Bikesrepublic

Berita Terkini

Memahami permintaan terhadap skuter gaya retro klasik semakin meningkat, Benelli dengan rasminya melancarkan Benelli Panarea 125 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan asas RM6,888. 

Meskipun rupa klasik, namun Panarea 125 ini tampil dengan ciri moden antaranya lampu LED penuh depan dan belakang serta panel meter analog dan digital.

Menariknya, Panarea 125 ini juga lengkap dengan sistem anti-kecurian yang boleh mengurangkan risiko dicuri. Bagaimanapun, kami tidak risau kerana Benelli bukanlah jenama yang sering terpalit dengan kes kecurian motosikal di Malaysia.

Untuk rekod, Benelli Panarea 125 dikuasakan enjin 124cc 4-stroke dengan suntikan bahan api yang berupaya menghasilkan 8.44hp pada 7,500rpm dan 9.2Nm pada 6,000rpm. 

Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang dengan transmisi automatik CVT.

Tangki berkapasiti 4.6L pula memastikan skuter retro ini menawarkan penggunaan bahan api yang efisien untuk kegunaan harian. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • fork depan teleskopik
  • penyerap hentakan tunggal belakang
  • lampu LED
  • cakera brek 190mm depan
  • tayar 100/90-12 depan
  • tayar 110/90-12 belakang

Setiap pembelian Benelli Panarea 125 didatangkan dengan waranti pengeluar dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dahulu). 

GALERI: BENELLI PANAREA 125

KTM membuat keputusan untuk mengembalikan 790 Duke bagi tahun 2023 meskipun model itu sebelum ini telah digantikan dengan 890 Duke.

Difahamkan, keputusan hidupkan semula KTM 790 Duke itu dibuat setelah pengeluar motosikal Austria itu menerima banyak permintaan daripada pasaran global.

KTM sebelum ini menggantikan 790 Duke dengan 890 Duke ekoran mahu menghasilkan jentera yang lebih berkuasa di samping terpaksa mengikut standard emisi ketat di Eropah. 

Bagaimanapun, hak enjin parallel-twin LC8c 799cc itu bukan lagi milik KTM dan sudah berpindah tangan kepada CFMOTO bagi pembangunan 800MT. 

Oleh yang demikian, penghasilan semula KTM 790 Duke telah dijayakan bersama CFMOTO bagi tahun 2023.

Untuk rekod, enjin LC8c terbabit masih lagi menghasilkan 105hp pada 9,000rpm dan 82.37Nm @ pada 8,000rpm. 

Meskipun enjin yang sama namun model 2023 ini telah dinaik taraf dengan beberapa ciri baharu terutamanya pakej elektronik.

Menurut KTM, 790 Duke 2023 ini datang dengan mod ‘Track’ yang sertai mod sedia ada termasuk Sport, Street dan Rain. 

Model baharu ini juga dilengkapi dengan sistem ‘traction-control’ sembilan peringkat, fungsi ‘anti-wheelie’, ‘launch control’ dan tiga tetapan respon enjin.

Juga ciri baharu terdapat pada 790 Duke ini termasuk Motor Slip Regulation (MSR) dan mod Supermoto. 

Namun, spesifikasi lain termasuk bahagian suspensi masih sama seperti model terdahulu termasuk fork depan WP Apex 43mm. 

Polis mempunyai kuasa untuk menyita kenderaan termasuk motosikal yang didapati melakukan pengubahsuaian melampau.

Peringatan itu disampaikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Ampang Jaya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Menerusi siaran tersebut, orang ramai diingatkan bahawa sebarang pengubahsuaian terhadap struktur kenderaan boleh disebabkan motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut akta tersebut, polis juga boleh menahan kenderaan berkenaan sehingga pemilik mengambil langkah tertentu agar kesalahan sama tidak lagi berulang. 

Oleh itu, polis mengingatkan orang ramai untuk tidak ubah suai kenderaan sehingga mengubah bentuk asal agar tidak berdepan tindakan disita. 

Kes babitkan mat rempit di Kelantan mencatatkan peningkatan mendadak 49 peratus bagi bulan Januari hingga Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun.

Memetik laporan Sinar Harian,  remaja berusia 17 tahun ke bawah menjadi penyumbang terbesar kepada aktiviti tidak bermoral itu. 

“Setakat ini, seramai 61 remaja berusia 17 tahun ke bawah yang ditahan bersabit kes tersebut berbanding hanya 18 orang sahaja tahun lalu.

“Manakala 57 tangkapan melibatkan mat rempit berusia 18 hingga 39 tahun dan hanya empat tangkapan (40 tahun ke atas),” katanya.

Susulan daripada angka membimbangkan itu, Muhamad Zaki mengharapkan semua pihak termasuk ketua polis daerah, pengarah dan pegawai pendidikan memantau perkara tersebut. 

Pada masa sama, ibu bapa juga digesa untuk memberi contoh baik kepada anak-anak terutamanya mengenai pemakaian topi keledar dan memiliki lesen memandu. 

Sementara itu, polis Kelantan juga merekodkan 114 peratus tangkapan berbanding 65 peratus tahun lalu. – Sinar Harian

Bagi memenuhi permintaan terhadap motosikal berkapasiti kecil yang serba boleh, jenama motosikal Thailand, Solar Moto telah melancarkan Groove Cross 125. 

Bakal dipamerkan di Thailand International Motor Expo yang akan berlangsung dari 1 hingga 12 Disember ini, Groove Cross 125 merupakan antara model baharu yang diperkenalkan Solar Moto untuk pasaran negara itu.

Menariknya, Groove Cross 125 ini seakan diinspirasikan model Honda Cub 110 namun dengan ciri yang lebih lasak seakan Cub 125 Trail. Untuk rekod, Solar Groove Cross 125 merupakan varian lasak yang dibangunkan dari Solar Groove.

Hasilnya, Groove Cross 125 ini tampil dengan mudguard tinggi yang dipadankan bersama fork depan teleskopik dan penyerap hentakan berkembar belakang. Bagi memastikan Groove Cross 125 ini sesuai ditunggang dalam pelbagai jenis keadaan, motosikal tersebut tampil dengan jarak kelegaan tanah 177mm. 

Bagaimanapun, ciri lain kekal konvensional bagi memastikan motosikal tersebut kekal mampu milik antaranya brek drum depan dan belakang, panel meter analog, lampu halogen dan sistem karburator. 

Selain itu beberapa ciri praktikal juga diperkenalkan termasuk tempat duduk pembonceng yang boleh ditanggalkan dan bertukar menjadi tempat letak barangan tambahan.

Untuk rekod, Solar Groove Cross 125 dikuasakan enjin silinder tunggal 123.7cc SOHC 2-valve dengan penyejukan udara yang berupaya menghasilkan 8hp pada 8,000rpm dan 8.8Nm pada 6,000rpm. 

Menurut Solar, Groove Cross 125 ini boleh mencapai kelajuan maksima sekitar 90km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 3.5L
  • brek drum depan/belakang
  • berat 83kg

Difahamkan, harga bagi Groove Cross 125 ini akan diumumkan sewaktu pelancaran rasmi di Thai Motor Expo.

Pelakon dan selebriti tempatan, Zul Huzaimy mencuri tumpuan apabila sanggup membelanjakan RM43 ribu bagi membeli sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ.

Zul Huzaimy atau lebih dikenali sebagai ‘Spark’ telah membeli sebuah Yamaha RXZ daripada Pok Jack yang sememangnya terkenal sebagai pengumpul barangan klasik dan vintaj antaranya babitkan motosikal, kereta dan barangan lain. 

Urusan jual beli tersebut turut dirakam dan dimuat naik ke akaun sosial media milik Pok Jack. 

Menurut video tersebut, Spark membeli Yamaha RXZ itu dengan bayaran tunai RM43 ribu sambil disaksikan beberapa individu lain. 

Difahamkan, Pok Jack sanggup melepaskan motosikal kesayangannya itu dan bakal menggunakan duit jualan tersebut bagi projek kereta Volkswagen yang dimilikinya. 

Senario itu sekaligus menyaksikan RXZ masih lagi kekal sebagai motosikal yang mempunyai daya penarik tersendiri meskipun pengeluarannya telah pun dihentikan. 

Sebelum ini, terdapat beberapa motosikal sama turut terjual pada harga tinggi sehingga ada yang sanggup menukar dengan sebidang tanah bagi mendapatkan motosikal tersebut. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube