Bikesrepublic

Berita Terkini

Seorang pemandu wanita tercedera setelah kereta yang dipandunya terjunam dari parkir.

Dalam kejadian semalam (Jumaat), kereta Honda Accord yang dipandunya terjunam dari tingkat satu fasiliti parkir Menara TA One, Jalan P. Ramlee.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGO KL) mengerahkan dua jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dan Pudu ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 1.00 tengah hari.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta terbalik dan bahagian bumbung kereta remuk. Kereta berkenaan melanggar tembok penghalang parkir lalu terjatuh dari tingkat satu tempat parkir kenderaan di bangunan itu.

Menurutnya, mangsa seorang wanita tempatan berusia 28 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lutut. Katanya, mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan bagi menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Siasatan punca kejadian dan tindakan selanjutnya diserahkan kepada pihak polis.

Seorang peniaga menemui ajal ketika dalam perjalanan ke acara RXZ Fighter di Kuantan, Pahang. Beliau dipercayai terbabas di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, dari Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar, Perak yang menunggang motosikal Yamaha RXZ maut di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, siasatan mendapati motosikal Yamaha RX-Z yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama 14 rakan berkonvoi dengan motosikal dari Kuala Kangsar menghala ke Kuantan.

Mangsa berada paling belakang konvoi berkenaan ketika berlakunya kemalangan, kata Mohamad Zamri.

Mayat allahyarham dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suatu percubaan untuk hantar ganja guna kurier dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 3.007kg dadah jenis ganja bernilai RM7,517.73 di dalam bungkusan di sebuah pusat kurier barangan berdaftar di Rantau Panjang beberapa hari lepas.

Pengarah Jabatan tersebut, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awan sebelum membuat pemeriksaan di pusat kurier berkenaan dengan disaksikan pekerja di situ dan menemui bungkusan yang berisi daun ganja.

Katanya, pelaku menggunakan Modus Operandi dengan menggunakan perkhidmatanpenghantaran kurier bagi mengedar ketulan mampat daun kering (ganja) tanpa meletakkan nama dan alamat penuh pengirim.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemilik dadah terbabit dan berdasarkan berat ganja yang dirampas ia boleh diedarkan kepada lebih 15,000 orang penagih dadah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang mana jika disabit kesalahan pelaku di hukun mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

“Hasil siasatan juga mendapati kesemua dadah ini adalah untuk pasaran tempatan.”

Pesanan daripada BikesRepublic.com dan MotoMalaya:

Kepada saudara-saudara dan saudari-saudari yang bekerja di dalam sektor kurier serta penghantaran barang, ada sahaja pihak yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan perkhidmatan ini bagi menghantar barang-barangan yang terlarang. Oleh itu, kami doakan anda selamat selalu dan sentiasa berjaga-jaga apabila menghantar barang. Ingat, alasan “saya tak tahu” tidak diterima di dalam undang-undang sebab kita sendiri kenalah pastikan barang-barang kita bawa itu selamat atau tidak.

Sebuah Porsche terbakar setelah terbabas akibat cuba mengelak sebuah motosikal di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohd Nasir berkata, Porsche Panamera 4S yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun itu terbabas sejurus tiba di susur ke Greenwood ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar secara melulu.

“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta dalam perjalanan dari Bukit Idaman menghala ke Wangsa Maju cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar mengejut dari arah Lebuh Utama Sri Gombak.

“Insiden itu mengakibatkan pemandu Porsche Panamera 4S itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar.”

Pemandu kereta sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal tersebut terus berlalu pergi.

Nombor pendaftaran motosikal berkenaan belum dikenal pasti dan polis berusaha mengesan penunggang terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan diminta berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik,Sarjan Mohd Azlan Shaifullah Mohd Azhar di talian 019-67 48511. Saksi kejadian juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222.

Dianggarkan seramai 50,000 peminat permotoran dari seluruh negara akan memeriahkan program RXZ Fighter yang julung kalinya akan diadakan di Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang selama dua hari, bermula Jumaat, 1 Mac 2024. Acara akan berlangsung dari 7 pagi hingga 5 petang pada hari Sabtu, 2 Mac 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, acara RXZ Fighter itu diharap mencapai objektif itu.

Katanya, RXZ Fighter dianjurkan Kerajaan Pahang dengan kerjasama Kelab-Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Bera serta menyediakan pelbagai program sepanjang dua hari itu. “Antara pengisian ialah solat Subuh macam Jumaat bersama peminat permotoran, pameran permotoran dan jualan.”

Acara solat Subuh tersebut dianjurkan bersama dengan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan akan berlangsung pada Sabtu, 2 Mac 2024.

“Program juga mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau keadaan lalu lintas, termasuk memberikan taklimat berkaitan keselamatan permotoran.

“Kami harap peminat permotoran, terutama yang menunggang RXZ ke Kuantan, mematuhi peraturan jalan raya demi menjaga keselamatan bukan sahaja diri sendiri, malah pengguna lain,” katanya.

Menurut ciapan di akaun Facebook RXZ Fighter – Official, acara itu turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah menarik, iaitu 2 buah Yamaha RX-Z. Kedua-dua motosikal ini turut akan dihiasi dengan corak airbrush.

Pihak pengajur acara turut menegaskan bahawa mereka tidak akan mengadakan serta menggalakkan pertandingan dan kelakuan seperti “rem” enjin motosikal di stesen minyak, melanggar lampu isyarat, menunggang dengan melulu, membuat lagak ngeri wheelie (mengangkat roda depan motosikal), menutup jalan raya oleh “marshal” dan para peserta.

Pendakwa Raya Thailand akan mendakwa bekas ketua polis yang dituduh membantu pewaris syarikat minuman tenaga Red Bull mengelak daripada dakwaan membunuh. Suspek itu dituduh membunuh seorang pegawai polis dalam kemalangan langgar lari pada 2012.

Bekas Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoun dan tujuh pegawai yang lain didakwa kerana tidak melaksanakan tugas mereka dan membantu individu tertentu untuk mengelak daripada dikenakan hukuman.

Somyot, 69 tahun, dituduh menggunakan jawatannya sebagai ahli jawatankuasa undang-undang Parlimen untuk membantu Vorayuth Yoovidhya. Somyot bagaimanapun, menafikan tuduhan berkenaan kepada media Thailand.

Ketika berusia 27 tahun pada 2012, Vorayuth dituduh merempuh seorang anggota polis, Wichien Klanprasert dengan Ferrari miliknya dan menyeret badan mangsa sejauh puluhan meter. Vorayuth kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian.

Vorayuth terlepas sebanyak lapan saman mahkamah berhubung kes terbabit sebelum pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap lima tahun selepas kejadian itu. Dia telah malrikan diri ke luar negara dan keberadaannya tidak diketahui sehingga kini.

Pada 2020, Polis Thailand dilaporkan akan meneliti mengapa pertuduhan jenayah berkenaan digugurkan. Pengguguran kes itu telah membangkitkan kemarahan orangramai.

Mendiang datuk Vorayuth, Chaleo Yoovidhya merupakan pengasas minuman tenaga Krating Daeng (bagi pasaran tempatan pada mulanya), yang akhirnya menjadi salah seorang pengasas Red Bull (untuk pasaran global) bersama Dietrich Mateschitz.

Forbes meletakkan keluarga itu kedua terkaya di Thailand dengan nilai kekayaan bersih AS$33.4 bilion (RM159.55 bilion).

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube