Bikesrepublic

Berita Terkini

Francesco Bagnaia meneruskan kejayaan di GP Aragon minggu lalu untuk melakar kemenangan kedua berturut-turut di Misano, pada Ahad.

Pelumba Ducati itu yang memulakan perlumbaan di petak pertama selepas melakar catatan masa terpantas, berjaya menjarakkan diri di Turn 1 seawal perlumbaan dimulakan.

Bagnaia yang seakan kelihatan selesa didepan kemudiannya mula dikejar pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo ketika di peringkat akhir perlumbaan.

Bagaimanapun, Bagnaia berjaya mengekang asakan pelumba factory Yamaha itu untuk merekodkan kemenangan kedua musim ini.

Sementara itu, pelumba Avintia, Enea Bastianini turut mencuri tumpuan apabila berjaya menempatkan diri di tempat ketiga.

Meskipun menunggang jentera Ducati berusia dua tahun namun itu tidak menyekat Bastianini untuk memintas sembilan pelumba untuk meraih podium pertamanya musim ini selepas 14 pusingan.

Manakala enam kali juara dunia, Marc Marquez terus melakar keputusan memberangsangkan apabila menamatkan aksi di tempat keempat setelah berjaya memintas wakil Suzuki dan Aprilia, Joan Mir dan Aleix Espargaro di lap terakhir.

Keputusan perlumbaan di Misano kini menyaksikan perebutan kejuaraan semakin sengit dengan Quartararo dan Bagnaia hanya dipisahkan dengan 48 mata.

Berikut keputusan penuh perlumbaan di Misano:

Francesco Bagnaia sekali lagi muncul pelumba terpantas ketika sesi kelayakan di GP Misano sekaligus bakal bermula di petak pertama dalam perlumbaan pada Ahad.

Bagnaia turut berjaya memecahkan rekod catatan masa terpantas kali untuk dua minggu berturut-turut setelah melakukannya di GP Aragon, minggu lalu.

Jack Miller turut menghadirkan kegembiraan berganda buat Ducati apabila merekodkan masa kedua terpantas diikuti pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo yang melengkapkan barisan depan di petak ketiga.

Sementara itu, menyedari rakan sepasukan, Bagnaia, ketika ini hanya ketinggalan 53 mata di belakang Quartararo dalam perebutan kejuaraan dunia, Miller tekad memainkan peranan sebagai penghalang Quartararo dalam mengutip mata.

“Bagi saya, Pecco (Bagnaia) adalah pelumba terpantas di atas litar.

“Sudah tentu saya juga mahu memberikan saingan tetapi kita lihat apa yang akan berlaku nanti.

“Jika dia (Bagnaia) mahu mengukuhkan kedudukan di depan, saya gembira untuk bertindak sebagai penghalang kepada pesaing lain (merujuk kepada Quartararo).

“Tetapi saya rasa segalanya bergantung kepada permulaan perlumbaan pada Ahad,” jelasnya.

Catatan masa terpantas dalam dua minggu berturut-turut membuktikan Bagnaia sudah mula serasi dengan jentera GP21 Ducati dan lantas bakal menghadirkan cabaran sengit tatkala musim 2021 hanya berbaki empat pusingan selepas ini.

Era baharu bermula bagi pasukan kendalian Datuk Razlan Razali setelah Sepang Racing Team (SRT) kini dijenamakan semula sebagai RNF MotoGP Racing.

Penjenamaan semula ini turut menyaksikan RNF Racing menandatangani perjanjian lima tahun bersama IRTA bagi meneruskan cabaran selaku Independent Team di Kejuaraan Dunia FIM MotoGP.

Meskipun membawa nama baharu, RNF Racing akan terus diterajui oleh Datuk Razlan.

“Pengembaraan kami berjalan dengan cukup pantas.

“Dalam tempoh kurang beberapa bulan, kami telah tetapkan semula segala usaha kemudian dijenamakan semula sebagai sebuah pasukan MotoGP yang lebih kukuh dan segar.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Carmelo (Ezpeleta) atas kepercayaan dan keyakinan diberikan kepada saya untuk memulakan babak kedua dengan pasukan serba baharu di kelas MotoGP untuk lima tahun akan datang.

“Bermula dengan musim depan, RNF Racing akan meneruskan rangka tindakan sama.

“Dengan pengalaman dan pencapaian sebelum ini, kami tidak sabar untuk memulakan kempen 2022 dengan pasukan yang lebih kuat,” jelas Razlan.

Penjenamaan semula ini telah pun dijangka berlaku sebelum ini setelah penaja utama (title sponsor) SRT, Petronas membuat kejutan apabila tidak akan meneruskan kerjasama sebaik tamat musim 2021.

Langkah sama turut diumumkan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang tidak lagi bersama SRT dalam apa jua senario memasuki musim 2022.

Sementara itu, RNF Racing akan meneruskan cabaran 2022 bersama Andrea Dovizioso yang telah pun disahkan sebagai pelumba baharu dan akan turut membantu SRT menghabiskan baki saingan musim ini.

Bagaimanapun, belum dikenal pasti siapaka yang bakal diumumkan sebagai rakan sepasukan Dovizioso musim depan.

Ducati didakwa akan memperkembangkan model Streetfighter dengan varian V2 yang bakal sertai varian V4 yang dilancarkan lewat 2019.

Berbanding Streetfighter V4 yang menawarkan 208hp, varian V2 pula menyumbang 155hp hasil daripada enjin silinder berkembar 955cc Superquadro yang terdapat pada Panigale V2.

Foto ‘spy shot’ yang dikongsikan turut memperkuatkan dakwaan mengenai Streetfighter V2 tersebut yang dilihat sedang menjalani ujian jalan raya.

Meskipun rekaan sukar dikenal pasti dengan jelas namun Streetfighter V2 ini dijangka mengikut acuan rekaan sama seperti Streetfighter V4.

Pada masa sama, turut dilihat dalam foto tersebut adalah Multistrada V4 Pikes Peak Edition.

Seperti model edisi Pikes Peak sebelumnya, Multistrada V4 Pikes Peak ini juga meraikan pencapaian jenama Itali itu di Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) sebelum ini.

Bagaimanapun, susulan insiden kematian Carlin Dunne sewaktu menunggang Streetfighter V4 di PPIHC sebelum ini, acara motosikal telah pun dibatalkan daripada penyertaan.

Sementara itu, edisi Pikes Peak ini dijangka memperlihatkan penggunaan komponen gentian karbon dan ekzos Akrapovic.

Ducati dijangka mendedahkan kedua-dua model ini secara rasmi di EICMA 2021 yang akan berlangsung November ini di Milan, Itali.

Aprilia dengan kerjasama Zongshen, bakal memperkenalkan Tuono 250 tidak lama lagi berdasarkan dokumen pengesahan yang difailkan di China.

Bagaimanapun, Tuono 250 ini direka mengikut model Tuono 1100 2017 hingga 2020 berbanding model 2021 yang diperkenalkan tahun ini.

Dokumen tersebut mendedahkan Tuono 250 ini dikuasakan enjin satu silinder 249cc yang sama ditawarkan pada RS 250 yang menghasilkan 27.5hp.

Meskipun bersesaran 250cc, namun Tuono 250 ini masih menggunakan kerangka sama yang terdapat pada varian 125.

Antara ciri lain yang turut dibawa dari Tuono 125 ke Tuono 250 ini termasuk rim, brek, fork jenis inverted 40mm, cakera brek depan 300mm, kaliper radial dan ABS.

Menurut dokumen itu lagi, Tuono 250 ini adalah seberat 155 kilogram, 2kg lebih ringan berbanding RS 250.

Bagaimanapun, buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada model Tuono 250 ini hanya akan dipasarkan di China.

Pelumba berpengalaman, Andrea Dovizioso kembali ke MotoGP setelah sah diumumkan sebagai pelumba baharu Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Bekas pelumba Ducati itu akan membantu SRT menghabiskan baki saingan musim ini bersama rakan sepasukan, Valentino Rossi.

Dovizioso juga akan turut bersama pengendali, Datuk Razlan Razali dan pengurus pasukan Johan Stigefelt membawa cabaran ke musim 2022.

Menariknya, pelumba Itali itu mengakui dia pernah berhasrat untuk sertai factory Yamaha pada 2013 namun peluang itu terpadam selepas Rossi kembali ke Yamaha susulan bergelut di Ducati musim sebelumnya.

“Selepas musim yang baik pada 2012 (bersama Monster Yamaha Tech3), impian sayan adalah sertai pasukan factory Yamaha. Namun itu tidak berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, Yamaha turut mengumumkan Franco Morbidelli sebagai pelumba baharu pasukan factory menggantikan Maverick Vinales.

Morbidelli telah pun menandatangani kontrak dua tahun sehingga 2023.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube