Bikesrepublic

Berita Terkini

Tidak dinafikan, penunggang motosikal merupakan pengguna jalan raya paling berisiko tinggi untuk berdepan kecelakaan ekoran kurangnya perlindungan sekiranya berlaku kemalangan. 

Oleh sebab itu, penunggang motosikal sentiasa perlu peka dan lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya agar dapat mengurangkan risiko berlakunya kecelakaan.

Namun, tak cukup dengan penunggang motosikal terpaksa berwaspada di jalan raya, kini timbul pula pemilik motosikal juga perlu kekal berhati-hati selepas meninggalkan motosikal mereka di kawasan parkir. 

Ini kerana beberapa tahun ini kerap berlakunya insiden kecurian yang bukan sahaja babitkan motosikal kapcai malah jentera berkuasa tinggi. 

Baru-baru ini, tular gambar di media sosial yang memaparkan sebuah Honda CRF1100L Africa Twin kehilangan ‘handelbar’ dan kaliper brek jenis Nissin di bahagian depan dan belakang ekoran dicuri. 

Ini bukan kali pertama insiden sedemikian berlaku kerana hampir setiap tahun ada sahaja timbul laporan kecurian komponen motosikal terutamanya babitkan kaliper brek jenis Brembo. 

Sebelum ini juga kerap berlaku kes kecurian babitkan kapcai jenis Yamaha Y15ZR V2 apabila bahagian ‘kepala’ (merangkumi panel meter dan lampu) dilarikan pencuri. 

Ketika tempoh PKP, turut berlaku kecurian rim motosikal di KTM Bukit Tengah, Pulau Pinang. 

Tidak lupa juga, seorang penunggang motosikal dari Perancis yang sedang mengelilingi dunia dengan motosikal jenis Yamaha XTZ 660 Tenere, berdepan situasi sama apabila kaliper breknya dicuri sewaktu tiba di Pulau Pinang. Kejadian tersebut tular di media tempatan pada April 2019. 

Lebih memalukan, apabila insiden kecurian komponen motosikal berlaku sewaktu pusingan MotoGP GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 2019.

Kem pasukan Moto3, Angel Nieto menjadi mangsa rompakan individu tidak bertanggungjawab yang telah melarikan sistem suspensi, kaliper, cakera brek, komputer, peralatan, dan pemanas tayar. 

Siapa sangka ketika orang lain sedang bersorak menikmati perlumbaan kejuaraan dunia, ada pula yang panjang tangan dan merancang untuk melakukan kerja kotor tersebut?

Persoalannya, mengapa insiden sedemikian berlaku?

Tinjauan di ruang komen rata-rata memetik geng ‘hobi kami mahal’ sebagai ‘dalang’ disebalik kejadian kecurian komponen motosikal yang sememangya cukup merisaukan. 

Kenyataan ‘hobi kami mahal’ itu tidaklah menuding jari kepada kumpulan tertentu sebaliknya merujuk kepada budaya modifikasi motosikal terutamanya kapcai dengan menggunakan komponen berjenama  seperti Brembo, Nissin, Tokico dan Ohlins.

Disebabkan kos untuk menaik taraf motosikal dengan kelengkapan berjenama mencecah ribuan ringgit, ada yang bertindak untuk mencuri sahaja komponen tersebut yang terdapat pada motosikal lain sekaligus membawa kepada kejadian kecurian yang saban tahun berulang. 

Kumpulan pencuri ini tidak sedar bahawa tindakan mencuri kaliper brek dan seangkatan dengannya itu mengundang bahaya kepada pemilik motosikal yang mungkin menunggang tanpa menyedari ketiadaan komponen terbabit.

Jadi apakah penyelesaian yang ada bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang?

Antara langkah yang boleh diambil adalah memasang ‘lock nut’ istimewa yang boleh menyukarkan pencuri daripada melarikan kaliper brek dengan mudah. 

Seterusnya, meletakkan motosikal berisiko tinggi di kawasan parkir yang mempunyai kamera rakaman litar tertutup (CCTV).

Meskipun kedua-dua langkah ini tidak menjaminkan perlindungan 100 peratus namun sekurang-kurangnya mengurangkan risiko menjadi mangsa kecurian. 

Kepada si pencuri pula, jika anda terlepas hukuman dunia, soal kubur lain ceritanya. Semoga insaf sementara masih bernyawa. 

Dua lelaki kini menjadi buruan polis selepas dirakam kamera rakaman litar tertutup (CCTV) mencuri sebuah helmet dalam satu kejadian di Kluang, Johor. 

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh.

Memetik laporan Kosmo, dua lelaki itu didapati mencuri topi keledar milik seorang pelanggan pasar raya di Kluang pada pukul 5.30 hingga 5.55 petang, kelmarin. 

“Semakan melalui CCTV mendapati dua lelaki yang belum dikenal pasti telah memotong tali topi keledar sebelum beredar dengan motosikal jenis Ego Avantiz,” jelasnya. 

Namun, apa yang mencuri perhatian adalah helmet yang dilarikan hanyalah berharga RM50 dan bukannya helmet berjenama dan mahal. 

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki terbabit kini berdepan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya diberkas dan didapati bersalah, mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – Kosmo

Sudah beberapa kali artikel mengenai perkembangan Kawasaki Ninja ZX-4R telah pun kami terbitkan sejak desas-desus mengenai ketibaan model itu bertiup awal tahun lalu.

Malah, kami juga memulakan kalender 2023 dengan mendedahkan bahawa Ninja ZX-4R itu akan dilancarkan tahun ini berdasarkan ‘vehicle identification number’ yang difailkan di Amerika Syarikat. Namun pada ketika itu, tiada info mengenai tarikh pelancaran yang tiba di meja kami.

Bagaimanapun, imej ‘teaser’ terbaru yang dikongsikan Kawasaki Amerika Syarikat memaparkan ketibaan empat model baharu bagi tahun 2023. 

Pastinya salah satu daripada model tersebut merupakan Ninja ZX-4R seperti yang dinyatakan dalam VIN yang didaftarkan baru-baru ini. 

Untuk rekod, maklumat VIN tersebut merujuk kepada dua varian, ZX400PP (ZX-4R) dan ZX400SP (ZX-4RR). 

Menurutu laporan yang dikongsikan sebelum ini, Kawasaki Ninja ZX-4R akan dikuasakan enjin empat silinder 399cc yang berupaya menghasilkan antara 60 hingga 70hp. Terdapat laporan luar yang mendakwa Ninja ZX-4R itu akan menawarkan lebih daripada 70hp namun kebenaran itu akan diketahui tidak lama lagi. 

Honda Racing Corporation (HRC) telah memeterai kerjasama baharu dengan pengeluar ekzos terkemuka, Akrapovic.

Menurut HRC, Akrapovic dengan rasminya dilantik sebagai pembekal ekzos utama bagi pasukan Repsol Honda Team bermula musim 2023.

Pengumuman baharu itu sekaligus mengesahkan penamatan kerjasama antara HRC dan SC Project sebelum ini. 

HRC dalam kenyataan turut menjelaskan bahawa Honda dan Akrapovic akan sama-sama dalam pembangunan ekzos bagi RC213V.

“Kami berbesar hati mengumumkan Akrapovic sebagai rakan kongsi terbaru bagi musim 2023 dan seterusnya. 

“Menerusi kerjasama ini kami akan bersama dalam membangunkan sistem ekzos terbaik bagi (jentera) Honda RC213V. Kami yakin usahasama ini akan menghasilkan kejayaan,” jelas Pengarah HRC, Tetsuhiro Kuwata. 

Kedua-dua pihak akan turut berkongsi teknologi dan kejuruteraan dalam mencari resepi terbaik untuk meraih kemenangan di MotoGP. 

Bagi musim 2023, jentera Honda RC213V akan dilengkapi sistem ekzos titanium keluaran Akrapovic. 

Untuk rekod, jenama ekzos dari Slovenia itu telah menghasilkan ekzos sejak era 90an dan mempunyai rekod cemerlang di MotoGP, WorldSBK, MXGP dan EWC. 

Dalam pada itu, Repsol Honda dijadualkan akan memperkenalkan pasukan musim 2023 secara rasmi pada 23 Februari ini.

Jenama brek kaliper popular Itali, Brembo, bakal memasarkan kaliper brek model GP4-MS yang telah dinaik taraf bagi tahun 2023.

Sebagai rujukan, Kaliper brek GP4-MS telah pun dijual kepada orang ramai bermula 2019 namun ketika itu, model tersebut ketiadaan ciri yang digelar sebagai ‘bilah penyejuk’ yang terdapat pada kaliper brek pada jentera MotoGP. 

Namun, segalanya berubah bagi model 2023 apabila Brembo menaik taraf GP4-MS dengan ciri ‘bilah penyejuk’ ala MotoGP itu untuk kegunaan motosikal di jalan raya mahupun litar lumba. 

Seperti model GP4-RR dan GP4-RX, setiap kaliper brek Brembo GP4-MS dibentuk daripada satu blok aluminium dan mengikut reka bentuk ikonik jenama itu. 

Bagaimanapun, bilah penyejuk itu menjadi tambahan baharu bagi produk 2023 dan didakwa mampu menambahbaik prestasi membrek terutamanya apabila digunakan di litar lumba. 

Bukan itu sahaja, Brembo turut menambah pelekat deria haba pada blok kaliper tersebut yang berfungsi mengesan suhu operasi kaliper sebaik selesai sesi di litar. 

Ciri tersebut bukan sahaja membolehkan penunggang mengkaji daya menunggang malah membantu dalam menentukan pad brek yang sesuai. 

Menurut Brembo, kit kaliper brek GP4-MS itu juga disertakan dengan pad brek berprestasi tinggi yang telah disinter. 

Bagaimanapin, tarikh rasmi bagi pelancaran model itu tahun ini masih belum diputuskan. 

Untuk maklumat lanjut layari www.brembo.com.

Rata-rata pengeluar motosikal dunia telah mula mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan pengeluar lain dalam usaha menembusi pasaran yang lebih luas.

BMW antaranya telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat India, TVS Motor Company  bagi pembangunan model G 310 dan syarikat China, Loncin bagi model C 400 X/GT, F 850 GS dan F 900 R/XR. 

Triumph Motorcycles juga bakal memperkenalkan model sulung – jangkaan bawah 500cc – hasil kerjsama dengan gergasi India, Bajaj Auto.

Namun begitu, KTM terlebih awal menoktahkan kejayaan bersama Bajaj.

Bajaj merupakan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan model 400cc ke bawah bagi KTM yang merangkumi model Duke 200, 250 dan 390, 250 dan 390 Adventure serta RC 390. 

Kesemua model ini cukup laris terutamanya di pasaran Asia dan Eropah sehinggakan kerjasama antara kedua-dua jenama itu merekodkan jualan lebih satu juta motosikal. 

Kejayaan itu dicapai bukan hanya disebabkan faktor mampu milik malah barisan model bawah 400cc KTM terutamanya model 390 berjaya menarik minat bukan sahaja penunggang baharu malah berpengalaman. 

Untuk rekod, Bajaj juga bertanggungjawab menghasilkan model Husqvarna antaranya Svartpilen dan Vitpilen 401 serta 250. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube