Bikesrepublic

Berita Terkini

Harley-Davidson dengan rasminya mengumumkan ketibaan Sportster S di Malaysia dan ditawarkan pada harga RM92,900.

Selepas tiga tahun sejak memperkenalkan model konsep menerusi 1250 Custom, Harley-Davidson akhirnya merasmikan Sportser S, sebagai penyambung legasi model Sporster jenama itu.

Sportster S ini juga dilihat bakal sertai Pan America sebagai penyelamat jenama syarikat dari Milwaukee itu, ekoran saban tahun merekodkan penjualan yang kurang memberangsangkan.

Bernadikan 1250 Revolution Max, enjin 1,252cc V-Twin DOHC dengan penyejukan cecair itu menawarkan 121hp dan 127Nm sekaligus menjadikan model ini antara yang paling berkuasa dikalangan model Harley-Davidson.

Bagi meningkatkan lagi pengalaman menunggang, Sportster S turut dilengkapi ciri variable valve timing (VVT) dan ‘self-adjusting lifters, fungsi sama yang terdapat pada model ADV, Pan America.

Dalam usaha menghasilkan jentera yang ringan, bahagian enjin kini juga berfungsi sebagai bahagian yang menyerap tekanan (stressed member engine) yang bertindak sebagai elemen struktur aktif sekaligus mengetepikan fungsi kerangka konvensional.

Hasilnya, Sportster S ini hanya seberat 227 kilogram lantas meningkatkan kawalan tunggangan.

Antara ciri lain ditawarkan adalah penyerap hentakan belakang (jenis piggyback) Showa boleh laras dan fork USD 43mm juga dari Showa, paparan TFT 4″ dengan Bluetooth connectivity, lampu LED penuh dan tiga mod tunggangan dengan dua mod custom, port USB-C , tangki 11.8L dan cruise control.

Sistem membrek dikendalikan kaliper Brembo jenis radial yang dipadankan bersama cakera brek (tunggal) 320mm depan dan 260mm belakang. Namun, kami berasakan dengan tayar depan berukuran 160/70-17, Sportser S ini wajar diberikan cakera brek berkembar dengan dua kaliper monoblock Brembo.

Sportster S ini juga dilengkapi dengan fungsi moden antaranya 6-axis IMU yang menawarkan cornering ABS, traction control, Drag-Torque Slip Control dan tekanan angin tayar.

Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk melihat Sportster S dengan lebih dekat, pengedar rasmi Harley-Davidson seluruh negara mengadakan Hari Terbuka khas bagi model baharu itu dari 30 hingga 31 Oktober ini.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya memperkenalkan Yamaha Y16ZR edisi Doxou untuk pasaran tempatan.

Model khas itu hanya terhad kepada 5,000 unit sahaja dan ditawarkan pada harga RM11,688 (sebelum cukai jalan dan insurans).

Y16ZR edisi Doxou ini juga meneruskan kesinambungan daripada Y15ZR yang sebelum ini juga turut diperkenalkan sebagai edisi Doxou.

Model edisi khas ini tampil dengan kombinasi warna merah dan biru yang juga terpampang di bahagian rim depan dan belakang.

Setiap model juga datang dengan set eksklusif Doxou yang mengandungi sijil penghargaan, visor sporty eksklusif serta lencana khas Doxou edisi terhad.

Setiap pembelian Y16ZR Doxou juga akan didatangkan dengan kunci cakera brek secara percuma.

Sementara itu, HLYM turut melancarkan pakaian bertemakan Doxou yang boleh didapati secara atas talian di Genblu Online Shop.

Yamaha Y16ZR edisi Doxou ini boleh didapati bermula (hari ini), 21 Oktober 2021.

Ketika Honda mempersembahkan sebuah skuter konsep dengan pengayaan adventure pada 2015, ramai yang mempersoalkan tindakan tersebut namun sebaik model sebenar diperkenalkan menerusi X-ADV 750, segala persoalan bertukar menjadi pujian.

X-ADV 750 telah pun memasuki generasi kedua dan motosikal skuter ala adventure itu terus mencuri tumpuan sehingga kini.

Sebelum itu, pengeluar motosikal Jepun itu turut memperkenalkan ADV 150, skuter 150cc yang diinspirasikan daripada X-ADV 750.

ADV 150 juga mencapai populariti terutamanya di Asia termasuk di Malaysia kerana selain tampil dengan rekaan menarik, spesifikasi berkualiti antaranya suspensi Showa turut mencuri perhatian.

Honda sebelum ini telah pun memfailkan paten nama ADV 350 pada awal 2021 namun dalam perkembangan terbaru, paten sama juga telah difailkan di Eropah sekaligus mengesahkan kehadiran model itu tidak lama lagi.

Berdasarkan dokumen paten tersebut Honda ADV 350 itu bakal dikuasakan enjin sama dari Forza 350 dan menawarkan 29hp pada 7,500rpm.

Menurut laporan media antarabangsa, model baharu itu juga besar kemungkinan mengguna pakai kerangka sama seperti Forza 350 berdasarkan ukuran dimensi yang dinyatakan.

Buat masa ini tiada info lebih terperinci termasuk tarikh pelancaran model baharu itu. Bagaimanapun, mungkin ADV 350 antara kejutan bakal disajikan Honda di EICMA 2021 nanti.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim mengingatkan orang ramai bahawa berbasikal di lebuh raya adalah satu kesalahan.

Penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

“Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala Seksyen 112(3) pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal,” jelas Datuk Mat Kasim kepada HMetro.

Menurut Mat Kasim lagi, PDRM telah pun merekodkan lebih 150 kes kemalangan babitkan penunggang basikal dari Januari hingga September tahun ini dengan 71 kes daripadanya adalah kes kematian diikuti 24 cedera parah dan 55 cedera ringan.

Kebelakangan ini timbul beberapa video yang menunjukkan penunggang basikal melakukan kayuhan di jalan raya yang sesak termasuk di lebuh raya sekaligus mengundang pelbagai kritikan.- HM

Mercedes tidak akan menggantikan penaja utama Petronas dengan Saudi Aramco sebaik musim 2021 Formula 1 berakhir.

Selain menafikan laporan sebelum ini, menurut GPFans, kerjasama Petronas dan Mercedes akan diteruskan melangkaui musim 2022.

“Petronas dan Mercedes telah menjalin kerjasama sejak 2010 dan usaha ini memberi membawa manfaat kepada dua belah pihak.

“Tahun lepas, kami telah melanjutkan perjanjian untuk beberapa tahun akan datang dan kami berbangga kerana dapat meneruskan kerjasama ini,” jelas jurucaka Mercedes kepada GPFans.

Laporan asal oleh Decalspotters sebelum ini mendakwa Petronas bakal menamatkan perjanjian selaku penaja utama Mercedes di F1 hujung musim 2021. – GPFans

Pengeluar motosikal China, CFMoto seakan memberi bayangan bakal memperkenalkan sebuah motosikal berkonsepkan sportsbike selepas mendedahkan jentera prototaip SR-C21.

Meskipun info terperinci tidak didedahkan namun difahamkan CFMoto bercadang membawa model ini ke peringkat pengeluaran pada 2022.

Rekaan depan prototaip ini tampak agresif terutamanya dengan bentuk lampu LED dengan DRL (daytime running light).

Selain daripada reka bentuk agresif, gambar dan video dikongsikan turut memaparkan beberapa spesifikasi tinggi antaranya Brembo, Ohlins, swingarm jenis ‘single-sided’, winglet dan ekzos SC Project.

Difahamkan, pembinaan prototaip ini juga mendapat sentuhan inspirasi daripada KTM dan pereka Eropah Kiska Design yang merupakan syarikat kerjasama dengan CFMoto.

Sementara itu, menurut info yang diperolehi, model ini akan dikuasakan enjin 400cc namun juga terdapat kemungkinan bakal ada varian dengan kapasiti lebih besar antaranya 790 atau 890cc.

Ini kerana berdasarkan video bunyi jentera tersebut pastinya merujuk kepada kapasiti yang lebih besar berbanding 400cc.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube