penglibatan  dalam sebarang kejuaraan dunia termasuk MotoGP dan Endurance World Championship (EWC) bermula musim 2023.

Meskipun MotoGP merupakan kejuaraan dunia dua roda paling berprestij namun penarikan diri dari kejuaraan EWC paling dirasai kerana Suzuki undur diri selaku juara bertahan bagi dua musim berturut-turut (2020 dan 2021) sebelum menamatkan saingan 2022 di kedudukan kedua 

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Yoshimura SERT Motul dengan  rasminya mengumumkan akan meneruskan penglibatan di EWC 2023 dengan sokongan Suzuki. 

Perkara itu diumumkan Pengarah Pasukan Yoshimura SERT Motul, Yohei Kato, dalam satu kenyataan. 

“Saya gembira bahawa Yoshimura SERT Motul akan terlibat dalam FIM EWC musim 2023. 

“Meskipun keputusan Suzuki menamatkan projek di MotoGP dan EWC adalah mendukacitakan namun kami berterima kasih kepada Suzuki Motor Corporation (SMC) atas pemahaman mereka untuk memberikan sokongan kepada pasukan ini.

“Kami akan terus mewakili Suzuki dan komited merampas kejuaraan EWC pada musim 2023,” jelasnya. 

Pengumuman itu bukan bermakna Suzuki membuat pusingan ‘U’ dalam menghentikan projek sukan permotoran seperti yang diumumkan sebelum ini namun hanyalah memberi sokongan kepada Yoshimura SERT Motul yang akan meneruskan saingan mengguna pakai jentera GSX-R1000.

Malah, Pengurus Pasukan, Damien Saulnier dalam satu kenyataan juga mengesahkan Suzuki telah pun menarik diri dari sebarang kejuaraan dunia namun akan menyalurkan sokongan bagi musim baharu di EWC.

“Meskipun Suzuki telah menarik diri tetapi kami akan menerima sokongan yang signifikan dari mereka jadi kami akan terus mewakili jenama itu di EWC. 

Kejuaraan FIM EWC akan membuka tirai pada April bermula dengan 24 Heures Motos at Le Mans. 

Austria merupakan antara negara yang sememangnya memandang serius kesalahan jalan raya. 

Terbaru, menteri alam sekitar negara itu, Leonore Gewessler telah mencadangkan agar penalti lebih ketat dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar had kelajuan. 

Menurut usul yang dikemukakan, kenderaan yang diguna pakai sewaktu melakukan kesalahan memandu melebihi had laju akan disita sehingga dua minggu. 

Bagaimanapun, usul terbaru itu juga akan mengambil kira berapa kelajuan yang dicatat pemandu sewaktu melakukan kesalahan tersebut. 

Sekiranya melebihi had laju secara melampau atau didapati mengulangi kesalahan sama, usul itu juga memaklumkan tindakan menyita kenderaan dan seterusnya dijual secara bidaan akan dilaksanakan. 

Ketika ini, had kelajuan jalan raya di bandar besar Austria dihadkan pada 50km/j manakala had kelajuan di lebuh raya diletakkan pada 130km/j. – ANSA

Rata-rata motosikal ‘cruiser’ yang berada dalam segmen pertengahan dibarisi model yang agak ketinggalan antaranya Kawasaki Vulcan 650S dan Harley-Davidson Iron 883. 

Ini kerana segmen itu jarang diberikan tumpuan sekaligus pengeluar motosikal sedia ada tidak memberi penekanan terhadap pembangunan model baharu. 

Memahami perkara itu, MBP (Moto Bologna Passione), telah melancarkan C650V sebuah motosikal ‘cruiser’ yang tampil dengan rekaan lebih segar dan agresif di samping menawarkan ciri moden.

MBP C650V jelas kelihatan ‘sporty’ dan agresif berbanding Iron 883 terutamanya reka bentuk tangki yang dipadankan bersama ‘corong udara’ di bahagian kiri dan kanan.

Tidak lupa juga, C650V didatangkan dengan tayar gempal bersaiz 16-inci dan dipadang bersama rim jenis lidi (wire-spoked). 

Menariknya, pakej suspensi juga curi perhatian dengan fork depan jenis USD dari Kayaba dan penyerap hentakan berkembar belakang juga dari Kayaba.

Sistem brek pula terdiri daripada kaliper brek axial (berkembar) dari Nissin yang dipadankan bersama caker brek 300m depan dan 240mm (tunggal) belakang. Tidak lupa juga, C650V ini dilengkapi dengan ABS dwi-saluran. 

Sementara itu, MBP C650V ini juga lebih berkuasa berbanding Harley-Davidson Iron 883, dengan enjin V-Twin 647cc itu menghasilkan 68.4hp dan 61Nm. Enjin tersebut pula dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan dan menawarkan sistem penyejukan cecair. 

Tinjauan ke bahagian elektronik pula meletakkan C650V jauh mendahului Iron 883, terutamanya dengan kehadiran panel meter TFT 5-inci yang boleh disambung ke telefon pintar, sitem hidup tanpa kunci, serta lampu LED penuh. 

Untuk rekod, MBP merupakan jenama motosikal berpangkalan di Itali namun dimiliki jenama motosikal China, Keeway yang juga milik QJMotor. 

Selepas beberapa tahun menyepi mengenai kerjasama Harley-Davidson dan QJMotor dibangkitkan pada 2019, akhirnya model sulung hasil usaha sama itu didedahkan kepada umum.

Pendedahan itu dibuat berdasarkan dokumen kelulusan yang difailkan di China baru-baru ini.

Memaparkan kod nama HD500 (namun akan dipasarkan sebagai X500), model tersebut dikuasakan enjin parallel-twin 500cc yang sama terdapat pada Benelli Leoncino 500 sekaligus menawarkan 47hp. 

Dokumen tersebut juga memaparkan rupa jelas Harley-Davidson X500 terbabit yang ternyata mendapat inspirasi daripada motosikal ‘flat tracker’. 

Menurut info dikongsikan, X500 itu mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 160km/j dengan berat 206kg. 

Menariknya, Harley-Davidson X500 ini juga dilengkapi cakera brek dan kaliper radial yang sama diambil dari Leoncino 500. 

Untuk rekod, Harley-Davidson X500 dan X350 ini akan dihasilkan Zhejiang Jisheng Motor Vehicle Co Ltd, sebuah syarikat baharu yang dibangunkan Harley-Davidson bersama Qianjiang. 

Dua model baharu ini adalah antara usaha Harley-Davidson dalam menembusi pasaran baharu yang lebih luas ekoran jenama itu sebelum ini hanya mensasarkan golongan yang berkemampuan sahaja. 

Apa yang pasti, kedua-dua model ini akan dijual untuk pasaran Asia tidak lama lagi. 

Harley-Davidson dikaitkan dengan penghasilkan model berkapasiti kecil bermula tiga tahun lalu selepas menjalinkan kerjasama dengna pengeluar motosikal China, QJMotor yang juga merupakan pemilik kepada jenama Benelli.

Pada awalanya, model berkapasiti kecil itu diberi nama Harley-Davidson 338R namun tidak lama selepas itu, QJMotor memperkenalkan enjin baharu dengan kapasiti 353cc. 

Difahamkan, enjin parallel-twin 353cc itu merupakan enjin yang menjadi pilihan bagi Harley-Davidson.

Perkara itu dibuktikan selepas QJMotor memfailkan dokumen kelulusan yang memaparkan gambar jelas model tersebut dengan kod nama HD350. 

Bagaimanapun, jika melihat gambar yang dipaparkan, model HD350 itu kemungkinan besar dinamakan X350. Menariknya, dokumen tersebut mendedahkan X350 berkongsi kebanyakan komponen daripada QJMotor SRK350 dan Benelli 302S. 

*Benelli 302s

Dokumen itu juga memaklumkan bahawa X350 itu menawarkan 36hp dan datang dengan berat sekitar 195kg (agak berat bagi sebuah motosikal 350cc).

Meskipun begitu, Harley-Davidson X350 itu masih mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 145km/j. 

Antara ciri lain didedahkan termasuk penggunaan tayar 120/70-17 depan dan 160/60-17 belakang dan pakej suspensi sama yang diambil daripada Benelli 302S.

Dalam perkembangan sama, dokumen kelulusan itu turut mendedahkan sebuah lagi model yang akan dipasarkan tidak lama lagi menerusi Harley-Davidson X500 yang dibangunkan daripada Benelli Leoncino 500.

Royal Enfield sememangnya sedang meningkat naik sejak memperkenalkan beberapa model baharu kebelakangan ini. 

Meskipun pada satu ketika jenama motosikal India itu dicemuh kerana berpaksikan teknologi lama, Royal Enfield mula mengorak langkah ke arah moden dengan beberapa model baharu antaranya Meteor 350, Hunter 350 dan Himalayan Scram 411.

Terbaru, Royal Enfield dilaporkan akan memperkenalkan lima model baharu mengguna pakai enjin silinder tunggal 450cc DOHC. 

Salah satu daripadanya telah dirakam menjalani ujian di Sepanyol baru-baru ini berdekatan dengan fasiliti ujian selatan Barcelona yang sememangnya terkenal sebagai tapak ujian bagi jenama terkemuka termasuk Triumph dan KTM. 

Menariknya, tanpa sebarang logo atau jenama dipaparkan, kami sendiri sukar percaya gambar tersebut memaparkan sebuah jentera Royal Enfield. 

Ini kerana rekaanya, meskipun tampak retro namu masih kelihatan moden. Kedua, ketiadaan sistem penyejukan udara juga menyukarkan kami untuk mengenal pasti ia merupakan model Royal Enfield. 

Difahamkan, model dipamerkan itu mengguna pakai enjin sama yang terdapat pada Himalayan 450 yang akan turut diperkenalkan tidak lama lagi. 

Menariknya, meskipun bercirikan ‘scrambler’ namun model tersebut dilengkapi tayar 17-inci depan berbanding 19-inci pada Scram 411. Ini secara tidak langsung memberi bayangan sebagai model yang lebih sesuai untuk kegunaan jalan raya sepenuhnya.

Sementara itu, terdapat dakwaan bahawa enjin terbabit akan menghasilkan antara 40 hingga 45hp, dan itu adalah satu langkah besar ekoran Scram 411 hanya menawarkan 24.3hp daripada enjin 411cc, SOCH dengan penyejukan udara. 

Apa yang pasti model yang ditonjolkan ini kelihatan sudah berada dalam keadaan produk akhir kecuali beberapa komponen yang masih berada dalam peringkat prototaip. 

Mengambil kira faktor itu, model ini mungkin akan diperkenalkan pada lewat 2023 sebagai model 2024. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube