Tidak dinafikan, penunggang motosikal merupakan pengguna jalan raya paling berisiko tinggi untuk berdepan kecelakaan ekoran kurangnya perlindungan sekiranya berlaku kemalangan.
Oleh sebab itu, penunggang motosikal sentiasa perlu peka dan lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya agar dapat mengurangkan risiko berlakunya kecelakaan.
Namun, tak cukup dengan penunggang motosikal terpaksa berwaspada di jalan raya, kini timbul pula pemilik motosikal juga perlu kekal berhati-hati selepas meninggalkan motosikal mereka di kawasan parkir.
Ini kerana beberapa tahun ini kerap berlakunya insiden kecurian yang bukan sahaja babitkan motosikal kapcai malah jentera berkuasa tinggi.
Baru-baru ini, tular gambar di media sosial yang memaparkan sebuah Honda CRF1100L Africa Twin kehilangan ‘handelbar’ dan kaliper brek jenis Nissin di bahagian depan dan belakang ekoran dicuri.
Ini bukan kali pertama insiden sedemikian berlaku kerana hampir setiap tahun ada sahaja timbul laporan kecurian komponen motosikal terutamanya babitkan kaliper brek jenis Brembo.
Sebelum ini juga kerap berlaku kes kecurian babitkan kapcai jenis Yamaha Y15ZR V2 apabila bahagian ‘kepala’ (merangkumi panel meter dan lampu) dilarikan pencuri.
Ketika tempoh PKP, turut berlaku kecurian rim motosikal di KTM Bukit Tengah, Pulau Pinang.
Tidak lupa juga, seorang penunggang motosikal dari Perancis yang sedang mengelilingi dunia dengan motosikal jenis Yamaha XTZ 660 Tenere, berdepan situasi sama apabila kaliper breknya dicuri sewaktu tiba di Pulau Pinang. Kejadian tersebut tular di media tempatan pada April 2019.
Lebih memalukan, apabila insiden kecurian komponen motosikal berlaku sewaktu pusingan MotoGP GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 2019.
Kem pasukan Moto3, Angel Nieto menjadi mangsa rompakan individu tidak bertanggungjawab yang telah melarikan sistem suspensi, kaliper, cakera brek, komputer, peralatan, dan pemanas tayar.
Siapa sangka ketika orang lain sedang bersorak menikmati perlumbaan kejuaraan dunia, ada pula yang panjang tangan dan merancang untuk melakukan kerja kotor tersebut?
Persoalannya, mengapa insiden sedemikian berlaku?
Tinjauan di ruang komen rata-rata memetik geng ‘hobi kami mahal’ sebagai ‘dalang’ disebalik kejadian kecurian komponen motosikal yang sememangya cukup merisaukan.
Kenyataan ‘hobi kami mahal’ itu tidaklah menuding jari kepada kumpulan tertentu sebaliknya merujuk kepada budaya modifikasi motosikal terutamanya kapcai dengan menggunakan komponen berjenama seperti Brembo, Nissin, Tokico dan Ohlins.
Disebabkan kos untuk menaik taraf motosikal dengan kelengkapan berjenama mencecah ribuan ringgit, ada yang bertindak untuk mencuri sahaja komponen tersebut yang terdapat pada motosikal lain sekaligus membawa kepada kejadian kecurian yang saban tahun berulang.
Kumpulan pencuri ini tidak sedar bahawa tindakan mencuri kaliper brek dan seangkatan dengannya itu mengundang bahaya kepada pemilik motosikal yang mungkin menunggang tanpa menyedari ketiadaan komponen terbabit.
Jadi apakah penyelesaian yang ada bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang?
Antara langkah yang boleh diambil adalah memasang ‘lock nut’ istimewa yang boleh menyukarkan pencuri daripada melarikan kaliper brek dengan mudah.
Seterusnya, meletakkan motosikal berisiko tinggi di kawasan parkir yang mempunyai kamera rakaman litar tertutup (CCTV).
Meskipun kedua-dua langkah ini tidak menjaminkan perlindungan 100 peratus namun sekurang-kurangnya mengurangkan risiko menjadi mangsa kecurian.
Kepada si pencuri pula, jika anda terlepas hukuman dunia, soal kubur lain ceritanya. Semoga insaf sementara masih bernyawa.