Bikesrepublic

Berita Terkini

Tidak dinafikan, motosikal jenis Yamaha RXZ semakin menjadi kegilaan peminat dua roda di Malaysia. 

Disebabkan terdapat peminat yang ramai, penganjuran RXZ Members 4.0 di Terengganu baru-baru ini juga berjaya menarik sehingga lebih 30,000 pengunjung ke acara tersebut.

Terbaru, seorang pembeli sanggup menukar sebidang tanah bagi mendapatkan Yamaha RXZ Catalyzer yang diidamkan.

Perkongsian urus niaga tersebut telah dikongsikan pengguna akaun @nikmohdzulkiflee Lee yang menunjukkan seorang individu telah membeli motosikal Yamaha RXZ miliknya dengan menukar sebidang tanah.

Pemilik asal Yamaha RXZ itu juga turut berkongsi bukti telah ke pejabat tanah bagi proses penukaran nama ekoran ramai yang mempersoal kesahihan urus niaga tersebut.

Apa pendapat anda? Sanggup tukar sebidang tanah bagi mendapatkan motosikal idaman?

Penggunaan nombor plat terlampau fancy merupakan antara kesalahan dilakukan oleh penunggang motosikal dalam Op Lejang yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di susur masuk Plaza Tol Senawang di sini malam tadi.

Operasi selama lima jam bermula pukul 12 tengah malam itu diadakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Seremban dengan memberi tumpuan kepada penunggang motosikal bagi mengekang aktiviti lumba haram.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, ramai yang beranggapan penggunaan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi tidak penting daripada segi keselamatan jalan raya.

“Dalam operasi ini, kami menemukan pelbagai jenis nombor plat yang menyalahi peraturan termasuk ada yang berkilat, ada hanya sebesar dua jari, malah ada juga pemilik motosikal yang berani menunggang tanpa mempamerkan langsung nombor pendaftaran.

“Jika berlaku kemalangan, ia akan menyusahkan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sama ada pemilik motosikal yang melanggar atau dilanggar,” katanya.

Jelas Hanif Yusabra, tindakan mereka juga seolah-olah cuba mengaburi mata pihak berkuasa jika dikesan melakukan kesalahan seperti melanggar lampu isyarat atau melakukan aksi berbahaya.

“Sebanyak 68 motosikal diambil tindakan oleh JPJ atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai ekzos dan penggunaan nombor plat fancy.

“Selain itu, sebanyak 102 notis  telah dikeluarkan termasuk menyita lima motosikal dan 89 saman,” katanya. 

Kajian Universiti Stanford meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga tertinggi dunia dalam kategori rakyat ‘paling malas’ melakukan aktiviti berjalan kaki.

Keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas 717,527 responden yang memberi gambaran sekilas tentang gaya hidup penduduk di 111 negara di seluruh dunia.

“Rakyat Malaysia secara purata melakukan 3,963 langkah sehari,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kajian itu, penyelidik Universiti Stanford menyimpulkan bahawa terdapat ketidaksamaan dalam aktiviti fizikal yang dilakukan bagi setiap penduduk di negara dunia sehingga mengundang kepada pertambahan berat badan.

Dalam kajian tersebut turut mendedahkan negara pertama di dunia miliki rakyat paling malas berjalan kaki ialah Indonesia, yang mana jumlah purata rakyat di sana hanya berjalan sekitar 3,513 langkah sehari.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), purata jumlah berjalan kaki bagi setiap individu seperti mana yang disarankan oleh global adalah sekurang-kurangnya 5,000 langkah sehari.

Dalam pada itu, kajian yang sama berkata, negara dengan masalah obesiti rendah adalah merujuk kepada sikap rakyatnya gemar melakukan aktiviti berjalan kaki setiap hari.

Namun begitu, terdapat jurang besar antara individu yang gemar berjalan kaki dengan golongan kurang mengamalkan gaya hidup sihat tersebut kerana lebih berisiko menjadi obesiti.

Umum sedia maklum bahawa projek litar lumba yang sepatutnya dibangunkan di Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani telah terbengkalai sejak 2017.

Bagaimanapun, pengumuman terbaru oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mengesahkan bahawa pembangunan litar lumba bernilai RM75 juta itu akan disambung semula dalam masa terdekat.

Menariknya litar yang bakal dibina semula itu akan dibangunkan sebagai litar lumba antarabangsa berbanding litar lumba rakyat yang terdapat dalam pelan asal. 

Bagi memastikan kelancaran pembinaan kali ini, syarikat PKB Open Road telah bersetuju mengambil alih projek pembangunan litar terbabit.

“Kita semua maklum bahawa pelan asal yang dirancang adalah Litar Lumba Rakyat dan pelan ini juga telah beberapa kali dipinda menyebabkannya tertangguh begitu lama dan menyebabkan kos asal meningkat.

“Berikutan itu, kerajaan negeri bersetuju meneruskan pelan perancangan akhir dengan meningkatkannya kepada Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang dilengkapi pusat komersial lain,” jelas Muhammad Sanusi.

Menurut Sanusi lagi, litar antarabangsa sepanjang 1.8 kilometer itu akan turut menempatkan kawasan komersil, pusat pameran dan jualan termasuk pusat penyelenggaraan kenderaan.

Walaupun perancangan awal adalah membangunkan litar rakyat berbanding litar antarabangsa namun namun MB Kedah itu beri jaminan segala fasiliti juga boleh digunakan rakyat. 

“Walaupun litar ini nanti lebih bersifat komersial, namun ia juga boleh digunakan oleh rakyat yang berminat dalam sukan permotoran,” tambahnya.

Sementara itu, litar serba baharu itu akan direka pakar perunding litar lumba dari United Kingdom yang terlibat mereka litar lumba Formula 1 di Miami, AS. – BH

Polis Terengganu menafikan dakwaan yang kononnya sebanyak 230 kecurian motosikal jenis Yamaha RXZ milik peserta acara RXZ Members 4.0 telah direkodkan hujung minggu lalu.

Dakwaan yang tular di media sosial itu disangkal Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang menjelaskan bahawa pihaknya hanya menerima dua laporan berhubung kehilangan motosikal Yamaha RXZ.

“Hanya dua motosikal Yamaha RXZ yang dilaporkan hilang. Kedua-duanya telah dicuri di sebuah inap desa di daerah ini pada Ahad lalu,” jelasnya.

Pada masa sama, Datuk Rohaimi juga menafikan tuduhuan sesetengah pihak yang  berkata pihaknya dengan sengaja mengadakan sekatan jalan raya bagi peserta program RXZ Members 4.0 di Terengganu.

Sementara itu, program RXZ Members 4.0 yang menghimpunan sekumpulan besar pemilik motosikal Yamaha RXZ telah berlangsung dengan jayanya apabila acara yang berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak itu berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung. – KOSMO

Kumpulan aktivis jalan raya menyatakan penaikan had usia permohonan lesen motosikal ke 21 tahun seperti dicadangkan seorang perunding pengangkutan bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengurangkan kemalangan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye dan Pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi berpendapat faktor usia muda bukan punca utama berlakunya nahas tetapi kegagalan pengguna mematuhi peraturan.

Lee berkata, sepatutnya fokus pihak berkuasa diletakkan kepada mendisiplinkan pengguna kerana kemalangan tidak mengira usia, sebagai contoh dalam kes melibatkan Mat Rempit atau samseng jalanan.

“Tiada guna naik had usia mohon lesen motosikal kepada 21 tahun sekiranya tahap kesedaran pematuhan jalan raya masih rendah, ini patut diselesaikan,” katanya.

Lee mengulas cadangan perunding pengangkutan Rosli Azad Khan supaya kerajaan menaikkan had umur minimum kelayakan lesen motosikal daripada 16 kepada 21 tahun.

Beliau mengulas statistik terbaharu dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang menunjukkan terdapat 25,958 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal direkodkan di negara ini dari 2014 hingga 2020.

Mengulas lanjut, Lee berkata pihak berkuasa juga perlu tegas menguatkuasakan undang-undang terutama di kawasan berisiko kemalangan dan menyelenggara jalan raya supaya dalam keadaan baik.

“Sepatutnya jalan raya diselenggara dan dibaiki segera apabila terima aduan, pihak berkuasa tempatan juga perlu banyakkan lampu di laluan berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Lando berkata usia 21 tahun untuk memohon lesen motosikal sudah terlalu lewat kerana ramai belia memerlukan lesen bagi menunggang motosikal ke tempat kerja.

“Kalau hendak naikkan pun saya cadangkan usia 18 tahun jika ramai berpandangan 16 tahun belum cukup matang dalam selok belok tunggangan,” katanya.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube