Bikesrepublic

Berita Terkini

Fabio Quartararo berjaya melakar perubahan pada hari terakhir ujian pra-musim di Portimao, Portugal namun berasakan pakej aerodinamik yang diujinya tidak membawa perubahan besar. 

Meskipun jentera YZR-M1 hadir dengan ‘rear wing’ yang agak esktrem namun Quartararo berpendapat dia tidak merasakan sebarang perbezaan langsung.

“Tak rasa pun. Maksud saya, ia bukanlah baik atau buruk tetapi saya rasa kami tidak akan menggunakannya,” jelas Quartararo. 

Pada masa sama, pelumba Perancis itu juga tidak menafikan dakwaan bahawa pakej ‘rear wing’ itu sebagai buruk.

“Mekanik saya juga berharap bahawa alat itu tidak akan berfungsi!”, tambahnya.

Tanpa kehadiran ‘rear wing’ tersebut, juara dunia musim 2021 itu berjaya merekodkan catatan masa ketiga terpantas termasuk mempamerkan aksi cemeralng ketika simulasi perlumbaan Sprint.

Untuk pengetahuan, bahagian belakang tempat duduk tidak termaktub dalam peraturan Aero Body maka tiada kekangan terhadap reka bentuk mahupun sekatan penggunaan di MotoGP. Pada masa sama, pasukan boleh menguji bentuk berbeza ketika musim sedang berlangsung.

Ketika Moto Guzzi V100 Mandello membuat penampilan sulung tahun lalu, motosikal segmen ‘sport cruiser’ itu menerima pujian melambung. 

Ini kerana motosikal tersebut bukan setakat sebuah model baharu malah membawa nama Moto Guzzi dalam melangkah ke abad ke-21. Ini kerana V100 Mandello itu merupakan motosikal pertama yang dihasilkan Moto Guzzi yang dilengkapi ciri moden dan berteknologi tinggi termasuk sistem suspensi semi-aktif, IMU 6-axis, cornering ABS dan ‘quickshifter’.

Bukan itu sahaja, Moto Guzzi V100 Mandello juga mempunyai panel badan dibahagian kanan dan kiri tangki yang akan terbuka dengan sendirinya bagi menghasilkan ‘downforce’ yang lebih efisien. Menurut Moto Guzzi, teknologi itu dinamakan sebagai ‘adaptive aerodynamics’.

Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa motosikal premium dan berteknologi tinggi akhirnya akan dipasarkan di Malaysia tahun ini. Meskipun tarikh terperinci tidak diberitahu namun jangkaan model itu akan tiba antara Suku Kedua dan Suku Ketiga. 

Untuk rekod, Didi Group merupakan pengedar rasmi jenama Moto Guzzi di Malaysia  selain daripada Aprilia, Vespa, Harley-Davidson, Royal Enfield dan terbaru, Triumph Motorcycles. 

Dalam pada itu, Moto Guzzi V100 Mandello dikuasakan enjin jenis ‘transverse’ V-Twin 1,042cc yang berupaya menghasilkan 115hp dan 105Nm pada 3,500rpm. Meskipun bersesaran lebih besar berbanding platform yang diguna pakai pada V85 TT, namun enjin V100 Mandello itu 103mm lebih pendek.

Persoalannya, sekiranya dipasarkan di Malaysia nanti, berapakah jangkaan harga yang akan ditawarkan? Di Amerika Syarikat, Moto Guzzi V100 Mandello datang dengan dua varian, Standard dan ‘S’ dengan kedua-duanya dijual pada harga USD15,490 (RM69k) dan USD17,490 (RM79k).

Pengeluar kereta elektrik dari China, BYD bakal memperkembangkan perniagaan mereka dengan menceburi pembangunan jentera dua roda. 

Memetik laporan The Economic Observer, BYD telah pun mengesahkan akan mula membangunkan motosikal hasil kerjasama dengan syarikat luar. 

Difahamkan, BYD telah pun memeterai kerjasama dengan jenama motosikal Sepanyol, Nerva untuk menghasilkan motosikal elektrik. Motosikal tersebut akan dikuasakan bateri ‘iron phosphate’ milik BYD dan akan menghasilkan 16.2hp dan mampu merekodkan kelajuan 125km/j.

Pengesahan itu secara tidak langsung menjadikan BYD pengeluar kereta kedua dari China yang akan mula menghasilkan motosikal selepas Great Wall Motor (GWM)

Sebelum ini, GWM telah pun memaklumkan bahawa akan membelanjakan CNY556 juta (RM354 juta) bagi pasaran motosikal dan menjangkakan pengeluaran sekitar 10,000 unit setahun. 

Boon Siew Honda telah pun memperkenalkan Honda Vario 125 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM7,080. 

Pelancaran itu sudah pun dijangka berdasarkan ‘teaser’ yang dikongsikan BSH sebelum ini. Untuk pasaran tempatan, tiga warna ditawarkan termasuk Kuning, Biru dan Merah. 

Menariknya, Honda Vario 125 ini tampil dengan rekaan sama seperti Vario 150 namun bernadikan enjin yang lebih kecil dan kompak. Hasilnya, skuter terbaru itu dikuasakan enjin satu silinder SOHC dengan suntikan bahan api dan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 11.5hp dan 11.74Nm. 

Meskipun tampil dengan enjin cilik, varian 125cc ini masih lagi mengekalkan ciir moden termasuk lampu LED depan dan belakang, sistem smart-key, pengecas USB serta sistem ‘anti-theft’. 

Bahagian roda pula dilengkapi rim 14-inci depan dan belakang dengan tayar 90/80 depan dan 100/80 belakang. Sama seperti Vario 150 sebelum ini, versi 125cc ini juga hanya dilengkapi brek CBS yang dipadankan bersama brek dram belakang dan cakera tunggal di depan. 

Kemunculan Vario 125 ini secara tidak langsung melengkapkan tiga model Vario yang ditawarkan di Malaysia menerusi Vario 150 dan terbaru Vario 160. Namun, pengeluaran Vario 150 telah pun dihentikan dan digantikan dengan Vario 160. 

MForce Bike Holdings Sdn Bhd dengan rasminya memperkenalkan WMOTO Bobbie VII untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan rasmi RM35,888. 

Seperti namanya, WMOTO Bobbie VII merupakan motosikal berkonsepkan ‘bobber’ sekaligus tampil dengan gaya retro klasik. 

Sekali imbas, Bobbie VII ini tampak diinspirasikan daripada jenama lain antaranya Triumph dan Harley-Davidson. 

WMOTO Bobbie VII dikuasakan enjin parallel-twin 693cc 4-stroke DOHC yang berupaya menghasilkan 74hp pada 8,500rpm dan 68Nm pada 6,500rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan. 

Meskipun tampil dengan imej retro, Bobbie VII ini lengkap dengan siistem suntikan bahan api (EFI) dan sistem brek ABS dwi-saluran. Selain itu, model ini juga datang dengan fork teleskopik depan yang dipadankan bersama kaliper brek 2-pot dan cakera brek320mm depan dan 256mm belakang.

Tidak lupa juga kehadiran panel meter digital LCD yang cukup besar lalu menyerlahkan lagi kelengkapan moden pada model ini. 

Dalam pada itu, Bobbie VII ini turut menawarkan pencahayaan LED penuh (depan dan belakang) sekaligus menjaminkan penglihatan yang lebih jelas terutamanya di waktu malam. 

Menariknya, meskipun bergaya ‘bobber’, model ini masih praktikal dengan adanya tempat duduk ‘pillion’ berbanding jenama lain. 

Ciri lain ditawarkan termasuk tangki 15L, rim tubeless 17-inci depan dan 16-inci belakang yang dipadankan bersama tayar TImsun 120/80 di depan dan 150/80 belakang. 

Untuk rekod, WMOTO Bobbie VII ini dijenamakan semula daripada Briston Bobber 700 yang ketika ini dipasarkan di Filipina. Untuk pasaran Malaysia, WMOTO Bobbie VII ini datang dengan dua pilihan warna ‘Matte Black’ dan ‘Metallic Black’. 

Sementara itu, MForce turut mempamerkan Bobbie VII versi ‘sidecar’ yang akan pasarkan kemudian kerana masih menanti kelulusan. 

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Harley-Davidson dengan rasminya memperkenalkan model paling mampu milik menerusi Harley-Davidson X350 yang dilancarkan di China, hari ini. 

Dibangunkan bersama pengeluar motosikal China, QJ Motor, Harley-Davidson X350 menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada Sporster XR1200X terutamanya di bahagian tangki dan ekor. 

Berdasarkan imej rasmi yang dikongsikan, Harley-Davidson X350 tampak mencerminkan DNA Harley-Davidson yang sebenar meskipun dihasilkan pihak QJ Motor. 

Menurut Harley-Davidson, X350 ini dikuasakan enjin parallel-twin 353cc dengan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 36.2hp dan 31Nm pada 7,000rpm. Mengambil kira ‘bore x stroke’ berukuran 70.5mm dan 45m2mm tersebut, X350 ini menjanjikan nadi dengan rev tinggi dan sporty. 

Sementara itu, kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan. 

Untuk rekod, enjin tersebut adalah yang sama terdapat pada QJ Motor SRK 350 dan Benelli 302S. 

Selain itu, Harley-Davidson X350 ini juga dilengkapi dengan ciri premium termasuk fork USD depan dengan rebound boleh laras. Monoshock belakang juga datang dengan fungsi ‘preload’ dan ‘rebound’ boleh laras. 

Sistem brek pula hadir menerusi kaliper brek 4-pot tunggal di depan dan satu pot dibelakang. Sesuai untuk kegunaan harian dan dihujung minggu, model ini juga dilengkapi dengan tangki berkapasiti 13.5L. 

Meskipun harga belum diumumkan namun ada yang mendakwa model 350cc itu akan dijual sekitar CNY33,388 (RM21.6k).

GALERI: HARLEY-DAVIDSON X350

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube