Bikesrepublic

Berita Terkini

Pelumba motosikal negara, Azlan Shah Kamaruzaman mungkin terpaksa bersara awal daripada perlumbaan aktif di pentas Asia.

Ketika ditemui oleh Harian Metro, Azlan mendedahkan bahawa dia belum menerima jawapan mengenai penyertaan pasukannya di dalam Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) 2024. Ini kerana pasukannya sekarang, TKKR Racing Team berkata di Facebook baru-baru ini bahawa mereka tidak berjaya mendapatkan penaja untuk musim 2024, sekali gus menimbulkan keraguan masa depan mereka dan Azlan.

“Saya akan bersara awal daripada saingan Asia jika tidak menerima tawaran. Saya sudah pun meletakkan sasaran untuk berlumba di peringkat Asia sehingga umur 40 tahun,” katanya.

“Secara realistiknya, pasukan lain lebih suka mengupah pelumba muda berbanding yang sudah tua. Badan saya tidak sekuat sekarang… Saya masih boleh bersaing tetapi saya memerlukan usaha dua kali ganda untuk bersaing dengan pelumba muda khususnya daripada segi stamina.”

Secara lebih positif, Azlan mungkin akan beralih kepada perlumbaan dalam Kejohanan Endurance Dunia (EWC) pada 2025 sekiranya penyertaan ARRC tahun ini tidak menjadi kenyataan. Dia telah pun berlumba di Suzuka 8-Hour Endurance 2023 sebagai sebahagian daripada kalendar EWC dalam kelas Formula EWC dengan Frontier Racing.

Azlan mempunyai pengalaman yang mengagumkan, setelah memenangi beberapa gelaran superbike kebangsaan sebagai penunggang untuk Chia PJ Kawasaki, serta pernah mengambil bahagian dalam Kejohana Moto2 Dunia dari 2013 hingga 2015. Beliau juga merupakan juara kelas ASB1000cc yang julung kalinya dalam ARRC pada 2019, sebagai pelumba untuk pasukan ONEXOX TKKR SAG ketika itu. Beliau kini memiliki AS25 Academy Racing Team yang mengambil bahagian dalam kategori WIRA dalam Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia.

Seorang lelaki maut dipukul sekumpulan individu selepas dipercayai cuba melarikan diri berikutan dia merempuh penunggang e-hailing, di Taman Pelangi, Kajang pada malam Selasa.

Polis berkata Proton Saga yang dipandu mangsa berusia 42 tahun telah merempuh pintu pagar sebuah rumah. Dia kemudian diseret keluar dari kereta dan diserang oleh beberapa individu. Pergelangan tangannya juga menunjukkan tanda-tanda diikat.

Polis menemui mangsa dalam keadaan terbaring di atas tanah ketika mereka tiba. Dia kemudiannya diumumkan telah meninggal dunia oleh paramedik yang tiba di tempat kejadian. Saksi di tempat kejadian menyifatkan mangsa diseret keluar daripada keretanya dan dipukul oleh sekumpulan lelaki. Mereka juga mengatakan bahawa tangannya diikat ke belakang. Kumpulan itu kemudian membaringkannya di atas tanah dan meninggalkan tempat kejadian sebelum polis tiba.

Tempat kejadian kemudiannya diproses oleh Unit Forensik Bukit Aman yang mengumpul beberapa sampel darah dan cap jari. Mereka juga menjumpai dua gulung tali. Berdasarkan maklumat yang ada, polis mengesan suspek dan menahan 5 individu di sekitar Semenyih dan Beranang.

“Suspek berusia antara 22 hingga 52 tahun itu diberkas anggota polis Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang sekitar jam 2.05 pagi, Rabu,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (diklasifikasikan sebagai membunuh), serta Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menggalakkan saksi tampil untuk memberikan maklumat lanjut dengan menghubungi Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang di talian 013-7854100.

Mereka juga boleh menyampaikan maklumat kepada Inspektor Ammar Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013 untuk membantu siasatan.

Apa kata kita bincangkan tajuk lengan ayun sebelah (single sided swingarm) setelah tular satu video tidak lama dahulu?

Video tersebut bermula dengan seorang penunggang motosikal yang menunggang bersama pemboncengnya, apabila pembonceng itu kelihatan cemas dengan tiba-tiba. Kamera kemudian berpusing ke sebelah kanan dan ketika itulah kelihatan sebiji tayar bersama rimnya bergerak sendiri dan memotong motosikal mereka. Video itu ditamatkan dengan adegan sebuah Ducati Hypermotard yang dibaringkan di atas jalan tanpa roda belakangnya.

Seperti biasa, netizen bertindak cepat dan mengemukakan komen mereka. Ada yang membuat lawak, ada yang membahan, dan ada juga yang menawarkan sebab terjadinya insiden tersebut.

Tetapi ada satu komen yang menarik perhatian kami. Beliau berkata, “Kelemahan single arm.” Komen beliau dibahan oleh beberapa netizen yang lain.

Sebenarnya, ada kebenaran di dalam komennya. Tetapi sebelum kami meneruskan rencana ini, kami ingin menegaskan bahawa insiden ini amat jarang berlaku. Selain daripada itu, bukan Ducati sahaja yang menggunakan lengan ayun sebelah, malah BMW, Honda, Moto Guzzi, KTM, CFMoto, MV Agusta, Triumph, serta skuter turut menggunakan ciri ini.

Apakah kelebihan utama untuk lengan ayun sebelah?

Kelebihan utama untuk lengan ayun sebelah ialah ciri penanggalan dan pemasangan semula roda belakang dengan cepat. Anda hanya perlu melepaskan nat atau bolt dan roda dapat ditanggalkan tanpa mengganggu penjajaran (alignment) rantai, sproket, dan kaliper brek kerana komponen-komponen ini dipasang pada braket yang berasingan. Sama juga apabila roda dipasang kembali.

Terdapat satu spindel/gandar yang tebal dan pendek untuk meletakkan roda di tempatnya (lihat gambar di bawah).

Mendiang Massimo Tamburini mereka Ducati 916 dengan lengan ayun sebelah dengan mengambil kira kelebihan ini kerana Ducati bercadang hendak melumbakan motosikal tersebut di dalam acara-acara lasak (endurance). Tamburini juga pernah berkata yang beliau mendapat ilham daripada Honda NR750 yang menggunakan swingarm sebelah. Selain daripada itu, lawan terdekat 916 ialah Honda RC30 dan kemudiannya RC45 yang turut digunakan di dalam perlumbaan endurance selain daripada World Superbike.

Tamburini juga berkata pengunaan swingarm sebelah membuatkan roda belakang seakan terapung dan tidak disambungkan kepada motosikal. Setelah itu, Ducati bersambung dengan penggunaan swingarm sebelah sehingga hari ini.

Lengan ayun dua belah pula…

Sebaliknya, pemasangan roda belakang pada lengan ayun dua belah (konvensional) memerlukan satu spindel (rod) dimasukkan bagi menyambungkan kedua-dua belah.

Kita kenalah menarik keluar spindel itu, lepaskan rantai daripada sproket, dan lepaskan cakera brek daripada kaliper.

Oleh itu, rantai dan gandar belakang perlu dijajarkan kembali apabila roda belakang dipasang semula. Proses ini hendaklah dijalankan dengan cermat kerana roda belakang yang tidak dijajarkan dengan sempurna akan menyebabkan masalah kehausan tayar, rantai, dan pad brek yang tidak normal. Selain daripada itu, motosikal juga akan mengalami masalah pengendalian.

Namun, bergantung kepada rekaan blok penjajar lengan ayun, roda belakang mungkin tidak akan tercabut terus kerana dipegang oleh rantai dan braket kaliper brek, jika nat pengunci tercabut. Penunggang masih berpeluang untuk merasakan sesuatu tidak betul seperti bahagian belakang motosikal yang cuba bergerak ke arah yang lain.

Memang ada insiden di mana roda belakang tercabut daripada lengan ayun biasa dua belah.

Penutup

Jadi, adakah lengan ayun sebelah merbahaya?

Semua solusi kejuruteraan mempunyai kompromi. Oleh itu roda belakang dikunci dengan nat yang besar atau beberapa bolt serta pin. Tork pengetatan wajib betul oleh itu gunakanlah spanar tork!

Kami ingin tegaskan sekali lagi bahawa ini merupakan suatu kejadian luarbiasa. Apapun, periksalah motosikal anda sebelum memulakan perjalanan.

Model Triumph Tiger 660 Rally berkemungkinan sedang dibangunkan bagi melengkapi banjaran model 660 tiga silinder.

Triumph amat fasih dalam strategi menghasilkan model-model motosikal tetapi berasaskan platform yang sama. Contohnya: Banjaran 400cc bersilinder tunggal, banjaran Bonneville dwi-silinder 900cc dan 1200cc, banjaran Tiger 900cc dan 1200cc tiga silinder, dan banjaran 660cc tiga silinder yang amat popular.

Platform yang terakhir itu telah menghasilkan tiga model iaitu Trident 660, Daytona 660, dan Tiger Sport 660. Model Trident merupakan jenis roadster/naked, manakala Daytona merupakan sportbike, dan Tiger Sport 660 ialah sport-tourer. Namun, tiada model adventure (lasak) Triumph Tiger 660 Rally di dalam rangkaian itu.

Pembuat yang berpusat di Hinckley, UK ini amat peka terhadap hakikat ini. Sekmen adventure 700cc sedang hangat direbut oleh pembuat-pembuat motosikal. Pembeli motosikal adventure gemar kepada sekmen ini kerana ia terdiri daripada motosikal yang lebih besar daripada model 250cc-500cc tetapi tidak sebesar, seberat, dan semahal model-model 900cc-lebih daripada 1000cc. Antara model-model adventure sekmen pertengahan ialah Aprilia Tuareg 660, Honda XL750 Transalp, KTM 790 Adventure, dan Yamaha Tenere 700.

Fanning this rumour is Triumph Motorcycles Mumbai with a post in their Facebook page pointing to a reveal at the 2024 EICMA motorcycle expo.  This may of course be over-enthusiasm and taken with with a pinch of salt, but Triumph is aggressive as usual in populating each segment. Only thing that remains to be seen if the final bike will have Rally and/or Rally Pro designations.

Khabar angin ini sebenarnya dimulakan oleh Triumph Motorcycles Mumbai melalui ciapan di akaun Facebook mereka. Mereka berkata lagi yang model baharu ini mungkin akan dilancarkan di ekspo EICMA 2024 kelak. Mungkin ciapan ini kerana mereka agak teruja tetapi Triumph amat agresif dalam pembangunan model-model motosikal bagi mengisi semua jurang!

Produksi superbike Yamaha YZF-R1 dan Yamaha YZF-R1 M bakal dihentikan.

Berita ini disahkan di dalam laman web rasmi Yamaha UK yang menyebut:

“Yamaha Motor Group telah mengambil keputusan untuk tidak membangunkan versi R1 atau R1M yang menepati piawaian emisi Euro5+. Sebaliknya (kami) akan menumpukan perhatian terhadap strategi perniagaan dan produk jangka sederhana yang akan memberikan peluang masa depan.”

Ia bermaksud Yamaha mengikut jejak langkah Suzuki yang turut memberhentikan produksi superbike GSX-R1000R. Walaupun begitu, berita ini tidaklah sebegitu mengejutkan kerana semakin ramai pembuat motosikal yang beralih kepada pembuatan model-model yang lebih mudah ditunggang dan lebih mampu milik. Yamaha sendiri telah mengorak langkah terhadap strategi ini dengan penghasilan model YZF-R7 yang berasaskan MT-07. Mereka juga akan melancarkan model YZF-R9 yang berasaskan MT-09 tidak lama lagi.

Terdapat beberapa lagi faktor kenapa R1 dan R1M akan dihentikan:

  • Pembangunan enjin dan model baharu yang menepati piawaian Eruo5+ yang amat ketat akan menelan belanja yang amat tinggi, tetapi untuk pulangan yang tidak berapa lumayan.
  • Model R1 telah mengambil tempat sebagai sebuah motosikal sport yang disegani sejak pelancarannya pada 1998. Ia merupakan superbike Yamaha yang akhirnya menghentikan dominasi Honda CBR900. Apapun, Yamaha masih tidak dapat menjual sebanyak R1 yang diharapkan jika dibandingkan dengan Kawasaki Ninja ZX-10R/ZX-10RR, BMW S 1000 RR, dan Ducati Panigale.

  • Kebanyakkan penunggang telah beralih kepada motosikal yang lebih mudah ditunggang dan boleh digunakan untuk berbagai kegunaan seperti jenis sport-touring, dwi-sport, serta adventure. Motosikal-motosikal ini dapat ke mana sahaja, memberikan keselesaan kepada penunggang dan pembonceng, boleh membawa barang, serta boleh dipasang dengan berbagai aksesori berbanding dengan sebuah superbike.

  • Tahap prestasi superbike kini dan yang akan datang telah menjangkaui kemahiran kebanyakan penunggang motosikal.
  • Kondisi jalan yang tidak bertambah baik di seluruh dunia. Sebaliknya menunggang superbike di atas jalan raya awam seperti ianya sebuah litar hanya akan mengundang bahaya dan tragedi.
  • Dan harga superbike yang amat tinggi.

Namun, manalah tahu jika Yamaha YZF-R1 dan Yamaha YZF-R1 M yang lulus Euro 6 akan kembali penghujung dekad ini.

Kastam negeri Perlis menyita 9 motosikal jenis superbike yang didakwa cuba diseludup ke Malaysia.

Pengarah jabatan tersebut, Tn. Ismail Hashim berkata jumlah motosikal itu mencecah RM416,5000 dengan anggaran cukai duti sebanyak RM715,130.

“Pihak JKDM Perlis melakukan pemeriksaan terhadap 9 motosikal berkuasa tinggi tanpa nombor pendaftaran di lorong masuk pos Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian.”

Antara model yang disita melibatkan Honda CBR1000RR, BMW S 1000 RR, Yamaha YZF-R1, Aprilia RSV4 dan MV Agusta. Penyitaan dilakukan selepas didapati tiada dokumen pembayaran cukai dan permit import yang sah.

“Modus operandi digunakan adalah membawa masuk motosikal tersebut yang diikrarkan untuk tujuan perlumbaan menggunakan lori pengangkut dan didakwa dalam perjalanan menuju ke Sepang, Selangor. Maklumat turut mendapati beberapa buah motosikal itu didakwa dimilikki individu berasal dari Eropah, Hong Kong dan negara-negara lain namun ia menimbulkan keraguan kerana tiada dokumen lengkap seperti nombor casis disertakan bersama,” jelasnya.

Pihak JKDM negeri sakan menyiasat lanjut daripada samada ia berkait dengan aktiviti penyeludupan motosikal berkuasa tinggi dengan rangkaian sindiket antarabangsa atau sebaliknya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(f) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya,” kata Tn. Ismail.

Sumber: Berita Harian Online

 

 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube