Bikesrepublic

Berita Terkini

Yamaha TMAX 560 (2024) telah dilancarkan di Jepun dengan beberapa kemas kini ringan.

Yamaha TMAX boleh dikatakan skuter yang memulakan kelas maxi-skuter apabila ia mula-mula dikeluarkan pada tahun 2001, dan mengambil alih daripada 250cc Majesty. Popular di Eropah, motosikal ini telah meneruskan banjarannya selama 23 tahun dengan kemas kini demi kemas kini untuk membawanya ke tahap yang terkini. Ia masih menjanjikan prestasi dan teknologi tanpa menjejaskan kepraktisan dan keselesaan.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Yamaha mengemas kini TMAX sedikit sebanyak untuk bersaing, jika tidak, terus berada di hadapan pesaingnya.

Enjin kekal sama: Jenis kembar selari 562cc, dengan penyejukan cecair dan suntikan bahan api. Ia menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 48 hp pada 7,500 RPM dan 55.7 Nm tork maksimum pada 5,250 RPM. Itu adalah sebaran yang luas sebanyak 2,250 RPM antara tork dan kuasa maksimum memastikan pecutan yang pantas apabila bergerak.

Walau bagaimanapun, kemas kini utama terletak pada ciri elektronik. Sebagai permulaan, kini terdapat kawalan jelajah (cruise control) yang merupakan tambahan yang dialu-alukan untuk perjalanan jarak jauh. Paparan meter TFT 7-inci berwarna penuh kini mempunyai navigasi Garmin. Pencucuhan tanpa kunci, kawalan cengkaman, ABS dikekalkan. Model Jepun mempunyai handel dan tempat duduk yang dipanaskan.

Ciri-ciri lain termasuk penghalang angin yang tinggi, tempat duduk yang selesa, ruang simpanan bawah tempat duduk yang besar dan banyak lagi. Pemilik Yamaha TMAX 560 2024 di Jepun boleh memilih beg pelana dan top boks, tetapi ia mungkin tidak tersedia untuk pasaran kami. Namun satu perkara yang pasti ialah ia akan mengambil masa yang agak lama untuk tiba di sini.

PETRONAS menyeru orang ramai lebih berwaspada terhadap penipuan pelaburan palsu yang menggunakan nama syarikat itu dan ketua pegawai eksekutifnya (CEO).

PETRONAS  berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penipuan pelaburan dalam talian itu yang aktif di kalangan pengguna aplikasi WhatsApp.

Menurut mereka, penipuan itu membabitkan penggunaan nama dan logo syarikat PETRONAS, serta nama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, yang tidak sah.

“Mesej terbabit merangkumi laporan berita palsu daripada The Star dengan tajuk yang digunakan ‘Laporan Khas: ‘PETRONAS membuka platform pelaburan bersama dengan sokongan kerajaan!’.

“Ia menawarkan skim yang menjanjikan pulangan melalui pelaburan mingguan dalam operasi kerajaan berkaitan dengan pengeluaran gas asli dan cecair (LNG),” kata Petronas dalam kenyataan itu.

Laporan itu juga disertakan bersama video palsu Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, dengan imej dan suaranya dimanipulasi menggunakan perisian kecerdasan buatan (AI).

Pengurusan PETRONAS menjelaskan dan menekankan bahawa tidak ada platform pelaburan sebegini daripada mereka.

“Kami ingin menyeru kepada semua orang untuk tidak memberi respons kepada skim pelaburan palsu ini,” tambah mereka.

Goodyear akan memberikan pampasan yang tinggi kepada pekerja-pekerja mereka yang terkesan dengan keputusan menutup kilangnya di Shah Alam.

Proses peralihan yang melibatkan kebajikan pekerja telah dilaksanakan sebelum pengumuman tersebut. Proses ini termasuklah kerjasama dengan beberapa syarikat seperti Proton Holdings Bhd. untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja yang terjejas.

Berita ini didedahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Beliau berkata Goodyear berbuat demikian agar proses peralihan bagi pekerja dapat berjalan lancar. Tambah lagi, Goodyear akan memberi pampasan yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang.

“Kilang ini ditutup kerana Goodyear menyasarkan pengurangan kos sehingga AS$1 bilion setahun menjelang 2025. Penutupan kilang di Shah Alam adalah sebahagian daripada langkah pengurangan kos yang tersebut.

“Goodyear juga bakal menutup dua kilang tayarnya di Jerman, membabitkan 1,750 pekerja. Sebuah kilang tayar di United Kingdom juga bakal ditutup. Jadi, bukan operasi di Malaysia sahaja, malah operasi Goodyear di seluruh dunia juga turut terjejas,” katanya dalam hantaran di laman sosial pada Jumaat.

Goodyear dilaporkan akan menutup kilangnya di Shah Alam, Selangor setelah beroperasi 50 tahun yang menjejaskan kira-kira 550 kakitangan.

Beliau berkata, MITI dan agensinya MIDA sudah menggerakkan pasukan khusus membabitkan PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Pemudahcara Invest Malaysia untuk memudahkan penempatan pekerjaan, serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

“Paling penting, semua usaha itu telah mula dilaksanakan sebelum pengumuman penutupan kilang dibuat untuk memastikan proses peralihan bagi pekerja berjalan lancar,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan memastikan Malaysia terus mendapat kemasukan pelaburan yang dapat membantu ekonomi negara.

Perkara itu adalah cabaran utama ketika ini disebalik landskap ekonomi global semasa dalam memastikan lebih banyak pelaburan masuk daripada pelaburan keluar seperti yang berlaku pada Goodyear.

Beliau berkata, pengumuman pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu, yang tertinggi dalam sejarah Malaysia. Sebanyak 5,310 projek telah diluluskan dan bakal menjana hampir 130,000 peluang pekerjaan.

“Dalam sektor pembuatan sahaja, 63 peratus daripada pelaburan diluluskan adalah daripada perniagaan sedia ada yang mengembangkan operasi mereka.

Pelumba negara Qabil Irfan Azlan bakal berlumba dalam Kejuaraan Spanish Superbike (ESBK) untuk musim 2024.

Juara Siri MiniGP Dunia 2023 yang berumur 12 tahun itu akan mengambil bahagian di dalam Kategori Moto4 bersama sebuah pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing.

Menurut kenyataan dikeluarkan ZK Racing, Qabil akan berlepas ke Sepanyol Ahad ini untuk mengikuti ujian pramusim pada 16 dan 17 Mac ini di Litar Jerez. Dia kemudiannya akan kekal di sana bagi menyertai perlumbaan pembukaan musim pada 6 dan 7 April ini.

“Kejuaraan ESBK akan diadakan sepanjang 7 pusingan. Kategori Moto4 ini merangkumi pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dan akan bersaing di litar-litar di Sepanyol dan Portugal,” menurut ZK Racing.

Selepas perlumbaan di Litar Jerez, Qabil dijadual meneruskan tunggangannya di Litar Valencia, Sepanyol (1 dan 2 Jun); Litar Estoril, Portugal (6 dan 7 Julai); Litar Catalunya, Sepanyol (27 dan 28 Julai); Litar Estoril, Portugal (31 Ogos dan 1 Sept); Litar Navarra, Sepanyol (26 dan 27 Oktober) dan kembali ke Litar Jerez bagi menutup kempen 2024 pada 2 dan 3 November.

Qabil bernaung di bawah program pembangunan ZK Racing sejak 2020 dijangka turut menyertai Kejuaraan FIM MiniGP Siri Malaysia dalam kategori 190cc tahun ini.

Kerajaan Johor sedang membuat rancangan untuk membuka semula Litar Pasir Gudang yang juga dikenali sebagai Johor Circuit. Litar yang bersejarah itu telah ditutup sejak sembilan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd. Hairi Mad Shah berkata beliau bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bagi mempersembahkan perancangan untuk membuka semula litar itu.

Beliau berkata pembukaan semula litar berkenaan yang akan menelan kos tinggi, namun ia akan menjadi gelanggang latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team yang disertai pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh Syahrin Berazam Menyerlah di ARRC

“Apabila ada JDT Racing Team di Johor, ramai yang bertanya mengenai Litar Pasir Gudang, namun (mengikut) kajian semula, ia akan babitkan kos yang agak tinggi untuk baik pulih.

“Jadi, insya-Allah saya dan Menteri Besar akan menghadap Pemangku Sultan Johor untuk dipertimbangkan litar ini dibuka semula bagi latihan Hafizh Syahrin dan penggiat permotoran dalam masa terdekat,” kata Mohd. Hairi semalam.

Beliau juga berharap pembukaan semula litar itu dapat merancakkan lagi sukan permotoran, sekali gus menjadi lokasi pilihan penggiat sukan itu.

JDT menceburi sukan permotoran bersama Hafizh yang akan bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Asia 2024.

 

KTM Brabus 1400 R yang baharu dilaporkan sedang dibangunkan dan akan menggunakan enjin KTM yang 1350cc baharu.

Sebelum ini, KTM mengumumkan pengeluaran KTM Brabus 1300 R akan ditamatkan selepas dua tahun. Tetapi ternyata ia kerana KTM telah memperkenalkan enjin baharu melalui KTM 1390 Super Duke 2024. Enjin baharu itu menggantikan enjin LC8 1301cc lama, yang terdapat dalam KTM 1290 Super Duke Evo.

Jadi, sudah tentu Brabus baharu ini akan berdasarkan 1390 Super Duke Evo. LC8 V-Twin baharu itu mempunyai 188 hp dan tork 145 Nm. Ia juga merupakan enjin kepada 1390 Super Adventure dan 1390 Super Duke GT yang akan datang.

Walaupun KTM dan Brabus tidak mendedahkan projek itu, sebuah motosikal Jerman terjumpa permohonan Brabus kepada Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah (EUIPO) untuk mendaftarkan beberapa nama. Lebih khusus lagi, Brabus telah mendaftarkan tanda dagangan “Brabus 1400 R Tailor Made”, “Brabus 1400 R Rocket”, dan “Brabus 1400 R Signature”.

Jadi, daripada hanya satu varian dengan dua skema warna berbeza, motosikal baharu itu akan mempunyai tiga varian berbeza. Mungkin “Tailor Made” merujuk kepada varian yang dibuat mengikut kemahuan pembeli, manakala “Rocket” menandakan versi prestasi, dan “Signature” bermaksud kemewahan.

Sekiranya berita ini benar, kita boleh menjangkakan untuk melihat KTM Brabus 1400 R baharu menjelang akhir tahun ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube