Bikesrepublic

Berita Terkini

Timbalan Menteri Pengangkutan , Datuk Henry Sum Agong memaklumkan bahawa kerajaan tidak merancang untuk benarkan perkhidmatan e-hailing motosikal beroperasi.

Menurut Datuk Henry, e-hailing motosikal (atau teksi motosikal) tidak boleh beroperasi selepas mengambil kira faktor keselamatan dan risiko nahas jalan raya.

Sebaliknya, Henry menyifatkan perkhidmatan e-hailing sedia ada berpotensi besar untuk dinaik taraf terutamanya dari segi kualiti perkhidmatan.

“Oleh yang demikian, pada masa ini, Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing atau teksi motosikal mengambil kira pelbagai aspek terutamanya isu keselamatan dan kebajikan penumpang.

“Hal ini mengambil kira bahawa risiko nahas jalan raya termasuk kematian atau kecederaan adalah amat tinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia.

“Selain itu, isu-isu melibatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan juga menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian serius dalam kalangan pengguna motosikal sedia ada,” jelasnya.

Sebelum ini, terdapat beberapa gesaan untuk membenarkan perkhidmatan e-hailing motosikal dijalankan di Malaysia namun cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi. – UTUSAN

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah pun menjalankan operasi khas Ops Motosikal yang diadakan di sekitar Daerah Seberang Perai dan Barat Daya, Pulau Pinang, Jumaat lalu.

Sepanjang operasi dijalankan, pihak JPJ Pulau Pinang telah mengesan beberapa penunggang motosikal yang didapati tidak mengenakan brek depan atau belakang.

JPJ Pulau Pinang memandang serius perkara tersebut yang kini dilihat sebagai trend yang semakin menjadi-jadi dikalangan pengguna motosikal.

“Brek kenderaan amat penting pada kenderaan terutama semasa hendak memperlahan atau berhenti sesuatu kenderaan atau kegunaan semasa kecemasan,” jelas JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Ops Motosikal itu juga turut mengesan pelbagai kesalahan lain antarnaya tiada lesen memandu, guna nombor pendaftaran fancy, ubah suai ekzos dan tiada cermin sisi.

Difahamkan, Unit Keselamatan Jalan Raya ( UKJR ) JPJ Negeri Pulau Pinang turut mengadakan advokasi keselamatan sepanjang operasi tersebut.

Edisi pertama ‘Dominar Rides’ Anjuran Modenas menyaksikan seramai 16 penunggang motosikal menempuh perjalan lebih 400 kilometer ke Ipoh, Perak.

Konvoi tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Modenas untuk menggalakkan pemilik Dominar D400 generasi lama dan baharu untuk merasai kemampuan sebenar jentera ‘sport-tourer’ itu.

Konvoi berkumpul di Circle Cafe untuk sesi sarapan pagi sekitar jam 8 pagi sebelum diberi taklimat berkenaan dengan program tersebut dan laluan yang akan digunakan.

Tumpuan turut diberikan terhadap aspek keselamatan yang menjadi keutamaan sepanjang perjalanan.

Konvoi kemudiannya bertolak dengan pengawasan dua marshal melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

Konvoi kemudian membuat hentian pertama di R&R Tapah bagi tujuan mengisi minyak dan membenarkan penunggang berehat sementara sebelum menyambung perjalanan ke Ipoh.

Destinasi Dominar Rides edisi pertama ini adalah Meru Valley Golf & Country Club di mana para peserta disajikan makanan tempatan dan pencuci mulut.

Selepas selesai, peserta konvoi terutamanya pemilik generasi pertama Dominar D400 diberikan peluang menunggang uji Dominar D400 UG di sekitar kawasan Meru Valley Golf & Country Club.

Menariknya, rata-rata yang merasai kemampuan D400 UG itu meluahkan rasa kagum dan puas hati dengan apa ditawarkan model tersebut.

Peringkat seterusnya Dominar Rides akan bersambung dari Circle Cafe, Kelana Jaya ke Rimba Valley MotoCamp terletak di Janda Baik, Pahang.

Bekas Ketua Bahagian Perancangan dan Polisi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan, mencadangkan agar jualan motosikal kapcai dihentikan secara berperingkat.

Cadangan itu dikemukakan sewaktu program bual bicara di Astro Awani selepas menyifatkan kapcai sebagai ‘jentera pembunuh’ berdasarkan angka kematian penunggang motosikal setakat ini.

“Di Malaysia, ‘kapcai’ adalah jentera pembunuh yang mengakibatkan banyak kematian – secara purata 4,100 kematian setahun dalam tempoh 12 tahun – dan ini adalah kehilangan produktiviti bagi negara.

“Ini adalah kerugian besar buat negara. Adakah kita masih mahu motosikal sebegini di atas jalan?” katanya.

Tambah Wan Agyl, langkah sedemikian wajar apatah lagi statistik terkini menunjukkan Malaysia semakin menghampiri Thailand sebagai negara paling bahaya bagi penunggang motosikal.

“Motosikal jenis ini ringan dan mudah dikendalikan, jadi kanak-kanak menggunakannya di kawasan luar bandar untuk pergi ke sekolah atau membeli barangan runcit.

“Kita perlu fikir sama ada kita mahu mengekalkan atau tidak motosikal jenis ini atau perlahan-perlahan menghentikannya secara berperingkat,” tambah Wan Agyl lagi.

Untuk rekod, seramai 79,916 penunggang dan pembonceng motosikal terbunuh dalam nahas jalan raya dari 2001 hingga Ogos 2021 sementara 70.2 peratus kematian jalan raya hingga Ogos tahun ini babitkan pengguna motosikal.

Setakat ini, 90 peratus daripada 15.2 juta motosikal berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPH) adalah motosikal ‘kapcai’. – FMT

Sebelum penulis pergi lebih dalam, perlu dijelaskan bahawa reviu kali ini bukan percubaan meletakkan Ducati Multistrada V4 S sebagai motosikal ‘adventure-touring’ terbaik dalam pasaran tetapi sekadar memberitahu bahawa jentera Gelande Strasse sudah boleh mula rasa risau.

Ducati Multistrada V4 S merupakan percubaan sulung kilang Borgo Panigale dalam menghasilkan motosikal serba boleh dan yang pertama selain Panigale yang memikul enjin V4.

Walaupun enjin tersebut cukup mengagumkan namun apa yang lebih mencuri perhatian adalah teknologi yang disertakan, dan yang pertama di dunia seumpamanya.

Kami bernasib baik kerana sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri, kebetulan juga Ducati Malaysia memaklumkan bahawa sudah tiba giliran MotoMalaya.Net untuk menunggang uji kemampuan Ducati Multistrada V4 S.

Berikut nukilan kami mengenai motosikal ‘adventure-touring’ serba baharu dari Itali.

Enjin Berkuasa Dan Pintar

Ducati gelarkan enjin Multistrada V4 ini sebagai Granturismo V4 dan merupakan nadi yang telah dibina seluruhnya serba baharu dengan platform dari Panigale V4.

Dengan ‘counter-rotating crank’ enjin Granturismo V4 ini sememangnya jauh berbeza dengan enjin 1260 pada generasi sebelumnya.

Perubahan paling ketara adalah pemilihan ‘valve spring’ berbanding ‘Desmodromic valve’ yang sudah cukup sebati dengan Ducati. Penggunaan ‘valve spring’ merupakan keputusan yang dibuat bagi memastikan ketahanan Multistrada V4 S setaraf dengan jentera lain dalam segmenya.

Hasilnya, jarak servis utama (major service interval) kini diletakkan pada 60,000km berbanding 30,000km sebelum ini.

Kuasa puncak juga meningkat kepada 170hp pada 10,5000rpm dan 125Nm pada 8,750rpm, naik 10hp berbanding enjin sebelumnya.

Bukan itu sahaja, peletakkan enjin V4 di dalam chasis juga lebih tinggi dan hasilnya meningkatkan jarak kelegaan tanah kepada 220mm, naik 46mm berbanding model sebelum ini.

Enjin Granturismo V4 ini 1.2kg lebih ringan daripada enjin 1260 sebelum ini di samping 8.5cm lebih pendek dan hanya 2cm lebih lebar.

Tak cukup dengan itu, dua silinder enjin juga akan berhenti beroperasi sewaktu dalam keadaan ‘idle’ sekaligus mengurangkan penghasilan haba.

Teknologi Dan Ciri Keselamatan

Antara ciri utama yang membuatkan kami tak sabar merasai Ducati Multistrada V4 adalah ‘radar sensor technology’ yang disertakan pada model kali ini.

Ini kerana, teknologi radar tersebut membenarkan Multistrada V4 S mengaktifkan fungsi ‘Adaptive Cruise Control’ dan ‘Blind Spot Detection’ yang sebelum ini hanya terdapat pada kenderaan empat roda.

‘Adaptive Cruise Control’ membolehkan penunggang menetapkan kelajuan di antara 30 hingga 160km, dan sistem tersebut akan mengawal kelajuan termasuk memperlahankan jentera sekiranya radar mengesan ada kenderaan perlahan di hadapan.

Sistem itu akan kembali meningkatkan kelajuan mengikut yang telah ditetapkan sekiranya tiada kenderaan di hadapan.

Sementara itu, ‘Blind Spot Detection’ akan memaklumkan penunggang terdapat kedatangan kenderaan di sebelah kiri/kanan dengan menyalakan lampu yang terdapat di cermin sisi.

Ciri ini membolehkan penulis tak perlu nak toleh kiri dan kanan bagi memastikan 100 peratus bahawa tiada kenderaan berada di kedudukan titik buta sewaktu untuk menukar lorong.

Selain daripada dua ciri mengagumkan ini, Multistrada V4 S juga lengkap dengan pelbagai bantuan elektronik canggih antaranya ‘Cornering ABS’, ‘lean-sensitive traction control’, wheelie control, lampu ‘cornering’ dan hold control.

Kesemua sistem bantuan tunggangan ini membuatkan Multistrada V4 S sebuah motosikal yang cukup mudah ditunggang meskipun memiliki kuasa kuda dan tork yang pada awalnya kami sangka terlalu tinggi bagi sebuah jentera ‘adventure-touring’.

Pengendalian dan ergonomik

Ini merupakan aspek pertama yang kami ternanti-nantikan dan kebetulan pula, kami berpeluang merasai segala aspek kendalian dalam pelbagai senario.

Hari pertama, penulis bertolak seawal jam 6 pagi melalui Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Ipoh dan menempuh cuaca hujan dan jalan basah.

Menariknya, sepanjang perjalanan, Multistrada V4 S ini menampilkan kestabilan dan kelancaran yang cukup baik dan walaupun bernadikan V4, tiada sebarang gegaran ketara dirasi di bahagian ‘handlebar’ dan itu merupakan satu aspek yang mengejutkan. Tambahan pula dengan penghadang angin yang cukup tinggi, berjaya mengurangkan tekanan angin dan angin sejuk lantas membuatkan tunggangan amat selesa.

Namun, walaupun penghadang angin cukup tinggi dan boleh laras, kami berasakan Ducati boleh perbaiki dengan penghadang yang lebih lebar.

Paparan TFT 6.3″ juga cukup terang dan mudah dibaca, tidak terlalu serabut dan memudahkan penunggang menilai kelajuan jentera dan mengubah mod tunggangan mengikut keadaan jalan dengan mudah.

Antara ciri yang kami cukup gemar adalah bahagian ‘throttle’ yang sangat responsif. Meskipun di RPM rendah, enjin tidak terasa terhenjut-henjut sampai membuatkan kami terlupa bahawa motosikal ini berenjin V4.

Tetapi sebaik masuk gear dan buka ‘throttle’, kuasa V4 terus muncul apatah lagi fungsi Ducati Quick Shift (DQS) atas/bawah membuatkan tunggangan dalam kawasan bandar dan jalan lama) cukup mengujakan.

Penyusunan kuasa dan ‘rev range’ serta tetapan suspensi mengikut mod Urban, Travel, Sport dan Enduro juga cukup layan sehinggakan kami tak perlu menyusahkan diri untuk membuat pelarasan sendiri.

Tangki juga lebih besar dengan 22L tetapi jangan risau meskipun berenjin V4, ia tidak sedahaga V4 yang terdapat pada Panigale.

Atas kertas Ducati dakwa dengan tangki penuh boleh pergi lebih 300 kilometer tapi nasihat kami, cecah sahaja antara 220 hingga 250km sila mulakan misi cari stesen minyak terdekat.

Apa yang kami suka, walaupun seberat 243kg, berat itu langsung tidak dirasai dan membuatkan kami rasa selesa walaupun menyelinap di antara jentera dalam kawasan bandar. *Penulis tak pasang panniers jadi rasa lebih yakin.

Tak perlu risau kalau tiba-tiba perlu laksanakan brek mengejut atau tak rasa yakin nak ‘layan’ selekoh, kerana dengan Cornering ABS dan brek kaliper Brembo Stylema cukup membantu dalam keadaan getir.

Penulis juga sempat melayan permukaan ‘off-road’ dan berasa cukup yakin terutamanya ketika mengaktifkan mod Enduro di samping dibantu tayar 19″ depan yang dipadankan bersama tayar Pirelli Scorpion Trail II.

Fork depan USD 50mm boleh laras (elektronik) dengan Ducati Skyhook Suspension mengawal ‘rebound’ dengan cukup baik semasa menunggang dan tidak terlalu keras mahupun lembut.

Meskipun menghabiskan masa hampir tiga jam dari Shah Alam ke Ipoh, penulis langsung tidak rasa kebas mahupun sengal di tempat kebiasaan walaupun menunggang tanpa henti.

Tempat duduk empuk dan lebar menjadikan setiap tunggangan bersama Ducati Multistrada V4 S cukup mengujakan.

Kesimpulan

Meskipun Ducati mengiklankan barisan model Multistrada sebelum ini sebagai sebuah ‘sport-tourer’ tetapi Multistrada V4 kali ini sememangnya berjaya meletakkan jenama Itali itu dalam segmen sama dengan pesaing terdekat, BMW R 1250 GS.

Walaupun harga agak membuka mata, (RM147 ribu bagi varian V4 S) namun kos penyelenggaraan lebih rendah tatkala ‘major service interval’ diletakkan pada 60,000km.

Bukan itu sahaja, Ducati Multistrada V4 S ini ternyata lebih versatil dan praktikal di samping berkeupayaan untuk meredah pelbagai permukaan jalan tak kira jalan raya mahupun off-road.

Bagi penulis, Multistrada V4 S merupakan produk yang hampir sempurna pernah dihasilkan Ducati dan juga motosikal yang sangat sukar untuk kami pulangkan semula kepada Ducati Malaysia kerana setiap momen adalah satu pengembaraan yang sukar dilupakan.

Tetapi bagi peminat Ducati yang mungkin mahukan identiti Multistrada yang sporty dikekalkan, usaha risau, tahun 2022 bakal menyaksikan kedatangan Multistrada V4 Pikes Peak.

Pasukan MIE Racing Honda Team dengan rasminya mengumumkan Hafizh Syahrin sebagai pelumba pasukan itu bagi menghadapai saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) 2022.

Hafizh bakal digandingkan bersama Leandro ‘Tati’ Mercado, yang turut diumumkan sebagai pelumba rasmi musim depan selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan musim ini.

*Leandro ‘Tati’ Mercado

Pelumba negara itu bakal memulakan karier baharu selepas disahkan akan meninggalkan pentas Moto2 bersama NTS RW Racing hujung musim ini.

Pada masa sama, MIE Racing Honda Team turut mengesahkan bahawa Hafizh dan Mercado bakal beraksi dengan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan terutamanya Midori Moriwaki dan Honda atas kepercayaan mereka ke atas saya.

“Saya yakin kami mampu bekerjasama dan menghasilkan keputusan yang baik. Saya akan berikan yang terbaik,” jelas Hafizh dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan MIE Racing Honda Team.

Pada masa sama, pelumba berusia 27 tahun itu juga tidak sabar memulakan cabaran baharu di pentas WorldSBK.

“Ini adalah cabaran baharu buat saya tetapi saya tak sabar untuk mulakannya! Saya mahu berterima kasih kepada penaja, ahli keluarga, sahabat dan peminat atas sokongan berterusan mereka.

Terima kasih semua,” tambah Hafizh.

Pengalaman luas Hafizh terutamanya selepas menghabiskan dua musim di MotoGP dan enam musim di Moto2 dilihat sebagai aspek penting dalam membantu cabaran pasukan satelit Honda itu di WorldSBK musim depan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube