Honda bakal kembangkan portfolio Forza dengan versi yang lebih besar berdasarkan ‘teaser’ baharu yang dimuat naik di laman YouTube, Isnin lalu.
Model ‘flagship’ ini dijangka bakal menjadi pesaing kepada skuter maxi Yamaha, TMax 560.
Video ‘teaser’ berdurasi 15 saat itu tidak memaparkan dengan jelas model Forza serba baharu itu namun berdasarkan beberapa petunjuk, jelas menunjukkan ini adalah model yang lebih besar.
Pada masa sama, Honda baru sahaja melancarkan versi 350cc ketika di Pameran Motor Bangkok, Julai lalu, menggantikan model sebelumnya yang bersesaran 300cc.
Senario ini sekaligus beri bayangan, Forza baharu ini adalah versi yang lebih besar berkemungkinan atas 500cc dengan Motorcycle News mendakwa sebagai pengganti kepada sebuah lagi skuter maxi, NCX 750cc.
Honda bakal perkenalkan Forza serba baharu ini secara rasmi pada 14 Oktober ini.
Sejurus selepas pendedahan Boon Siew Honda (BSH) bakal membawa masuk CBR250RR hujung tahun ini, pengedar Honda mula membuka tempahan bagi model tersebut.
Honda BigWing Petaling Jaya dan Honda BigWing Setapak mula mengiklankan pembukaan tempahan bagi CBR250RR.
Senario ini sekaligus mengesahkan makluman yang diperoleh minggu lalu daripada orang besar di BSH.
Menariknya, BSH bakal membawa masuk model terkini, CBR250RR SP yang menawarkan 41hp pada 13,000rpm dan 25Nm pada 11,000rpm di samping didatangkan dengan pelbagai ciri menarik lain antaranya fungsi quickshifter dan assist/slipper clutch.
Antara ciri lain ditawarkan:
ride-by-wire
tiga mod tunggangan
paparan LCD
lampu LED
fork depan USD 37mm
ABS dual-channel
Meskipun tiada sebarang harga rasmi yang didedahkan setakat ini namun Honda BigWing Petaling Jaya mendedahkan CBR250RR SP 2020 ini akan ditawarkan bawah RM30,000!
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mahukan kajian terperinci dijalankan melibatkan rakaman video ‘dashcam’ bagi kelancaran proses tuntutan , perundangan jenayah atau sivil di mahkamah.
‘Dashcam’ menjadi medium penting bagi semua pengguna jalan raya di Malaysia terutamanya bagi memberi gambaran jelas sebarang insiden yang berlaku.
Dr Wee Ka Siong turut bersetuju sebarang penggunaan alat merekod kemalangan adalah sesuatu yang baik dan wajar kerana boleh dijadikan bahan bukti penting di mahkamah.
Lantas, beliau mahukan perundangan lebih terperinci diwujudkan agar penggunaan rakaman ‘dashcam’ boleh digunakan dengan efisien.
“Tanpa adanya satu peruntukan perundangan dan peraturan jelas, saya khuatir sebarang perlakuan direkodkan tidak boleh digunakan dalam tuntutan atau prosiding mahkamah atau perundangan kelak.
“Perkara ini kelak akan menyebabkan orang ramai menyalahkan kerajaan kerana mewajibkan penggunaan satu peralatan tidak boleh digunakan di mahkamah,” katanya kepada Berita Harian.
Sementara itu, beliau tidak menolak cadangan untuk mewajibkan pemasangan ‘dashcam’ oleh semua pengeluar kenderaan jika perundangan membabitkan ‘dashcam’ diwujudkan. – BH
Aksi MotoGP akan kembali hujung minggu ini di Misano dengan KTM merancang meneruskan rentak positif setelah merekodkan kemenangan di GP Styria menerusi Miguel Oliviera.
Bagaimanapun, Oliviera bingkas memberi penghargaan kepada pelumba uji, Dani Pedrosa dalam membantu menghasilkan jentera RC16 yang mantap bagi musim 2020.
Perkara itu turut diakui pesaing lain di kem kelas premier.
“Mereka telah melangkah kedepan, terutamanya sejak ketibaan Dani (Pedrosa) .
“Dia telah melaksanakan tugas yang baik menguji jentera KTM dan saya yakin dia antara punca utama KTM kini memiliki jentera yang mampu membawa mereka muncul juara,” jelas Cal Crutchlow yang pernah bekerjasama dengan pelumba itu ketika di Honda.
Oliviera (KTM Tech3) muncul pelumba KTM kedua musim ini untuk memenangi pusingan MotoGP selepas Brad Binder (Red Bull KTM) di Brno.
“Jentera ini menampakkan kemajuan ketara berbanding musim lepas. Dani (Pedrosa) telah memberi input penting dalam pembangunan jentera ini.
“RC16 ini lebih mudah untuk dijinakkan. Tunggangan lebih lancar dan seakan menyamai gaya Dani. Kerja kerasnya membuahkan hasil,” kata Oliviera.
Sementara itu, kejayaan tiga kali naik podium musim ini bermakna KTM kini telah hilang konsesi teknikal sekaligus menghadkan jumlah litar yang dibenarkan untuk diuji Pedrosa dan Mika Kallio bagi musim 2021.
Bagaimanapun, bagi musim 2020, Pedrosa dan Kallio bebas menguji RC16 di sebarang litar tanpa sekatan.
Baru-baru ini, Pedrosa sertai pelumba uji Ducati, Michele Pirro dan Lorenzo Savadori (Aprilia) bagi sesi ujian di Misano.
Baru-baru ini tular rakaman video yang memaparkan seorang individu lelaki bergerak di jalan raya awam menggunakan sebuah unicycle elektrik.
Rakaman video tersebut turut mencuri tumpuan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang memuat naik video itu di laman Facebook miliknya.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap penggunaan kenderaan mikromobiliti ini di jalan raya awam yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah orang lain.
“Ini bukan sebarang basikal kerana ianya merbahaya lebih-lebih lagi untuk digunakan di atas jalan raya. Ia perlu dikawal sebelum berlakunya kemalangan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain.
“Isu keselamatan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya lain, kerana tiadanya perlindungan insurans.
“Jika berlaku kemalangan, individu yang berkenaan akan menghadapi masalah kewangan. Bagi pengguna lain, mereka pula yang terpaksa keluarkan duit sendiri atau membuat tuntutan insurans sendiri bagi tujuan membaiki kenderaan atau untuk perlindungan kesihatan mereka,” jelasnya.
Perkongsian Dr Wee Ka Siong di Facebook juga selaras dengan RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 dalam usaha mengawal selia semua jenis kenderaan di samping mengetatkan undang-undang terhadap salah laku di jalan raya.
“Setelah RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 diwartakan dan menjadi undang-undang, Kementerian Pengangkutan akan mengelaskan jenis-jenis kenderaan di bawah kategori mikromobiliti ini.
“Mana yang wajar dilesen dan didaftarkan, akan diwajibkan berbuat demikian. Mana-mana jenis yang dari segi keselamatan tidak sesuai digunakan secara bercampuran di atas jalan raya, akan dihalang daripada digunakan atas dasar keselamatan dan kepentingan pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.
Meskipun kenderaan mikromobiliti digunakan secara meluas di sesetengah negara luar namun bukan bermakna resepi sama boleh diterapkan di Malaysia.
Walaupun ada yang bermodalkan ‘dapat mengurangkan jumlah motosikal dan kereta’ di Malaysia dalam usaha menghalalkan penggunaan kenderaan mikromobiliti, namun hakikatnya pertambahan kenderaan pelbagai jenis akan memberi impak negatif terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain.
Rakaman video yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta jenis Proton Saga bukan sahaja mencuri perhatian warganet malah pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Rembau, Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, mengesahkan pihaknya kini sedang mengesan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut.
“Kami akan jalankan siasatan lanjut berdasarkan maklumat video tular,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Rakaman berdurasi 54 saat itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memakai baju biru dengan selamba memandu kereta jenis Proton Saga.
Kanak-kanak tersebut turut memberitahu bahawa bapanya yang mengajar cara memandu kereta tersebut. – Sinar Harian