Bikesrepublic

Berita Terkini

Pengeluar motosikal dari Finland, Verge telah melancarkan motosikal elektrik berprestasi tinggi yang dinamakan TS Ultra.

Verge TS Ultra didedahkan kepada umum menerusi laman media sosial syarikat itu semalam dan bingkas mencuri tumpuan ekoran tampil dengan angka kuasa yang mengagumkan di samping menampilkan ciri tayar jenis ‘hubless’. 

Ini secara tidak langsung meletakkan Verge TS Ultra sebagai inovasi baharu motosikal elektrik berkuasa tinggi. 

Manakan tidak, Verge TS Ultra ini menawarkan 201hp dan 1200Nm. 

Menurut pihak Verge, TS Ultra ini juga menawarkan jarak tertinggi setakat ini apabila boleh pergi sejauh 275km bagi setiap cas penuh. Verge juga mendakwa TS Ultra boleh mencapai kelajuan maksima sekitar 200km/j.

Lebih menarik, dengan bantuan sistem pengecas bateri pantas, TS Utlra hanya memerlukan 25 minit untuk dicas sepenuhnya. 

Sudah tentu dengan ciri mengagumkan, TS Ultra juga datang dengan tanda harga yang tinggi, EUR44,900 (RM210k) sekaligus meletakkan motosikal elektrik ini seangkatan jentera ‘flagship’ Ducati antaranya Panigale V4 baharu. 

Untuk rekod, terdapat dua varian lain ditawarkan Verge ketika ini. TS (Standard) menawarkan 107hp dan 700Nm manakal TS Pro pula hadir dengan 136hp dan 1,000Nm. 

Pelekat cukai jalan yang lebih berkualiti bakal diperkenalkan tahun ini sepertimana yang dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Loke dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang berusaha untuk menggantikan pelekat cukai jalan sedia ada yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Saya tahu ramai orang mengadu berkenaan sticker cukai jalan yang kurang berkualiti. 

“Perkara itu memang dalam perhatian kami dan satu perubahan besar bakal dilaksanakan dalam tahun ini,” jelasnya. 

Isu berkaitan pelekat cukai jalan sedia ada sudah dibangkitkan lama oleh orang awam ekoran mudah koyak di samping sukar dibersihkan apabila ditanggalkan daripada cermin hadapan. 

Dalam pada itu, Loke juga mendedahkan pihaknya sedang meneliti inisiatif baharu bagi memudahkan urusan orang ramai sewaktu berurusan di kaunter JPJ.

“Agenda utama kita ialah mempermudahkan urusan rakyat dan saya tak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat-pejabat JPJ yang menyusahkan mereka,”tambahnya. 

Seorang lelaki tersadai tepi jalan selama enam hari selepas mengalami kemalangan motosikal di Thailand.

Lelaki tersebut, Withawat Nanthapetch, mengalami kecederaan serius ekoran daripada kemalangan itu lalu sukar untuk meminta bantuan di samping turut terperosok dalam kawasan semak.

Namun begitu, dia akhirnya ditemui dalam keadaan masih hidup selepas enam hari. 

Menurut laporan, Nanthapetch dilaporkan hilang sejak 29 Disember lalu.

Ahli keluarganya mula mencarinya selama empat hari dengan rakan-rakan turut memuat naik perkongsian di media sosial dalam usaha untuk mencarinya. 

Selepas gagal, rata-rata berpendapat mangsa telah pun meninggal dunia.

Bagaimanapun, pakcik Nanthapetch menjumpai motosikal anak saudaranya itu ditepi jalan Udon-Nong Bua Lamphu berhampiran lapangan terbang Udon Thani lalu menghubungi pihak berkuasa.

Anggota yang sampai juga terkejut kerana mangsa masih hidup meskipun alami kecederaan dan gigitan serangga selama enam hari. 

Harley-Davidson bakal mengumumkan barisan model 2023 pada 18 Januari ini sempena meraikan ulang tahun ke-120. 

Pengumuman tersebut akan dibuat secara strim langsung di laman web rasmi Harley-Davidson. 

Meskipun tidak didedahkan barisan model yang akan diperkenalkan namun laporan sebelum ini memberitahu bahawa antara model yang akan diumumkan termasuk varian Nighster baharu (Nightster S), CVO, Fat Bob 114, Heritage Classic 114 dan sebuah model Icon. 

Namun, maklumat nombor pengenalan kenderaan (VIN) yang difailkan di Amerika Syarikat baru-baru ini mengesahkan bahawa model 350cc yang dihasilkan di China akan turut diperkenalkan. 

Untuk rekod, model 350cc itu merupakan hasil kerjasama antara Harley-Davidson dan QJMotor. Selain model itu, turut bakal dipasarkan adalah model 500cc. 

Maklumat mengenai Harley X350 itu juga telah didedahkan hujung tahun lalu menerusi dokumen kelulusan di China. 

Dokumen itu memaklumkan bahawa X350 itu menawarkan 37hp dan datang dengan berat sekitar 195kg di samping mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 145km/j. 

Antara ciri lain didedahkan termasuk penggunaan tayar 120/70-17 depan dan 160/60-17 belakang dan pakej suspensi sama yang diambil daripada Benelli 302S.

Maklumat lebih terperinci mengenai model 350cc itu pastinya akan diketahui pada 18 Januari ini berserta barisan model lain. 

BMW Motorrad Malaysia mengumumkan ketibaan model cruiser mewah, BMW K 1600 B untuk pasaran tempatan dengan harga jualan asas RM173,500. 

Diperkenalkan julung kalinya pada 2010, jentera enam silinder itu kembali dalam barisan BMW Motorrad pada Mac tahun lalu sebelum dibawa ke pasaran Malaysia tahun ini.

Generasi terbaru K 1600 itu tampil dengan beberapa varian namun hanya varian Bagger diperkenalkan disini. 

Antara naik taraf terbesar dilaksanakan adalah di bahagian enjin bagi mencapai standard emisi Euro5.

Juga terdapat beberapa penambahbaikan lain termasuk ‘engine control’, sistem ‘knock sensor’ baharu dan ‘engine drag torque control’ baharu.

Meskipun platform tersebut masih lagi menghasilkan 160hp namun kuasa itu kini hadir pada RPM lebih rendah, 6,750rpm. Tork juga lebih tinggi, 180Nm pada 5,250rpm. 

Menemani angka kuasa itu termasuk pakej elektronik premium termasuk mod menunggang; Road, Dynamic dan Rain serta beberapa ciri lain antaranya Dynamic Traction Control, Hill Start Control dan ‘cruise control’. 

BMW K 1600 B ini juga dilengkapi dengan Gear Shift Assistant Pro, Reverse Assistant dan TPMS (tire pressure monitoring system) secara standard.

Selain itu, model ini juga datang dengan suspensi elektronik Dynamic ESA Next Generation dengan fungsi ‘auto levelling’ yang menyelaraskan suspensi depan dan belakang mengikut kesesuaian.

Menariknya, model baharu ini juga datang dengan panel meter TFT berwarna 10.25 inci yang turut dilengkapi fungsi ‘turn-by-turn navigation’. Turut disertakan adalah slot USB dan ruang letak telefon pintar. 

GALERI: BMW K 1600 B

Meskipun beberapa jenama dari China seperti CFMOTO, QJMotor dan Zontes memilih untuk kekal original dengan tidak meniru reka bentuk jenama lain namun masih terdapat banyak budaya “copy paste” yang diamalkan pengeluar lain dari negara itu.

Terbaru, Jiajue memperkenalkan CN 800 Zhen yang tampil dengan reka bentuk mirip Honda CB650R. 

Lebih memeranjatkan, bukan sahaja reka bentuk tampak sama malah kelengkapan lain juga kelihatan sama termasuk fork depan berwarna emas, sistem ekzos ‘underbelly’ dan reka bentuk bilah rim.

Meskipun begitu, CN 800 Zhen datang dengan suspensi KYB berbanding Showa pada CB650R. Namun, kedua-dua model ini datang dengan kaliper brek Nissin yang sama. 

Menariknya, walaupun rekaan tampak sama, namun Jiajue CN 800 Zhen datang dengan enjin lebih berkuasa menerusi platform empat silinder 796cc yang menjana 117hp dan 93Nm. Angka kuasa itu meletakkan CN 800 Zhen setaraf Yamaha MT-09. 

CN 800 Zhen juga dilengkapi panel meter TFT berbanding panel LCD pada CB650R. 

Walaupun datang dengan kelengkapan menarik, lebih tinggi berbanding Honda CB650R namun Jiajue tidak merancang untuk menjual model itu diluar pasaran China. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube