Tidak dinafikan, nama CFMoto semakin kerap memenuhi dada berita antarabangsa dan tempatan terutamanya menerusi model 450SR, 700CL-X, 800MT dan terbaru 800NK.
Jenama motosikal dari China itu turut dilaporkan sedang giat membangunkan platform 1,000cc dengan konfigurasi V4 dalam usaha melahirkan jentera ‘sportsbike’ berkuasa tinggi.
Meskipun begitu, CFMoto tidak mengetepikan segmen ‘mini-moto’ yang ketika ini popular dengan model Honda Monkey 125 dan MSX125 (Grom).
Bagi merancakkan lagi segmen tersebut, CFMoto telah memperkenalkan Papio XO-1 di China.
Menariknya, Papio XO-1 merupakan satu-satunya ‘mini-moto’ yang menerapkan imej ‘sportsbike’ retro. Menurut CFMoto, model ini dikuasakan enjin satu silinder 125cc dengan penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api yang berupaya menghasilkan 9.5hp pada 8,500rpm dan 8.3Nm pada 6,500rpm.
Meskipun bukanlah motosikal yang berkuasa namun rupa bentuk Papio XO-1 merupakan ciri utama yang harus diberikan perhatian. Pertamanya, bahagian lampu bulat berkembar depan LED yang menampilkan rekaan ‘X’ dan ‘O’.
Lampu LED belakang pula ditempatkan di atas ekzos dan tampil dengan garisan hitam yang menimbulkan lagi elemen retro.