Beberapa minggu selepas pelancaran global YZF-R7, Yamaha telah pun failkan tanda dagangan R1 hingga R9 termasuk R15, R250 dan R25 di Jepun.
Pengeluar motosikal Jepun itu kemudian memfailkan dokumen dengan nama R2, R7 dan R9 di Eropah, Australia, New Zealand, Great Britain, Switzerland serta Uruguay.
Dalam perkembangan terbaru, Yamaha turut memfailkan tanda dagangan YZF-R9 di India sekaligus secara tidak langsung mengesahkan kedatangan model fairing itu tidak lama lagi.
Menurut laporan media di negara itu, tindakan tersebut dilihat sebagai mengejutkan apatah lagi Yamaha Motor India sebelum ini pernah menegaskan bahawa fokus utama syarikat tersebut di pasaran itu hanyala membabitkan motosikal 150cc hingga 250cc.
Bagaimanapun, perkembangan tersebut mungkin dilihat sebagai usaha baharu Yamaha Motor India dalam bersaing pasaran motosikal premium yang ketika ini didominasi Kawasaki dan Triumph Motorcycles.
Yamaha R9 dijangka dihidupkan dengan enjin CP3 889cc sama yang terdapat pada MT-09 terbaru yang menawarkan 117hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 7,000rpm.