Bikesrepublic

Berita Terkini

Aktivis jalan raya Azlan Sani Zawawi, atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi, meminta kerajaan menangani masalah “bottleneck” bagi meredakan sebarang kesesakan ketika pembinaan lebuh raya baharu sebagai penghubung antara koridor lalu lintas timur dan utara Lembah Klang selesai.

Dia turut mencadangkan supaya kerajaan melebarkan jalan raya, khususnya di persimpangan percantuman antara lebuh raya sekitar Lembah Klang bagi mengurangkan risiko kesesakan jalan raya sementara menunggu lebuh raya baharu berkenaan siap dibina.

Katanya, kebanyakan kesesakan berlaku khususnya di waktu puncak melibatkan persimpangan pencantuman antara lebuh raya termasuk laluan keluar-masuk jalan utama.

“Secara amnya kami menyokong semua pelan kemajuan infra negara demi kemudahan pengguna di masa hadapan, namun seringkali pihak kami mendapati tahap pemantauan dan penyelenggaraan amat lemah sehingga menimbulkan banyak masalah terhadap pengguna termasuk kemalangan dan kerugian harta benda.

“Dari satu aspek lain wujud juga masalah trafik teruk di lokasi percantuman lebuh raya ini di laluan lama yang masih belum dinaik taraf,” katanya dalam satu temuduga bersama Free Malaysia Today.

Beliau memberikan sebagai contoh, laluan keluar dari UiTM Puncak Perdana yang bertembung menjadi satu laluan seterusnya mewujudkan keadaan “bottleneck” teruk.

Berikutan itu, katanya, sewajarnya fokus pelebaran jalan sedia ada perlu diselaraskan dengan pembangunan lebuh raya yang dirancang.

Selain itu Azlan yang juga pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya berkata, masalah pemilikan persempadanan yang kompleks di negara ini juga menyukarkan pembangunan infrastruktur jalan raya yang sempurna sehingga mengakibatkan kesesakan khususnya di persimpangan susur keluar lebuh raya.

“Perkara yang sama dilihat berlaku di susur keluar Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta sekitar kawasan Ampang,” katanya.

Katanya, walaupun pihaknya secara asasnya menyokong usaha kerajaan membina lebuh raya baharu, penambahbaikan sistem pengangkutan awam antara bandar raya serta menggalakkan orang ramai menggunakannya sebenarnya langkah paling berkesan dalam usaha menangani kesesakan jalan raya di Lembah Klang.

“Kami percaya penambahbaikan sistem pengangkutan awam antara bandar raya lebih baik daripada pembangunan lebuh raya yang tidak teratur,” katanya.

Ducati bakal memperkenalkan tujuh model baharu selepas mendedahkan akan menayangkan tujuh episod sempena Ducati World Premier 2023.

Menurut Ducati , kesemua tujuh episod akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan bermula dengan episode pertama pada 2 September sebelum berakhir pada 7 November 2022, sehari sebelum pembukaan tirai pameran motosikal EICMA di Milan pada 8 November 2022.

Berikut tujuh episod yang akan ditayangkan sempena DWP 2023:

  • Episod 1—The Unexpected (September 2)
  • Episod 2—Ready for More? (September 15)
  • Episod 3—Unlock Earth (September 29)
  • Episod 4—This is Racing (October 7)
  • Episod 5—Push Forward (October 20)
  • Episod 6—Dare to be Bold (October 28)
  • Episod 7—Next Gen Freedom (November 7)

Berbanding DWP sebelum ini yang datang dengan tajuk yang mudah dirungkai (memberi bayangan model apa yang akan dilancarkan) namun Ducati mengambil langkah berbeza kali ini dengan menggunakan tajuk yang am.

Bagaimanapun, episod 4 “This Is Racing” hampir pasti merujuk pada model Panigale terbaru sementara episod akhir, “Next Gen Freedom” mungkin merujuk kepada generasi terbaru Multistrada V4.

Meskipun bakal mendedahkan tujuh model baharu secara virtual seperti edisi sebelumnya namun Ducati sebelum ini telah pun mengesahkan akan kembali ke EICMA.

Ini bermakna, jenama motosikal Itali itu berkemungkinan besar akan membuat satu kejutan besar di Milan nanti selepas selesai kesemua tujuh episod DWP 2023.

Seperti biasa, kami akan membawakan info terperinci bagi setiap satu episod.

Juara dunia empat kali Sebastian Vettel mengumumkan persaraannya daripada Formula Satu pada penghujung musim ini dengan mahu menumpukan lebih masa kepada keluarga serta aktitivi di luar sukan itu.

Jaguh berusia 35 tahun dari Jerman itu menjuarai gelaran dengan Red Bull pada 2010-13 dan menyertai Ferrari selama enam musim sebelum berpindah ke Aston Martin yang sekadar menduduki tempat kesembilan daripada 10 pasukan.

Dia membuat pengumuman itu menjelang Grand Prix Hungary hujung minggu ini, perlumbaan ke-13 dan yang terakhir sebelum berehat seketika Ogos depan.

“Saya dengan ini mengumumkan persaraan daripada Formula Satu pada penghujung musim 2022,” katanya dalam sidang video di Instagram.

“Saya cintakan sukan ini. Ia menjadi sebahagian hidup saya tetapi kehidupan di luar litar perlu difikirkan. Menjadi pelumba kereta tidak pernah menjadi satu-satunya identiti saya.

“Selain perlumbaan, saya ada keluarga yang semakin membesar dan saya mahu berada di samping mereka. Saya mempunyai perkara lain di luar Formula Satu,” kata Vettel, bapa kepada tiga cahaya mata.

Vettel menduduki tangga ketiga dalam senarai pemenang terbanyak perlumbaan sepanjang zaman dengan 53 kemenangan di belakang juara tujuh kali Lewis Hamilton (103) dan Michael Schumacher (91). Kemenangan terakhirnya bersama Ferrari di Monza pada 2019.

Hanya kerana dihalang menggunakan motosikal, seorang lelaki bersenjatakan pisau sanggup mengugut mahu membunuh ibunya di rumah mereka di Bandar Perdana, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, lelaki berusia 20 tahun berkenaan baru tiba di rumah sebelum dia meminta untuk menggunakan motosikal milik ibunya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ibu suspek yang berusia 40 tahun bagaimanapun tidak membenarkannya menggunakan motosikal itu kerana dia baru pulang selepas tiga hari keluar rumah.

“Suspek yang berang secara tiba-tiba mengamuk sebelum mengambil pisau dan mengugut mahu membunuh ibu dan juga adik-beradiknya yang berada dalam rumah.

“Bimbang dengan tindakan anaknya serta keselamatan mereka sekeluarga, wanita terbabit terus menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota unit peronda polis (MPV) yang menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui bilik gerakan bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

“Siasatan lanjut mendapati suspek yang bekerja kilang tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Selepas dua tahun sejak dipertontonkan kepada umum ketika pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020, akhirnya MODENAS secara rasmi memperkenalkan beberapa model Kawasaki yang dijenamakan semula.

Tiga model dilancarkan untuk pasaran tempatan hari ini menerusi MODENAS Ninja 250 ABS, Ninja 250 dan Z250 ABS.

MODENAS NINJA 250 ABS – RM20,500

Berdasarkan model Kawasaki Ninja 250 ABS sebelum ini, MODENAS Ninja 250 ABS turut didatangkan dengan ciri sama termasuk enjin yang masih kekal bernadikan platform ‘parallel-twin’ 249cc DOHC, dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 36hp pada 12,500rpm dan 23Nm pada 10,000rpm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac ‘assist/slipper’.

Antara ciri lain turut ditawarkan adalah cakera brek di depan dan belakang dengan fungsi ABS manakala sistem suspensi pula merangkumi fork teleskopik di depan dan monoshock di belakang.

Selain itu MODENAS Ninja 250 ABS ini juga tampil dengan ciri berikut:

  • lampu LED depan dan belakang
  • meter separa digital dan analog
  • tangki 14L

MODENAS Z250 ABS – RM19,500

Turut diperkenalkan untuk pasaran tempatan adalah MODENAS Z250 ABS yang berkonsepkan motosikal ‘naked’.

Meskipun tampil dengan rekaan berbeza namun Z250 ABS ini turut dikuasakan enjin ‘parallel-twin’ 249cc DOHC yang menghasilkan 36hp dan 23Nm.

Berbanding rekaan ‘full-fairing’ pada Ninja 250 ABS, Z250 ABS pula menampilkan reka bentuk naked dengan elemen Sugomi yang diterapkan Kawasaki pada kesemua model ‘hypernaked’ sedia ada.

Hasilnya, Z250 ABS ini lebih ringan, hanya 165kg.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • fork depan teleskopik 41mm
  • cakera brek 310mm depan
  • ABS dengna kaliper brek Nissin
  • ketinggian tempat duduk 785mm
  • skrin separa digital

Kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat seperti treler dan lori bertembung dengan kenderaan ringan kelihatan seperti makin kerap berlaku baru-baru ini.

Mangsa maut dalam keadaan mengerikan dan ramai jumlahnya membuatkan kes kemalangan ini sangat menyayat hati.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pemandu kenderaan terbabit kemalangan maut ini kadangkala terbabit dengan pengambilan dadah, terlelap ketika memandu dan kenderaan mengalami kerosakan.

Namun, berdasarkan kajian dilakukan penyelidik dan penyiasat forensik kemalangan, kebanyakan kes kemalangan ngeri membabitkan kenderaan berat mempunyai kaitan langsung dengan sikap pemandu.

Pemandu kenderaan berat seperti treler dan lori dilaporkan mengabaikan keselamatan kenderaan lain dan bersikap ego, sekali gus menyumbang kepada kes kemalangan maut.

Ada pemandu dikatakan tidak begitu mengambil peduli ciri-ciri keselamatan pemanduan berhemah seperti menganggap kenderaan ringan patut memberi laluan serta keutamaan kepada mereka di atas jalan raya kerana kenderaan dipandu mereka lebih besar.

Sikap mementingkan diri sendiri ini tidak dinafikan turut menjadi punca utama berlaku kemalangan tragik meragut banyak nyawa pengguna kenderaan ringan.

Antara kemalangan tragik membabitkan kenderaan berat seperti kes seorang lelaki dan tiga wanita maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (km) 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Ipoh, minggu lalu.

Dalam kejadian di Pasir Puteh, Kelantan, seorang wanita maut, empat cedera termasuk seorang bayi parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan 29 kenderaan di Jalan Kamunting, termasuk lori muatan pasir dan besi.

Antara punca utama kemalangan membabitkan kenderaan berat berlaku berkemungkinan daripada syarikat pengangkutan atau logistik tidak mendapat maklumat rekod lampau kesalahan pemandu serta latar belakang pekerja sebelum diambil bekerja.

Pihak syarikat juga tidak mempunyai akses untuk melihat latar belakang dan rekod lampau pemandu bakal diambil bekerja dengan syarikat mereka sama ada pemandu pernah melakukan kesalahan lalu lintas dan mempunyai saman ‘berkepuk’.

Selain itu, kebanyakan syarikat pengangkutan didapati tidak memasang alat pengehad kelajuan pada kenderaan berat mereka kerana membabitkan kos tambahan operasi.

Alat ini wajar dipasang dalam usaha untuk mengawal pemandu daripada memandu kenderaan berat melebihi had laju ditetapkan, sekali gus berupaya mengurangkan kadar kemalangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengadakan kursus khas kepada pemandu kenderaan berat khususnya treler dan lori untuk meningkatkan tahap pemanduan dan kualiti servis yang baik.

Beliau turut mengarahkan agensi dan pihak berkaitan termasuk JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) meneliti kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat secara lebih menyeluruh dan mencari kaedah penyelesaian berkesan.

Sementara itu, beliau juga berpendapat JPJ patut lebih tegas dan menyeluruh dalam menyemak rekod pemandu kenderaan berat sebelum meluluskan pembaharuan lesen memandu mereka.

Syarikat pengangkutan juga patut mewajibkan pemandu mereka menghadiri kursus selama satu hingga dua jam bagi meningkatkan semula asas pemanduan serta mengingatkan mereka semula pemanduan berhemah.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube