Bikesrepublic

Berita Terkini

Husqvarna bakal menghidupkan semula model ikonik Nuda tidak lama lagi setelah jentera prototaip tersebut dilihat sedang menjalani ujian di Eropah. 

Berdasarkan gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan media Jerman, Motorrad, generasi terbaru Nuda itu dilihat dikuasakan enjin LC8c 890cc milik KTM. 

*sumber: Motorrad

Mengambil kira jenama Husqvarna kini dibawah kendalian KTM AG, maka bukan satu kejutan bahawa model serba baharu itu meminjam beberapa kelengkapan daripada jentera KTM. 

Pertamanya, penggunaan kerangka trellis yang mirip dengan KTM 890 DUKE R namun dipadankan dengan suspensi yang lebih premium. Juga boleh dilihat adalah swingarm aluminium yang juga diambil dari KTM. 

Bagaimanapun, lampu ikonik Nuda jelas kelihatan pada model prototaip tersebut sekaligus menjadi perbezaan utama antara jentera Husqvarna dan KTM. 

Jika ada yang berasa kurang yakin bahawa prototaip tersebut merujuk kepada jentera Husqvarna, lihat sahaja pada jaket kulit yang dipakai penunggang uji dalam gambar tersebut sebagai bukti. 

Untuk rekod, Husqvarna memperkenalkan Nuda 900R pada 2012 dan dibina ketika jenama motosikal Sweden itu masih dibawah BMW. Ketika itu, model tersebut dikuasakan enjin sama dengan BMW F800 dan menghasilkan sekitar 100hp. 

Ekoran daripada pengeluaran Nuda diberhentikan tidak lama selepas itu, motosikal naked dengan gaya ‘supermoto’ itu bingkas menjadi antara permata dalam dunia dua roda.

Apa yang pasti, Husqvarna Nuda bakal kembali dan melihat kepada keadaan jentera yang hampir siap sepenuhnya pastinya model itu akan membuat penampilan rasmi tidak lama lagi sebagai model keluaran 2024. 

Jenama kereta elektrik popular Amerika Syarikat, Tesla Motors sah akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. 

Perkara itu disahkan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Zafrul dalam satu perkongsian di media sosial.

Menurut siaran media MITI, Tesla akan menubuhkan pejabat bersama Tesla Experience dan pusat servis serta rangkaian ‘supercharger’. 

Menariknya, Tesla Motors merupakan pemohon pertama bagi inisiatif BEV Global Leaders yang ditubuhkan MITI. 

Khabar angin mengenai kemasukan Tesla ke Malaysia mula berlegar bulan lalu menerusi semakan di SSM yang mendedahkan Tesla Services Sdn Bhd telah ditukar nama kepada Tesla Sdn Bhd. 

Berikut siaran media dikeluarkan MITI:

Untuk rekod, 100 peratus pegangan Tesla Sdn Bhd adalah milik sepenuhnya Tesla International BV. 

GPX Malaysia dengan rasminya memperkenalkan GPX Legend 250 Twin II 2023 yang telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu. 

Bagi tahun 2023, Legend 250 Twin II ini datang dengan pilihan warna Forest Green yang sertai warna Gray dan Black yang diperkenalkan sebelum ini. Model 2023 ini juga ditawarkan pada harga RM13,888. 

Untuk rekod, GPX Legend 250 Twin II telah pun memasuki pasaran tempatan pada Ogos tahun lalu menerusi pengedar rasmi, GPX Malaysia. 

Jenama motosikal Thailand itu memperkenalkan GPX Legend 250 Twin II secara rasmi di pasaran negara itu pada September 2020 namun ekoran faktor logistik dan pandemik yang melanda dunia ketika itu berlaku kelewatan terhadap pengenalan model itu disini. 

GPX Legend 250 Twin II dikuasakan enjin dua silinder 234cc dengan suntikan bahan api (GPX FI) yang berupaya menghasilkan sekitar 19hp dan 15Nm pada 6,500rpm. 

Meskipun bergaya retro, GPX Legend 250 Twin II ini masih dilengkapi ciri moden antaranya cakera brek berkembar 276mm depan dan cakera brek tunggal 220mm di belakang. Sistem brek pula hadir menerusi kaliper brek 4-pot depan dan 1-pot belakang. 

Selain itu, kelengkapan suspensi pula hadir menerusi fork USD depan dan penyerap hentakan berkembar belakang dari YSS. 

Ciri menarik lain ditawarkan termasuk:

  • panel meter digital LCD 
  • lampu LED penuh dengan DRL di depan
  • tangki 14.5L
  • ‘tank pad’ 

Dua individu telah berjaya diberkas pihak polis setelah dikenal pasti antara yang terlibat dengan aktiviti lumba haram di Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), pada Isnin. 

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Aissten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. 

Memetik laporan Sinar Harian, aktiviti lumba haram itu berlangsung antara jam 12.30 malam hingga 1.30 pagi Ahad. 

“Siasatan dijalankan mendapati enam buah Proton Satria melakukan aksi berlumba bermula dari Plaza Tol Denai Alam sehingga susur ke Pulau Angsa Lebuhraya DASH dan berpatah balik melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam.

“Dua suspek berumur antara 20 sehingga 29 tahun dipercayai terlibat dalam perlumbaan ini telah diberkas selain kereta yang dimiliki kedua-dua suspek dirampas,” jelasnya. 

Dalam pada itu, polis sedang berusaha untuk mengesan individu lain yang terlibat dalam aktiviti lumba haram itu. 

Kebelakangan ini Lebuhraya DASH menjadi tumpuan dikalangan peminat kereta sebagai tapak pertemuan dengan pemilik kereta lain namun ada segelintir yang mengambil peluang dengan melakukan aktiviti dilarang termasuk lumba haram dan drift. – Sinar Harian

Jenama jam tangan Jepun, Kentex telah berkolaborasi dengan Suzuki bagi menghasilkan dua jam tangan edisi terhad yang diinspirasikan daripada jentera GSX-R dan Katana. 

Terhad kepada 300 unit (bagi setiap edisi), dua jam tangan tersebut dibina berdasarkan jam tangan Kentex MOTO-R yang telah pun dihasilkan sejak 2018. 

Bagaimanapun, peminat Suzuki yang mahukan jam tangan tersebut perlu menjalani proses cabutan bertuah terlebih dahulu sebelum berpeluang membelinya dengan harga JPY45,900 (RM1.6k). 

Menurut Kentex, setiap jam tangan tersebut turut didatangkan dengan ukiran nombor unit penghasilan. 

Menariknya, setiap ciri pada jam tangan tersebut mengambil kira faktor penunggang motosikal termasuk mengalihkan butang pada jam ke sebelah kiri agar tidak menganggu operasi menunggang motosikal. 

Pemenang cabutan bertuah adakan diumumkan pada 1 Mac 2023 dengan hanya satu unit dibenarkan untuk dibeli bagi setiap pelanggan. 

Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan sebuah kereta berwarna hitam membuat aksi membahayakan di sekitar Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) Denai Alam. 

Sehubungan dengan itu, pihak Projek Lintasan Damansara-Shah Alam (PROLINTAS) yang merupakan pemegang konsesi Lebuhraya bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) telah bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JST) PDRM bagi menyiasat kejadian tersebut. 

PROLINTAS dalam satu kenyataan juga memaklumkan terdapat kesan tayar kenderaan ditinggalkan dikawasan kejadian. 

Dalam pada itu, video tular di sosial media itu jelas menunjukkan sebuah kereta jenis Nissan 180SX membuat donut dan ‘drift’ di kawasan berkenaan. 

Difahamkan, sekitar kawasan RSA Denai Alam itu kini menjadi tumpuan peminat kereta berkumpul di sebelah malam. Tinjaun di ruangan komen juga mendapati penduduk di kawasan sekitar juga kurang senang dengan aktiviti itu ekoran terdapat segelintir yang gemar membuat aksi ‘pop’ dan ‘bang’ di kawasan berkenaan. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube