Ibu kota Vietnam, Hanoi diklasifikasikan sebagai bandar yang paling tercemar di dunia.
Bandar itu diselubungi pencemaran jerebu tebal semalam sehingga bangunan tinggi sukar dilihat dan menyebabkan hampir sembilan juta penduduk bandar itu menghirup udara beracun.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Hanoi sering disenaraikan antara bandar paling tercemar di dunia, sebahagiannya disebabkan oleh pembinaan yang meluas dan pelepasan asap daripada sejumlah besar motosikal serta kereta yang merentas ibu kota setiap hari.
Pelepasan karbon dari loji arang batu di utara dan pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian memburukkan lagi masalah itu.
Bulan lalu, puluhan penerbangan terjejas apabila jerebu tebal menyelubungi Hanoi dan menghasilkan lonjakan pencemaran udara serta menyebabkan jarak penglihatan menurun. Pakar ramalan cuaca sudah mengeluarkan amaran tetap mengenai jerebu tebal, terutama di kawasan pergunungan timur laut Vietnam.
Laporan terbaharu Bank Dunia mengenai pencemaran udara mengatakan 40 peratus penduduk di Hanoi terdedah kepada kepekatan hampir lima kali ganda berbanding garis panduan selamat ditakrifkan WHO.
Bandar itu juga menduduki tempat pertama di laman sesawang pemantauan udara IQAir sebagai bandar paling tercemar di dunia sejak lewat petang semalam.