Bikesrepublic

Berita Terkini

Tidak dinafikan, prestasi Fabio Quartararo kebelakangan ini kurang memberangsangkan.

Meskipun masih lagi mendahului kejuaraan dunia MotoGP selepas 13 pusingan, namun tekanan yang diberikan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, semakin dirasai apabila pelumba Itali mencatatkan empat kemenangan berturut-turut baru-baru ini.

Ini menjadikan Bagnaia telah pun menang enam daripada 13 pusingan setakat ini.

Senario itu berlaku ekoran kegagalan jentera Yamaha M1 memberi saingan terhadap kelajuan Ducati GP 22 yang dipacu Bagnaia. Sewaktu di GP San Marino, Quartararo terpaksa berpuas hati di tempat ke-5 dengan tiga jentera Ducati berada di hadapannya. 

Juara dunia MotoGP musim lalu itu sebelum ini telah pun membangkitkan isu ‘top speed’ M1 pada permulaan musim 2022 namun setakat ujian ‘Winter Test’ di Sepang, Quartararo akui masih tidak berpuas hati dengan kemampuan jenteranya. 

Bagaimanapun, Misano Test yang sedang berlangsung ketika ini akhirnya menghadirkan keputusan positif buat Quartararo, yang meluahkan rasa berpuas hati dengan prestasi jenteranya.

Ketika hari terakhir Misano Test, Quartararo merekodkan kelajuan terpantas kedua tertinggi dengan catatan 298.3km/j sewaktu menguji enjin prototaip terbaru Yamaha. Sementara itu, Jorge Martin merekodkan kelajuan tertinggi dengan 300km/j.

Meskipun mendapat bantuan ‘slipstream’ daripada rakan sepasukan Franco Morbidelli, namun pelumba Perancis itu tetap berpuas hati dengan prestasi semasa apatah lagi ketika di GP San Marino, Quartararo hanyalah ke-20 terpantas di litar. 

“Pagi ini usaha kami terarah pada bahagian elektronik kerana perwatakan jentera (enjin) baharu itu berbeza. 

“Top speed juga sangat baik, jadi saya sangat gembira dengan perkara ini.

“Walaupun dapat bantuan ‘slipstream’ tapi purata kelajuan juga baik (296km/j) berbanding pelumba lain,” jelas Quartararo.

Royal Enfield telah pun memperkenalkan ahli baharu dalam keluarga Himalayan menerusi Scram 411 pada bulan Mac lalu.

Namun, hanya selang beberapa bulan, motosikal serba baharu daripada Royal Enfield itu akhirnya masuk pasaran Malaysia menerusi pengedar baharu Didi Group. 

Menurut Didi Group, Royal Enfield Scram 411 itu kini boleh didapati di Malaysia pada harga bermula dari RM26,900 (base), RM27,100 (mid) dan RM27,400 (premium). Perbezaan antara ketiga-tiga varian ini hanyalah pilihan warna sahaja.

Royal Enfield Scram 411 ini lahir daripada Himalayan 411 dan hasilnya, model ini juga dikuasakan enjin 411cc SOHC dengan penyejukan udara yang menghasilkan 24.3hp pada 6,500rpm dan 32Nm pada 6,500rpm.

Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 5-kelajuan.

Sistem suspensi pula hadir menerusi fork depan teleskopik 41mm dengan jarak pergerakan 190mm sementara monoshock belakang pula tawar pergerakan 180mm.

Spesifikasi tersebut adalah sama seperti yang terdapat pada Himalayan 411 2022.

Meskipun Scram 411 menawarkan ciri motosikal urban namun komponen brek juga sama seperti Himalayan 411, dengan kaliper brek dua-piston di depan dipadankan bersama cakera brek 300mm dan kaliper satu piston belakang dengan cakera brek 240mm.

Kawalan brek juga diselia dengan bantuan ABS dwi-saluran.

Pada masa sama, Scram 411 ini juga masih lagi didatangkan dengan rim jenis ‘wire spoke’ sama seperti Himalayan 411 sekaligus model baharu ini masih lagi boleh ditunggang di permukaan lasak.

Sementara itu, penghadang angin tinggi pada Himalayan 411 tidak lagi kelihatan sebaliknya Scram 411 ini dapat pelindung lampu depan berbentuk bulat.

Pengeluar alat ganti automotif, EP Manufacturing Bhd (EPMB) telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendaftar dan melesenkan skuter elektrik, Blueshark SG3000DT.

Difahamkan, pihak EPMB menerima kelulusan tersebut sebulan selepas kerajaan meluluskan pemasangan skuter elektrik tersebut.

Menurut EPMB, Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Jenis Kenderaan  dan Homologasi (VTA) telah memberi kelulusan bagi model Blueshark SG300DT (Blueshark R1) pada penghujung Ogos lalu. 

Menerusi kelulusan tersebut, ini bermakna skuter elektrik Blueshark R1 akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi.

Skuter elektrik Blueshark R1 dikuasakan dua bateri 1440Wh mudah alih jenis lithium-ion yang boleh ditukar dengan bateri dengna cas penuh sewaktu di stesen penukaran bateri. 

Bateri tersebut juga boleh dicas di rumah dan menawarkan jarak sehingga 160km pada kelajuan 25km/j. 

Selain itu, Blueshark R1 juga menampilkan sistem penghidup enjin yang menggunakan cap jari. Terdapat 75 sensor di motosikal terbabit termasuk kamera di bahagian depan dan belakang yang berfungsi seperti ‘dashcam’ kereta. 

Tidak dinafikan, masalah kekurangan bekalan semi-konduktor menjejaskan pengeluaran motosikal dan kereta dunia.

Jadi, tidak hairanlah jika penjual motosikal dan kereta memaklumkan kepada pelanggan bahawa tempoh menunggu memakan masa sehingga berbulan.

Bagaimanapun, kami diberitahu terdapat sebuah motosikal yang tempoh menunggunya mencecah sehingga dua tahun.

Demikian respon yang kami terima apabila menghubungi beberapa cawangan Honda Big Wing mengenai model Honda X-ADV 750.

Kisahnya, ada antara kami yang berminat dengan motosikal tersebut jadi langkah pertama adalah mengenal pasti tempoh menunggu.

Kami terkejut apabila diberitahu tempoh menunggu bagi Honda X-ADV 750 adalah sekitar setahun hingga dua tahun.

Ada juga cawangan Honda Big Wing yang memaklumkan kami bahawa mereka tidak lagi menerima tempahan bagi model skuter ADV itu.

Sebuah cawangan di Pulau Pinang pula berkata lebih 170 pembeli masih menanti untuk mendapatkan motosikal berkenaan. 

Ini secara tidak langsung membuktikan Honda X-ADV 750 itu sememangnya cukup popular dikalangan peminat dua roda di Malaysia.

Persoalannya, sanggup atau tidak untuk menunggu selama itu bagi mendapatkan motosikal tersebut?

Kami juga pernah menguji kemampuan Honda X-ADV 750 (2021) sebelum ini dan sememangnya tidak dinafikan motosikal tersebut serba boleh dan praktikal.

Kami turut meninjau ke laman web e-perdagangan popular dan mendapati terdapat beberapa model terpakai X-ADV generasi pertama dijual pada harga sekitar RM60,000.

Umum sedia maklum bahawa Honda akan memperkenalkan motosikal ‘adventure’ kelas pertengahan menerusi Honda XL750 Transalp.

Laporan sulung mengenai motosikal ADV itu telah pun diterbitkan majalah Jepun, Young Machine pada November 2020.

Ogos lalu, Honda telah pun memfailkan tanda nama XL750 Transalp di beberapa negara sekaligus mengesahkan kedatangan model serba baharu itu untuk pasaran dunia.

Tatkala tarikh pelancaran semakin hampir, dengan pameran motosikal EICMA 2022 di Milan akan berlangsung pada November ini, Honda kini sibuk menjalankan penggambaran motosikal tersebut.

Sesi penggambaran pastinya cukup sukar bagi sebarang pengeluar bagi memastikan produk yang akan dilancarkan itu kekal rahsia.

Bagaimanapun, sebuah akaun Instagram, @maxxmoto.be berjaya merakam imej jelas Honda XL750 Transalp yang sedang menjalani penggambaran.

Walaupun tindakan itu pastinya mencetuskan kemarahan Honda namun gambar pertama itu tentunya mengundang gembira peminat motosikal Jepun itu.

Menariknya, rupa sebenar Transalp itu mirip imej ‘render’.yang pernah dikongsikan Young Machine sebelum ini.

Selain itu, Transalp tersebut menampilkan pilihan warna HRC dengan gabungan warna merah, putih dan biru, menyamai warna yang terdapat pada Transalp 1987.

Meskipun info terperinci masih lagi belum dikenal pasti namun seperti yang didedahkan sebelum ini, Honda XL750 Translap akan dikuasakan enjin parallel-twin 750cc serba baharu yang dibangunkan Honda.

Selain Transalp, enjin tersebut turut akan menggerakan Hornet 750, Hawk 75 dan CBR750RR.

Bagaimanapun, Honda dijadualkan akan melancarkan Hornet 750 terlebih dahulu sebelum beralih kepada Transalp 750. 

Tiga lelaki maut selepas lori simen yang mereka naiki terjatuh ke dalam gaung di Jalan Merit, Kapit, Sarawak, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan, sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit digerakkan ke lokasi kejadian, selepas menerima panggilan lebih kurang 11.35 pagi.

Bagaimanapun, berikutan jalan ke lokasi adalah jalan balak, anggota terpaksa menaiki dua kenderaan pacuan empat roda milik syarikat simen itu, untuk sampai ke lokasi kemalangan.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan sebuah lori simen dinaiki tiga orang pekerja yang jatuh gaung sedalam enam meter,” kata jurucakap itu.

Pasukan bomba telah memotong bingkai cermin lori tersebut bagi mengeluarkan mangsa tersepit.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian adalah George Wong dan Steven Janggai Bungkang kedua-duanya berusia 33 tahun, serta Bunyau Manggie, 40.

Mereka dinaikkan ke jalan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube