Bikesrepublic

Berita Terkini

Sejak kebelakangan ini ada sahaja berita dunia dua roda tempatan yang mencetuskan reaksi “biar betul?!”.

Daripada kisah Yamaha RX-Z berjaya dijual dengan harga RM60 ribu sehingga ke helmet mencecah harga puluhan ribu ringgit, ada sahaja topik mengenai dua perkara ini yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Terbaru, sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z keluaran pertama telah ditawarkan pada harga RM90,000.

Difahamkan, motosikal tersebut telah disalin tukar dengan komponen dan alat ganti baharu daripada sotk lama (NOS).

Sememangnya Yamaha 125Z dan 125ZR masih mempunyai peminat sehingga kini dan merupakan antara model yang paling dicari-cari kaki pengumpul motosikal lama dan ikonik apatah lagi pengeluarannya telah pun dihentikan pada 2018.

Meskipun tiada perkembangan terkini sama ada motosikal tersebut berjaya dijual dengan harga itu namun kami tidak lagi terkejut jika pemilik berjaya mencari pemberani sejati.

Honda akhirnya mengesahkan bakal melancarkan model serba baharu, NT1100 pada 21 Oktober ini.

Perkara itu didedahkan menerusi video ‘teaser’ yang telah dimuat naik ke YouTube berjudul ‘The New Touring Era’.

Meskipun rupa jelas model baharu itu tidak didedahkan sepenuhnya namun berdasarkan video berdurasi 31 saat itu jelas merujuk kepada NT1100.

Apa yang boleh dipastikan berdasarkan info yang dikumpul beberapa minggu ini, NT1100 dikuasakan enjin parallel-twin 1100cc yang sama terdapat pada Africa Twin.

Model ini juga dijangka dilengkapi transmisi DCT Honda bagi varian tertinggi.

Honda NT1100 ini juga bakal memberi saingan terhadap model tourer lain antaranya Kawasaki 1000SX dan BMW R 1250 RT.

Untuk maklumat terperinci lain, nantikan pelancaran rasmi Honda NT1100 pada 21 Oktober ini.

Modenas bakal memulakan penjenamaan beberapa model Kawasaki bermula dengan Ninja 250.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, sewaktu sesi Track Day Modenas Bersama Media yang berlangsung di 3StonePark, Glenmarie, hari ini.

Menurut Roslan, tatkala kekangan pandemik Covid-19 semakin berkurang, pihaknya akan kembali merancakkan kerjasama bersama Kawasaki bermula 2022.

Model yang pernah ditayangkan sebelum ini, Modenas Ninja 250, akan dilancarkan sekitar hujung suku pertama 2022.

Pada masa sama, Roslan turut mengulangi bahawa buat masa ini perancangan awal masih lagi babitkan penjenamaan semula beberapa model dari 250cc hingga 650cc namun perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan buat masa ini.

Sementara itu, kami turut dimaklumkan bahawa Kawasaki Heavy Industries (KHI) akan menghantar seorang wakil dari Jepun yang akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) bagi membantu melancarkan kerjasama Modenas-Kawasaki.

Antara aspek yang turut akan diperhalusi adalah soal servis selepas jualan serta alat ganti dengan segala maklumat terperinci akan diumumkan kemudian.

Sebelum ini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah pun mengumumkan pengambil alihan sebagai pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia.

Bagaimanapun, proses peralihan tersebut akan mengambil masa enam bulan dan akan dibantu pengendali terdahulu Kawasaki Motors Sdn Bhd (KMSB).

Dalam tempoh peralihan tersebut pemilik motosikal Kawasaki boleh mendapatkan bantuan teknikal dan selenggara serta alat ganti di pengedar rasmi Kawasaki terdahulu.

Bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi (KIP) sah sertai pasukan tempatan, TKKR Racing Team yang diumumkan menerusi perkongsian di Facebook pasukan itu hari ini.

KIP juga bakal membuat penampilan sulung bersama TKKR di Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 yang kembali bersambung hujung minggu ini. .

Menurut TKKR Racing Team, MSBK dianggap sebagai medan ujian buat KIP selepas apa yang berlaku sebelum ini.

“Kita cuba dulu dan anggap sebagai track day kerana kami amat faham bagaimana tempoh menenangkan diri dari apa yg berlaku.

“Namun disebabkan KIP lahir dari industri tempatan dan antara pelumba yg mempunyai disipilin dan motivasi yg tinggi saya amat yakin beliau akan kembali,” jelas perkongsian tersebut.

Bukan itu sahaja, TKKR Racing turut mendedahkan bahawa pasukan itu juga bercadang membawa KIP ke saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2022 serta ke peringkat lebih tinggi jika diizinkan.

Sebelum ini, pasukan TKKR Racing kendalian Datuk Bobie Farid Shamsudin itu dilihat mempersiapkan jentera lumba dengan no.89 bagi menghadapi MSBK 2021.

Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman @ Damok telah pun disahkan bakal beraksi di Kejuaraan Dunia Moto3 musim depan.

Perkara itu didedahkan pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin sewaktu temu ramah bersama media, minggu lalu.

Damok dalam kenyataan terbaru, bukan sahaja tidak sabar untuk memulakan saingan di Moto3 malah menyuarakan sasaran untuk muncul pelumba muda terbaik di kejuaraan dunia itu.

“Pencabar saya ramai (untuk Rookie of the Year Moto3 2022), (pelumba) sama juga yang berlumba di CEV.

“Ramai yang dari CEV diangkat ke Kejuaraan Dunia (Moto3) untuk berlumba tahun depan. Apapun, saya akan tetap memberikan saingan dan ‘potong’ mereka,” jelasnya.

Meskipun pasukan Moto3 tersebut hanya akan didedahkan pada 15 Oktober ini, namun menurut Damok, pasukan yang bakal disertainya itu telah beraksi pada 2017 sebelum membuat keputusan tarik diri namun akan kembali musim depan. – BH

MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah dilantik sebagai pengedar eksklusif jenama motosikal QJ Motor di Malaysia.

Qianjiang Motorcycles merupakan pengeluar motosikal China yang juga merupakan syarikat pemilik jenama Benelli, Keeway dan QJ Motor.

Menghasilkan motosikal sejak 1985, QJ Motor menghasilkan pelbagai jenis jentera dua roda untuk pasaran China dan antarabangsa.

Kemasukan jenama QJ Motor secara langsung memperluaskan tawaran motosikal di Malaysia menerusi model 100cc hingga 1300cc antaranya SRT800, SRK600 dan QJ Race 250.

Menurut MForce, beberapa model QJ Motor sedang dalam proses ujian ketahanan ketika ini bagi memastikan setiap model berapa dalam keadaan terbaik sebelum dipasarkan sekitar Suku Kedua 2022.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube