Sinar Puncak, pengedar rasmi jenama SHOEI di Malaysia dengan rasminya memperkenalkan SHOEI NXR 2, sebuah helmet ‘full-face’ terbaru untuk pasaran tempatan.
Menariknya, helmet SHOEI NXR 2 ini merupakan helmet yang paling ringan dikalangan barisan model jenama helmet Jepun itu di samping turut mencapai standard terbaru, ECE22.06 sekaligus dijamin lebih selamat.
Untuk rekod, SHOEI NXR 2 ini dibangunkan dalam fasiliti terowong angin milik SHOEI bagi mencapai tahap aerodinamik terbaik.
Hasilnya, NXR 2 ini datang dengan reka bentuk kompak, dan dilengkapi dengan ‘spoiler’ di belakang yang menonjol dan corong angin di bahagian depan. Corong udara tersebut juga meningkatkan pembuangan udara panas bagi si pemakai. Keseluruhannya, terdapat 6 corong masuk dan 4 corong keluar.
Menurut SHOEI, NXR 2 ini juga lebih senyap dan berupaya menangkis air dengan lebih baik. Bukan itu sahaja, walaupun lebih senyap namun rekaan helmet ini memastikan gangguan bunyi angin lebih rendah.
Dalam pada itu, visor pula melindungi muka dan mata sebanyak 99 peratus daripada Ray UV. Visor juga boleh dibuka dan tutup dengan lebih mudah tatkala sistem pengunci kini diletakkan di bahagian tengah depan.
Bagi yang berminat, SHOEI NXR 2 ini datang dengan tiga varian berbeza dan dibezakan dengan pilihan warna. Bagi warna Plain, SHOEI NXR 2 ini berharga RM2,400 manakala dengan grafik pula dijual pada harga RM2,899.
Peminat Marc Marquez pula boleh mendapatkan versi MM93 Collection Rush pada harga RM2,980.
ChatGPT merupakan model bahasa yang dibangunkan oleh OpenAI, sebuah syarikat penyelidikan yang membangun dan mempromosikan kecerdasan buatan (AI) yang maju dengan cara yang selamat dan memberi manfaat kepada umum.
Dalam bahasa mudah, ChatGPT boleh memproses apa sahaja maklumat yang diusul atau ditanyakan dan kemudiannya menghasilkan jawapan dalam bentuk yang anda mahukan.
Untuk itu, kami tanya ChatGPT apakah motosikal yang terbaik atau paling direkomen untuk dibeli di Malaysia dan AI itu menyenaraikan lima motosikal.
Menariknya, ChatGPT menyenaraikan Yamaha Y15ZR sebagai motosikal yang terbaik untuk dibeli di Malaysia diikuti Honda RS150R, Kawasaki Ninja 250, Yamaha MT-07 dan Honda CB650R.
Menerusi jawapan yang dikongsikan, ChatGPT menyifatkan Y15ZR sebagai kapcai yang terkenal dengan ketangkasan dan kepantasannya di jalan raya. Pada masa sama, Y15ZR juga diklasifikasikan sebagai motosikal yang sesuai untuk kegunaan harian dan tunggangan di hujung minggu.
Memang tak dinafikan, Yamaha Y15ZR kekal sebagai kapcai popular di Malaysia meskipun selepas pengenalan Y16ZR.
Setakat harga yang dikemas kini pada Disember 2022, Yamaha Y15ZR dijual pada harga RM8,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
BMW Motorrad telah pun memperkenalkan BMW R nineT 100 Years edisi terhad sempena meraikan ulang tahun jenama motosikal Jerman itu, pada Disember tahun lalu.
Menurut BMW Motorrad pada waktu itu, hanya 1,923 unit dihasilkan untuk pasaran global. Menariknya, daripada jumlah itu, 10 unit kini ditawarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga RM129,500.
BMW R nineT 100 years itu datang dengan beberapa ciri istimewa termasuk gabungan warna metalik Black Storm dan tangki bersalut krom sebagai penghargaan terhadap model R 75/5 1969.
Kelengkapan standard yang ada pada R nineT 100 Years termasuk gabungan lampu LED dengan DRL (daytime running light), panel meter berkembar, ASC (automatic stability control), dua mod menunggang (Rain dan Road), dan penyerap hentakan belakang boleh laras (preload) dan fork depan telekskopik boleh laras.
Sementara itu, BMW R nineT 100 Years ini kekal dikuasakan enjin Boxer 1,107cc dengan penyejukan udara/minyak yang berupaya menjana 109hp dan 116Nm.
Kuasa membrek dikendalikan cakera brek berkembar depan dengan kaliper brek 4-pot dan turut dibantu sistem ABS Pro yang didatangkan secara standard.
Bagi yang mahu menjadi sebahagian daripada sejarah 100 tahun BMW Motorrad, BMW R nineT 100 Years ini pastinya wajib dimiliki.
Jenama KTM dah lama bertapak di Malaysia jadi tak hairanlah bersepah motosikal jenama Austria itu memenuhi jalan raya di Malaysia.
Model paling popular di Malaysia sudah tentu terarah pada dua model, RC200 dan DUKE 200. Ini kerana selain daripada datang dengan harga mampu milik RM15,888 dan RM13,888, kedua-dua model ini juga paling berkuasa dalam segmenya.
Untuk rekod, KTM RC200 dan DUKE 200 berkongsi enjin satu silinder 200cc dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan 26hp dan 19.5Nm.
Meskipun hadir dengan enjin yang sama namun masing-masing menawarkan perwatakan yang berbeza. Pertamanya, RC200 menawarkan pengalaman tunggangan yang ‘sporty’ dan agresif menyamai jentera ‘sportsbike’ yang dibina untuk litar lumba manakala KTM DUKE 200 pula menghadirkan gaya menunggang ala ‘supermoto’ dengan kedudukan yang menegak dan garang.
Tambahan pula, nisbah gear pada RC200 lebih panjang berbanding DUKE 200 yang menawarkan nisbah gear lebih pendek. Kedua-dua perbezaan ini secara langsung menghasilkan perwatakan berbeza.
Untuk itu, DUKE 200 merupakan senjata utama jika aktiviti hujung minggu anda adalah melapah selekoh di Bukit Tinggi atau Kuala Klawang.
Tapi jika hobi anda adalah ke litar lumba maka KTM RC200 harus menjadi pilihan utama. Ini kerana RC200 generasi terbaru itu dibangunkan dengan teknologi CFD (computational flow dynamics) yang membantu menghasilkan reka bentuk aerodinamik terbaik. Untuk rekod, teknologi sama turut diguna pakai KTM bagi pembangunan jentera di Moto3.
Tak cukup dengan itu, kedua-duanya datang dengan dua mod menunggang, Road dan Supermoto. Kedua-dua mod ini menawarkan pengalaman menunggang berbeza, dengan Road untuk kegunaan harian manakala Supermoto menghadirkan keterujaan ekstra.
Perlu dimaklumkan, dengan mengaktifkan mod Supermoto, fungsi ABS dwi-saluran di tayar belakang akan dimatikan sekaligus membenarkan penunggang untuk meluncurkan tayar belakang dengan lebih mudah.
Selain itu, kelengkapan suspensi juga cukup premium dengan kehadiran fork depan USD 43mm dari WP dan penyerap hentakan tunggal belakang juga dari WP yang boleh diselaraskan.
Dari aspek praktikal, KTM DUKE 200 paling menonjol terutamanya dengan berat (kering) diletakkan pada 140kg sahaja. Ini secara tak langsung menjadikan DUKE 200 mesra untuk kaum Adam dan Hawa.
Tak lupa juga kehadiran tangki 13.4L pada DUKE 200 turut menyumbang kepada penjimatan bahan api yang baik. Percaya atau tidak, KTM DUKE 200 boleh pergi sejauh 360km pada setiap tangki penuh.
Sementara itu, KTM RC200 juga memiliki daya penarik tersendiri. Selain daripada ciri aerodinamik ala Moto3, beberapa ciri lain pada model ‘full-fairing’ itu juga cukup mengagumkan.
Pertamanya, ‘clip-on handlebar’ pada RC200 15mm lebih tinggi berbanding generasi terdahulu sekaligus lebih selesa dan boleh diturunkan sehingga 10mm mengikut kesesuaian. Ciri ini secara tak langsung membolehkan RC200 bertukar menjadi jentera yang cukup ideal di litar lumba.
KTM memberi penekanan mendalam terhadap bahagian panel depan termasuk cermin sisi yang direka khas agar tahap aerodinamik berada pada kedudukan optimum sepanjang masa. Mencelah di antara kereta sewaktu trafik sesak juga cukup mudah.
Seperti DUKE 200, RC200 juga cukup ringan dan mudah dikendalikan hasil penggunaan kerangka treliis. Namun, bahagian subframe yang lebih kukuh membenarkan penunggang untuk melayan ‘corner’ dengan lebih yakin.
Persoalannya, yang mana satu paling sesuai dengan jiwa? Jika anda mencari jentera yang praktikal, KTM DUKE 200 pastinya pilihan utama dengan gaya duduk menegak dan tangki yang besar menjadikannya calon sesuai untuk kegunaan harian.
Bagaimanapun, jika anda mahukan jentera yang mengujakan bukan sahaja untuk kegunaan harian malah meratah selekoh di litar lumba maka RC200 harus dipertimbangkan.
Jika ciri yang ditawarkan kedua-dua model ini berjaya memancing perhatian, KTM Malaysia juga ada tawaran yang boleh membuatkan tulang rusuk anda bergetar. Ini kerana sehingga 31 Mac 2023, KTM Malaysia menawarkan penyelenggaraan percuma – termasuk minyak enjin, penapis minyak dan upah – bernilai RM1,237.
Jadi tunggu apa lagi, buat pilihan sekarang dan nikmati tawaran istimewa ini.
CFMoto bakal melancarkan 800NK tidak lama lagi setelah pra-tempahan bagi motosikal gaya ‘naked’ itu telah pun mula dibuka di Itali.
Berdasarkan maklumat dikongsikan CFMoto, terdapat dua varian yang akan ditawarkan, 800NK dan 800NK High End. Untuk rekod, versi ‘High End’ bukan sahaja datang dengan warna berbeza malah turut dilengkapi ciri ‘keyless’, quickshifter, handlebar jenis aloi aluminium dan panel meter 8-inci TFT dengan sistem multimedia MMI.
Menurut CFMoto, varian standard ditawarkan pada harga EUR7,890 (RM37k) sementara varian ‘High End’ pula datang dengan harga EUR8,490 (RM40k).
Meskipun begitu, kedua-dua varian kekal dikuasakan enjin parallel-twin LC8 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 DUKE dan menawarkan 99hp.
Untuk makluman, CFMoto kini memegang hak terhadap enjin KTM LC8 799cc dan turut menghasilkan 790 DUKE dan 790 Adventure bagi pihak KTM untuk pasaran global.
Pengeluar kereta dari China, Great Wall, bakal mengorak langkah sulung dalam penghasilan jentera dua roda berdasarkan beberapa ’spy shot’ yang mula berlegar di internet.
Menariknya, berdasarkan gambar dikongsikan jelas model prototaip itu menerapkan chasis Honda GL1800 Gold Wing. Chasis itu digunakan ekoran dianggap sesuai bagi memegang enjin yang didakwa bersesaran lebih 2,000cc.
Bahagian enjin juga jelas menampakkan penggunaan 8-silinder sekaligus memberi bayangan enjin tersebtu bukan hanya besar malah berkuasa.
Jika enjin tersebut juga dibangunkan daripada enjin 6-silinder 1800cc daripada Gold Wing maka dengan kiraan nisbah bore-strok 73mm X 73mm, enjin yang dipamerkan itu bersesaran 2,444cc dengan 8-silinder dan 32-valve.
Menurut laporan media antarabangsa, berkemungkinan besar jentera prototaip dibangunkan Great Wall itu menawarkan sekitar 168hp dan 226Nm.
Selain daripada enjin dan chasis, suspensi depan dan swingarm juga mirip dengan GL1800 Gold Wing.
Senario itu secara tidak langsung memberi bayangan mungkin terdapat kerjasama (yang belum diumumkan) antara Honda dan Great Wall sehinggakan terdapat banyak persamaan antara model prototaip itu dengan Gold Wing.
Apa yang pasti, Great Wall jelas sedang merangka pelan untuk terlibat dalam penghasilan motosikal pada masa akan datang.