Bikesrepublic

Berita Terkini

Malaysia semakin hampir untuk memintas Thailand dengan kadar kemalangan maut motosikal tertinggi dunia.

Menurut statistik oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, lebih 70.2 peratus daripada sejumlah 2,954 kemalangan maut di Malaysia membabitkan penunggang motosikal dari bulan Januari hingga Ogos tahun ini.

Sementara itu, sejak 2015 pula, sejumlah 26,316 penunggang motosikal dan pembonceng telah terbunuh dengan kadar purata berada di antara 62.7 peratus hingga 67.3 peratus.

Menurut Pengarah Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Muhammad Marizwan Abdul Mana, data terbaru oleh PDRM itu ternyata membimbangkan.

“Data terbaru ini ternyata mengejutkan kerana pada awalnya kami jangkakan kemalangan maut motosikal akan mencapai 70 peratus pada 2025,” jelasnya.

Ketika ini, Libya merupakan negara paling membahayakan untuk penunggang motosikal diikuti Thailand di tempat kedua namun sejak 2015, negara jiran itu merekodkan kes kemalangan maut motosikal tertinggi.

Mengikut laporan 2018 oleh WHO, 74 peratus daripada jumlah kemalangan maut 22,491 babitkan penunggang motosikal. – FMT

Setelah hampir setahun pelancaran global Ducati Monster 2021, akhirnya generasi baharu model itu dilancarkan di Malaysia dengan harga promosi RM69,900.

Monster 2021 itu tiba dengan tiga varian yang boleh ditinjau dengan lebih dekat di Ducati Malaysia Petaling Jaya.

Sejak Ducati memperkenalkan Monster pertama pada 1993, model itu muncul sebagai motosikal dari kilang Borgo Panigale paling popular dengan lebih 350,000 unit telah pun terjual dalam tempoh 30 tahun ini.

Kejayaan itu sekaligus menyaksikan Ducati melengkapkan DWP2021 dengan Monster selepas melancarkan Multistrada V4, Panigale V4 SP dan Diavel 1260 Lamborghini.

Bagi generasi baharu Monster, jurutera Ducati memfokuskan pembinaan dalam memberi penekanan terhadap rekaan kompak dan ringan.

Menurut Ducati, segalanya tentang Monster 2021 ini adalah serba baharu namun masih lagi mengekalkan DNA model sebelumnya antaranya rekaan tangki jenis ‘bison back’ termasuk bentuk lampu bulat yang sekali imbas tampak seperti MV Agusta Brutale atau Dragster.

Bagaimanapun, untuk 2021, Ducati menerapkan penggunaan kerangka depan jenis aluminium yang terdapat pada Panigale V4 dalam usaha merendahkan berat jenteras sekaligus menyaksikan motosikal ini menawarkan 166 kilogram.

Setiap komponen juga telah direka semula dan hasilnya rim kini 1.7kg lebih ringan, swingarm 1.6kg lebih ringan dan berat subframe turun 1.9kg hasil daripada teknologi GFRP (Glass Fibre Reinforced Polymer) sekaligus menyaksikan penurunan berat sehingga 18kg.

Ducati Monster 2021 ini juga bernadikan enjin baharu, Testastretta 937cc silinder berkembar (twin-cylinder) 11-darjah yang menjana 111hp pada 9,250rpm dan 95Nm pada 6,500rpm.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • Ducati Quickshift (up/down)
  • ABS Cornering
  • Traction control
  • Wheelie control
  • Launch control.
  • Tiga mod tunggangan; Sport, Urban dan Touring
  • Paparan TFT 4.3 ini berwarna

Monster 2021 ini boleh didapati dengan tiga warna pilihan, Ducati Red, Dark Stealth dengan rim hitam dan Aviator Grey dan rim GP Red.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin mengesahkan tidak akan beraksi di Kejuaraan Dunia MotoGP musim depan.

Menurut pelumba NTS RW Racing itu, antara faktor yang mendorong keputusan berat tersebut dibuat ekoran kesukaran mencapai keputusan yang diinginkan.

“Saya dah buat sehabis baik tapi saya dan pasukan tidak tahu cara macam mana lagi untuk tingkatkan prestasi jentera,” jelasnya.

Pada masa sama, Hafizh akui faktor kekangan kewangan juga mendorong dirinya membuat keputusan tersebut setelah lapan tahun berkelana di Kejuaraan Dunia.

“Walaupun ramai yang harap saya kekal tetapi saya juga perlu memikirkan masa depan saya,” tambahnya.

Bagi pelumba berusia 27 tahun itu, dia enggan kekal di Kejuaraan Dunia semata-mata untuk membawa dana dan tajaan bagi pasukan Eropah sedangkan prestasi jentera tidak memuaskan.

Sementara itu, Hafizh tidak menolak peluang untuk beraksi di kejuaraan lain antaranya di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC). – HM

Suzuki dilaporkan sedang giat membangunkan platform parallel-twin 700cc bagi generasi baharu SV650 dan V-Strom 650.

Perkara itu disahkan menerusi paten baharu yang telah difailkan di Jepun dan bakal menggantikan enjin V-Twin 650cc yang diguna pakai pada generasi baharu SV650 dan V-Strom 650.

Enjin parallel-twin sememangnya semakin popular dikalangan pengeluar motosikal dunia ketika ini.

Kawasaki merupakan antara syarikat yang sekian lama mempertaruhkan enjin parallel-twin menerusi Ninja 650, Z650 dan terbaru Z650 RS.

BMW juga beralih kepada enjin parallel-twin bagi model F 900 R, F 900 XR, F 750 GS dan F 850 GS manakala Aprilia turut mengorak langkah dengan menggantikan enjin V-Twin pada Shiver dan Dorsoduro dengan parallel-twin bagi model terkini, RS 660, Tuono 660 serta Tuareg 660.

KTM juga mengaplikasikan platform sama dengan enjin LC8 menerusi 890 Duke dan 890 Adventure sementara Honda ikut langkah sama pada CRF1100L Africa Twin, Rebel 1100 dan akan datang NT1100.

Sebelum ini, ramai berpendapat bahawa enjin parallel-twin kurang digemari ekoran tidak menghasilkan kuasa dan bunyi enjin yang mengujakan.

Namun, beberapa pengeluar antaranya Aprilia dan BMW telah pun mengatasi senario tersebut dengan menerapkan sistem crank 270-darjah yang sekaligus membantu menghasilkan daya menyamai enjin V-Twin 90-darjah.

KTM pula mengatasi isu tersebut dengan crank 285-darjah lalu menyamai enjin V-Twin 75-darjah.

Bukan itu sahaja, pemilihan platform parallel-twin juga merupakan alternatif yang lebih kompak serta menggunakan komponen yang lebih sedikit berbanding V-Twin.

Tidak lupa juga, proses penyelenggaraan juga lebih murah berbanding platform enjin lain lantas menjadikan parallel-twin pilihan yang lebih relevan untuk jangka masa panjang.

Pada masa sama, paten terbaru itu turut memaparkan Suzuki menempatkan kotak udara di bawah tempat duduk berbanding bawah tangki.

Tindakan itu adalah bagi memudahkan pertukaran penapis udara (air filter) dapat diakses dengan lebih mudah sekaligus memastikan kos servis berada pada tahap minima.

Bagaimanapun, buat masa ini masih tiada perkabaran rasmi bilakah enjin parallel-twin 700cc ini akan diperkenalkan namun melihat kepada paten sedia ada, masa itu akan tiba tidak lama lagi.

Kalendar MotoGP musim 2022 bakal menyaksikan 21 perlumbaan diadakan dengan Qatar menjadi tuan rumah aksi pembukaan pada 6 Mac.

Musim 2022 menyaksikan pusingan perlumbaan dipanjangkan dengan penyertaan Kymiring di Finland dan Litar Mandalika, di Lombok, Indonesia.

Pusingan pembukaan akan berlangsung dengan perlumbaan waktu malam di Litar Losail, Qatar sebelum berangkat terus ke Indonesia bagi pusingan kedua.

Bagaimanapun, Litar Mandalika masih lagi tertakluk kepada homologasi di samping masih lagi terpalit dengan isu rampasan tanah orang asli dan mendapat kecaman Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pusingan ketiga bakal berlangsung di Argentina selepas litar tersebut dikecualikan sebelum ini ekoran pandemik dan insiden kebakaran yang berlaku di sebahagian kawasan litar.

MotoGP akan kembali ke Texas, Amerika Syarikat sebelum terbang ke Eropah bagi aksi di Portugal, Sepanyol, Perancis dan Itali.

Dua minggu kemudian, aksi bersambung di Litar Catalunya, Jerman, Belanda, dan Finland sebelum cuti musim panas.

Saingan MotoGP kembali bersambng di Silverstone pada Ogos diikuti Red Bull Ring, Misano dan Aragon sebelum terbang ke Asia bagi GP Jepun, Thailand, Australia dan Malaysia.

Litar Antarabangsa Sepang dijadual melangsungkan GP Malaysia pada 23 Oktober 2022 setelah terlepas dua musim sebelum ini ekoran pandemik dan kekangan perjalanan.

Musim 2022 akan menutup tirai pada 6 November di Valencia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, telah pun merasmikan pembukaan Laluan Central Spine Road (CSR).

CSR merupakan laluan yang cukup penting bagi mengatasi masalah sesak jalan di bandar Bentong.

Projek CSR ini yang melibatkan persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 ke Lebu telah menelan belanja sekitar RM631.98 juta dan telah pun siap sepenuhnya pada April lalu.

Menurut Fadillah, jumlah jajaran CSR yang dibuka kepada pengguna setakat ini adalah 89.25 kilometer.

“Berdasarkan kajian, projek ini dapat memendekkan jarak perjalanan dan menjimatkan perjalanan daripada 45 minit kepada 20 minit yang mana selain menjadi laluan alternatif ia akan mengurangkan kesesakan trafik di bandar Bentong terutamanya pada waktu puncak, musim perayaan dan cuti sekolah.

“Projek ini juga akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna ke pantai timur dan mampu menjana ekonomi di kawasan Pahang barat khususnya kepada sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana,” jelas Fadillah.

Projek Jalan CSR adalah inisiatif baharu dalam menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 306.8 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur dengan kos keseluruhan menelan RM7.3billion. – UTUSAN

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube