Bikesrepublic

Berita Terkini

Pusingan pertama Kejuaraan Dunia MotoGP 2023 telah pun berlangsung hujung minggu lalu yang menyaksikan Francesco Bagnaia bermula dengan langkah kanan dalam usaha mempertahankan kejuaraan musim lalu. 

Meskipun begitu, perlumbaan tersebut dicemari insiden kemalangan membabitkan juara dunia lapan kali, Marc Marquez dan Miguel Oliveira. 

Kesilapan Marquez di Turn 3 menyebabkan dia merempuh Oliveira sebelum kedua-duanya terbabas dan tidak dapat meneruskan perlumbaan. Akibat daripada pelanggaran itu, Marquez telah dikenakan penalti ‘long-lap’ berganda di GP Argentina. 

Namun, perkembangan terbaru mengesahkan Marquez dan Oliveira akan terlepas pusingan di Argentina ekoran mengalami kecederaan.

Sementara itu, turut terlibat dengan insiden tersebut adalah pelumba Pramac, Jorge Martin. 

Memetik laporan, motorcyclesports.net, Martin persoal mengapa Marquez tidak dikenakan hukuman yang lebih berat. 

“Saya rasa penalti ‘long-lap’ berganda bukan satu hukuman yang berat untuk Marquez. Kami sentiasa diberitahu jika mengulangi kesilapan sama, hukuman lebih berat menanti namun Marquez beberapa kali telah melakukan perkara ini. 

“Tetapi disebabkan si pelaku adalah Marquez jadi mereka tidak akan lakukan apa-apa,” jelas Martin. 

Terdahulu, Marquez mengakui kesilapannya dan telah pun memohon maaf kepada Oliveira dan kem CryptoData RNF Aprilia. 

Baru-baru ini, CFMoto telah pun membuka pra-tempahan bagi model serba baharu, 800NK untuk pasaran Eropah. 

Berdasarkan maklumat dikongsikan CFMoto, terdapat dua varian yang akan ditawarkan, 800NK dan 800NK High End. Untuk rekod, versi ‘High End’ bukan sahaja datang dengan warna berbeza malah turut dilengkapi ciri ‘keyless’, quickshifter, handlebar jenis aloi aluminium dan panel meter 8-inci TFT dengan sistem multimedia MMI. 

Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan model itu akan turut dipasarkan di Malaysia menerusi CFMoto Malaysia. Berdasarkan maklumat diperolehi, CFMoto 800NK itu dijangka akan dipasarkan sekitar awal 2024. 

Ini bermakan, CFMoto 800NK bakal menyaingi pasaran motosikal naked berkuasa tinggi disini. 

Untuk rekod, CFMoto 800NK dikuasakan enjin parallel-twin LC8 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 DUKE dan menawarkan 99hp.

Untuk makluman, CFMoto kini memegang hak terhadap enjin KTM LC8 799cc dan turut menghasilkan 790 DUKE dan 790 Adventure bagi pihak KTM untuk pasaran global.

Indonesia menjadi negara kedua Asia Tenggara untuk menyambut ketibaan model ‘sportsbike’ terbaru Kawasaki, Ninja ZX-4R, selepas Thailand. 

Menurut laporan, hanya varian tertinggi, Ninja ZX-4RR dijual di pasaran negara itu dengan harga jualan rasmi INR239.9 juta (RM70k). Sementara itu, hanya 40 unit sahaja diperkenalkan. 

Bagaimanapun, tanda harga tersebut pastinya mencuri tumpuan ekoran dua kali ganda lebih tinggi berbanding Ninja ZX-25R. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR ini dikuasakan enjin 399cc 4-stroke DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan ‘rev limit’ lebih 15,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac basah. 

Platform tersebut berupaya menghasilkan 79.1hp dengan bantuan Ram-Air. 

Dalam pada itu, varian RR ini datang dengan penghadang angin gelap, sistem ‘quickshifter’ serta fork depan Showa SFF-BP 37mm boleh laras dan ‘monoshock’ Show BFRC Lite. 

Sistem brek pula menampilkan cakera brek berkembar 290mm depan dan 220mm belakang yang diapit kaliper brek radial 4-pot depan dan 2-pot belakang. 

Pakej elektronik pula menampilkan sistem ‘traction control’ KTRC, empat mod menunggang (Sport, Road, Rain dan Rider),  panel meter LCD berwarna 4.3-inci yang boleh dihubungkan ke aplikasi Kawasaki Rideology.

Selan itu, ciri lain yang turut ditawarkan adalah seperti berikut:

  • tangki 15L
  • ketinggian tempat duduk 800mm
  • jarak kelegaan tanah 135mm
  • tayar 120/70-17 depan, 160/60-17 belakang

Modenas telah mengemas kini dua model kapcai popular, Kriss 110 dan Kriss 110 DB (cakera brek) bagi tahun 2023. 

Menurut Modenas dalam satu kenyataan, kedua-dua model ini kini datang dengan rekaan lampu depan baharu di samping  port pengecas USB. Selain itu, kedua-dua varian ini juga datang dengan pilihan warna yang lebih segar. 

Bagaimanapun, tiada perubahan dilakukan pada bahagian enjin yang masih lagi dikuasakan platform EEV satu silinder 108cc, 4-stroke dan SOHC yang berupaya menghasilkan 6.57hp pada 8,000rpm dan 6.7Nm pada 6,000rpm. 

Bagi yang berminat, Modenas Kriss 110 dijual pada harga RM3,917 manakala versi DB pula boleh dibeli dengan harga RM4,437. 

Perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2023 menyaksikan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia cemerlang untuk merekodkan kemenangan pertama musim ini. 

Juara dunia MotoGP musim lalu itu menampilkan aksi konsisten untuk menang pusingan pertama diikuti Maverick Vinales (Aprilia) kedua dan Marco Bezzecchi (VR46) ketiga.

Bagaimanapun, aksi pembukaan kali ini terpalit dengan insiden kontroversi membabitkan lapan kali juara dunia, Marc Marquez.

Pelumba Repsol Honda itu brek terlalu awal di awal perlumbaan lalu hilang kawalan dan merempuh pelumba CryptoData RNF Aprilia, Miguel Oliveira. Kejadian itu menyebabkan kedua-dua pelumba tersingkir awal. 

Susulan daripada kejadian tersebut, Marquez akui akan kesilapannya. 

“Sejujurnya, saya tidak memikirkan tentang GP Argentina. Apa yang penting hari ini adalah saya harap Miguel (Oliveira) tidak apa-apa. 

“Saya melakukan kesilapan besar di Turn 3 dan menyebabkan kejadian hari ini berlaku,” jelasnya. 

Pada masa sama, Marquez akui dia risau akan keadaan Oliveira sejurus selepas perlanggaran itu. 

“Saya berjaya mengelak (Jorge) Marrtin tetapi tidak Miguel. Saya berasa cukup risau kerana rempuhan itu agak kuat,” tambahnya. 

Marquez juga telah ke kem RNF Aprilia bagi memohon maaf kepada Oliveira dan seluruh pasukan. 

Akibat daripada insiden itu, Marquez turut dikenakan ‘double long-lap penalty’ ketika di GP Argentina nanti. 

Dalam perkembangan sama, Marquez juga mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki sementara Oliveira disahkan hanya mengalami lebam di bahagian kaki kanan. 

Pelumba Ducati Francesco Bagnaia, meneruskan kecemerlangan merangkul kejuaraan dunia musim lalu dengan memenangi aksi pembukaan Kejuaraan Dunia MotoGP 2023 di Portimao, Portugal, hari ini. 

Bagnaia mengutip 25 mata penuh selepas berjaya mengatasi beberapa asakan pelumba lain. Susulan daripada kejayaan memenangi perlumbaan Sprint pada Sabtu, Bagnaia kini mengutip 37 mata keseluruhan.

Sementara itu, pelumba factory Aprilia Maverick Vinales, menamatkan saingan di tempat kedua diikuti Marco Bezzecchi ketiga. 

Perlumbaan bermula sengit sebaik dilepaskan yang menyaksikan pelumba satelit Aprilia, Miguel Oliveira, berada didepan untuk seketika sebelum bingkas dipintas Bagnaia. 

Beraksi di laman sendiri ternyata memberi semangat pada Oliveira untuk menghadirkan keputusan baik pada pusingan pertama. Bagaimanapun, mimpi ngeri melanda pelumba CryptoData RNF Aprilia itu apabila dilanggar Marc Marquez di Turn 3 sekaligus menyaksikan kedua-dua pelumba bersara awal. 

Maklumat awal daripada RNF Racing mengesahkan Oliveira mengalami bengkak di bahagian atas kaki kanan sementara pemeriksaan x-ray juga mendapati tiada tulang yang patah. 

Dalam pada itu, pencabar kejuaraan musim lalu, Fabio Quartararo hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-10. Dia juga tampak kecewa ketika pulang ke pit. 

Aleix Espargaro juga gagal menyembunyikan kekecewaan apabila hanya menduduki tempat ke-7. 

Pusingan kedua MotoGP musim 2023 akan berlangsung di Argentina pada April.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube