Bikesrepublic

Berita Terkini

Benelli telah menaik taraf Leoncino 800 dan 800 Trail bagi tahun 2022 dengan kemas kini terbesar dilaksanakan di bahagian enjin.

Bagi tahun 2022, Leoncino 800 dan 800 Trail kini menawarkan enjin berstatus Euro 5 setaraf dengan pelarasan emisi di Eropah.

Walaupun Leoncino 800 dan 800 Trail dilengkapi enjin dan kerangka yang sama namun kedua-duanya menawarkan ciri yang berbeza dengan Leoncino 800 menampilkan rekaan motosikal naked sementara 800 Trail bercirikan jentera scrambler.

Kedua-dua model ini dilengkapi enjin parallel-twin 754cc DOHC 4-valve yang sama dan menawarkan 75hp pada 8,500rpm dan 67Nm pada 6,500rpm dengan kuasa enjin disalurkan kepada tayar belakang dengan transmisi 6-kelajuan.

Selain daripada enjin Euro 5, Benelli turut menaik taraf bahagian chasis dan kerangka trellis yang sekaligus membantu meningkatkan tahap kelincahan dan lebih berkeupayaan menangani permukaan ‘off-road’.

Bahagian suspensi juga dipertingkat kepada fork USD 50mm di depan dengan ‘monoshock’ belakang boleh laras (preload/rebound).

Bagaimanapun, sistem membrek kekal dengan kedua-duanya didatangkan dengan cakera brek 320mm di depan yang dipadankan bersama kaliper brek Brembo 4-pot. Sementara itu, Leoncino 800 dipadankan dengan tayar 17-inci depan dan belakang manakal Leoncino 800 Trail dilengkapi tayar 19-inci depdan dan 17-inci belakang.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • lampu LED penuh
  • tangki 15 liter
  • paparan skrin TFT
  • ekzos ‘double-barrel’

Buat masa ini Leoncino 800 dan Leoncino 800 Trail masih belum ditawarkan di Malaysia oleh pengedar rasmi MForce Bike Holdings.

Royal Alloy memperkenalkan pilihan warna baharu bagi model GP125 dan GP180 untuk pasaran Malaysia.

Menurut info dikongsikan, GP125 kini didatangkan dengan pilihan warna Matte Black sementara GP180 mendapat warna Metal Blue.

Bagaimanapun, kemas kini bagi tahun 2022 itu tidak membabitkan spesifikasi lain yang masih kekal seperti generasi sebelumnya yang dilancarkan tahun lalu.

Pada masa sama, GP125 kekal ditawarkan pada harga RM12,497 dan RM15,252 bagi GP180.

Royal Alloy GP125 menawarkan 9.65hp pada 7,500rpm dan 9.2Nm pada 7,000rpm sementara GP180 menghasilkan 10hp pada 7,250rpm dan 10.6Nm pada 5,250rpm.

Walaupun ciri kedua-dua model ini adalah sama namun GP180 menawarkan fungsi ABS.

Suzuki akhirnya mengesahkan khabar angin mahu meninggalkan kejuaraan dunia MotoGP sebaik musim 2022 berakhir.

Suzuki Motor Corporation dalam satu kenyataan mendedahkan sedang mengadakan perbincangan dengan Dorna akan kemungkinan meninggalkan MotoGP sebaik musim ini berakhir.

Sekiranya Dorna bersetuju, maka Suzuki Ecstar akan tinggalkan MotoGP sekali lagi seperti yang berlaku pada musim 2012 hingga 2014.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan dikeluarkan hari ini, Suzuki pastinya akan meninggalkan MotoGP buat selama-lamanya kerana mahu memberi fokus terhadap pembangunan teknologi baharu.

Ini sekaligus pelumba sedia ada, juara dunia musim 2020 Joan Mir dan rakan sepasukan Alex Rins perlu mencari pasukan baharu menjelang musim 2023.

Ketika ini hangat diperkatakan bahawa Mir akan berhijrah ke Repsol Honda menggantikan Pol Espargaro dengan kontraknya bersama pasukan Jepun itu tamat tidak akan disambung.

Media Itali, La Gazetta Dello Sport mendakwa Mir telah pun menandatangani kontrak dua tahun bersama Repsol Honda dan bakal digandingkan bersama Marc Marquez musim depan.

Bagaimanapun, Repsol Honda menegaskan tiada keputusan telah dibuat mengenai barisan pelumba bagi musim 2023 setakat ini.

Walaupun, pihak Honda menafikan perkara itu namun pengeluar motosikal Jepun itu sebelum ini mengakui telah mendekati Mir selepas usaha mendapatkan Fabio Quartararo gagal.

Sekiranya benar, ketibaan Mir di Repsol Honda bermakna Espargaro perlu mencari pasukan baharu musim depan.

Sementara itu, Rins pula dikaitkan dengan perpindahan ke RNF Racing kendalian Razlan Razali. yang didakwa bakal bergerak sebagai pasukan satelit Aprilia bagi musim 2023 setelah kerjasama dengan Yamaha akan berakhir musim ini.

Walaupun tiada pengesahan setakat ini namun apa yang pasti ketersediaan Mir dan Rins menjelang musim 2023 akan mencetuskan pelbagai rombakan pelumba di grid.

Selepas berminggu spekulasi dan pelbagai dakwaan timbul, akhirnya pihak Suzuki Motor Corporation buka mulut mengenai status semasa di MotoGP.

Dalam kenyataan terbaru dikeluarkan hari ini, Suzuki mendedahkan pihaknya dalam perbincangan bersama Dorna untuk menamatkan penyertaan di MotoGP pada penghujung musim 2022.

Menurut Suzuki, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira faktor ekonomi di dan perubahan besar dalam sektor Automotif sekaligus memaksa syarikat mengalihkan kos dan tenaga kerja dalam membangunkan teknologi baharu.

Dalam kenyataan tersebut, pihak Suzuki juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan terhadap pasukan Suzuki Ecstar yang selama ini menyokong aktiviti perlumbaan Suzuki di pentas dunia.

Dalam perkembangan sama, pengumuman Suzuki ini juga menyaksikan pelumba sedia ada Joan Mir dan Alex Rins perlu mencari pasukan baharu menjelang musim 2023.

Lima mangsa telah dikenal pasti rentung dalam satu kemalangan maut babitkan tiga kenderaan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tengah malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kemalangan tragik itu membabitkan sebuah kereta bersama dua lori treler yang masing-masing membawa muatan besi dan mozek.

Nahas tersebut membabitkan keseluruhan lapan mangsa dengan lima penumpang kereta tersebut telah disahkan maut ditempat kejadian dalam keadaan rentung terbakar lebih 90 peratus.

Jelas JBPM Perak, treler bermuatan besi tersebut juga terbakar 90 peratus.

“Terdapat lima mangsa di dalam kereta disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital. Kerja mengeluarkan mangsa masih dijalankan.

“Pemandu dua treler serta kelindan yang terbabit dalam nahas ini selamat, dengan treler bermuatan mozek hanya mengalami kemalangan kecil akibat pelanggaran dari arah belakang,” jelasnya. – HM

Seorang pelajar Tingkatan Satu maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam satu kejadian di Kepala Batas, Pulau Pinang, tengah malam tadi.

Mangsa baru berusia 13 tahun sedang dalam perjalanan ke Kepala Batas dari arah Penaga dan cuba memintas kereta yang berada di depan lalu memasuki lorong bertentangan.

Bagaimanapun, terdapat sebuah lagi motosikal datang dari arah bertentangan yang ditunggang pelajar berusia 14 tahun.

Kegagalan memintas kereta tersebut telah menyebabkan kedua-dua motosikal bertembung lalu pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi alami cedera parah di kaki dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, kedua-dua motosikal tersebut adalah milik bapa masing-masing. – BH

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube