Saingan MotoGP kembali ke Indonesia dengan Litar Mandalika menjadi tuan rumah terbaru selepas 25 tahun.
Aksi di kelas premier menyaksikan pelumba KTM, Miguel Oliveira muncul juara diikuti Fabio Quartararo (Yamaha) kedua dan Johann Zarco (Pramac) ketiga.
Meskipun perlumbaan kali ini berjalan dengan penuh aksi apabila pelumba terpaksa menempuh litar yang basah kuyup namun senario yang berlaku sebelum perlumbaan paling mencuri tumpuan.
Ini kerana seorang bomoh hujan telah dipanggil dalam usaha menolak hujan lebat yang menimpa Litar Mandalika pada Ahad sekaligus menjejaskan perlumbaan.
Bomoh wanita tersebut telah dirakam berjalan di kawasan pit dan menuju ke grid sambil memegang mangkuk sewaktu menjalankan ritual tolak hujan.
Ini kerana keadaan hujan lebat telah memaksa perlumbaan kelas premier tergendala lebih satu jam.
Memetik laporan berita Indonesia, bomoh hujan dikenali dengan nama Rara Istiani Wulandri itu memaklumkan bahawa dia sering mengawasi acara besar di negara itu.
“Saya merupakan pawang hujan yang disyorkan oleh Erick Thohir (Menteri Badan Usaha Milik Negara) dan sering mengawasi acara Presiden Jokowi, bersama-sama pasukan penyelaras lapangan untuk mengubah suai cuaca dengan kuasa doa.
“Di sini, saya telah diminta untuk turunkan suhu agar lembap dan sejuk dengan sedikit hujan.
“Kita di Indonesia sudah biasa dengan iklim tropika, tetapi pelumba dari luar negara minta cuaca sejuk. Saya minta sokongan untuk semua berjalan dengan baik,” jelasnya.
Bagaimanapun, hujan di Lombok tidak berhenti seperti diharapkan namun cukup untuk membolehkan perlumbaan berlangsung dan menyaksikan Oliveira merekodkan kemenangan pertama musim ini.
Difahamkan, Rara juga terlibat memanggil hujan pada 9 hingga 11 Mac lalu bagi membantu menyejukan trek selepas Litar Mandalika diturap kali kedua sempena pusingan kedua MotoGP. – Awani