Apa kata kita bincangkan tajuk lengan ayun sebelah (single sided swingarm) setelah tular satu video tidak lama dahulu?
Video tersebut bermula dengan seorang penunggang motosikal yang menunggang bersama pemboncengnya, apabila pembonceng itu kelihatan cemas dengan tiba-tiba. Kamera kemudian berpusing ke sebelah kanan dan ketika itulah kelihatan sebiji tayar bersama rimnya bergerak sendiri dan memotong motosikal mereka. Video itu ditamatkan dengan adegan sebuah Ducati Hypermotard yang dibaringkan di atas jalan tanpa roda belakangnya.
Seperti biasa, netizen bertindak cepat dan mengemukakan komen mereka. Ada yang membuat lawak, ada yang membahan, dan ada juga yang menawarkan sebab terjadinya insiden tersebut.
Tetapi ada satu komen yang menarik perhatian kami. Beliau berkata, “Kelemahan single arm.” Komen beliau dibahan oleh beberapa netizen yang lain.
Sebenarnya, ada kebenaran di dalam komennya. Tetapi sebelum kami meneruskan rencana ini, kami ingin menegaskan bahawa insiden ini amat jarang berlaku. Selain daripada itu, bukan Ducati sahaja yang menggunakan lengan ayun sebelah, malah BMW, Honda, Moto Guzzi, KTM, CFMoto, MV Agusta, Triumph, serta skuter turut menggunakan ciri ini.
Apakah kelebihan utama untuk lengan ayun sebelah?
Kelebihan utama untuk lengan ayun sebelah ialah ciri penanggalan dan pemasangan semula roda belakang dengan cepat. Anda hanya perlu melepaskan nat atau bolt dan roda dapat ditanggalkan tanpa mengganggu penjajaran (alignment) rantai, sproket, dan kaliper brek kerana komponen-komponen ini dipasang pada braket yang berasingan. Sama juga apabila roda dipasang kembali.
Terdapat satu spindel/gandar yang tebal dan pendek untuk meletakkan roda di tempatnya (lihat gambar di bawah).
Mendiang Massimo Tamburini mereka Ducati 916 dengan lengan ayun sebelah dengan mengambil kira kelebihan ini kerana Ducati bercadang hendak melumbakan motosikal tersebut di dalam acara-acara lasak (endurance). Tamburini juga pernah berkata yang beliau mendapat ilham daripada Honda NR750 yang menggunakan swingarm sebelah. Selain daripada itu, lawan terdekat 916 ialah Honda RC30 dan kemudiannya RC45 yang turut digunakan di dalam perlumbaan endurance selain daripada World Superbike.
Tamburini juga berkata pengunaan swingarm sebelah membuatkan roda belakang seakan terapung dan tidak disambungkan kepada motosikal. Setelah itu, Ducati bersambung dengan penggunaan swingarm sebelah sehingga hari ini.
Lengan ayun dua belah pula…
Sebaliknya, pemasangan roda belakang pada lengan ayun dua belah (konvensional) memerlukan satu spindel (rod) dimasukkan bagi menyambungkan kedua-dua belah.
Kita kenalah menarik keluar spindel itu, lepaskan rantai daripada sproket, dan lepaskan cakera brek daripada kaliper.
Oleh itu, rantai dan gandar belakang perlu dijajarkan kembali apabila roda belakang dipasang semula. Proses ini hendaklah dijalankan dengan cermat kerana roda belakang yang tidak dijajarkan dengan sempurna akan menyebabkan masalah kehausan tayar, rantai, dan pad brek yang tidak normal. Selain daripada itu, motosikal juga akan mengalami masalah pengendalian.
Namun, bergantung kepada rekaan blok penjajar lengan ayun, roda belakang mungkin tidak akan tercabut terus kerana dipegang oleh rantai dan braket kaliper brek, jika nat pengunci tercabut. Penunggang masih berpeluang untuk merasakan sesuatu tidak betul seperti bahagian belakang motosikal yang cuba bergerak ke arah yang lain.
Memang ada insiden di mana roda belakang tercabut daripada lengan ayun biasa dua belah.
Penutup
Jadi, adakah lengan ayun sebelah merbahaya?
Semua solusi kejuruteraan mempunyai kompromi. Oleh itu roda belakang dikunci dengan nat yang besar atau beberapa bolt serta pin. Tork pengetatan wajib betul oleh itu gunakanlah spanar tork!
Kami ingin tegaskan sekali lagi bahawa ini merupakan suatu kejadian luarbiasa. Apapun, periksalah motosikal anda sebelum memulakan perjalanan.