Bikesrepublic

Berita Terkini

Selepas pelancaran Ninja e-1 dan Z e-1, Kawasaki dengan rasminya memperkenalkan Ninja 7 HEV (hibrid) untuk pasaran global sekaligus meletakkan petanda aras baharu dalam arena dua roda. 

Meskipun baru tampil sebagai jentera prototaip di EICMA 2022, Kawasaki bertindak cepat untuk menghasilkan model sebenar untuk diperkenalkan di pasaran global. 

Seperti namanya, Kawasaki Ninja 7 HEV merupakan motosikal hibrid yang menggabungkan enjin pembakaran dalaman (ICE) jenis parallel-twin 451cc bersama motor elektrik 9kW yang dikuasakan pek bateri 48-volt. 

Hasilnya, motosikal ‘sportbike’ berkenaan menawarkan 58.3hp namun boleh meningkat kepada 68.5hp dengan mengaktifkan fungsi e-Boost. Menariknya, kelajuan motosikal pula dikawal selia oleh transmisi 6-kelajuan tanpa klac. Pertukaran gear dilakukan menerusi butang tersedia di handlebar. 

Kawasaki mendakwa model HEV ini menawarkan prestasi mirip jentera 650cc hingga 700cc sekaligus menjelaskan kenapa dinamakan sebagai Ninja 7. 

Meskipun info terperinci termasuk jumlah tork dihasilkan masih lagi dirahsiakan namun berikut beberapa fungsi yang ditawarkan Ninja 7 HEV ini:

  • Idle Stop Function – enjin dimatikan secara automatik ketika motosikal berada dalam keadaan berhenti bagi menjimatkan minyak. 
  • Automatic Launch Position Finder – motosikal akan masuk ke gear pertama ketika berada dalam keadaan berhenti dan sedia untuk pecut (contohnya di lampu isyarat). 
  • Walk Mode – membantu menggerakan motosikal secara perlahan ke depan dan ke belakang terutamanya ketika mahu ‘parking’. 
  • Panel Meter TFT Berwarna – panel yang sama terdapat pada Ninja e-1 dan Z e-1. 
  • Mod – EV, Eco Hybrid dan Sport Hybrid. 

GALERI: KAWASAKI NINJA 7 HEV 2024

Suzuki dengan rasminya memperkenalkan V-Strom 800 Touring 2024 sebagai varian baharu selepas V-Strom 800 DE. 

Seperti namanya, V-Strom 800 Touring merupakan motosikal dengan keupayaan kembara berbanding V-Strom 800 DE yag lebih cekap untuk tunggangan ‘off-road’. 

Antara perbezaan ketara adalah penggunaan rim aluminium 19-inci depan dan 17-inci belakang berbanding rim 21-Inci depan yang terdapat pada V-Strom 800 DE. Menurut Suzuki, rim ‘tubeless’ bagi V-Strom 800 Touring ini dibangunkan khas oleh Dunlop. 

V-Strom 800 Touring ini juga dilengkapi dengan fork Showa Separate Fork-Big Piston (SFF-BP) serta penyerap hentak tunggal Showa dengan fungsi ‘preload’ boleh laras.  Hasilnya, jarak pergerakan fork depan lebih pendek dengan 150mm berbanding 220mm pada 800 DE.  Selain itu, jarak kelegaan tanah juga telah dikurangkan sebanyak 35mm. 

Pakej brek juga berbeza, dengan kaliper brek 2-pot jenis axial pada V-Strom 800 DE digantikan dengan kaliper brek Nissin 4-pot jenis radial pada V-Strom 800 Touring yang dipadankan bersama cakera 310mm. ABS juga didatangkan secara standard. 

Dalam pada itu, versi Touring ini juga dilengkapi dengan Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang merangkumi ciri elektronik berikut:

  • traction control
  • ABS
  • mod menunggang
  • Easy Start
  • Low RPM Assist

Kesemua ciri diatas boleh diatas boleh diakses menerusi panel meter TFT berwarna 5-inci. 

Selain itu, V-Strom 800 Touring ini juga dilengkapi fungsi quickshifter, pencahayaan LED penuh, serta handlebar yang lebar. 

Meskipun terdapat banyak perubahan berbanding versi 800 DE namun 800 Touring ini masih lagi dikuasakan enjin parallel-twin 776cc DOHC dengan ‘crank 270-darjah’ yang menawarkan 83hp dan 78Nm. 

GALERI: SUZUKI V-STROM 800 TOURING

Hong Leong Yamaha Motor memperkenalkan empat pilihan warna baharu bagi kapcai popular, Yamaha 135LC Fi.

Menurut HLYM dalam satu kenyataan memaklumkan, Yamaha 135LC Fi kini datang dengan tiga warna; Cyan, White dan Navy sementara varian SE pula tiba dengan warna Blue. 

Kesemua model 135LC dengan warna baharu ini sudah boleh didapati di pengedar rasmi Yamaha bermula hari ini (6 Oktober) dengan harga jualan disyorkan RM8,298 bagi versi Standard dan RM8,798 bagi versi SE. 

Untuk rekod, Yamaha 135LC Fi ini dikuasakan enjin satu silinder 135cc Euro4 yang menawarkan 12.5hp pada 8,000rpm dan 12.2Nm pada 6,000rpm. 

Kawasaki dengan rasminya melancarkan dua model elektrik untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) menerusi Ninja e-1 dan Z e-1 dengan masing-masing mengikut acuan model Ninja dan Z sedia ada. 

Motor Elektrik

Menurut Kawasaki, Ninja e-1 ini dikuasakan motor elektrik yang mendapat aliran kuasa daripada dua pek bateri Lithium-ion 50.4V 30Ah yang menawarkan 9kW (sekitar 12hp). Tempoh cas penuh pula diletakkan pada 3.7 jam. 

Pek bateri tersebut boleh dicas dengan tiga cara; menggunakan outlet di rumah secara terus, menggunakan stesen pengecas bateri atau mengecas terus ketika bateri berada di dalam motosikal. Menariknya, sistem pencahayaan dan panel meter dinyalakan oleh bater 12V yang berasingan. 

Atas kertas, Ninja e-1 dan Z e-1 ini menawarkan jarak perjalanan 65km bagi setiap cas penuh namun perlu diingatkan jarak itu dicapai hanya dengan mod Road dan tanpa mengaktifkan e-Boost. Seperti kenderaan EV lain, jarak perjalanan juga bergantung kepada cara menunggang, berat penunggang serta keadaan sekeliling. 

Casis dan Kelengkapan

Dari segi casis, kedua-dua model mengguna pakai kerangka ‘steel trellis’. Pakej suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41mm depan dengan jarak pergerakan 119mm sementara bahagian belakang menempatkan ‘bottom-link Uni-Trak’ dengan ‘preload’ boleh laras. 

Sistem brek pula terdiri daripada kaliper brek 2-pot depan dan belakang dengan cakera brek 290mm (depan) dan 220mm belakang. ABS juga didatangkan secara standard pada Ninja e-1 dan Z e-1. 

Meskipun berkongsi pelbagai aspek sama namun Ninja e-1 lebih berat dengan 140kg manakala Z e-1 pula 5kg lebih ringan. 

Mod Kuasa

Kawasaki Ninja e-1 dan Z e-1 ini menawarkan dua mod kuasa dan fungsi e-Boost. Pertamanya, mod Eco menawarkan jarak perjalanan terbaik dengan aliran kuasa lebih lembut sementara kelajuan maksima dihadkan pada 60km/j manakala mod Road pula boleh mencapai 80km/j. 

Sementara itu, e-Boost pula membenarkan penunggang merasai pecutan dan kelajuan ekstra. Fungsi ini boleh diaktifkan dalam mod Eco dan Road dengan kelajuan boleh mencecah 95km/j. Namun, e-Boost hanya bertahan selama 15 saat pada satu-satu masa sahaja. 

Mod “Walk”

Antara ciri unik pada Ninja e-1 dan Z e-1 adalah mod “Walk”. Menurut Kawasaki, fungsi ini membantu ketika ‘parking’. 

Ketika mod “Walk” diaktifkan, jentera akan bergerak ke depan dengan had 5km/j ketika ‘throttle’ dipulas dan akan bergerak ke belakang pada kelajuan 3km/j ketika ‘throttle’ dilepaskan. 

Ciri lain ditawarkan termasuk:

  • panel meter TFT berwarna 4.3-inci
  • ruang letak barang 5L di bahagian tangki

Di pasaran AS, Kawasaki Ninja e-1 dan Z e-1 ini masing-masing dijual pada harga USD7,599 (RM36k) dan USD7,299 (RM34.5k). 

GALERI: KAWASAKI NINJA E-1

GALERI: KAWASAKI Z E-1

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MIT) telah mengemukakan cadangan pemberian insentif bagi pembelian motosikal elektrik (EV) dalam Belanjawan 2024.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri. Jelasnya, insentif tersebut akan tertumpu kepada kumpulan B40. 

“Kita mengharapkan keputusan positif. MITI berharap Kementerian Kewangan (MoF) dapat memberi sokongan kepada pembangunan industri EV negara…di dalam konteks ini untuk motosikal,” Datuk Hanafi memberitahu Bernama. 

Selain daripada pemerkasaan kumpulan B40, Hanafi juga berharap insentif tersebut akan memacu pasaran EV dua roda di Malaysia yang ketika ini masih berada di tahap rendah (kurang daripada satu peratus). – Bernama

Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah mengeluarkan notis larangan letak kenderaan di hadapan rumah sendiri atau jiran berkuatkuasa 2 Oktober lalu. 

MBPG dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan kompaun serta-merta bole dikenakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan (MBPG) 2010 sebanyak RM500 dan dibawah undang-undang kecil jalan, parit dan bangunan dengan kadar maksima RM2,000. 

Memetik laporan Buletin TV3, tindakan tegas itu diambil ekoran pihak MBPG menerima banyak aduan pemilik rumah yang mendakwa jiran sering meletakkan kenderaan di hadapan rumah mereka. 

Bagaimanapun, MBPG dalam satu kenyataan terbaru tindakan kompaun itu hanya akan dilaksanakan berdasarkan aduan diterima. 

“Untuk makluman pihak tuan/puan, rekod bagi aduan kacau ganggu kenderaan (kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan yang diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain) yang diterima oleh pihak MBPG pada tahun lalu ialah 242 aduan.

“Manakala pada tahun ini sehingga September ialah 349 aduan berkaitan kacau ganggu kenderaan.

“Pihak MBPG hanya akan mengambil tindakan sekiranya menerima aduan berkaitan. Antaranya seperti meletak kenderaan di luar pagar yang menyebabkan halangan dan kacauganggu di kawasan/tempat awam,” jelasnya. – Buletin TV3

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube