Pengeluar ECU TuneBoss, FSR Technology dengan rasminya memperkenalkan kit ‘quickshifter’ serba baharu dikenali sebagai ShiftBoss.
ShiftBoss membolehkan penunggang motosikal dengan transmisi manual menukar gear tanpa perlu menarik klac sekaligus mempercepatkan proses pertukaran gear agar lebih efisien.
Pembangunan ShiftBoss sahaja telah mengambil masa tiga tahun namun menurut FSR Technology, evolusi teknologi ‘quickshifter’ syarikat itu telah pun bermula sejak 10 tahun lalu.
FSR Technology telah pun memperkenalkan sensor quickshifter pada tahun 2021 namun sistem itu hanya boleh berfungsi dengan ECU TuneBoss sekaligus berlainan dengan ShiftBoss yang boleh beroperasi secara sendirian.
Menariknya, Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali menjelaskan bahawa kit ShiftBoss boleh dipadankan lebih daripada 20 jenis motosikal.
Antara model tersebut yang boleh dipadankan termasuk; Yamaha FZ150i, Y15ZR, Y16, MT15, R15, R25, Honda RS150, CBR150 dan SYM VF3i. Lain-lain termasuk, Yamaha MT-07, Suzuki Raider R150, GSX-S150 dan R150, SV650, V-Strom 650, KTM RC690, Duke 390, Modenas Pulsar 200 serta Kawasaki Versys.
Menariknya, barisan model yang akan dipadankan juga akan bertambah dalam masa terdekat termasuk GPX Demon GR200R dan Aprilia Shiver 750.
Kit quickshifter tersebut merangkumi sensor shift, modul kawalan (bergantung kepada model motosikal) dan braket.
Kami juga diberitahu bahawa sekiranya kabel quickshifter tersebut dipotong, motosikal terbabit boleh beroperasi seperti biasa dan tidak akan menjejaskan sistem transmisi asal.
ShiftBoss dijual pada harga (bermula) RM399 bagi motosikal dengan satu modul nyalaan dan RM599 bagi dua modul nyalaan.