Bikesrepublic

Berita Terkini

Lapan kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai sekitar RM6 juta disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kesemua kenderaan dimilikki oleh individu-individu yang dipercayai terbabit sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok.

Kenderaan-kenderaan itu terdiri daripada dua buah Lamborghini, dua Toyota, dan masing-masing sebuah Lexus, Mercedes, BMW, Volvo.

Kenderaan itu disita dalam operasi khas sekitar Lembah Klang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, sejak Isnin lalu dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kenderaan terbabit disita daripada beberapa individu yang berjawatan sebagai pemilik syarikat serta orang tengah yang membuat bayaran wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguat kuasa,” menurut sumber SPRM.

Sindiket itu disyakki terbabit di dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan syarikat pinjaman wang berlesen, pengurup wang, dan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’.

Kegiatan penyeludupan sindiket ini dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan lebih daripada RM400 juta.

Mereka juga disyakki memberi wang suapan lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan kegiatan penyeludupan.

Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan sitaan kenderaan-kenderaan tersebut dan individu-individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

CFMoto Ibex 450 telah dilancarkan bulan lepas di AS pada harga yang sangat menarik. Jadi, persoalannya adakah ia akan datang ke sini?

CFMoto pertama kali mempamerkan  450MT di EICMA pada November 2023, dan diikuti dengan penukaran namanya kepada Ibex 450 tidak lama kemudian. Pasaran AS akan menerimanya sebagai model 2025.

Apapun, “ibex” merupakan kambing gunung liar dengan tanduk panjang tebal yang terdapat di Asia Tengah dan Ethiopia. Jadi seperti namanya, CFMoto Ibex 450 ialah motosikal adventure ringan.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin berkembar selari 449cc, yang dikongsi dengan 450SS (sport), 450NK (naked) dan cruiser 450CL-C yang akan datang.
  • Enjinnya menghasilkan 44 hp pada 8,500 RPM dan 44 Nm tork pada 6,250 RPM.
  • Julat kuasa enjin ini ditala untuk tugas adventure dan perjalanan jauh. Oleh itu, kuasa maksimumnya adalah 6 hp lebih rendah dan memuncak pada 1,000 RPM lebih rendah berbanding 450SS dan 450NK.
  • Enjin ini turut menggunakan konfigurasi engkol 270 darjah yang amat popular masa sekarang, dengan dua shaf pengimbang.
  • Kuasa dihantar melalui klac slipper dan kotak gear enam kelajuan.
  • Enjin dibawa oleh rangka tiub keluli chromoly.
  • Suspensi KYB dengan jarak gerakan 203mm perjalanan yang besar.
  • Sebaliknya, ketinggian tempat duduk hanya 820mm.
  • Suspensi hadapan boleh laras sepenuhnya dan monoshok belakang boleh laras untuk prabeban dan lantunan.
  • Kaliper brek J.Juan empat omboh, dipasang secara jejari mencengkam satu cakera 320mm di hadapan.
  • Motosikal ini menggunakan roda depan bersaiz 21 inci dan roda belakang 18 inci.
  • Sistem ABS Bosch adalah standard untuk kedua-dua bahagian hadapan, tetapi fungsi ABS di roda belakang boleh dimatikan.
  • Sistem kawalan cengkaman juga ditadbir oleh ECU Bosch, dan ia boleh dihidupkan atau dimatikan dari dash.
  • Paparan TFT melengkung 5 inci dengan sambungan telefon pintar, dan dikemas kini secara tanpa wayar.
  • Ciri lain termasuk cermin depan boleh laras, lampu LED, plat tergelincir aluminium, cermin lipat dan titik pengecasan USB-C.

CFMoto Ibex 450 ini turut direkabentuk oleh Kiska, yang merupakan pihak yang sama merekabentuk motosikal KTM, Husqvarna, GasGas, memandangkan CFMoto masih bekerjasama dengan KTM.

Sebagai penutup, kami berharap motosikal ini sampai ke sini memandangkan pasaran adventure dan touring masih berkembang.

Gelombang haba melanda Semenanjung Malaysia, sejurus selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran pada hari-hari terakhir Februari.

Agensi tersebut telah mengeluarkan amaran Tahap 2 untuk Pokok Sena, Kedahsemalam. Ia adalah amaran kali kedua bagi kawasan itu, selepas yang pertama pada 28 Februari.

Pokok Sena hangat (pun intended) di seluruh negeri Perlis yang telah dikeluarkan amaran Tahap 2 pada hari Jumaat. Bagaimanapun, ia telah diturunkan kepada status Tahap 1 semalam.

Amaran tahap 1 juga telah dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Malaysia Barat seperti yang dinasihatkan oleh MetMalaysia setakat 4.30 petang semalam:

  • Kuala Lumpur.
  • Kedah: Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Muda, Pendang, dan Kota Setar.
  • Perak: Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, dan Kampar.
  • Pahang: Raub, Temerloh, dan Bera.
  • Selangor: Hulu Selangor.

Amaran Tahap 1 dikeluarkan apabila suhu di lokasi tertentu adalah antara 35 dan 37°C dalam tempoh 3 hari berturut-turut.

Amaran Tahap 2 dikeluarkan apabila suhu kekal antara 37 dan 40°C selama tiga hari berturut-turut.

Pemantauan kemarau

Menurut laporan pemantauan kemarau MetMalaysia pada 13 Mac, Chuping di Perlis, Kota Baru di Kelantan, Melaka dan Sitiawan di Perak mencatatkan bacaan sederhana kering dan sangat kering.

Chuping, bandar paling panas di Malaysia, merekodkan suhu 37.9°C di sepanjang Februari kerana tiada hujan. Bagaimanapun, suhu tertinggi dalam rekod ialah 40.1 °C pada 9 April 1998.

Laman web Suruhanjaya Air Negara mendedahkan paras air di empangan di Perlis dan Kedah berada pada paras amaran:

  • Perlis: Empangan Timah Tasoh berada pada kapasiti 59.72%.
  • Kedah: Empangan Muda berada pada kapasiti 47.8%, BS Padang Saga (59.83%) dan Malut (45.8%).
  • Pulau Pinang: Empangan Air Hitam hanya pada kapasiti 37.7%.
  • Johor: Empangan Sembrong Barat hanya pada kapasiti 35.23%.
Nasihat untuk rakan-rakan biker dan rider

Sila ingat untuk kekal terhidrat dan berhenti jika anda berasa pening kepala kerana tanda keletihan haba atau lebih teruk lagi, strok haba. JANGAN ambil mudah simptom tersebut. Sila rujuk petua ini tentang cara menunggang dalam cuaca panas.

Juara Formula One (F1) tujuh kali dan pemandu untuk pasukan Petronas Mercedes, Lewis Hamilton galakkan pelajar meminati dan manfaatkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM – science, technology, engineering, mathematics). Beliau memberikan nasihat tersebut ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Jumaat lepas.

Lawatan mengejut beliau bersempena sekolah tersebut muncul terbaik daripada 39 buah sekolah lain dalam pertandingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab. Pertandingan itu pula dipimpin oleh Petronas Chemicals Group.

Hamilton juga sempat menjalankan beberapa eksperimen bersama pelajar sekolah tersebut. Beliau meluahkan perasaan gembira selepas bertemu murid-murid sekolah berkenaan, serta memuji minat mereka terhadap bidang sains pada usia muda.

Pengetua SMK Seri Keramat, Noraini Ibrahim, berkata pihaknya gembira kerana dapat menyaksikan sendiri usaha sekolah untuk mengintegrasikan inisiatif mesra alam ke dalam kurikulumnya kerana beliau percaya dalam memupuk kesedaran pelajar tentang kepentingan usaha dan amalan lestari dari semasa ke semasa dan itu boleh membina komuniti yang peka alam sekitar.

Pengurus Besar (Pengurusan Komunikasi), Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Khairul Hisham Mazlan berkata, program berkenaan selaras dengan salah satu impak sosial PETRONAS ‘Menanam Hari Esok’ yang memberi tumpuan kepada mendidik pemikiran golongan muda tentang kepentingan pemuliharaan biodiversiti dan kehidupan lestari.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mula menyiarkan angka kemalangan jalan raya dan kematian harian bermula Khamis, 14 Mac 2024. Ia merupakan langkah yang selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Malaysia tidak lama dahulu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Saperi berkata, terdapat sebanyak 1,999 kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan 12 kematian pada Khamis lepas.

Statistik untuk Jumaat, 15 Mac 2024 pula menurun sebanyak 121 kes kepada 1,878 kes. Namun, jumlah yang maut meningkat kepada 16 kes.

“Penyiaran data statistik kepada umum ini sebagai langkah meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai betapa seriusnya kes kemalangan setiap hari,” katanya dalam kenyataan semalam (Jumaat).

PDRM turut menyeru agar semua pengguna jalan raya sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi. Jelasnya, kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran terhadap kepentingan menjaga keselamatan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Nota daripada pengarang: Angka-angka tersebut masih pada tahap yang membimbangkan, kerana secara puratanya, terdapat 83.3 dan 78.3 kemalangan setiap jam masing-masing pada Khamis dan Jumaat. Daripada segi kematian pula, purata harian ialah 1 setiap 2 jam pada Khamis, dan 2 setiap 3 jam pada Jumaat.

Seorang Penunggang Motosikal Maut setiap 2 Jam

Mereka mungkin membuat beberapa motosikal yang paling menyentuh emosi, tetapi MV Agusta nampaknya berada dalam kesukaran (sekali lagi) kerana mereka terus bergelut dengan isu kewangan. Hanya 1,823 motosikal dijual di seluruh dunia pada 2023.

Pada 2018, mereka menjual 2,748 unit sebelum Black Ocean Group dari Rusia mengambil alih pada 2019. Pelaburan mereka menyaksikan beberapa penstrukturan yang amat diperlukan, dengan janji untuk mencapai 10,000 jualan dalam tempoh 2-3 tahun selepas itu. Malangnya, rancangan itu terbantut kerana pandemik Covid-19.

Namun jualan pada 2020, 2021 dan 2022 kurang daripada sasaran yang ditetapkan walaupun pasaran motosikal global telah pulih berikutan penarikan kuarantin. Walau apapun, 2022 menyaksikan hampir 3,000 jualan tetapi itu kurang daripada 50% daripada jualan 2015.

Kumpulan KTM telah membeli 25% pegangan MV Agusta pada 2023, seterusnya mengendalikan dua bidang strategik iaitu pembelian dan pengedaran. KTM berminat untuk membawa jenama itu di bawah naungan mereka, tetapi Ketua Pegawai Eksekutif MV, Timur Sardarov telah menentang sekeras-kerasnya, termasuklah dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tegas kepada media.

Pelaburan gergasi Austria itu memberikan dana kepada MV untuk mengembangkan keupayaan pengeluaran mereka, dan barisan baharu untuk menghasilkan 1,000 unit sehari telah disediakan pada penghujung 2023.

Namun, mereka hanya menjual 1,823 unit yang seperti dinyatakan di atas. Ia mewakili suatu junaman mendadak 42.5% daripada tahun sebelumnya.

MV Agusta telah bekerjasama dengan Loncin pada 2019 dalam suatu perjanjian bagi membina motosikal 350cc – 500cc mampu milik untuk pasaran Asia. Namun, tiada sebarang sebutan lanjut lagi mengenai rancangan ini.

Sebaliknya, MV telah bekerjasama dengan gergasi China QJ Motor pada tahun 2020. Kerjasama ini membuahkan motosikal adventure Lucky Explorer 5.5 dan Lucky Explorer 9.5 yang membuat penampilan sulung mereka di EICMA pada tahun berikutnya. Mereka juga telah melancarkan Lucky Explorer 9.5 Orioli untuk 2024, yang merupakan versi mewah.

Nampaknya MV hanya menyakiti diri mereka sendiri dengan desakan untuk menghasilkan motosikal yang amat terhad, justeru yang amat mahal seperti Superveloce 98 Edizione Limitata (gambar utama) yang hanya boleh dibeli oleh golongan yang kecil.

Perlu dikatakan bahawa jenama MV Agusta, walaupun legenda, telah bertukar tangan berkali-kali dan seolah-olah tidak ada yang dapat membantunya. Terdapat Cagiva (1991), Proton (2001), Harley-Davidson (2009), dan akhirnya Black Ocean Group (25% pada 2016, pemilikan penuh pada 2019).

Tetapi itulah MV Agusta. Sejarah perniagaan mereka adalah legenda, seperti pencapaian lagenda mereka di litar lumba.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube