Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara, penganjuran Art of Speed Malaysia 2020 kini ditunda.
Menurut pengasas Art of Speed (AOS) Malaysia, Asep Ahmad Iskandar, AOS2020 kali ke-9 akan ditunda ke 30 Disember 2020 dengan venue penganjuran kekal di 1 Utama Shopping Centre.
“Kami hanya mampu berdoa, gelombang ni akan cepat turun & acara ini dapat diteruskan seperti di rancang.
“Insya’Allah, acara ini mampu membantu serta menyokong komuniti serta industri yang banyak menyumbang kepada negara,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Hot Wheels Legends Tour Malaysia Virtual Finals yang dijadualkan pada 12 November ini akan terus berjalan seperti biasa.
Bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di samping kelancaran acara, pemenang akan diumumkan pada hari sama yang akan diadili oleh juri tempatan serta dari Amerika Syarikat secaar strim langsung.
Lima kereta terbaik akan turut dipamerkan di AOS2020.
Dalam perkembangan sama, AOS2020 turut melancarkan AOS2020 Lucky Draw Combo berharga RM20.
Menerusi pembelian AOS2020 Lucky Draw Combo yang merangkumi; pelindung muka tiga lapis boleh basuh, enamel pin edisi terhad dan kupon cabutan bertuah, orang ramai berpeluang memenangi sebuah Vespa Primavera dan beberapa lagi hadiah daripada penaja!
Setiap pembelian AOS2020 Lucky Draw Combo juga akan menyaksikan RM1 didermakan ke Autism Rangers.
Tular rakaman video di media sosial yang memaparkan beberapa kenderaan telah terlibat kemalangan di Bandar Tun Hussein Onn menghala ke Cheras Selatan, hari ini.
Dalam video berdurasi 1 minit 25 saat itu, jelas menunjukkan beberapa kenderaan telah dirempuh dipercayai oleh seorang pemandu yang didakwa berada dalam pengaruh alkohol.
Lelaki tersebut turut dirakam cuba untuk melarikan diri sebelum disekat beberapa pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berada di tempat kejadian.
Dia kemudiannya bertindak agresif dengan menumbuk salah seorang pegawai sebelum dicekup beberapa pegawai JBPM lain.
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini telah pun memasuki hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 27 Oktober ini susulan terdapat peningkatan kes Covid-19.
Selepas sembilan pusingan musim ini, masih belum ada pelumba yang mampu memaparkan aksi konsisten dalam kelas premier setakat ini.
Fabio Quartararo, Brad Binder, Andrea Dovizioso, Miguel Oliveira, Franco Morbidelli dan terbaru Danilo Petrucci muncul pelumba ketujuh yang merekodkan kemenangan.
Meskipun Quartararo berjaya mencipta tiga kemenangan semasa di GP Sepanyol, GP Andalucia dan GP Catalunya, pelumba Perancis itu gagal meneruskan momentum minggu lalu di litar Le Mans apabila sekadar menamatkan aksi di kedudukan ke-9.
Senario litar basah menyaksikan pelumba Perancis itu bergelut di laman sendiri.
Walaupun masih mendahului carta kejuaraan namun dia hanya dipisahkan 10 mata dengan pelumba Suzuki Ecstar, Joan Mir.
Apa yang pasti, musim 2020 bakal menyaksikan nama baharu diukir selaku juara selepas Marc Marquez dominasi empat musim berturut-turut sebelum itu.
Marc Marquez hampir pasti tidak berupaya mempertahankan kejuaraan musim ini setelah mengalami kecederaan lengan serius akibat kemalangan ketika di Jerez dan lebih parah apabila cuba kembali selepas itu.
Namun, tidak dinafikan musim 2020 mungkin menjadi kejuaraan MotoGP ke-7 Marquez atas beberapa faktor.
Konsistensi
Aksi konsisten merupakan elemen penting yang membezakan Marquez dengan pelumba lain di litar, jadi tidak hairanlah pelumba Sepanyol itu menamatkan musim 2019 dengan 420 mata, 151 mata dihadapan pencabar, Dovizioso (selepas 19 pusingan).
Quartararo setakat ini mengutip 115 mata, 5 mata dihadapan Mir selepas sembilan pusingan.
Manakala Marquez telah pun mengutip 185 mata (selepas sembilan pusingan pertama musim 2019) meskipun gagal menamatkan aksi sewaktu pusingan ketiga di GP Amerika.
Ketika musim 2020 menyaksikan tujuh pemenang baharu dengan 15 pelumba naik podium selepas sembilan pusingan, Marquez merekodkan lima kemenangan dan tiga tempat kedua selepas pusingan sama tahun lalu.
Ketahanan enjin
Setiap pasukan MotoGP tanpa konsesi – Yamaha, Honda, Ducati dan Suzuki – dibenarkan untuk menggunakan lima enjin bagi setiap pelumba dalam tempoh 13-pusingan musim ini.
Namun, pelumba Petronas SRT, Quartararo dan Valentino Rossi (Monster Energy Yamaha) telah pun menggunakan empat enjin setakat ini.
Morbidelli turut mengalami masalah samala, kehilangan kuasa secara tiba-tiba sewaktu di Andalucia sementara Vinales lebih malang, dengan kesemua enjin telah pun digunakan.
Vinales turut mengalami masalah brek sehingga dia terpaksa melompat dari jenteranya ketika di GP Styrian.
Situasi ini turut memaksa Yamaha menghantar dua enjin kembali ke Jepun Julai lalu untuk dianalisis.
Menurut peraturan, pelumba yang menggunakan lebih daripada lima enjin dalam satu musim perlu memulakan perlumbaan di pit, lima saat selepas lampu hijau menyala.
Pastinya keadaan itu mahu dielakkan Yamaha apatah lagi Quartararo ketika ini dalam usaha mengekalkan status pendahulu kejuaraan dunia.
Pasukan Repsol dan LCR Honda, masing-masing menggunakan jentera RC213V Factory Spec terbaru ketika ini – kecuali Takaaki Nakagami (LCR) beraksi dengan jentera 2019 – tidak berdepan sebarang masalah teknikal sehingga kini.
Walaupun terdapat beberapa isu – terutamanya semasa keluar masuk selekoh – sewaktu sesi ‘Winter Test’ di Sepang dan seterusnya di Qatar, masalah itu dapat diatasi pada hari terakhir di Litar Losail, Februari lalu.
Keserasian
Marquez dan jentera RC213V mempunyai tahap keserasian yang tinggi berbanding pelumba lain di kelas premier.
Ketika rakan sepasukan, Jorge Lorenzo bergelut sepanjang musim 2019 dengan RC213V, Marquez terus cemerlang dengan 12 kemenangan daripada 19 pusingan.
Marquez turut mencatat lima kemenangan berturut-turut musim lalu bermula di Misano, Aragon, Buriram, Motegi dan Phillip Island.
Musim ini, adiknya, Alex Marquez yang diangkat dari Moto2 turut bergelut namun sudah mula pamer peningkatan selepas berjaya menduduki tempat kedua di GP Perancis baru-baru ini.
Beraksi di litar basah sememangnya sukar namun (Alex) Marquez menampilkan tunggangan yang konsisten untuk menaiki podium MotoGP pertama dalam kariernya.
Keserasian merupakan elemen penting bagi Honda, jadi tidak hairan pasukan itu membuat keputusan untuk meletakkan (Alex) Marquez di LCR Honda bagi musim 2021 dalam usaha mencapai tahap serasi terbaik.
Hal ini kerana ketika pasukan lain mencipta jentera mengikut acuan pelumba, pelumba Honda pula perlu menyesuaikan diri dengan RC213V.
Walaupun ada yang bergelut namun keserasian adalah resepi kejayaan Repsol Honda bersama Marc Marquez.
Aksi MotoGP kembali bersambung minggu ini di Aragon yang bakal memfokuskan terhadap Quartararo dalam usahanya mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan.
Walaupun ada yang mendakwa musim 2020 lebih mengujakan tanpa kehadiran Marquez, hakikatnya, pelumba berusia 27 tahun itu akan membuatkan musim 2020 lebih menyeronokkan bagi setiap peminat MotoGP.
Teringat lagi aksi pembukaan di Jerez, Marquez mampu meletakkan dirinya di tempat ketiga mengejar dari belakang (dari tempat ke-16) sebelum kemalangan ketika perlumbaan berbaki 4 lap.
Rasanya, tiada pelumba lain yang mampu mempamerkan sifat tidak cepat putus asa seperti ditayangkan Marquez.
Apa pun, Marquez perlu ‘meminjamkan’ sementara taktha MotoGP kepada muka baharu musim ini dan kembali dominasi kelas premier musim depan.
Selaku pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, Didi Resources berbesar hati melancarkan pusat pameran Vespa sulung di Sarawak.
Pelancaran Yong Sport Motor selaku Vespa Kuching menandakan pencapaian terbaru Didi Resources sebagai pusat 3S Vespa pertama yang dibuka di Kuching, Sarawak.
Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo mengucapkan terima kasih ke atas Yong Sport Motor (Vespa Kuching) dalam memperkenalkan jenama Vespa di bumi kenyalang itu.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Yong Sport Motor kerana membawa jenama Vespa ini di Sarawak sekaligus mengukuhkan kedudukan kami di Malaysia.
“Pembukaan Vespa Kuching juga mencerminkan usaha kami untuk terus mengembangkan rangkaian Vespa di Malaysia,” jelasnya.
Selain menawarkan konsep 3S, Yong Motor Sport turut mengenakan identiti korporat Vespa sekaligus menyaksikan pusa ini menawarkan semua model yang pastinya akan memenuhi permintaan pelanggan di negeri itu terutamanya di sekitar Kuching.
Setelah sebulan Honda memuat naik video ‘teaser’ yang memaparkan skuter Forza dengan enjin yang lebih besar, kini model tersebut diperkenalkan dengan rasminya.
Honda Forza 750 ini didatangkan dengan enjin sama yang terdapat pada X-ADV, 745cc parallel-twin dengan penyejukan cecair SOCH yang menjana 54hp pada 6,750rpm dan 65Nm pada 4,000rpm.
Enjin baharu ini juga kini mematuhi piawaian Euro5.
Forza 750 ini menawarkan tiga jenis mod tunggangan; Standard, Sport dan Rain.
Mod Standard menawarkan keseimbangan di antara kuasa enjin dan Honda Selectable Torque Control (Traction Control) dengan tetapan ABS berada di tahap tertinggi manakala mod Sport menghadirkan kuasa enjin yang lebih agresif dengan HSTC di tahap rendah.
Sementara mod Rain memastikan kuasa di tahap rendah dengan HSTC dan ABS ditetapkan di tahap tinggi.
Bagaimanapun, penunggang boleh membuat tetapan sendiri menerusi mod USER.
Penggunaan transmisi jenis DCT 6 (Dual Clutch Transmission) 6-kelajuan seperti yang terdapat pada Integra dan X-ADV juga membolehkan penunggangan menunggangan secara automatik atau menukar gear dengan cara menekan butang dengan mudah.
Ini merupakan tahun ke-11 Honda dalam penggunaan transmisi DCT dan saban tahun sistem itu semakin mendapat tempat bukan sahaja bagi motosikal skuter Honda malah jentera ADV seperti CRF1100L Africa Twin.
Pada masa sama, tetapan brek depan turut menerapkan sistem sama pada X-ADV dengan cakera berkembar dan kaliper empat piston radial Nissin selain sitem ABS dwi-saluran (dual-channel).
Menurut Honda, rekaan keseluruhan Forza 750 memfokuskan DNA GT bagi menjaminkan tunggangan selesa di samping ruang letak barang 22L dengan pengecas USB di samping tangki 13.2L memberi kemudahan sewaktu menunggang jarak jauh.
Honda Forza 750 ini juga menawarkan penjimatan minyak terbaik hasil daripada tangki berkapasiti 13.2L dengan 3.6L/100km.
Setiap aspek Forza 750 juga dilengkapi ciri moden antaranya lampu LED, Honda Smart Key, dan Honda Smartphone Voice Control.
Buat masa ini masih tiada pengesahan sama ada model ini akan diperkenalkan di pasaran Malaysia namun melihat kepada populariti X-ADV dan skuter maxi disini pastinya Boon Siew Honda berkenan untuk meneroka permintaan itu.
KTM 250 Adventure akhirnya didedahkan di India selepas berbulan khabar angin termasuk imej intipan berlegar beberapa bulan lalu.
Jenama motosikal Austria itu sebenarnya merancang untuk memperkenalkan 250 Adventure pada suku pertama tahun ini namun membatalkan hasrat susulan pandemik Covid-19.
Sebaliknya, Bajaj-KTM hanya sempat melancarkan Husqvarna Svartpilen dan Vitpilen 250 pada Februari.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, KTM 250 Adventure itu telah didedahkan menerusi majlis untuk para pengedar KTM di negara India.
Menurut laporan, meskipun pelancaran rasmi masih belum dilakukan namun pendedahan jentera tersebut kepada pengedar di India memberi gambaran lebih jelas.
Jelas daripada video tersebut, KTM 250 Adventure menawarkan rekaan yang diinspirasikan daripada 390 Adventure antaranya paparan TFT berwarna dan Daytime Running Light (DRL) dengan lampu utama jenis halogen (LED sepenuhnya pada 390 Adventure).
Namun begitu, 250 Adventure dijangka tidak akan dilengkapi dengan fungsi ABS off-road, sistem traction control dan mod tunggangan seperti 390 Adventure.
KTM 250 Adventure menawarkan enjin 249cc dengan penyejukan cecair (liquid-cooled) satu silinder yang terdapat pada 250 Duke yang menghasilkan 30hp pada 9,000rpm dan 24Nm pada 7,500rpm.