Bikesrepublic

Berita Terkini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan penganjur dan peserta acara RXZ Members 6.0 yang akan bermula di Terengganu hari ini supaya mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa, sebagaimana dipersetujui antara kedua-dua pihak sebelum ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya juga tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) bagi menjamin kelancaran penganjuran program yang memasuki kali keenam itu.

“Kali ini, JPJ Terengganu bersama Polis Terengganu serta pihak berkuasa lain yang berkaitan mengambil langkah awal dengan mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur dan memberikan garis panduan yang jelas berhubung penganjuran program.

“Kita telah memberikan syarat-syarat yang perlu dipatuhi, dan JPJ akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memantau perhimpunan itu agar berlangsung sebagaimana diarahkan,” katanya.

Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah memastikan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu dan cukai jalan, motosikal tidak diubah suai secara fizikal yang menyalahi undang-undang serta plat motosikal mematuhi spesifikasi ditetapkan selain ekzos motosikal tidak diubah suai.

“JPJ bukan sengaja ingin mencari kesalahan, malah kami juga mahu program berjalan lancar namun dalam masa yang sama, kita juga perlu pastikan semua penggguna jalan raya yang lain selamat bukan sahaja mereka yang menyertai himpunan tersebut,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin dilaporkan berkata pihaknya telah memberi garis panduan yang jelas kepada penganjur menerusi empat siri mesyuarat penyelarasan bersama jabatan lain termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), JPJ Terengganu dan Lembaga Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan penganjur perlu mematuhinya jika mahu program itu diteruskan pada tahun hadapan.

Program RXZ Members 6.0 yang akan diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus hari ini sehingga Sabtu dijangka menarik penyertaan 80,000 peserta dari seluruh negara.

Sebagai seorang wartawan motosikal sejak 1998 dan telah menunggang banyak motosikal, saya sentiasa ditanya yang mana kegemaran saya atau yang mana satu akan saya cadangkan untuk dimilikki. Dan memandangkan ini adalah ulasan untuk Triumph Speed ​​400 yang baharu, ia adalah kesimpulan yang memihak kepadanya, bukan? Anda perlu membaca sehingga habis untuk mengetahui, sama seperti filem Coen Brothers.

Pengenalan Triumph Speed 400?

Speed ​​400 adalah salah satu daripada dua varian dalam rangkaian model 400cc baharu Triumph, hasil kerjasama mereka dengan Bajaj Auto yang bermula bertahun-tahun lalu. Rangkaian ini dilihat sebagai titik permulaan ke dalam keluarga Triumph, dan kedua-duanya mengambil bentuk Bonneville klasik moden.

Rangkaian 400cc ini yang terdiri daripada Speed ​​400 dan Scrambler 400 X yang menggunakan dengan enjin 398cc, silinder tunggal, DOHC, 4 injap yang menghasilkan 39.5hp pada 8,000 RPM dan tork 37.5Nm pada 6,500 RPM. Jangan silap, ini adalah enjin Triumph sepenuhnya, tidak seperti enjin Dominar 400 yang berkongsi sebahagian daripadanya dengan KTM 390 Duke.

Mungkin kita perlu mengulangi bahawa rangkaian ini dibina oleh Bajaj, tetapi motosikal itu pastinya Triumph.

Apa yang kami suka, Nombor 5: Mudah untuk didalami

Sebelum ini, motosikal tidak dibahagikan ke dalam kategori yang berbeza. Motosikal seperti Bonneville adalah satu-satunya jenis motosikal, oleh itu anda boleh melabelkannya sebagai “motosikal standard.” Motosikal-motosikal ini tulen dalam erti kata bahawa terdapat dua roda, enjin, tangki bahan api, pelana, bar hendal, peletak kaki.

Maksudnya, motosikal tidak tidak rumit dan mudah untuk didalami. Anda hanya perlu duduk di atasnya, hidupkan enjin, dan jalan.

Triumph Speed ​​400 merangkumi pendekatan ini dengan sempurna. Tidak perlu bersusah payah dengan pemetaan enjin, tahap kawalan cengkaman, sambungan telefon pintar anda.

Anda hanya perlu menunggang.

Perkara yang kami suka, Nombor 4: Ciri-cirinya

Walaupun ini kelihatan seperti percanggahan dengan Nombor 5, ia adalah satu keperluan. Speed ​​400 mungkin sebuah model peringkat permulaan, tetapi ia mempunyai beberapa ciri moden yang “tersembunyi”.

Enjinnya adalah moden keseluruhannya dan mempunyai ciri EFI dan penyejukan cecair, serta mematuhi Euro 5. Begitu juga, suspensi terdiri daripada fork terbalik (walaupun tidak boleh laras) dan monoshock di bahagian belakang, sama seperti Bajaj Dominar 400. Panel meter kelihatan klasik dengan meter kelajuan yang besar, tetapi terdapat meter RPM yang kecil di bahagian tepi. Terdapat kawalan cengkaman yang boleh dihidupkan atau dimatikan, tetapi tiada mod tunggangan. Brek adalah Bybre dan ABS ialah dwi-saluran. Terdapat juga port pengecasan USB, diletakkan dengan bijak di belakang dan betul-betul di bawah panel meter.

Apa yang kami suka, Nombor 3: Enjinnya

Enjin mempunyai daya pecutan yang amat kuat. Ia meligat dengan pantas sehingga ia melahap tiga gear pertama dengan serta-merta, dan menyebabkan kami melanggar pengehad putaran pada kali pertama kami menunggang motosikal. Malah enjin ini terus memecut motosikal dengan kuat di gear ke-6 daripada 6,000 RPM dan seterusnya ke kelajuan tertingginya sekitar 160km/j.

Penyebaran tork yang baik adalah ciri semua motosikal Triumph, justeru membolehkan anda memecut dengan kuat dari mana-mana titik anda berada dalam julat RPM, dalam sebarang gear. Hasilnya, menunggang di dalam kesesakan trafik tidak menjadi masalah mahupun mendaki laluan ujian KL-Genting Highlands.

Semasa menguji di jalan Genting Highlands, ia memerlukan lebih banyak penukaran gear daripada motosikal yang lebih besar, tetapi tork enjin sentiasa ada untuk memecut kuat dari selekoh yang lebih tajam. Tetapi kerana ia adalah kapasiti yang lebih kecil, anda tidak takut untuk membuka pendikit, berbanding dengan motosikal berkapasiti lebih besar di mana anda perlu menilai tindakan pendikit, brek, dan stereng anda dengan lebih kritikal agar tidak terbabas.

Tindakbalas pendikit motosikal ini mat lancar – sekali lagi, ciri semua Triumph – bermakna motosikal itu bertindak balas tepat mengikut gerakan pergelangan tangan. Dan ini menjadikan ia sangat menyeronokkan ketika mendakai dan turun Genting Highlands.

Enjin itu juga boleh bergerak pada 130km/j (8,000 RPM) sepanjang hari tanpa bunyi seperti enjin akan meletup.

Perkara yang kami suka Nombor 2: Pengendaliannya!

Kami telah mengatakan ini berulang kali: Triumph menghasilkan motosikal dengan pengendalian terbaik dan Speed ​​400 ini tidak terkecuali. Malah, ia adalah Triumph dengan pengendalian terbaik!

Sekali lagi, ketika mendaki gunung, apa yang perlu kami lakukan ialah hanya perlu “baling” motosikal dalam ke mana-mana selekoh. Nampak selekoh, “baling.” Nampak lagi selekoh lain, “baling.” Bar hendal yang lebar membuat countersteering mudah kerana ia bertindakbalas serta-merta kepada input kami.

Suspensinya mungkin kelihatan agak asas tetapi ia benar-benar menyerap semua bonggol dan lubang di jalan itu. Kami agak khuatir pada mulanya tetapi mendapati bahawa tiada sebarang ketidaksempurnaan jalan selain daripada bonggol kelajuan boleh menyebabkan basikal itu keluar dari garisan selekohnya.

Mangsa pertama ialah pemandu sebuah VW Golf R32 yang cuba berlumba dengan kami. Dia hilang selepas dua selekoh sahaja. Seorang lagi pemandu Proton X50 beranggapan dia boleh melakukan perkara yang sama, sehingga dengan cuba memaksa kami dari garisan selekoh. Dia juga mengalah selepas dua selekoh.

Dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur, seorang penunggang KTM 390 Duke mengejar tetapi tertinggal selepas bahagian yang terdiri daripada selekoh “S”. Seterusnya ialah kumpulan yang terdiri daripada Honda CBR250R, Yamaha YZF-R25, dan beberapa Yamaha Y16ZR. Mereka tidak dapat bersaing selepas kami “baling” Speed ​​400 melalui yang sebuah selekoh yang licin dan dengan jejari selekoh yang mengecil (decreasing radius).

Di atas lebuhraya SPE, seorang penunggang BMW R 1200 GS melihat kami di cerminnya dan membuka pendikit. Sudah tentu, kami tidak dapat bersaing dalam garis lurus kerana kekurangan kuasa enjin, tetapi kami berjaya berpaut di belakangnya di selekoh ketika kami “membaling” motosikal ke dalam selekoh pada kelajuan antara 120-130km/j tanpa melepaskan pendikit. . Dia terkejut melihat kami masih di belakang apabila jalan diluruskan dan dia melepaskan minyak untuk melihat motosikal apa ini.

Ini tidak akan menjadi satu titik perbincangan jika Speed ​​400 adalah motosikal sport, tetapi ia adalah sebuah klasik moden standard. Berbanding dengan 390 Duke, Duke memerlukan lebih banyak komitmen dan penunggang yang mahir dan berpengalaman untuk menunggangnya dengan pantas, sedangkan kami berpendapat hampir semua orang boleh menjadi pantas pada Speed ​​400. Ya, saya tidak teringat saya tidak dapat mendaki dan turun Genting sepantas ini walaupun degnan menunggang Triumph Street Triple 765 RS!

Untuk meletakkannya dalam perspektif, ia seperti menunggang motosikal 250cc naked dengan suspensi yang dilaras dengan baik.

Perkara yang kami suka, Nombor 1: Kebolehan untuk segalanya

Ciri-ciri hebat, enjin, pengendalian, semuanya diletakkan dalam pakej yang praktikal. Tempat duduknya rendah dan selesa, dengan hendal diletakkan pada ketinggian yang betul. Breknya bagus walaupun memerlukan tarikan yang lebih kuat, dan aksi klacnya amat lancar. Gear dimasukkan dengan padu. Motosikal ini ringan di dalam spesifikasi dan dapat dirasai serta-merta. Ia bergerak pantas serta-merta apabila kami mahu menunggang laju, dan bergerak dengan tenang apabila kami mahu bersantai.

Anda boleh memasang beg tangki dan beg sisi untuk berjalan jauh. Enjinnya jimat bahan api, justeru memerah 300+km daripada 12 liter.

Dan semua ini, dengan hanya RM26,900 (harga jualan) yang meletakkannya sebagai sebuah pencabar hebat dalam segmen 250cc-400cc.

Kekurangan

Sudah tentu ada, tetapi ia mungkin disebabkan oleh kesukaan dan gaya tunggangan seseorang penunggang.

Pertama, tiga gear pertama terlalu pendek dan ruang dari gear ketiga hingga keempat lebar sedikit. Itu menyebabkan kami terpaksa menukar naik dan turun gear antara ketiga dan keempat semasa dalam trafik. Ini boleh diperbaikki dengan menukar sproket hadapan kepada sproket yang lebih besar satu gigi, atau mengecilkan sproket belakang dengan dua gigi. Ia boleh menjadikan enjin berjalan pada RPM lebih rendah semasa bersantai, dan membantu untuk meninggikan kelajuan ke dalam selekoh.

Kedua, kami mengesan suntikan bahanapi yang tidak lancar antara 5,000-6,000 RPM pada pendikit separa pada semua gear. Kami melawan keadaan ini dengan sama ada menggunakan gear yang lebih tinggi dalam RPM yang lebih rendah atau gear yang lebih rendah di atas RPM tersebut. Namun, ia tidak sepatutnya wujud untuk sebuah Triumph.

Ketiga, motosikal itu cenderung menggeliat semasa membrek keras disebabkan sudut stereng yang agresif (24.3 darjah). Walau bagaimanapun, ia hilang dengan mengapit paha dalaman kami dengan kuat pada bahagian tepi tangki. Motosikal ini juga tidak suka untuk membrek ke dalam selekoh (trail braking) kerana agihan beratnya ke belakang, akibat daripada posisi menunggangnya yang menegak. Kami mengesyaki ini boleh diperbaikki dengan mudah dengan meningkatkan pra-beban monoshok belakang untuk memindahkah lebih banyak keberatan ke tayar depan.

Walaubagaimanapun, ini semua hanyalah luahan yang amat kecil dan tidak mengurangkan keseronokan ketika menunggang motosikal ini. Kami terpaksa “komplen” demi ulasan yang seimbang.

Penutup

Kembali ke pembukaan, bolehkah saya meletakkan Triumph Speed ​​400 sebagai salah satu kegemaran peribadi saya? Dan adakah saya akan mengesyorkan membelinya?

YA. Dan YA.

Sistem komunikasi pelumba MotoGP akan diperkenalkan pada 2025, selepas sistem sedemikian dicadangkan sejak tiga tahun lalu.

Ujian lanjut telah dijalankan oleh Francesco Bagnaia dan Fabio Quartararo selepas GP Sepanyol di Jerez awal tahun ini. Susulan itu, Dorna akan memperkenalkan sistem tersebut secara berperingkat. Peringkat pertama melibatkan ciri komunikasi sehala yang membolehkan pengarah perlumbaan baharu pada 2025, Simon Crafar untuk berkomunikasi dengan pelumba. Mesej dijangka ringkas untuk tidak mengganggu tumpuan penunggang.

Ia mungkin telah ditentukan bahawa kaedah semasa menghantar pesanan ringkas ke paparan motosikal adalah tidak mencukupi.

Pertemuan antara Dorna dan pelumba telah diadakan pada Khamis lalu sejurus sebelum GP San Marino mengenai pengenalan sistem ini. Turut dibincangakan ialah rancangan untuk komunikasi radio fasa kedua yang melibatkan sistem komunikasi dua hala antara penunggang dengan pasukan dan/atau pengarah perlumbaan, seperti itu dalam Formula 1.

Sistem itu diuji sekali lagi semasa sesi ujian pasca GP San Marino, tetapi Bagnaia mengadu ketidakselesaan memakai kelengkapannya. Bagaimanapun, terdapat pelumba yang mahu sistem itu dilaksanakan termasuk Aleix Espargaro.

Cadangan untuk memperkenalkan komunikasi pasukan dan penunggang juga telah memecahbelahkan peminat MotoGP. Pihak penyokong mengatakan bahawa MotoGP adalah kejohanan perlumbaan prototaip dan sudah pun terdapat peranti komunikasi motosikal di pasaran. Pengkritik pula mengatakan bahawa ia akan menjejaskan semangat murni perlumbaan, di mana kemahiran pelumba perlumbaan adalah faktor yang paling penting, dan keputusan perlumbaan bukannya ditentukan oleh pasukan dan jurutera dari paddock.

Berita baik untuk pemilik Ducati di selatan Semenanjung Malaysia, kerana pengedar baharu Ducati Johor telah dibuka.

Daripada siaran media:

Ducati Malaysia dengan bangganya mengumumkan pembukaan pengedar terbaharunya di Johor Bahru, terletak di lokasi strategik di No.9 Jalan Permas 9/17, Masai Johor, bersebelahan Aeon Permas Jaya, memberikan tarikan yang menonjol dari Lebuhraya EDL. Bilik pameran tercanggih ini mewakili satu peristiwa penting dalam komitmen Ducati untuk meluaskan kehadirannya di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, membawa semangat dan prestasi motosikal Ducati lebih dekat kepada peminat dan bakal pelanggan di Johor dan seterusnya.

Marco Biondi, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pasifik, bersama bintang sukan permotoran tempatan Hafizh Syahrin, yang menunggang untuk pasukan JDT Racing Team, kedua-duanya hadir untuk acara tersebut.

Pengedar baharu itu, yang menyaksikan pelaburan sebanyak RM3.5 juta, direka bentuk untuk menawarkan pengalaman pelanggan premium, merangkumi sepenuhnya identiti tandatangan terbaru Ducati. Merentasi keluasan binaan lebih 2,418 kaki persegi, pengedar itu termasuk ruang untuk pusat servis Ducati yang canggih dan bilik pameran yang mengasyikkan, yang boleh memaparkan sehingga 16 motosikal Ducati pada satu masa. Selain itu, bilik pameran itu juga termasuk ruang khusus untuk Pakaian dan Aksesori Ducati, serta bahagian berasingan untuk Scrambler Ducati, lengkap dengan pakaian, aksesori dan ruang istirahat sosialnya sendiri.

Ciri-ciri utama pengedar Ducati Johor Bahru:

Keunggulan Servis:

  • Pusat servis yang berkeluasan 2,135 kaki persegi itu dilengkapi dengan 4 ruang servis yang mampu membuat servis sehingga 200 motosikal sebulan.
  • Pusat ini dilengkapi sepenuhnya dengan alatan termaju, termasuk 2 pengangkat motosikal, alat diagnostik Ducati terkini dan rangkaian alat khas yang komprehensif untuk model Ducati.

Scrambler Camp: 

  • Kawasan seluas 194 kaki persegi khusus untuk peminat Scrambler Ducati, menampilkan kawasan sosial, pakaian dan aksesori, memastikan pengalaman yang unik dan mengasyikkan.

Waktu Operasi yang Mudah: 

  • Pengedar ini dibuka Isnin hingga Sabtu dari 10 pagi hingga 7 malam, manakala hanya bilik pameran dibuka pada hari Ahad dari 10 pagi hingga 3 petang.

Ducati Malaysia telah menetapkan sasaran jualan yang bercita-cita tinggi untuk pengedar baharu Johor, menyasarkan untuk mencapai 30 unit menjelang akhir 2024 dan ramalan 100 unit pada 2025, didorong oleh keadaan pasaran yang bertambah baik dan lokasi bilik pameran yang mempunyai trafik tinggi. Pada masa ini, terdapat lebih 200 motosikal Ducati di jalan raya di Johor, dan pengedar baharu ini akan menjadi destinasi utama bagi peminat Ducati di rantau ini.

Marco Biondi, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pasifik, menyatakan kepuasannya dengan pengembangan itu, dengan menyatakan, “Kami berbangga dengan pasukan di Ducati Malaysia atas dedikasi dan kejayaan mereka dalam usaha ini. Pembukaan pengedar baharu kami di Johor Bahru merupakan satu pencapaian penting dalam strategi serantau kami, ia menyerlahkan komitmen Ducati untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam pasaran utama dan menyampaikan pengalaman luar biasa kepada pelanggan kami.

Dennis Michael, Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, berkongsi kegembiraannya mengenai pelancaran Ducati Johor, “Kami sangat teruja untuk membuka pengedar baharu kami di Johor Bahru, menandakan satu lagi babak menarik dalam perjalanan Ducati Malaysia. Lokasi baharu ini bukan sahaja mewakili komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan bertaraf dunia tetapi juga mencerminkan dedikasi kami untuk mendekatkan pengalaman Ducati kepada pelanggan kami di wilayah selatan. Pelancaran Ducati Hypermotard 698 Mono dan Ducati Hypermotard 698 Mono RVE adalah bukti komitmen kami untuk menawarkan model terkini dan paling menarik kepada pelanggan kami. Dengan lokasi utama dan kemudahan terkini, kami yakin Ducati Johor akan menjadi hab bagi kedua-dua pemilik Ducati baharu dan sedia ada, menawarkan mereka pengalaman tiada tandingan yang benar-benar merangkumi intipati jenama kami. Kami berharap dapat berkhidmat kepada komuniti Ducati di Johor dan mengalu-alukan ahli baharu ke dalam keluarga kami yang semakin meningkat.

Sempena pelancaran pengedar itu, Ducati Malaysia sangat teruja untuk memperkenalkan Ducati Hypermotard 698 Mono dan Ducati Hypermotard 698 Mono RVE yang serba baharu. Penambahan terbaru kepada barisan Ducati ini direka untuk menawarkan pengalaman menunggang yang menggembirakan, menjiwai semangat keluarga Hypermotard dengan sentuhan yang segar dan inovatif. Dihargakan pada harga RM70,900.00 dan RM77,900.00 masing-masing, model ini dijangka menarik pelbagai penunggang, daripada peminat kepada mereka yang mencari tunggangan yang unik dan dinamik.

Ryota Haga, anak kedua kepada legenda Superbike Dunia Noriyuki Haga, telah meninggal dunia dalam kemalangan semasa perlumbaan pada hari Ahad.

Dia terbunuh semasa permulaan perlumbaan ST600 dalam Kejohanan Perlumbaan MFJ All-Japan yang diadakan di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, yang terletak di Wilayah Ōita.

Haga menghadapi masalah untuk melancarkan Yamaha YZF-R6 yang ditunggangnya daripada garisan permulaan, dan motosikal itu kelihatan kehilangan kuasa, justeru dilanggar oleh dua motosikal lain dari belakang. Perlumbaan dihentikan serta-merta dan kenderaan kecemasan dihantar untuk membantu, tetapi dia akhirnya dibawa ke hospital dengan helikopter. Bagaimanapun, pegawai-pegawai perubatan tidak dapat menyelamatkan penunggang berusia 21 tahun itu daripada kecederaannya.

Ryota Haga berlumba untuk pasukan WORK NAVI Nitro Racing. Dia telah berlumba dalam siri itu sejak 2020, dan menduduki tempat ke-10 dalam Kejohanan ST600 pada 2023. Dia berharap untuk mengikut jejak bapanya dalam perlumbaan motosikal.

Bapanya Noriyuki memenangi 43 perlumbaan WSBK untuk menjadi pelumba kelima paling menang dalam siri ini. Dia telah menunggang Yamaha, Aprilias, Ducatis, dan Kawasaki dalam kedua-dua WSBK dan Kejohanan Dunia 500cc.

Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Haga.

Berita rasmi: Usaha sama Repsol Honda dalam MotoGP berakhir selepas 2024, dan dengan itu tamatlah  suatu kerjasama paling cemerlang dalam masa 30 tahun.

Gergasi petroleum Sepanyol itu bukan sahaja akan berhenti menjadi penaja utama pasukan pengilang itu, malah akan berhenti membekalkan bahan api dan pelincir.

Repsol telah mula menaja pasukan pengilang Honda pada tahun 1995 apabila Mick Doohan, Alex Crivillé, dan Shinichi Itoh adalah pelumba. Sejak itu, usaha sama Repsol Honda telah meraih 183 kemenangan, 455 podium, 10 gelaran pasukan, dan 15 gelaran pelumba dalam kelas 500cc dan MotoGP, melalui Doohan, Crivillé, Valentino Rossi, Nicky Hayden, Casey Stoner, dan Marc Marquez.

Perpecahan itu bukanlah berita yang terlalu mengejutkan. Malah, terdapat khabar angin bahawa Repsol telah mahu berhenti semasa setiap perbincangan pembaharuan kontrak. Bagaimanapun, khabar angin itu semakin kuat pada penghujung tahun lalu apabila jelas Honda sedang bergelut dalam MotoGP, tetapi pemergian Marc Marquez daripada pasukan itu adalah pemangkin sebenar. Oleh itu, dikhabarkan bahawa Repsol memperbaharui tajaan Honda mereka hanya untuk satu musim terakhir, dan dengan potongan 50% (dengan itu menjelaskan logo Repsol yang lebih kecil).

Berita mengenai pemergian Repsol telah bermula pada bulan Mei apabila HRC dilihat cuba mendapatkan penaja utama serta pembekal bahan api dan pelincir. Pengilang itu memerlukan pembekal dengan cepat kerana keperluan bahan api Dorna dan FIM. Bahan api dalam motosikal MotoGP musim ini adalah 40% daripada sumber mampan, sebelum mencapai 100% pada 2027, apabila enjin ditukar kepada 850cc. Oleh itu, bahan api dan pelincir memainkan peranan utama dalam pembangunan enjin. Pada tahap tinggi ini, bahan api dan pelincir yang berbeza akan menghasilkan ciri tork dan kuasa yang berbeza, justeru pemetaan enjin dan juga pembinaan enjin yang berbeza diperlukan.

Jadi, siapa yang akan ambil tempat Repsol? Peminat Malaysia pastinya berharap Petronas akan melakukannya, kerana mereka sudah pun menaja MIE Racing di mana Adam Norrodin dan Khairul Idham Pawi adalah pelumba. Masing-masing menunggang Honda CBR1000RR-R Fireblade dalam Kejohanan Superbike Dunia dan Honda CBR600RR dalam Kejohanan SuperSport Dunia.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube