Bikesrepublic

Berita Terkini

Penganjur acara ‘sneakers’ terbesar di Malaysia, Sneakerlah dengan kerjasama Venturi Motors, menawarkan peluang untuk memenangi Toyota HJ60 Land Cruiser menerusi peraduan ‘Chance And Community’.

Peraduan itu yang dijalankan dengan sistem ‘raffle’ (undian) membolehkan pemenang bertuah membawa pulang hadiah berupa kasut Nike Air Jordan 1 Retro High OG ‘Dark Mocha’ saiz 9UK dan simpanan kredit RM1000 dari The Coffeeboy Club yang sah untuk tempoh satu tahun.

Bagaimanapun, hadiah utama paling mencuri tumpuan apabila berupa sebuah Toyota HJ60 Lan Cruiser!

Toyota HJ60 Land Cruiser merupakan model yang diperkenalkan pada era 80an yang ketika ini kembali mencuri perhatian apabila sebuah model 1986 dijual pada harga USD134,400 (RM558 ribu).

Bagi melayakkan diri menyertai undian ‘Chance And Community’, orang ramai hanya perlu beli baju edisi terhad bernilai RM99 yang melayakan satu penyertaan undian.

Menurut Sneakerlah, segala bayaran akan dipulangkan semula jika undian Chance And Community ini gagal mencapai penyertaan minimum dan kelayakan ditetapkan.

Untuk maklumat lanjut layari sneakerlah.com/raffle

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan mengumumkan pembaharuan cukai jalan kini boleh dilakukan di PUSPAKOM, bermula hari ini.

Menurut JPJ, inisiatif tersebut akan dijalan secara berperingkat bermula dengan 39 pusat PUSPAKOM di Semenanjung Malaysia.

“Fasa awal pembaharuan cukai jalan ini akan hanya membabitkan kenderaan persendirian sama ada pemilikan individu mahupun yang berdaftar di bawah syarikat,” jelas JPJ dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, inisiatif tersebut akan turut diperkembangkan kepada kenderaan lain seperti pembaharuan cukai jalan bagi motosikal serta kenderaan e-hailing yang dijangka akan dilaksanakan pada November.

Sebelum ini, pembaharuan cukai jalan di PUSPAKOM hanya dibenarkan bagi kenderaan barangan yang berat di bawah 7,500kg.

Menurut kenyataan dikeluarkan, usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memastikan proses pembaharuan cukai jalan lebih efisien dan berkesan di samping memberi orang awam pilihan yang lebih luas.

Selepas berbulan khabar angin serta beberapa foto ‘spy shot’, akhirnya KTM merasmikan RC390 2022.

Model baharu ini menyaksikan pelbagai perubahan dilaksanakan antaranya bahagian fairing depan yang telah direka semula bagi memuatkan lampu LED jenis ‘single-piece’ berbanding generasi sebelumnya.

Menariknya, pembinaan RC390 kali ini beri fokus aspek ringan dan hasilnya, model 2022 ini datang dengan kerangka 1.5kg lebih ringan. Difahamkan, penggunaan rim yang diinspirasikan dari Moto3 juga berjaya mengurangkan 3.4kg berat.

Penggunaan kaliper brek ByBre juga berjaya mengurangkan lebih 1kg berbanding model sebelumnya.

KTM turut mendakwa RC390 baharu ini mendapat sentuhan MotoGP yang boleh diperlihatkan menerusi pilihan warna, garisan serta corak yang dipaparkan.

Bukan itu sahaja, panel badan juga mudah ditanggalkan hasil sistem ‘mounting’ baharu yang kini tidak lagi memerlukan skru serta klip yang banyak.

Reka bentuk keseluruhan juga lebih aerodinamik hasil daripada proses CFD (computational fluid dynamics) yang diguna pakai dalam pembinaan fairing MotoGP.

Antara ciri lain yang turut dinaik taraf adalah penggunaan fork depan USD WP Apex dengan tetapan ‘compression’ serta ‘damping’ 30-peringkat serta penyerap hentakan belakang WP Apex boleh laras.

Meskipun tidak mendedahkan angka kuasa kuda namun KTM mendakwa enjin satu-silinder, 4-lejang dengan penyejukan cecair dan camshaft berkembar ini menjana tork yang lebih tinggi.

Kotak angin yang telah direka semula serta pemetaan enjin (engine mapping) juga menyumbang kepada tork yang lebih tinggi.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • paparan TFT dengan keupayaan Bluetooth
  • tangki 13.7L
  • SUPERMOTO ABS
  • Cornering ABS
  • Cornering MTC (traction control)
  • Quickshifter+ (opsyen tambahan)

Pelumba Petronas Sprinta Racing Moto2, Xavi Vierge, telah menolak tawaran beraksi di kelas premier bersama Petronas Sepang Racing Team (SRT) di GP Aragon, September ini.

SRT sebelum ini telah pun memberi peluang kepada rakan sepasukan Vierge, Jake Dixon menunggang jentera M1 Franco Morbidelli di GP Britain, hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, Dixon gagal memberi impak tatkala menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir, ketinggalan lebih 50 saat daripada pemenang, Fabio Quartararo.

Melihat kepada senario itu, Vierge membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut.

Menurut laporan media antarabangsa, Vierge berpendapat tawaran itu akan memberi kesan buruk pada kariernya apatah lagi dia menyedari peluang untuk dinaik taraf ke MotoGP 2022 dilihat tipis.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Dixon akan mendapat peluang kedua di Aragon dengan Cal Crutchlow, yang sebelum ini menggantikan Morbidelli untuk dua pusingan, akan terus mengisi kekosongan ditinggalkan Maverick Vinales di Yamaha.

Ketika Dixon beraksi bersama SRT minggu lalu, tempatnya di Moto2 telah diisi pelumba negara, Adam Norrodin.

Ketika ini masih tidak dapat dipastikan sama ada Adam akan turut diberikan peluang kedua di Aragon setelah bersara awal sewaktu di Silverstone.

Pengeluar ECU TuneBoss, FSR Technology, telah pun melancarkan generasi kedua ECU untuk pasaran tempatan menggantikan generasi pertama yang dilancarkan pada 2014.

Menurut FSR Technology, Gen-2 TuneBoss ini datang dengan tiga ‘Stage’ berbeza sekaligus menawarkan harga yang lebih rendah dan mampu milik berbanding sebelum ini.

Berbanding Gen-1 yang ditawarkan pada harga bermula RM499, Gen-2 pula ditawarkan pada harga RM299 untuk model Yamaha Lagenda dan Honda Wave sementara bagi model Yamaha R25 berharga RM799 (berbanding RM999 sebelum ini).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali, fokus pembinaan generasi kedua ECU TuneBoss adalah menghasilkan ciri lebih berprestasi tinggi.

“Fokus kami untuk Gen2 adalah untuk menjadikan teknologi dan kebolehpercayaan ini lebih senang dicapai, dan pada masa yang sama menawarkan ciri-ciri prestasi lebih tinggi dan baru untuk pelanggan yang memerlukannya,” jelasnya.

Pada masa sama, Farhan menjelaskan perbezaan mengikut ‘Stage’ ditawarkan ECU TuneBoss Gen-2 ini.

“Stage 1 sudah cukup memadai untuk pengguna yang mahukan sedikit ‘oooomph’ dari jentera mereka yang mungkin telah dilengkapi dengan modifikasi ringan.

“Tetapi untuk pengguna jentera dengan tahap dimodifikasi yang tinggi, mereka boleh menaik taraf ECU Gen2 ke Stage 2 yang memberikan keupayaan seperti pengawalan penuh pada sistem pancutan bahan api, sistem nyalaan dan sistem Variable Valve Actuation (VVA) dengan hanya menambah RM200 kepada harga asal ECU Stage 1,” tambahnya.

Lebih menarik, pengguna yang menaik taraf ke Stage 2 dari Stage 1 dalam tempoh setahun dari tarikh pembelian akan mendapat waranti tambahan dua tahun berbanding setahun bagi Stage 1.

Bukan itu sahaja, FSR Technology turut memperkenalkan ECU Gen-2 untuk model Yamaha Y16ZR dan MT15 dengan harga bermula dari RM399.

Porsche akhirnya mengesahkan akan membuka kilang operasi CKD di Malaysia dengan kerjasama Sime Darby, yang merupakan pengedar rasmi jenama Porsche disini.

Perkembangan terbaru itu turut menyaksikan Malaysia menjadi negara pertama diluar Jerman yang akan memiliki kilang pemasangan seumpamanya.

Difahamkan, operasi CKD Porsche akan dilakukan di kilang pemasangan Inokom milik Sime Darby Motors di Kulim, Kedah, yang ketika ini turut memasang BMW, Hyundai, Mazda dan MINI.

Menariknya, dalam kenyataan dikeluarkan Porsche, setiap model yang dihasilkan akan mengikut keperluan tempatan dan hanya boleh didapati untuk pasaran Malaysia sahaja.

Porsche turut mengesahkan bahawa operasi CKD tersebut akan membuka tirai pada 2022.

Sementara itu, pemasangan CKD tersebut dikatakan akan membabitkan model popular ketika ini, antaranya Cayenne dan Macan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube