Bikesrepublic

Berita Terkini

Seorang penunggang motosikal di India maut selepas lehernya dikelar tali layang-layang ketika dalam perjalanan bersama isteri dan anaknya yang berusia 8 tahun.

Vipin Kumar, 35, dalam perjalanan ke rumah kakaknya untuk menyambut perayaan Rakhi Khamis lalu apabila tali bersalut serbuk kaca tajam itu mengenai lehernya di atas jejambat Taman Shastri.

Susulan kejadian, mangsa yang berlumuran darah dibawa ambulans ke pusat trauma di Civil Lines di mana doktor memaklumkan Vipin telah meninggal dunia.

Mayat mangsa dibedah siasat dan kes itu sedang disiasat pihak berkuasa.

Kematian Vipin bukan satu-satunya kes membabitkan tali bersalut kaca di Delhi.

Pada 2016, dua kanak-kanak dan seorang penunggang motosikal maut selepas leher mereka dikelar tali layang-layang jenis itu pada perayaan Hari Kemerdekaan negara.

Menurut fakta kes, ketika kejadian, kedua-dua kanak-kanak itu dilapor berdiri dan menjengah keluar melalui bumbung kereta.

Seorang lagi mangsa, Zafar Khan, 22, sedang menunggang motosikalnya apabila kerongkongnya dikelar, lapor BBC.

Layang-layang ialah aktiviti popular ketika perayaan di India, namun penggunaan tali jenis itu amat berbahaya kerana ia disalut dengan serbuk kaca untuk menjadikannya lebih tajam dan kuat.

Tali bersalut kaca yang digunakan untuk permainan layang-layang telah diharamkan di Delhi sejak 2016 susulan beberapa tragedi yang antaranya meragut nyawa.

Namun, tali murah bersalut serbuk kaca dipercayai dari China itu masih digunakan secara meluas di seluruh negara.

Seorang anggota polis disahkan maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta dalam satu kejadian di KM 2, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, semalam.

Anggota polis tersebut menunggang motosikal jenis Benelli TNT600 sewaktu kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi.

Mangsa disahkan sebagia Koperal Zarif Affandi, 31, bertugas di Balai Polis Petaling Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Arsad Kamaruddin mengesahkan motosikal mangsa telah merempuh sebuah kereta jenis BMW.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa anggota polis tersebut menunggang motosikal dari Petaling Jaya menuju Genting Highlands.

“Sebaik tiba di tempat kejadian yang merupakan selekoh tajam, motosikal mangsa telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta BMW yang datang dari arah tersebut,” jelasnya.

Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian setelah mengalami pendarahan dalaman sementara pemandu BMW berusia 63 tahun tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, insiden kemalangan tersebut turut dirakam dan tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman berdurasi 5 saat itu, mangsa seakan tidak menjangka selekoh yang tajam lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta BMW terbabit. – KOSMO

Lebih 30,000 pengunjung telah membanjiri perkarangan Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak di Terengganu bagi menghangatkan program RXZ Members 4.0 yang berlangsung pada Sabtu.

Program tersebut turut memperlihatkan himpunan jentera Yamaha RXZ terbesar di Malaysia yang dianjurkan buat kali keempat selepas kali pertama diadakan pada 2017 dan kali terakhir pada 2019.

Perhimpunan terbesar itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang membuat pengumuman yang mengujakan peminat sukan permotoran tempatan.

Menurut beliau, kerajaan bercadang untuk membina litar khas bagi perlumbaan ‘drag’ di setiap negeri sebagai usaha membangunkan sukan permotoran tempatan disamping memberi platform lebih selamat untuk anak muda negara berlumba.

“Apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

“Perlumbaan drag mungkin tidak terlalu bahaya jika dibandingkan dengan perlumbaan trek kerana ia hanya memerlukan jalan yang lebih pendek dan lurus,” jelasnya ketika perasmian RXZ Members 4.0 pada Sabtu.

Sementara itu, program RXZ Members 4.0 turut menyaksikan beberapa pengunjung bertuah membawa pulang hadiah berupa sebuah Yamaha R1 dan dua unit Yamaha RXZ. – BH

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu pengumuman telah membenarkan semua jenis basikal untuk menaiki perkhidmatan KTM Komuter.

Kebenaran tersebut telah pun bermula pada 6 Ogos lalu dengan tiada sebarang caj dikenakan pada waktu tertentu. 

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata pihaknya sebelum ini mengenakan caj RM2 kepada pengguna yang membawa basikal.

Sejak 18 April lalu, tiada lagi sebarang caj dikenakan namun pada waktu itu hanya basikal jenis ‘folding bike’ (basikal lipat) dibenarkan menaiki tren pada hujung minggu. 

Bagaimanapun, dalam pengumuman terbaru, KTM Komuter kini membuka pintu kepada semua jenis basikal untuk dibawa naik. 

Jelas Mohd Zain, semua jenis basikal boleh dibawa naik tren (di luar waktu puncak) pada hari bekerja dan (sepanjang masa) pada hujung minggu. – HM

Hasrat seorang pekerja buruh lelaki berusia 40 tahun untuk menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Kuala Nerus, Terengganu tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM 397.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 berhampiran Ajil, hari ini. 

Mangsa, Mohd. Nazli Dasuki, disahkan meninggal dunia setelah mengalamai kecederaan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mad Daud memaklumkan mangsa ketika itu sedang berkonvoi bersama 18 rakannya yang turut menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ.

“Sebanyak empat kenderaan pacuan empat roda turut serta dalam konvoi tersebut dari Tanjung Karang, Selangor.

“Mereka dikatakan dalam perjalanan menyertai program Perhimpunan Rakan Motosikal RXZ 4.0 di Gong Badak, Kuala Nerus yang dijadual berlangsung esok (hari ini),” jelasnya.

Difahamkan, motosikal mangsa hilang kawalan lalu menyebabkan kemalangan. 

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu  untuk tindakan lanjut. – KOSMO

Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL di sekitar ibu kota.

Ia berikutan pendedahan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias di mana hampir separuh daripada jumlah penumpang bas berkenaan ‘dikuasai’ warga asing.

Jalaluddin ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini berkata, dianggarkan sebanyak 45.2% penggunaan bas tersebut terdiri warga asing.

“Mereka (warga asing) menggunakan perkhidmatan ini secara pecuma. Kalau kita kutip RM1 untuk setiap warga asing ini, kita boleh kutip RM9.2 juta setiap bulan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hisamudin Yahaya. 

Hisamudin telah bertanya tentang jumlah warga asing menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL dan adakah pihak kerajaan merancang mengenakan caj kepada warga asing pada masa hadapan.

Menjawab soalan tambahan Senator Dominic Lau Hoe Chai mengenai punca rakyat tempatan tidak menggunakan pengangkutan awam di ibu kota, Jalaluddin berkata, antara sebab utama adalah ketersambungan jajaran batuan awal dan akhir masih belum memuaskan.

Selain itu, katanya, pengguna jalan raya mendakwa tempoh masa menggunakan kenderaan sendiri adalah lebih singkat berbanding menggunakan pengangkutan awam.

“Batuan awal antara kediaman ke tempat bermula pengangkutan awam dan ke hentian akhir stesen pengangkutan awam ke pejabat, ini yang kita kena naik taraf dan dimasukkan dalam pelan jangka panjang DBKL,” katanya.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube