Pengeluar motosikal China dan syarikat induk kepada jenama Benelli, QJ Motor disahkan sedang membangunkan enjin berkuasa serba baharu berdasarkan paten terbaru yang difailkan di negara itu.
Menurut paten tersebut, QJ Motor kini sedang giat menghasilkan platform V4 moden dengan kapasiti sekitar 1,000cc dengan konfigurasi 90-darjah dan DOHC serta 4-valve bagi setiap silinder.
Melihat kepada lakaran yang dikongsikan, jelas platform V4 yang dibangunkan itu tampak moden namun tidak kompak seperti enjin V4 yang ada pada Aprilia RSV4 dan Ducati Panigale V4.
Meskipun dokumen tersebut tidak mendedahkan model apakah yang akan digerakan enjin V4 tersebut namun, mengambil kira QJ Motor sentiasa berkongsi platform dengan Benelli maka tidak hairan jika platform baharu itu akan turut melahirkan model Benelli serba baharu.
Pada masa sama, selepas pengeluaran Benelli Tornado 1130 dihentikan pada 2014, jenama motosikal Itali-China itu ketandusan jentera berkuasa tinggi.
Namun, kami juga menjangkakan bahawa platform V4 itu akan turut menguasakan model QJ Motor sendiri, kemungkinan besar dinamakan SRK1000RR.
Sebaik projek V4 ini siap sepenuhnya, ini bermaka QJ Motor akan memiliki kepelbagaian enjin yang luas bermula dengan enjin satu silinder, parallel-twin, tiga-inline, dan empat-inline dengan kapasiti dari 50cc hingga 1,000cc.
Menariknya, QJ Motor ada mendedahkan jentera ‘superbike’ 1,000cc awal tahun ini yang dikuasakan enjin MV Agusta 1000. Ini kerana MV Agusta telah menjalinkan kerjasama dengan QJ Motor bagi pembangunan motosikal ADV, Lucky Explorer 5.5 yang berkongsi platform sama dengan Benelli TRK 502.
Namun begitu, kami menjangkakan bahawa kerjasama itu sudah tergendala ekoran sebanyak 25.1 peratus saham MV Agusta telah berjaya diperolehi KTM. Mengambil kira KTM mempunyai kerjasama erat dengan CFMoto (yang merupakan pesaing QJ Motor di China dan pasaran global), maka kemungkinan besar segala usahasama antara QJ Moto dan MV Agusta yang dirancang sebelum ini menjadi lebih rumit.
Pada masa sama, mengambil kira keputusan QJ Motor untuk membangunkan platform V4 sendiri, adalah satu indikator utama bahawa kerjasama dengan MV Agusta telah pun terhenti.
Tidak cukup dengan itu, segala rujukan mengenai Lucky Explorer 5.5 yang terdapat pada laman web rasmi MV Agusta sebelum ini telah pun dipadam sekaligus menguatkan lagi sangkaan kami.
Apa pun, pembangunan platform V4 oleh QJ Motor membuktikan mereka tidak perlu bantuan MV Agusta dalam menghasilkan trenkuasa baharu. Apa yang pasti, kami tidak sabar untuk menyaksikan model berkuasa tinggi tersebut pada masa akan datang.