Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru-baru ini, Yamaha Motor Vietnam telah pun melancarkan Yamaha Exciter 155 VVA 2023.

Pelancaran itu turut mencuri perhatian peminat Yamaha di Malaysia ekoran model itu – yang dikenali sebagai Y16ZR di Malaysia – telah dinaik taraf dengan fungsi ABS.

Sehubungan itu, kami menjangkakan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akan turut memperkenalkan Y16ZR yang dinaik taraf dengan ABS tidak lama lagi.

Buat masa ini, HLYM menawarkan Y16ZR dengan harga bermula RM11,118 bagi versi standard. Kami menjangkakan akan berlaku peningkatan harga sekiranya model dinaik taraf dengan ABS itu diperkenalkan.

Berdasarkan tinjaun pada motosikal lain, versi ABS tampil dengan perbezaan harga antara RM1,000 hingga RM2,000 berbanding dengan model tanpa ABS. Maka tidak hairanlah jika Y16ZR generasi baharu nanti akan turut datang dengan harga yang lebih tinggi.

Apa pun, menarik untuk melihat reaksi peminat Yamaha sebaik Y16ZR dengan ABS diperkenalkan kelak.

Royal Enfield Malaysia dengan rasminya mengumumkan senarai harga bagi barisan model Super Meteor 650 untuk pasaran tempatan. 

Menurut Royal Enfield, Super Meteor 650 kini boleh dimiliki dengan harga berikut: 

  • Super Meteor Single (Astral) – RM37,900
  • Super Meteor Dual (Interstellar) – RM38,300
  • Super Meteor Tourer (Celestial – RM39,300

Untuk rekod, Super Meteor 650 merupakan motosikal serba baharu yang dibangunkan Royal Enfield sekaligus tampil dengan beberapa ciri moden. Pertamanya, Super Meteor 650 merupakan model 650cc pertama yang dilengkapi lampu LED dan fork jenis USD (upside/down). 

Meskipun datang dengan enjin parallel-twin 650cc yang sama terdapat pada Continental GT 650 dan Interceptor namun keseluruhan komponen dan kelengkapan yang ada pada Super Meteor 650 adalah serba baharu termasuk bahagian casis dan swingarm. 

Super Meteor 650 ini menawarkan 46.4hp pada 7,250rpm dan 52.3Nm pada 5,650rpm. Untuk pasaran tempatan, Super Meteor 650 akan tampil dengan dua varian, Standard dan Tourer dengan masing-masing hadir dengan kombinasi warna berbeza.

Tidak dinafikan nama Kawasaki kembali menjadi sebutan setelah kejayaan memperkenalkan Ninja ZX-25R dan ZX-4RR untuk pasaran global. 

Kedua-duanya berjaya mencipta revolusi baharu bagi pasaran motosikal berkapasiti kecil sekaligus menjadi petanda aras bagi pengeluar lain. 

Mendapati terdapat permintaan bagi segmen itu, Honda juga didakwa bakal mengorak langkah sama berdasarkan laporan media Jepun, Young-Machine.

Edisi terbaru Young-Machine mendakwa Honda telah kembali menghidupkan semula projek 400cc 4-silinder yang akan membawa kepada penghasilan beberapa model baharu termasuk CB400, CB400SB dan CBR400RR. 

*Young-Machine

Tumpuan pastinya terarah kepada CBR400RR yang bakal menyaingi ZX-4RR. Bagaimanapun, laporan tersebut tidak menyatakan kuasa yang bakal ditawarkan CBR400RR buat masa ini.

Untuk rekod, Honda pernah menghasilkan jentera 400cc 4-silinder sekitar 80an menerusi CBR400 (NC17). Menariknya, Honda CBR400 merupakan model pertama Honda yang memakai lencana CBR. 

Model itu dikuasakan enjin 4-silinder 399cc DOHC dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menghasilkan 59hp pada 13,000rpm dan 38Nm pada 7,500rpm. 

Ducati dengan rasminya melancarkan Multistrada V4 S Grand Tour 2024 untuk pasaran global sekaligus memperkembang tawaran motosikal ‘touring’ daripada keluarga Multistrada. 

Seperti Multistrada V4 lain, varian V4 S Grand Tour ini juga dikuasakan enjin Granturismo V4 1,158cc yang menawarkan 170hp dan 125Nm. Enjin ini dihasilkan khas untuk pengembaraan jarak jauh ekoran hanya memerlukan servis tukar minyak bagi setiap 15,000km dengan pemeriksaan valve (valve clearance) hanya perlu dilakukan bagi setiap 60,000km. 

Menurut Ducati, Multistrada V4 S Grand Tour ini datang dengan empat mod menunggang; Sport, Touring, Enduro dan Urban dengan varian Sport dan Touring menawarkan kuasa sepenuhnya sementara Enduro dan Urban pula menyelaraskan kuasa enjin kepada hanya 112.6hp. 

Menariknya, Multistrada V4 S Grand Tour ini juga dilengkapi dengan pakej Travel dan Radar yang didatangkan secara standard sekaligus menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ dan ‘blind spot detection’. 

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi separa aktif Ducati Skyhook dengan fungsi Minimum Preload dan Easy Lift. Tidak dilupakan Grand Tour ini juga tampil dengan penghadang angin boleh laras, ‘handguard’, lampu kabus, TPMS (tyre pressure monitoring system), grip dan tempat duduk dengan fungsi pemanas. 

Bagi memudahkan kendalian sewaktu berhenti, Grand Tour juga datang dengan ‘center stand’. Ciri ini juga membantu ketika membuat selenggara biasa terutamanya menyembur pelinciri di rantai selepas seharian menunggang. 

Baru-baru ini KMSB Motors Sdn Bhd telah pun memperkenalkan AFAZ sebuah jenama motosikal tempatan baharu. 

Menariknya, KMSB Motors juga mengesahkan telah menjalinkan kerjasama dengan Suzuki Motor Corporation (Jepun) bagi pembangunan motosikal tempatan serba baharu itu. 

Menurut kenyataan tersebut, Suzuki akan membekalkan enjin dan alat ganti bagi model 110cc hingga 150cc bermula suku pertama 2024. 

Maklumat itu secara tak langsung memberi bayangan barisan model yang akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan. Model 110cc pastinya tertumpu pada motosikal dalam kategori mampu milik manakala 150cc pula pastinya terarah pada kapcai yang akan menyaingi Yamaha Y15ZR dan Honda RSX 150. 

Lebih menarik jika enjin 150cc itu merupakan platform sama yang diguna pakai pada Suzuki Raider R150Fi yang sememangnya berkuasa dan tahan lasak.

Yamaha dalam satu kenyataan mengumumkan perpindahan ekuiti dari Zhuzhou Jianshe Yamaha Motor Co. Ltd (ZJYM) selaku usahama pembuatan motosikal di China dengan Chongqing Jianshe Mechanical and Electric Co., Ltd. kepada  Zhejiang CFMOTO Power Co. Ltd.  berkuatkuasa November ini. 

Usahama terbaru itu akan dinamakan Zhuzhou CF Yamaha Motor Co. Ltd. (ZCYM) yang ketika ini mempunyai 500 kakitangan. 

CFMOTO akan memegang 50 peratus saham dalam ZCYM manakala Yamaha memiliki 44.23 peratus diikuti baki 5.77 peratus lagi dipegang Tair Yea Limited. 

Ketika ini, CFMOTO telah pun mempunyai kerjasama erat dengan KTM dengan pengeluar motosikal China itu turut menghasilkan enjin bagi 790 DUKE dan 790 Advenuture. 

Susulan itu, kerjasama terbaru bersama Yamaha ini akan terus mengukuhkan jenama CFMOTO dalam industri motosikal global. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube