Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru-baru ini KMSB Motors Sdn Bhd telah pun memperkenalkan AFAZ sebuah jenama motosikal tempatan baharu. 

Menariknya, KMSB Motors juga mengesahkan telah menjalinkan kerjasama dengan Suzuki Motor Corporation (Jepun) bagi pembangunan motosikal tempatan serba baharu itu. 

Menurut kenyataan tersebut, Suzuki akan membekalkan enjin dan alat ganti bagi model 110cc hingga 150cc bermula suku pertama 2024. 

Maklumat itu secara tak langsung memberi bayangan barisan model yang akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan. Model 110cc pastinya tertumpu pada motosikal dalam kategori mampu milik manakala 150cc pula pastinya terarah pada kapcai yang akan menyaingi Yamaha Y15ZR dan Honda RSX 150. 

Lebih menarik jika enjin 150cc itu merupakan platform sama yang diguna pakai pada Suzuki Raider R150Fi yang sememangnya berkuasa dan tahan lasak.

Yamaha dalam satu kenyataan mengumumkan perpindahan ekuiti dari Zhuzhou Jianshe Yamaha Motor Co. Ltd (ZJYM) selaku usahama pembuatan motosikal di China dengan Chongqing Jianshe Mechanical and Electric Co., Ltd. kepada  Zhejiang CFMOTO Power Co. Ltd.  berkuatkuasa November ini. 

Usahama terbaru itu akan dinamakan Zhuzhou CF Yamaha Motor Co. Ltd. (ZCYM) yang ketika ini mempunyai 500 kakitangan. 

CFMOTO akan memegang 50 peratus saham dalam ZCYM manakala Yamaha memiliki 44.23 peratus diikuti baki 5.77 peratus lagi dipegang Tair Yea Limited. 

Ketika ini, CFMOTO telah pun mempunyai kerjasama erat dengan KTM dengan pengeluar motosikal China itu turut menghasilkan enjin bagi 790 DUKE dan 790 Advenuture. 

Susulan itu, kerjasama terbaru bersama Yamaha ini akan terus mengukuhkan jenama CFMOTO dalam industri motosikal global. 

Umum sedia maklum bahawa penggal kedua Parlimen baru sahaja selesai persidangan dari 11 hingga 19 September 2023 yang lalu yang menyaksikan pelbagai isu dan cadangan dikemukakan dalam usaha meningkatkan mutu kehidupan rakyat. 

Meskipun bangkit pelbagai kontroversi namun tumpuan kami terarah kepada cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi, Dato’ Haji Mohd Suhaimi Abdullah.

Ini kerana MP Langkawi itu telah mencadangkan kepada Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke untuk pertimbang pembinaan “MRT” – seperti yang ada di Kuala Lumpur – dari Alor Setar ke Kuah di Langkawi. 

MP Langkawi: we need MRT between Alor Setar and Kuah, Langkawi
byu/UsernameGenerik inmalaysia

“YB Menteri (Anthony Loke) ada cadangan..kerana dah ‘fed up’ dengan feri ini mereka mencadangkan supaya menteri melihat perlukah diadakan keretapi dari Alor Setar ke Kuah macam MRT di Kuala Lumpur,” ujar Mohd Suhaimi. 

Anthony Loke secara spontan juga seakan tidak menjangkakan soalan itu kerana laluan itu perlu merintasi laut (Selat Melaka) sekaligus cadangan itu pastinya mustahil untuk dilaksanakan. 

Parlimen akan kembali bersidang pada 9 Oktober 2023. 

Baru-baru ini kami telah melaporkan bahawa Modenas akan melancarkan skuter maxi premium, KYMCO AK550 untuk pasaran tempatan tidak lama lagi. 

Skuter tersebut akan turut dipamerkan kepada beberapa pemilik Modenas Elegan 250EX dari Lembah Klang yang akan ke kilang Modenas di Gurun, Kedah dalam masa terdekat. 

Menariknya, kami juga dimaklumkan bahawa ada sebuah lagi model yang akan dipamerkan secara eksklusif ketika lawatan itu ini, iaitu KYMCO DTX250. 

Ini bermakna, kemungkinan besar skuter maxi 250cc itu akan turut dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi bersam-sama AK550. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua model ini akan dijenamakan semula oleh Modenas atau dijual dibawah jenama KYMCO. 

Untuk rekod, KYMCO DTX250 ini tampil dengan reka bentuk yang diilhamkan daripada DTX360 yang dipasarkan di Eropah. Namun di pasaran China, model ini tampil dengan nama KYMCO S250. 

Diperkenalkan di pasaran global pada pertengahan tahun lalu, DTX250 ini tampil dengan beberapa ciri moden termasuk lampu LED penuh dengan DRL (daytime running light), penghadang angin tinggi, panel meter digital LCD, tangki bahan api 13L, traction control dan ABS. 

KYMCO DTX250 ini menawarkan 23hp pada 7,200rpm dan 23.6Nm pada 6,000rpm hasil daripada enjin satu silinder 250cc 4-valve. Atas kertaas, model ini juga boleh mencapai kelajuan maksima sekitar 120km/j dan mampu mencapai 0-100km/j dalam tempoh 5 saat. 

Ini menjadikan DTX250 lebih berkuasa berbanding Elegan 250EX yang menawarkan 22.1hp pada 7,000rpm dan 22.4Nm. 

*Modenas Elegan 250EX juga dijenamakan semula dari KYMCO XTown 250i.

Mengambil kira jurang antara Elegan 250EX dan DTX250 ini tidak terlalu besar, tidak relevan untuk Modenas memasarkan kedua-dua model ini disini. Ini bermakna, terdapat kemungkinan KYMCO DTX250 akan menggantikan Elegan 250EX pada masa akan datang. 

Apa pun, sama-sama kita nantikan perkembangan terbaru dari pihak Modenas dari masa ke masa.

Jenama Loncin mungkin masih asing di Malaysia namun pengeluar motosikal China itu merupakan pihak bertanggungjawab menghasilkan enjin bagi beberapa model BMW antaranya C 400 X, C 400 GT, F 850 GS, F 900 R, F 900 XR dan terbaru F 900 GS. 

Senario itu secara tak langsung membuktikan kemampuan Loncin dalam menghasilkan enjin yang bukan sahaja berkuasa malah berkualiti dan dipercayai jenama motosikal Jerman itu. 

Menariknya, Loncin menerusi jenama premium Voge turut memperkenalkan motosikal ‘adventure’ serba baharu, Voge 900 DS yang mengguna pakai enjin sama dibekalkan kepada BMW bagi F 900 GS. 

Terbaru, kami diberitahu bahawa Voge 900 DS itu akan turut memasuki Malaysia pada 2024 menerusi MForce Bike Holdings Sdn Bhd. Menurut sumber, motosikal ‘adventure’ itu akan memasuki pasaran tempatan sekitar Februari dan bakal menjadi model sulung dari Voge yang akan dipasarkan disini. 

Pada masa sama, kami juga diberitahu sasaran awal adalah untuk model ‘adventure’ ini dipasarkan pada harga bawah RM60k.

Untuk rekod, Voge 900 DS dikuasakan enjin parallel-twin 895cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 96.5hp dan 87Nm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan yang dibantu sistem ‘quickshifter’. 

Seperti model BMW F 900 R/XR dan GS, 900 DS ini juga menawarkan pakej elektronik yang lengkap termasuk:

  • throttle-by-wire
  • panel meter TFT
  • cruise control
  • heated grip/seat

Voge 900 DS ini juga dlengkapi dengan kelengkapan premium termasuk sistem suspensi boleh laras, pencahayaan LED penuh dengan DRL (daytime running light), brek Brembo dan ABS dwi-saluran. 

Buat masa ini belum ada pengumuman rasmi dari pihak MForce namun kami akan bawakan perkembangan lanjut dari masa ke masa. 

Franco Morbidelli telah mencapai persetujuan dengan Ducati yang bakal menyaksikan pelumba Itali itu beraksi bersama Pramac Racing-Ducati bagi musim 2024. 

Morbidelli, yang ketika ini bersama Monster Energy Yamaha akan digandingkan bersama Jorge Martin musim depan dengan kedua-duanya akan beraksi dengan jentera ‘factory’ Desmosedici GP24. 

Membawa pengalaman berharga selaku naib juara dunia MotoGP 2020, juara dunia Moto2 2017 dan juara European Superstock 600 2013, pelumba berusia 28 tahun itu akan kembali kibarkan bendera Itali di kem Pramac tiga tahun selepas Francesco Bagnaia. 

Ini bermakna kem Pramac Racing telah pun penuh bagi saingan musim 2024 dan menutup pintu kepada segala khabar angin sebelum ini termasuk yang berkait dengan Marc Marquez. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube