Bikesrepublic

Berita Terkini

Pasaran motosikal di China semakin sengit ketika ini namun disebalik persaingan itu, beberapa jenama sudah mula menempatkan diri dikalangan jenama terkemuka antaranya CFMOTO, QJMOTOR, Voge dan Zontes. 

Namun begitu, dalam memastikan barisan model ditawarkan adalah berkualiti dan setaraf jenama Jepun dan Eropah, kebanyakkan model ditawarkan jenama berkenaan adalah lebih mahal. 

Bagi memastikan pelanggan di China masih mendapat akses kepada motosikal mampu milik, muncul beberapa jenama tempatan yang menghasilkan motosikal yang mirip dengan jenama terkemuka.

Terbaru, salah sebuah jenama yang hanya dipasarkan di China, Ducasu, telah mencuri tumpuan apabila memperkenalkan DK400. 

Selain daripada nama yang mirip Ducati, DK400 pula tampil dengan reka bentuk yang jelas diciplak daripada Ducati SuperSport 950.

Meskipun begitu, ciri ditawarkan masih lagi boleh tahan, termasuk panel meter TFT berwarna, kaliper brek 4-pot, winglet, single-swingarm dan kerangka aluminium. Aspek keselamatan juga tidak diketepikan apabila DK400 ini dilengkapi ABS. 

Namun berbanding Ducati SuperSport 950 yang menawarkan 110hp dan 93Nm, Ducasu DK400 pula dengan enjin dua-silinder 385cc hanya menghasilkan 30hp dan 28.5Nm. Meskipun bernadikan 400cc namun kuasa dihasilkan pula hanyalah setaraf jentera 250cc. 

Bagi sebuah jentera yang berharga hanya CNY20,000 (RM12.8k), sememangnya memadai spesifikasi dan kuasa yang ditawarkan terutamanya bagi mereka yang mahu ‘merasai’ jentera seakan Ducati. 

Baru-baru ini kami telah pun melaporkan bahawa MForce Bike Holdings Sdn Bhd akan memperkenalkan jenama Voge untuk pasaran tahun depan menerusi Voge 900 DS.

Jenama premium milik Loncin itu semakin mencuri tumpuan ekoran membekalkan enjin kepada BMW termasuk bagi model C 400 X, C 400 GT, F 850 GS, F 900 R, F 900 XR dan terbaru F 900 GS. Menariknya, enjin yang diguna pakai pada 900 DS merupakan yang sama terdapat pada F 900 R, XR dan GS.

Terbaru, Voge turut akan perkembangkan barisan model sedia ada untuk pasaran global tidak lama lagi selepas memperkenalkan RR 666 S di China, baru-baru ini.

Menariknya, RR 666 S ini dilabel sebagai motosikal paling berteknologi tinggi dan berkuasa pernah dihasilkan Voge. Pertamanya, ‘sportbike’ ini dikuasakan enjin 4-silinder 660cc 16-valves serba baharu dengan sistem penyejukan cecair yang didakwa berupaya menghasilkan lebih 100HP.

Voge mendakwa jentera ini boleh mencapai kelajuan maksima 240km/j dan mampu mencatat 0-100km dalam tempoh 3.5 saat sahaja. RR 666 S ini juga dilengkapi dengan komponen suspensi dari KYB (Kayaba) serta kaliper brek Brembo yang dipadankan bersama ABS dan ‘traction control’.

Sebaik dilancarkan di pasaran global kelak, RR 666 S ini akan bersaing dengan Aprilia RS 660, Yamaha YZF-R7 dan akan datang Triumph Daytona 660.

Baru-baru ini, Yamaha Motor Vietnam telah pun melancarkan Yamaha Exciter 155 VVA 2023.

Pelancaran itu turut mencuri perhatian peminat Yamaha di Malaysia ekoran model itu – yang dikenali sebagai Y16ZR di Malaysia – telah dinaik taraf dengan fungsi ABS.

Sehubungan itu, kami menjangkakan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akan turut memperkenalkan Y16ZR yang dinaik taraf dengan ABS tidak lama lagi.

Buat masa ini, HLYM menawarkan Y16ZR dengan harga bermula RM11,118 bagi versi standard. Kami menjangkakan akan berlaku peningkatan harga sekiranya model dinaik taraf dengan ABS itu diperkenalkan.

Berdasarkan tinjaun pada motosikal lain, versi ABS tampil dengan perbezaan harga antara RM1,000 hingga RM2,000 berbanding dengan model tanpa ABS. Maka tidak hairanlah jika Y16ZR generasi baharu nanti akan turut datang dengan harga yang lebih tinggi.

Apa pun, menarik untuk melihat reaksi peminat Yamaha sebaik Y16ZR dengan ABS diperkenalkan kelak.

Royal Enfield Malaysia dengan rasminya mengumumkan senarai harga bagi barisan model Super Meteor 650 untuk pasaran tempatan. 

Menurut Royal Enfield, Super Meteor 650 kini boleh dimiliki dengan harga berikut: 

  • Super Meteor Single (Astral) – RM37,900
  • Super Meteor Dual (Interstellar) – RM38,300
  • Super Meteor Tourer (Celestial – RM39,300

Untuk rekod, Super Meteor 650 merupakan motosikal serba baharu yang dibangunkan Royal Enfield sekaligus tampil dengan beberapa ciri moden. Pertamanya, Super Meteor 650 merupakan model 650cc pertama yang dilengkapi lampu LED dan fork jenis USD (upside/down). 

Meskipun datang dengan enjin parallel-twin 650cc yang sama terdapat pada Continental GT 650 dan Interceptor namun keseluruhan komponen dan kelengkapan yang ada pada Super Meteor 650 adalah serba baharu termasuk bahagian casis dan swingarm. 

Super Meteor 650 ini menawarkan 46.4hp pada 7,250rpm dan 52.3Nm pada 5,650rpm. Untuk pasaran tempatan, Super Meteor 650 akan tampil dengan dua varian, Standard dan Tourer dengan masing-masing hadir dengan kombinasi warna berbeza.

Tidak dinafikan nama Kawasaki kembali menjadi sebutan setelah kejayaan memperkenalkan Ninja ZX-25R dan ZX-4RR untuk pasaran global. 

Kedua-duanya berjaya mencipta revolusi baharu bagi pasaran motosikal berkapasiti kecil sekaligus menjadi petanda aras bagi pengeluar lain. 

Mendapati terdapat permintaan bagi segmen itu, Honda juga didakwa bakal mengorak langkah sama berdasarkan laporan media Jepun, Young-Machine.

Edisi terbaru Young-Machine mendakwa Honda telah kembali menghidupkan semula projek 400cc 4-silinder yang akan membawa kepada penghasilan beberapa model baharu termasuk CB400, CB400SB dan CBR400RR. 

*Young-Machine

Tumpuan pastinya terarah kepada CBR400RR yang bakal menyaingi ZX-4RR. Bagaimanapun, laporan tersebut tidak menyatakan kuasa yang bakal ditawarkan CBR400RR buat masa ini.

Untuk rekod, Honda pernah menghasilkan jentera 400cc 4-silinder sekitar 80an menerusi CBR400 (NC17). Menariknya, Honda CBR400 merupakan model pertama Honda yang memakai lencana CBR. 

Model itu dikuasakan enjin 4-silinder 399cc DOHC dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menghasilkan 59hp pada 13,000rpm dan 38Nm pada 7,500rpm. 

Ducati dengan rasminya melancarkan Multistrada V4 S Grand Tour 2024 untuk pasaran global sekaligus memperkembang tawaran motosikal ‘touring’ daripada keluarga Multistrada. 

Seperti Multistrada V4 lain, varian V4 S Grand Tour ini juga dikuasakan enjin Granturismo V4 1,158cc yang menawarkan 170hp dan 125Nm. Enjin ini dihasilkan khas untuk pengembaraan jarak jauh ekoran hanya memerlukan servis tukar minyak bagi setiap 15,000km dengan pemeriksaan valve (valve clearance) hanya perlu dilakukan bagi setiap 60,000km. 

Menurut Ducati, Multistrada V4 S Grand Tour ini datang dengan empat mod menunggang; Sport, Touring, Enduro dan Urban dengan varian Sport dan Touring menawarkan kuasa sepenuhnya sementara Enduro dan Urban pula menyelaraskan kuasa enjin kepada hanya 112.6hp. 

Menariknya, Multistrada V4 S Grand Tour ini juga dilengkapi dengan pakej Travel dan Radar yang didatangkan secara standard sekaligus menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ dan ‘blind spot detection’. 

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi separa aktif Ducati Skyhook dengan fungsi Minimum Preload dan Easy Lift. Tidak dilupakan Grand Tour ini juga tampil dengan penghadang angin boleh laras, ‘handguard’, lampu kabus, TPMS (tyre pressure monitoring system), grip dan tempat duduk dengan fungsi pemanas. 

Bagi memudahkan kendalian sewaktu berhenti, Grand Tour juga datang dengan ‘center stand’. Ciri ini juga membantu ketika membuat selenggara biasa terutamanya menyembur pelinciri di rantai selepas seharian menunggang. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube