Bikesrepublic

Berita Terkini

Pengeluar ECU TuneBoss, FSR Technology memperkembangkan ciri keselamatan motosikal dengan melancarkan ATAS (Accidental Throttle Activation Safety) khas bagi Yamaha 135LC Fi terbaru.

ATAS berfungsi dengan mengelakkan daripada pecutan yang tidak disengajakan sewaktu enjin dihidupkan tatkala penunggang tidak sedar motosikal berada dalam gear.

Menurut FSR Technology, sistem ATAS disertakan dalam ECU TuneBoss bagi 135LC Fi ini juga akan menyekat enjin daripada dihidupkan sekiranya mengesan ‘throttle’ dibuka 10 peratus.

Lampu enjin akan menyala bagi memaklumkan ‘throttle’ telah dibuka dan motosikal hanya boleh dihidupkan selepas ‘throttle’ berada di bawah 10 peratus.

Sementara tiu, ECU TuneBoss juga disertakan dengan ciri ‘Engine Immobilizer’ yang boleh diaktifkan menggnakan aplikasi TuneBoss Manager Pro.

Bagi yang berminat, ECU Stage 1 bagi Yamaha 135LC Fi ditawarkan pada harga RM399 dan boleh dinaik taraf ke Stage 2 yang memberikan julat penalaan yang lebih terperinci bagi pemetaan bahan api.

Menariknya, fungsi ATAS ini juga akan diserapkan kepada semua ECU TuneBoss secara standard bagi model lain pada masa akan datang.

Ducati telah berkongsi imej terkini mengenai jentera prototaip elektrik sulung yang akan dibekalkan sebagai jentera lumba rasmi MotoE World Cup bermula 2023.

Pengeluar motosikal berprestasi tinggi dari Itali itu giat membangunkan jentera elektrik serba baharu sejak diumumkan sebagai pembekal utama MotoE bermula 2023 menggantikan Energica Ego yang diguna pakai sejak 2019.

Selepas didedahkan kepada umum menerusi sesi pra-ujian pada Disember lalu, Ducati akhirnya mendedahkan video dan gambar yang lebih terperinci mesin MotoE – kod nama V21L – menjalani sesi ujian di Litar Vallelunga, Itali.

Bekas pelumba MotoGP, Alex de Angelis dan pelumba uji Ducati, Michelle Pirro dipertanggungjawabkan untuk menguji jentera serba baharu itu.

Walaupun ini merupakan percubaan sulung Ducati dalam pembangunan jentera elektrik, Pengarah eMobility Ducati, Roberto Cane mendakwa syarikat itu tidak pernah berhenti dalam proses pembangunan.

“Sejak kami membawa prototaip Ducati MotoE untuk sesi ujian kali pertama, projek pembangunan tidak pernah berhenti walaupun untuk sektika.

“Usaha keras pasukan telah membuahkan hasil dan memberi kami kepuasan.

“Dalam tempoh empat bulan sahaja, prototaip kami telah berjaya mendominasi beberapa litar utama di Itali di samping memberikan respon yang positif. Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan tapi kami berada di landasan betul,” jelasnya.

Sementara itu, musim 2022 MotoE – yang juga musim terakhir bersama mesin Energica – akan membuka tirai pada 30 April ini.

Siapa tak kenal Abang Viva? Hamba Allah yang mencuri tumpuan apabila giat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir kilat yang melanda negara bermula Disember lalu.

Ke hulu hilir sambil memandu Perodua Viva dan beratapkan bot kecil, pengorbanan Abang Viva – atau nama sebenar Azwan Omar – sememangnya dihargai.

Umum sedia maklum baru-baru ini Abang Viva telah menerima sumbangan berupa trak pikap sebagai usaha membantu kegiatannya menghulur bantuan kepada mereka yang terjejas banjir.

Bagaimanapun, sejak itu kelibat kereta ikonik Perodua Viva tidak lagi kelihatan.

assalam..untk org yg brtnyakan dmana viva…haa ni nk update skit…viva msih lgi dlam proses perubatan di hosp Pusat…

Posted by Azwan Omar on Friday, 15 April 2022

Dalam perkembangan terbaru oleh tuan punya badan, rupa-rupanya Perodua Viva miliknya sedang menjalani proses restorasi dan baik pulih di Pusat Servis Perodua Bachang.

Berdasarkan info dikongsikan di Facebook, proses baik pulih itu ditaja sepenuhnya pihak Perodua.

Ini sekaligus memberi bayangan bahawa Perodua Viva milik Abang Viva akan kembali beraksi dalam keadaan siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Pada masa sama, perkembangan ini menamatkan dakwaan yang dia telah menjual kereta Viva tersebut.

Pengeluar skuter Itali, Vespa telah pun memperkenalkan sebuah model khas hasil kolaborasi dengan jenama fesyen terkemuka, Christian Dior pada Jun 2020.

Dilancarkan sebagai model edisi terhad, kelibat model itu ternyata sukar untuk dijumpai.

Bagaimanapun, bagi yang berminat untuk menambah koleksi motosikal yang amat ‘rare’, Vespa Kuala Lumpur mempunyai satu unit Vespa 946 X Dior ini untuk dilepaskan.

VESPA 946 ❌ CD . Ready stock, beli harini esk amik bwk balik simpan rumah. Very The Limited Model guyss Selling price :…

Posted by Vespa Kuala Lumpur on Thursday, 14 April 2022

Namun, perlu dimaklumkan bahawa Vespa 946 X Dior itu ditawarkan pada harga RM1XX,000!

Menurut perkongsian di Facebook Vespa Kuala Lumpur, model edisi terhad itu sudah pun tersedia ‘ready stock’ dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi nombor tersedia.

Vespa 946 merupakan model perdana (flagship) dalam keluarga Vespa dan merupakan skuter pilihan pereka Itali, Giorgio Armani.

Sejak itu, Vespa 946 terus hidup sebagai model edisi terhad hasil kolaborasi dengan beberapa nama besar.

Vespa 946 X Dior ini menampilkan warna ‘beige’ dan keemasan di samping logo Dior yang terpapar di bawah tempat duduk.

Setelah beberapa bulan penantian, akhirnya Boon Siew Honda melancarkan Honda RS-X edisi Repsol untuk pasaran tempatan.

Menurut BSH, sejak RS-X membuat penampilan pada November tahun lalu, sambutan yang diterima cukup menakjubkan.

Bagi tahun 2022, BSH meningkatkan tahap sporty RS-X dengan livery dan grafik Repsol yang diinspirasikan oleh pasukan Repsol Honda di MotoGP.

Menurut BSH, hanya 5,000 unit Honda RS-X edisi Repsol dihasilkan untuk pasaran tempatan dan ditawarkan pada harga RM9,948.

Bagaimanapun, spesifikasi utama termasuk enjin masih lagi kekal sama dengan RS-X dikuasakan enjin satu silinder 150cc DOHC dengan penyejukan cecair (Euro4) yang menawarkan 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm pada 7,000rpm.

Pengeluar motosikal elektrik, Trouve, telah pun mendedahkan ‘teaser’ pertama yang merujuk kepada model H2, sebuah skuter maxi elektrik pertama yang akan dilancarkan di India.

Dilabel sebagai skuter maxi hyper, Trouve H2 menawarkan motor dengan penyejukan cecair, transmisi satu kelajuan, fork depan USD dan penyerap hentakan tunggal di belakang.

Menurut Trouve, H2 ini juga menyokong keterhubungan 4G.

Bagaimanapun, aspek paling mencuri tumpuan adalah kuasa yang ditawarkan dengan Trouve mendakwa H2 ini mampu merekodkan 0 ke 60km/j kurang 4.3 saat hasil penggunaan motor berkuasa.

Bukan itu sahaja, Trouve H2 ini juga mampu mencapai jarak antara 130 hingga 230km, bergantung kepada kelajuan motosikal.

Menurut laporan di India, Trouve H2 ketika ini sedang dibangunkan di pusat penyelidikan dan pembangunan di Bangalore, India.

Dijadualkan untuk pelancaran pada 2023,. H2 ini juga akan dilengkapi lampu LED penuh, kaliper 2-piston dan rim 14-inci.

Tempahan bagi Trouve H2 akan mula dibuka pada Ogos 2022 dengan pelancaran rasmi dijadualkan berlangsung pada separuh pertama 2023.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube