Barisan model RS keluaran Kawasaki sememangnya cukup popular ekoran pengeluar motosikal Jepun itu mengekalkan DNA klasik yang pernah popular pada era 70an hingga 80an.
Hasilnya, model seperti Kawasaki Z900RS yang diinspirasikan daripada model Z1 kekal popular sejak diperkenalkan.
Populariti Z900RS juga membawa kepada Kawasaki menghasilkan Z650RS dalam usaha menembusi pasaran yang lebih luas terutamanya dalam memikat penunggang muda.
Kawasaki juga sebelum ini didakwa bakal memperkenalkan Z400RS namun tiada perkembangan lanjut mengenai model itu setakat ini.
Bagaimanapun, laporan terbaru di Jepun mendakwa Kawasaki bakal memperkenalkan sebuah motosikal yang diilhamkan daripada GPZ900R. Menurut laporan Young-Machine, model tersebut diberi nama GPZ900RS Ninja.
Dijangka mengguna pakai platform 948cc 4-inline DOHC dengan penyejukan cecair yang sama pada Z900RS, GPZ900RS Ninja menawarkan reka bentuk yang mirip dengan jentera ikonik, GPZ900R yang dihasilkan Kawasaki dari 1984 hingga 2003.
Bagaimanapun, berbanding enjin 908c empat-silinder yang terdapat pada GPZ900R menghasilkan 115hp dan 85Nm, enjin moden yang digunakan pada Z900RS menawarkan 111hp pada 8,500rpm dan 98Nm. Namun, belum dapat dikenal pasti sama ada Kawasaki akan menala semula enjin tersebut untuk digunakan pada GPZ900RS Ninja.
Tinjaun imej ‘render’ yang dikongsikan Young-Machine juga memaparkan beberapa komponen daripada Z900RS dikekalkan termasuk rim, suspensi dan kerangka.
Untuk rekod, Kawasaki GPZ900R turut dikenali sebagai model terawal Ninja dan turut dipopularkan filem Top Gun yang ditayangkan pada 1986.
Meskipun pendedahan terbaru ini cukup menarik namun tiada kenyataan rasmi dibuat pihak Kawasaki setakat ini. Namun, mengambil kira dakwaan Young-Machine jarang sekali tersasar selama ini, kami menjangkakan projek GPZ900RS Ninja ini sedang giat dijalankan ketika ini.
Tiga tahun lalu, sebuah syarikat aksesori motosikal di Jepun, DOREMI Collection pernah menghasilkan kit GPZ900R bagi model Z900RS. – Young-Machine