Bikesrepublic

Berita Terkini

 

Suzuki Katana merupakan antara motosikal yang paling dinantikan tahun ini – Suzuki Malaysia telah pun mengumumkan ketibaan Katana sebulan lalu – sejak diperkenalkan di EICMA 2018.

Bagi menyemarakkan lagi aura Katana yang semakin membina, Suzuki kini memperkenalkan Katana edisi terhad- tetapi Katana ini didatangkan dengan empat tayar.

Suzuki mengumumkan akan melancarkan Suzuki Swift Katana – bukan sahaja terhad dari segi jumlah bahkan lokasi – dengan hanya 30 unit Swift akan dihasilkan khas untuk pasaran Belanda sahaja.

Model Suzuki Swift Katana ini didatangkan dengan warna perak – bagi menyamai warna Katana – dan warna hitam. Semua 30 model akan memaparkan gril depan berwarna merah yang mengingatkan kepada logo retro Suzuki serta ‘racing stripe’di bahagian bonet depan dan pintu.

Logo ikonik Katana turut terpampang di pintu bahagian pemandu kiri dan kanan. Suzuki turut mengekalkan enjin 1.4L empat silinder turbo.

Harga ditawarkan bagi model ini adalah sekitar USD32,400 (RM134,703).

(SUMBER: RideApart)

BMW bukan nama asing dalam dunia penerbangan malah antara syarikat pengasas BWM, Rapp Motorenwerke – yang kemudiannya menjadi Bayerische Motoren Werke (BMW) -merupakan pengeluar enjin kapal terbang sekitar awal abad ke-20.

Bagaimanapun, di penghujung 1930, syarikat terbabit mula memperkenalkan kereta dalam portfolio mereka sebelum memfokuskan perniagaan sepenuhnya terhadap pembinaan enjin kapal terbang dan motosikal ketika Perang Dunia Ke 2.

Hari ini, sebuah universiti telah menggunakan enjin BMW untuk menggerakkan projek kapal terbang yang diberi nama UL-39 ALBI – sebuah prototaip yang dicipta sepasukan pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknikal Czech di Prague.

Percaya atau tidak kapal terbang ini menggunakan enjin BMW S 1000RR! (Enjin tersebut mengaktifkan duct fan motor yang berfungsi untuk menggerakkan jet pejuang ini)

UL-39 ALBI diinspirasikan oleh model asal L-39 Albatross yang dihasilkan pada era 70an oleh Czechoslovak Air Force. Lebih menarik, rekaan ALBI mengekalkan reka bentuk replika Albatross namun enjin asal Ivchenko AI-25 diketepikan bagi memberi ruang kepada enjin BMW S 1000RR.

Kapal terbang seberat 350kg ini mampu mencapai kelajuan 300 km/j dan mampu pergi sejauh 547 km.

(SUMBER: RideApart)

Ducati sememangnya sinonim dengan warisan rekaan motosikal yang menakjubkan. Pengeluar motosikal Itali itu tidak pernah gagal dalam menghasilkan jentera paling ‘seksi’ dalam dunia dua roda.

Kali ini, peminat motosikal sekali lagi boleh berasa kagum dengan reka bentuk yang berkemungkinan akan diserap pada jentera elektrik pertama yang bakal dihasilkan Ducati.

Tatkala pengeluar lain seringkali lari dengan identiti sendiri dalam menghasilkan motosikal elektrik, jangan terkejut kerana Ducati tetap akan mengekalkan imej mereka!

Ducati tidak menyembunyikan rancangan mereka untuk menempah nama dalam dunia motosikal elektrik bahkan awal tahun ini Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali telah mengesahkan mereka sedang dalam pembikinan jentera terbabit.

Minggu lalu, ramai yang terkilan apabila Ducati mengumumkan kerjasama dengan Vmoto untuk menghasilkan skuter elektrik Super SOCO CUx.

Bagaimanapun, ini semua merupakan langkah Ducati dalam menjelmakan motosikal elektrik yang sebenar. Bagi meraikan keterujaan itu, ini antara gambaran motosikal elektrik Ducati yang bakal membuat penampilan dalam masa terdekat.

Imej ‘render’ oleh pereka Aritra Das menunjukkan bagaimana motosikal elektrik Ducati masih mengekalkan reka bentuk ikonik pengeluar motosikal Itali itu.

Dinamakan, Ducati Elettrico – jangan keliru dengan Elettrica, skuter elektrik pertama Piaggio – rekaan keseluruhan ternyata menampakkan identiti Panigale.

Masih mengekalkan ‘single-sided swingarm’ dengan offset mono-shock, brek Brembo dan chain drive, antara lain, imej ‘render’ ini sedikit sebanyak memberi bayangan akan visi Ducati dalam dunia permotoran elektrik.

Namun, perlu diingatkan Elettrico hanya wujud dalam imej yang dikongsikan ini kerana tiada jaminan Ducati akan menuju ke arah ini 100 peratus tetapi seperti yang disahkan sendiri CEO Ducati, jangan terkejut jika inilah rupa motosikal elektrik permata yang akan dihasilkan dalam masa beberapa tahun ini.

Volvo Car Malaysia selaku pengeluar kenderaan premium melancarkan kempen #SafeDrive yang memfokuskan terhadap kesedaran kepentingan menggunakan tali pinggang keledar ketika memandu, termasuk penumpang di belakang.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Nalin Jain berkata keutamaan keselamatan haruslah diberikan kepada kepentingan pemakaian tali pinggang keledar.

“Semua teknologi keselamatan automotif pada kenderaan bergantung pada penggunaan tali pinggang keledar sebagai fakor utama. Tanpanya, penggunaan keselamatan lain tidak lagi berkesan. Apatah lagi tanggapan bahawa penggunaan beg udara sudah cukup untuk memberikan perlindungan kepada pemandu dan penumpan,”katanya.

Tali pinggang keledar pada awalnya diperkenalkan oleh Nils Bohlins – seorang jurutera Volvo – pada tahun 1959 sekaligus membawa kepada inovaso keselamatan yang sehingga kini masih digunakan.

 

Menyedari kepentingan tersebut dan mengambil sikap prihatin, Volvo Cars menyerahkan paten alat berkenaan agar boleh dimanfaatkan oleh pengeluar lain.

Berdasarkan data yang dikumpulkan Volvo Cars sejak 1960an, lebih sejuta nyawa telah diselamatkan melalui penggunaan alat tali pinggang keselamatan Volvo.

“Volvo akan terus memperkenalkan inovasi terkini bagi memperkukuhkan lagi keselamatan kenderaan kali ini kami akan bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Insititu Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi meningkatkan kesedaran kepentingan pemakaian tali pinggang keledar.

“Kami percaya usaha ini dapat membantu mengurangkan jumlah kecederaan dan kemalangan maut di Malaysia,” tambah Nalin.

Mengikut data pada 2017, secara purata sekitar 16 kematian direkodkan sehari bagi bulan Ramadhan dan Syawal.

Bagi memastikan keberkesanan kempen ini, mesej keselamatan akan disiarkan di pelbagai platform antaranya radio, akhbar, online serta media sosial.

Untuk maklumat lanjut, layari http://bit.ly/SafeDrive_VCM.

Sumber: The Star

Polis memerlukan bantuan orang ramai untuk mengesan kedudukan dua lelaki yang terlibat dalam kes sindiket penipuan penjualan kereta.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, Chief Asst Comm, Fazlisyam Abd Majid berkata pihaknya sedang memburu dua lelaki setelah menahan dua lelaki lain minggu lalu.

Menurut laporan The Star, polis kini sedang mencari S. Visvanathan, 34 tahun (gambar) dan S. Vimalathitten dari Pulau Pinang.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lokasi kedua-dua lelaki ini digesa untuk menghubungi Inspektor Mohd Hanafi Othman di 013-6836693,” jelas Fazlisyam.

Sementara itu, ACP Fazlisyam menafikan dakwaan daripada sesetengah laporan media yang menyifatkan pihak polis tidak berkeupayaan untuk menghalang sindiket penipuan penjualan kereta tatkala dua suspek yang ditahan sebelum ini telah pun dilepaskan.

“Mereka dilepaskan atas jaminan polis. Kami perlu mengikut prosedur ditetapkan di samping mengambil tindakan yang betul.

“Kami tidak berkompromi dalam menguruskan kes ini,”tegasnya.

Baru-baru ini seorang doktor berusia 51 tahun telah ditipu dalam penjualan kereta jenis Range Rover yang bernilai RM200,000.

Sindiket terbabit – yang mensasarkan individu menjual kereta secara ‘online – telah ‘membayar’ mangsa dengan cek palsu.

Sumber: Johann Zarco @ Twitter

Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Stefan Pierer meluahkan rasa tidak puas hati dengan persembahan Johann Zarco dalam saingan MotoGP musim ini.

Zarco – yang dipikat KTM setelah mempamerkan aksi mantap bersama Yamaha Tech3 musim lalu – bergelut untuk mengulangi kecemerlangan sama musim ini setelah menandatangani kontrak dua tahun.

Pelumba berusia 28 tahun itu hanya mengutip tujuh mata daripada empat perlumbaan musim ini dan mengakui masih lagi bergelut untuk mencapai keserasian dengan jentera RC16.

“Persembahan Johann (Zarco) sememangnya tidak boleh diterima. Dia sedang menghadapi masalah dalaman. Dia juga telah berpisah dengan ejen lamanya, Laurent Fellon, individu yang bertanggungjawab dalam menempatkan di mana dia berada sekarang.

“Tidak cukup dengan itu, orang sekelilingnya turut memberikan pelbagai masalah dan merumitkan keadaan.

“Pada masa sama, dia (Zarco) perlu menerima hakikat bahawa jentera ditunggangnya sekarang bukan Yamaha dengan enjin in-line 4 silinder (KTM menggunakan enjin V4). Bagaimanapun, saya akan memastikan dia dapat memberikan persembahan terbaik sepertimana yang kami kehendaki,” jelasnya.

Selepas empat perlumbaan, KTM kini menduduki tempat terakhir dalam senarai pengeluar dengan 21 mata – tujuh mata lebih baik daripada pencapaian tahun lalu.

Namun, setiap kutipan mata itu datang dari rakan sepasukan Zarco, Pol Espargaro.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube