Bikesrepublic

Berita Terkini

Barisan model RS keluaran Kawasaki sememangnya cukup popular ekoran pengeluar motosikal Jepun itu mengekalkan DNA klasik yang pernah popular pada era 70an hingga 80an.

Hasilnya, model seperti Kawasaki Z900RS yang diinspirasikan daripada model Z1 kekal popular sejak diperkenalkan.

Populariti Z900RS juga membawa kepada Kawasaki menghasilkan Z650RS dalam usaha menembusi pasaran yang lebih luas terutamanya dalam memikat penunggang muda. 

Kawasaki juga sebelum ini didakwa bakal memperkenalkan Z400RS namun tiada perkembangan lanjut mengenai model itu setakat ini.

Bagaimanapun, laporan terbaru di Jepun mendakwa Kawasaki bakal memperkenalkan sebuah motosikal yang diilhamkan daripada GPZ900R.  Menurut laporan Young-Machine, model tersebut diberi nama GPZ900RS Ninja. 

Dijangka mengguna pakai platform 948cc 4-inline DOHC dengan penyejukan cecair yang sama pada Z900RS, GPZ900RS Ninja menawarkan reka bentuk yang mirip dengan jentera ikonik, GPZ900R yang dihasilkan Kawasaki dari 1984 hingga 2003. 

Bagaimanapun, berbanding enjin 908c empat-silinder yang terdapat pada GPZ900R menghasilkan 115hp dan 85Nm, enjin moden yang digunakan pada Z900RS menawarkan 111hp pada 8,500rpm dan 98Nm. Namun, belum dapat dikenal pasti sama ada Kawasaki akan menala semula enjin tersebut untuk digunakan pada GPZ900RS Ninja.

Tinjaun imej ‘render’ yang dikongsikan Young-Machine juga memaparkan beberapa komponen daripada Z900RS dikekalkan termasuk rim, suspensi dan kerangka.

Untuk rekod, Kawasaki GPZ900R turut dikenali sebagai model terawal Ninja dan turut dipopularkan filem Top Gun yang ditayangkan pada 1986. 

Meskipun pendedahan terbaru ini cukup menarik namun tiada kenyataan rasmi dibuat pihak Kawasaki setakat ini. Namun, mengambil kira dakwaan Young-Machine jarang sekali tersasar selama ini, kami menjangkakan projek GPZ900RS Ninja ini sedang giat dijalankan ketika ini. 

Tiga tahun lalu, sebuah syarikat aksesori motosikal di Jepun, DOREMI Collection pernah menghasilkan kit GPZ900R bagi model Z900RS. – Young-Machine

Hari kedua ujian tertutup ‘Sepang Shakedown’ menyaksikan Yamaha giat menguji jentera Yamaha YZR-M1 dengan pelumba uji Cal Crutchlow. 

Hari pertama di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan Crutchlow berjaya mencatatkan kelajuan maksima 330km/j, naik 3km/j berbanding musim lalu. 

Ini sekaligus menyaksikan Yamaha cuba menunaikan permintaan Fabio Quartararo dalam menghadirkan kelajuan maksima yang lebih tinggi dalam usaha menyaingi jentera Ducati. 

Bagaimanapun, hari kedua di SIC menyaksikan Crutchlow turun ke litar dengan menguji pakej aerodinamik terbaru.

Ciri aerodinamik terutamanya bahagian winglet depan itu tidak pernah dipamerkan sebelum ini. Sekali pandang, winglet baharu itu tampak seperti yang terdapat pada jentera Aprilia RS-GP meskipun sedikit berbeza.

Ini bermakna bagi tahun 2023, jurutera Yamaha bukan hanya beri fokus menaik taraf enjin 4-inline tersebut malah mempertingkatkan pakej aerodnimak. Langkah sama juga dilakukan Suzuki musim lalu yang menyaksikan GSX-RR berjaya menyaingi Ducati terutamanya di bahagian lurus. 

Bagaimanapun, sama ada pakej aerodinamik itu akan dikekalkan bergantung kepada pelumba utama, Quartararo dan Franco Morbidelli yang akan turun pada hujung minggu ini bagi sesi ujian rasmi.

Lima buah bengkel motosikal telah dikenakan tindakan saman oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang setelah didapati melakukan pengubahsuaian motosikal secara haram. 

Memetik laporan BERNAMA, JPJ Pulau Pinang telah mengeluarkan 66 notis saman terhadap lima pemilik bengkel berkenaan setelah didapati melakukan ubah suai pada 24 motosikal yang terdapat pada premis masing-masing.

Menurut Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, 66 notis saman itu babitkan 30 kesalahan termasuk memasang tayar sotong, ubah suai ekzos, memasang alat kawalan kelajuan, ubah sistem enjin, ubah ‘swingarm’ dan lain-lain. 

Dalam pada itu, Adenan juga mendedahkan terdapat bengkel yang melakukan pemotongan brek agar motosikal bergerak dengan lebih laju.

“Apabila motosikal ditanggalkan brek, geseran tidak berlaku pada tayar dan ia membolehkan enjin mempunyai kuasa memecut yang lebih laju,” jelasnya.

Turut sertai operasi yang berjalan selama dua jam di Georgetown itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). – BERNAMA

Tidak dinafikan, motosikal Yamaha RX-Z merupakan antara model yang mempunyai peminatnya tersendiri. 

Acara seperti RXZ Members juga berjalan meriah setiap penganjuran dan mendapat sambutan hebat kerana dapat mengumpulkan pemilik motosikal tersebut dari seluruh negara. 

Bagaimnanapun, seorang peminat dan pengumpul membuktikan dirinya sebagai peminat tegar apabila berjaya melengkapkan koleksi Yamaha RX-Z Catalyzer dari tahun 2003 hingga 2011. 

Akaun Facebook dengan nama Danish Meng memuat naik gambar yang menunjukkan kejayaannya mengumpulkan kesemua model RX-Z Catalyzer 2003-2011.

Perkongsian itu turut menarik perhatian ramai dengan lebih 200 komen dan 570 ‘shares’ berjaya dicatatkan setakat artikel ini ditulis.

Menariknya, kesemua model RX-Z dalam gambar tersebut tampak berada dalam keadaan cemerlang dan berkilat. 

Bagi seorang pengumpul pastinya ini adalah satu pencapaian apatah lagi berjaya melengkapkan koleksi motosikal idaman. 

Selain motosikal, helmet juga mempunyai barisan peminat tersendiri terutamanya helmet berjenama seperti Arai, Shoei dan AGV.

Ada juga yang sanggup habis beribu bagi mendapatkan helmet idaman. 

Namun, seorang pembeli ternyata mempunyai minat mendalam pada sebuah helmet apabila sanggup membelanjakan lebih RM80,000.

Perkongsian terbaru oleh FT Garage Racing di Facebook menceritakan bagaimana sebuah helmet jenis Shoei J-Force 2 Jack berwarna kuning telah dipinang dengan harga RM86,000

Menurut perkongsian tersebut, pembeli tersebut telah membeli helmet terbabit secara tunai. 

FT Garage Racing juga menjelaskan bahawa penjualan itu adalah sahih dan bukannya sekadar ‘content’ untuk media sosial.

Untuk rekod, model J Force 2 Jack sememangnya terkenal dengan harga yang tinggi dan menjadi kegilaan bagi mereka yang mampu. 

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjemput orang ramai untuk hadir menyaksikan Ujian Rasmi MotoGP Sepang yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 Februari ini. 

Penonton boleh menyaksikan pelumba seperti  Fabio Quartararo, Francesco Bagnaia dan Marc Marquez serta jentera 2023 masing-masing secara percuma di Main Grandstand. 

Dalam pada itu, mereka yang telah membeli tiket Grandstand berpeluang sertai aktiviti Pit Lane Walk yang dijadualkan berlangsung pada 10 Februari (Jumaat) dari jam 6.30 hingga 7.30 petang. 

Sementara itu, tapak letak kereta premium juga disediakan dengan bayaran RM10 bagi kereta dan RM5 bagi motosikal di Mall Area – berhampiran dengan Main Grandstand. Bayaran RM5 pula dikenakan pada kereta dan RM2 pada motosikal yang mahu meletakkan kenderaan di P SIC dan PX. 

Bagaimanapun, tiada bayaran dikenakan pada kawasan parkir lain.

Dalam perkembangan sama, SIC memaklumkan bahawa diskaun ‘early bird’ sebanyak 15 peratus ditawarkan bagi pusingan GP Malaysia 2023 yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 November 2023.

Senarai harga tiket bagi GP Malaysia 2023 adalah seperti berikut:

  • RM122.20 (F Grandstand)
  • RM175.30 (K1 Grandstand)
  • RM293.30 (Main Grandstand)
  • RM361.30 (Marc Marquez Tribune)
  • RM433.50 (Premier Roving)
  • RM544.00 (Premier Seat)

Orang ramai yang berminat untuk menikmati diskaun ‘early bird’ boleh layari www.sepangcircuit.com untuk membuat pembelian. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube